Adsense

Rabu, 2 Mac 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ingin bercinta

Posted: 01 Mar 2011 02:03 PM PST

Hip

Liyana, Sam idam berlakon bersama dalam filem romantik penuh bermakna

LALUAN kerjaya seni mereka hampir sama. Liyana Jasmay dan Shaheizy Sam memulakan langkah masing-masing dalam persada seni pada usia muda. Liyana bermula pada usia 9 tahun, manakala Sam pula ketika usianya 12 tahun. Jadi 'kemasyhuran' yang dikecapi mereka hingga kini sudah lama dirasai.

Begitupun, pada saat Liyana meraih populariti sedikit demi sedikit, langkah Sam pula seolah-olah terhenti seketika, tidak lama dulu. Hanya pada 2007, barulah dia memulakan langkahnya semula dalam bidang seni. Bermula dengan filem Sama Tapi Tak Serupa, tetapi nama Sam dalam dunia lakonan lebih menonjol dan meninggalkan kesan di hati penonton menerusi drama Pa'e.

Liyana pula mula berlakon drama Si Lembik dan di layar perak menerusi filem Castello. Pada 28 Mac lalu, genaplah usianya 23 tahun. Jadi, dia bukan lagi gadis kecil. Malahan pembabitan Liyana dalam arena seni bukanlah dianggap baru, tetapi sudah mencecah satu dekad.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) sekali lagi meletakkan namanya dalam finalis Pelakon Filem Wanita Popular.

Sam pula semakin hebat apabila dia menjadi finalis ABPBH2010 untuk dua kategori iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular.
Kedua-dua pelakon muda ini pernah disatukan dalam filem Niyang Rapik arahan Ahmad Idham. Jadi tidak susah menyatukan mereka kerana kedua-duanya cepat serasi. Malah sesi fotografi ini berjalan lancar sekali kerana masing-masing bijak memberikan mood dan gaya romantik.

Akui Liyana, dia memang menunggu peluang untuk digandingkan dengan Sam di layar perak. Sebelum ini, Liyana pernah beraksi di sisi Afdlin Shauki, Que Haidar, Zahiril Adzim dan Syamsul Yusof.

Liyana dan Sam membayangkan mereka berlakon dalam sebuah filem romantik yang bukan sekadar cinta kosong.

"Cinta yang saya maksudkan seperti dalam filem The Notebook," jelas Liyana yang menggelarkan peminatnya sebagai Little Lovers.

Menurut Pelakon Terbaik Anugerah Skrin (ASK) 2009 dan Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) itu, Sam disifatkannya sebagai seorang pelakon yang cukup berbakat.

Menurutnya, seperti juga Sam, mereka tidak lagi mencari kemasyhuran sebaliknya hanya sekadar berkongsi bakat bersama peminat.

"Keghairahan kami dalam dunia seni ini tiada dua. Kami berlakon sejak usia muda. Jadi soal populariti dan wang ringgit itu tidak menjadi keutamaan. Rahmat juga dalam diri saya tidak naik terlalu mendadak. Apa yang lebih penting ialah untuk kekal bertahan dalam bidang lakonan.

"Saya bersyukur dengan apa yang diperoleh sekarang. Bakat kita dihargai itu sudah satu kejayaan besar untuk saya. Saya masih di landasan sebenar, jauh sekali menganggap apa yang dinikmati sekarang untuk bersikap besar kepala," kata gadis itu sambil memuji Sam sebagai seorang pelakon yang berazam tinggi, lucu, kreatif dan bijak.

Tahun ini, selepas selesai tayangan Khurafat, Liyana menunggu pula filem Tolong Awekku Pontianak arahan James Lee dan Senjakala (Ahmad Idham) ditayangkan di pawagam. Hujung tahun lalu, si genit ini buat pertama kali terbabit dalam pementasan teater Natrah dan Siti Di Alam Fantasi di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pengajiannya dalam Diploma Seni Persembahan & Media di sebuah kolej di Bandar Sunway pula difahamkan akan tamat sekitar tahun ini juga. Kalau jadi seperti yang dirancang, April depan, Liyana akan kembali meneruskan penggambaran filem Papadom 2.

Tahun ini juga boleh dianggap sebagai fasa permulaan untuk dirinya membabitkan diri secara serius dalam dunia penulisan skrip dan sekali gus mencapai hasrat untuk duduk di kerusi pengarah. Akui Liyana, selama ini pun dia sudah mula menulis sinopsis dan idea cerita.

"Saya sasarkan dalam dua tahun lagi, cita-cita untuk bergelar pengarah dapat direalisasikan. Saya nak jadi macam Afdlin yang berlakon dalam karya terbitannya sendiri," katanya yang mensasarkan untuk muncul dalam tiga filem setahun.

Bakal Bintang Paling Popular?

BAGI Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM23, Sam melihat Liyana sebagai pelakon badan bersaiz kecil tetapi berjiwa besar.

"Kehebatan dan kemampuannya sebagai pelakon sudah terbukti. Dia (Liyana) antara pelakon wanita yang bagus ketika ini. Lakonannya sangat baik. Memang kalau ada peluang, saya mahu bergandingan dengannya lagi," kata anak muda ini.

Dalam kerjaya seninya, nama Sam kini dilabel sebagai Hero Malaya Baru. Dia juga dilihat berpotensi besar untuk bersaing merebut gelaran Bintang Paling Popular pada ABPBH2010.

Tahun ini saja, lima filem lakonan Sam menanti giliran untuk ditayangkan iaitu 8 Jam, Aku Bukan Tomboy, Sekali Lagi, Kongsi dan Songlap. Barangkali ada hikmah di sebalik fasa diamnya selama ini hingga memberi tuah selepas dia membuat kemunculan semula empat tahun lalu.

Pembabitannya yang agak konsisten dalam kerjaya lakonan menjadikan dirinya turut dapat disaksikan beraksi dalam drama seperti Graduan, Impak Maksima dan KL Menjerit.

Selepas berlakon banyak filem dan drama, Sam tiba-tiba mahu memperlahankan kerjaya seninya. Alasannya, banyak perkara yang hendak dipelajarinya demi memantapkan lagi kredibiliti sebagai anak seni.

"Saya tiada arah atau pendidikan formal dalam dunia seni. Saya masuk uni-TV atau universiti depan TV saja. Kebanyakan masa di rumah, saya habiskan menonton drama dan filem di TV ataupun DVD. Saya juga tak segan bertanya dengan kawan pelakon mengenai ilmu lakonan.

"Dapat ilmu saya akan praktik untuk diri sendiri. Sepanjang saya tidak aktif berlakon, memang banyak masa dihabiskan sendirian di rumah, banyak mengkaji watak dan mempersoalkan kenapa karakter itu jadi begini dan sebaliknya," katanya yang meminati Al Pacino.

Tambah Sam lagi, dia bersungguh-sungguh dalam kerjaya lakonannya kerana menganggap itulah punca rezeki yang membolehkan dirinya membantu keluarga.
"Kalau orang pernah memberi jolokan kepada saya sebagai Johnny Depp Malaysia, celah gigi pun saya belum tentu menyamainya. Tapi kalau boleh saya mahu jadi lebih bagus atau setara dengannya," katanya.

Mengenai pencalonannya dalam ABPBH2010, Sam mengakui cukup gembira dan bangga kerana namanya turut melekat dalam senarai Top 5 anugerah ini. Tidak mempunyai kelab peminat, Sam hanya memiliki akaun Fanpage di laman sosial Facebook untuknya berkongsi perkembangan dan berinteraksi dengan peminat.

INFO: Liyana Jasmay
Nama Panggilan: Liyana atau Nana
Tarikh Lahir: 28 Mac 1988
Tempat Lahir: Kuantan, Pahang
Kerjaya: Pelakon, model, penyanyi
Pengiktirafan: Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22
Filem: Castello, Syaitan, Papadom, Histeria, Kami The Movie, Malaikat Maut, Gadoh, Pisau Cukur, Duhai Si Pari-Pari, Niyang Rapik, Histeria, Misteri Jalan Lama, Khurafat & Senjakala
Drama: Kami, Cinta Si Rempit, Laila Sari, Puaka Niyang Rapik
Album: Aku Tak Percaya Cinta

INFO: Shaheizy Sam
Nama Penuh: Shaheizy Abdul Samad
Tarikh lahir: 4 September 1982
Asal: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak bongsu daripada lima beradik
Filem: Sama Tapi Tak Serupa, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Sempit, Niyang Rapik, Evolusi KL Drift 2, Ngangkung, Kongsi, Sekali Lagi
Pencapaian: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM23, Anugerah Khas Yasmin Ahmad Anugerah Skrin TV3 2010

Penghargaan
Solekan: Shaheizy Sam (Rose Jr, 012-7437620), Liyana Jasmay (Deqsha, 019-3495383)
Busana: Anizam Yusof (019-3042077)


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jawablah! Emma hanya kawan

Posted: 01 Mar 2011 01:58 PM PST

Hip

EMMA dan Raffi ketika menghadiri majlis buka puasa anjuran Tayangan Unggul, September tahun lalu.

EMMA dan Raffi ketika menghadiri majlis buka puasa anjuran Tayangan Unggul, September tahun lalu.

Raffi nafi burukkan, beri harapan kepada dramatis berkenaan

BELUMPUN pulih sepenuhnya kecederaan fizikal yang dialami iaitu kesan melecur di keliling badan, tangan serta muka, gara-gara insiden kebakaran ketika menjalani penggambaran sebuah filem, dia dihambat pula kontroversi yang menyebabkan hatinya pula terbakar.

Saat diri terlantar di hospital, pelakon baru, Raffi Husin, mendapat perkhabaran yang tidak disangka-sangka apabila dia dikatakan menyebarkan cerita kurang enak didengar mengenai seorang dramatis yang didakwa sebagai kekasihnya, Emma Akma Mohd Yunos. Raffi, yang juga pelakon filem Cun dan Bara Jiwa ini didakwa lupa daratan serta tidak mengenang budi kerana sanggup menghina pelakon berusia 42 tahun itu, walaupun sebelum ini menurut Emma, dialah yang banyak membantu jejaka dari Labuan itu untuk mendapatkan peluang berlakon di sini.

Terkilan dengan kenyataan Emma, Raffi menerusi pengurusnya, Afrah Ashaari, menghubungi Hip untuk menjelaskan segala kekeliruan yang timbul. Tanpa ada niat mengaibkan sesiapa, Raffi ingin berbuat demikian kerana mahu segera membersihkan namanya yang sudah tercalar, serta memastikan maruah diri dan keluarga tidak diperkotak-katikkan sesuka hati.

Hip: Apa sebenarnya tujuan Raffi membuat penjelasan ini?

Raffi: Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Emma Akma baru-baru ini dalam sebuah akhbar, dia menuduh saya sebagai seorang yang lupa daratan serta tidak mengenang budi kerana membuat cerita bukan-bukan mengenainya. Kononnya, saya menghina dirinya, walhal sebelum ini dialah yang banyak membantu saya mendapatkan tawaran berlakon dan menaikkan nama saya. Saya juga dikatakan menumpang glamor dan popularitinya. Kenyataan dikeluarkannya itu benar-benar membuatkan saya terkejut. Saya tidak pernah memburuk-burukkan dia seperti yang didakwa. Lebih membuatkan saya terkilan, sepanjang kami berkenalan, dia tidak pernah membantu saya untuk mendapatkan tawaran berlakon. Semua tawaran yang saya terima adalah menerusi usaha sendiri. Saya pergi uji bakat tanpa bantuan sesiapa.
Hip: Boleh Raffi jelaskan, apakah hubungan antara Raffi dan Emma Akma?

Raffi: Kami sebenarnya berkawan baik. Sebagai pelakon berpengalaman, Emma banyak memberi tips pada saya bagaimana untuk mempromosi diri. Dia juga kerap mengajak saya menemaninya ke mana-mana majlis yang dihadiri. Setiap kali dia mahu mengajak saya, dia akan memberitahu yang wartawan mahu berjumpa saya. Apabila berada di majlis itu, apa yang berlaku, pihak media hanyalah merakamkan gambar kami berdua. Apabila saya bertanyakan mengapa mereka tak mengambil gambar saya seorang, dia kembali bertanyakan pada saya apakah saya malu bergambar dengannya? Disebabkan itulah timbul gosip yang mengatakan kami bercinta. Dia juga mengatakan saya pernah menulis perkataan "I Love You" dalam SMS yang dihantar kepadanya. Sebenarnya, saya anak tunggal dalam keluarga dan selalunya kalau saya berhubung dengan keluarga di kampung terutama mama saya, saya memang kerap menulis ayat itu dan saya sudah terbiasa dengannya. Pada saya, perkataan "I Love You" itu sekadar untuk menunjukkan kemesraan kepada seorang kawan. Tak sangka pula dia sanggup menjadikan perkataan itu sebagai bukti kami sedang bercinta.

Hip: Mungkin Raffi pernah memberikan harapan padanya membuatkan Emma rasa Raffi benar-benar menyintainya?

Raffi: Saya tidak pernah memberikan sebarang harapan kepadanya. Kalau benar pun, takkan semudah itu saya mahu menyintai seseorang kerana soal hati dan perasaan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main-main. Saya berkenalan dengannya pun dalam tempoh lima bulan. Lagipun saya baru berusia 24 tahun. Saya masih ada cita-cita yang ingin dilunaskan.

Hip: Bagaimana reaksi keluarga Raffi berhubung perkara ini?

Raffi: Sudah tentu keluarga saya tidak senang dengan kontroversi yang berlaku ini. Mama saya pernah berkata, jika beginilah kehidupan seorang pelakon, dia menyuruh saya kembali saja ke Labuan dan bekerja di sana. Terpaksalah saya menjelaskan segala-gala yang terjadi supaya dia memahami situasi sebenar. Dalam kenyataannya sebelum ini, Emma ada menyatakan yang hanya dia yang menjaga saya ketika saya terlantar di hospital. Bayangkanlah, apa perasaan mama saya apabila jiran di kampung bertanyakan apakah benar dia tidak mengambil berat keadaan anaknya? Biasalah orang di kampung, mereka lebih percaya dengan cerita yang dibaca. Walhal, mama sebenarnya ada menjaga saya ketika di hospital.

Hip: Jika ada peluang, mahukah Raffi bersemuka dengan Emma untuk menjernihkan semula kekeruhan ini?

Raffi: Kali terakhir saya berkomunikasi dengannya sewaktu saya masih terlantar di hospital. Selepas itu saya tidak lagi bertemu atau berhubung dengannya. Saya tidak kisah untuk bersemuka dengannya jika itu boleh membantu membersihkan nama saya. Namun, sedangkan tidak berjumpa pun banyak cerita bukan-bukan yang timbul, apatah lagi kalau berdepan. Jadi biarlah saya jelaskan apa yang berlaku di sini supaya masyarakat boleh menilai dan tidak terus menghukum saya sewenang-wenangnya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.