Berita Harian: Hip |
Posted: 29 Mar 2011 04:26 PM PDT Hip Fasha anggap pencalonan ke peringkat akhir ABPBH 2010 pengiktirafan cukup bermaknaHANYA tinggal tiga hari saja lagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 akan menyingkap tirainya di Arena of Stars, Genting Highlands, sekali gus menjadi gelanggang perhimpunan semua penggiat seni. Pastinya kalangan finalis daripada 16 kategori yang dipertandingkan lebih berasakan getaran itu kerana berbeza daripada anugerah lain, pemenang ABPBH dipilih berdasarkan undian peminat yang juga pembaca setia Berita Harian. Sememangnya ganjaran cukup lumayan ditawarkan kepada pemenang khususnya Bintang Paling Popular termasuk aksesori mutiara bernilai RM180,000 dan Nissan Teana, namun lebih utama ialah penyatuan penggiat industri hiburan yang membolehkan acara ini terus gah tatkala memasuki edisi ke-24.Walau siapa pun juara di hati peminat, hampir semua Top 5 mengakui penganjuran anugerah membabitkan penyertaan orang ramai begitu bermakna. Tidak terkecuali, pelakon Fasha Sandha yang sekali lagi menyaksikan namanya dicalonkan ke peringkat akhir kali ini. Bagi bintang Samson & Delaila itu, mara ke peringkat akhir sudah dianggap satu rahmat, apatah lagi dicalonkan bersama barisan finalis lain yang tidak kurang hebatnya. "Saya pernah merasai kemanisan menggenggam trofi itu dan jika rakan lain yang membawa pulang kemenangan pada ABPBH kali ini, saya turut gembira kerana ia sudah menjadi rezekinya. Kepadatan jadual lakonan serta pengurusan salun rambutnya, Chinta, yang baru beroperasi bukan alasan untuk bintang sensasi itu menolak pelawaan menyertai program promosi ABPBH2010, malah memilih lokasi nun di selatan iaitu di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor untuk bertemu peminat. Akuinya, kesempatan itu digunakan sebaik mungkin untuk mendekati insan yang selama ini memberikan sokongan tidak berbelah bagi, sekali pun ketika hadirnya pelbagai kisah negatif yang mencalar rasa. "Selain keluarga, peminat ialah kekuatan yang membolehkan saya terus berdiri di sini. Walau di mana pun kita berada, sukar untuk memuaskan hati semua orang, terutama apabila dikaitkan dengan gosip atau cerita kurang enak. "Biarlah saya mengambil sikap berdiam diri kerana sekali kita membuka mulut, akan banyak lagi rentetan kisah mengarut yang timbul. Daripada membiarkan setiap khabar angin melarat tanpa berpenghujung, baik diam saja," katanya perlahan. Membiarkan cakap kosong berlalu pergi, dalam syukur Fasha berterima kasih kepada penyokong setia selain penerbit yang memberi sepenuh kepercayaan untuknya menerajui penerbitan mereka, hingga wajahnya kerap menghiasi setiap saluran televisyen. Nyata gadis berjiwa kental ini tidak mudah dipukul gelombang. Dalam meniti perjalanan seni yang penuh berliku, bermacam-macam onak ditempuh apatah lagi pada ketika ini namanya turut berada di kemuncak kegemilangan. Sama seperti lakonan, kisah peribadi terutama perihal cintanya sering menjadi perhatian ramai. Tetapi wanita muda ini tetap kental, malah enggan cepat melatah. "Kadangkala bila mengingati semula segala gosip yang timbul, saya hanya tersenyum. Memang ada yang tidak masuk akal, cuma sebagai insan biasa saya sekadar berserah kerana segala yang berlaku lebih mematangkan saya. "Apa pun dalam soal kerja terutama lakonan, saya tidak main-main. Inilah periuk nasi saya dan bidang yang semakin saya cintai, tidak mungkin saya berkompromi dalam isu tugasan," kata pelakon yang terkenal dengan disiplin tinggi ini. Sambut hari lahir tanpa insan tersayang BERBANDING rutin sebelum ini, kali ini anak sulung lima bersaudara itu terpaksa meraikan hari lahirnya yang ke-27, yang jatuh pada 28 Mac di lokasi penggambaran drama Lima Tahun Lima Minit, di Paris. Walau sedih tidak dapat bersama insan tersayang terutama keluarga dan teman akrab, kehadiran rakan produksi selain barisan pelakon lain nyata meredakan laranya. "Sebenarnya sambutan hari lahir paling istimewa tentu saja apabila bersama keluarga. Walaupun majlis kecil, kita pasti tidak dapat melupakan memori dikelilingi orang tersayang. "Namun pengalaman di Paris juga sesuatu yang sangat bermakna. Sambil bekerja, kita melihat negara orang malah berpeluang menyambut hari lahir di lokasi yang terkenal dengan jolokan sebagai Kota Cinta," katanya lagi. Namun apabila topik beralih kepada cinta barunya selepas hubungan bersama Jejai terputus di tengah jalan, Fasha dengan baik meminta perkara itu tidak dipanjangkan lagi. Dedahnya, tumpuan kini lebih menjurus terhadap Chinta Hair Salon & Beauty yang semakin berkembang hingga kadang kala kakitangannya juga tidak menang tangan melayani pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung semula. "Syukur apabila perkhidmatan kami mendapat sambutan. Sudah pasti jika ada rezeki, saya ingin meluaskan empayar perniagaan ini dengan mempelbagaikan lagi perkhidmatan. Namun biarlah ia kukuh terlebih dulu, selain mempunyai lebih ramai petugas terlatih. "Tidak perlu mengenang perkara yang lalu. Kesibukan di lokasi dan Chinta membuatkan masa saya terisi. Malah di sekeliling saya juga ramai teman akrab serta keluarga yang mengisi setiap ruang kosong hingga saya tidak pernah rasa sunyi," ucapnya. Mengenai kunjungan ke kota cinta itu 24 Mac lalu ditemani pengurusnya, pelakon yang juga model komersil itu juga dijangka kembali semula ke tanah air untuk memenuhi undangan Berita Harian menghadiri majlis berprestij itu sebagai penyampai trofi selain finalis. FASHA SANDHA |
Posted: 29 Mar 2011 03:50 PM PDT Hip EZUWAN menerangkan sesuatu kepada Sharifah dan Eliani mengenai gaun yang bakal digayakan mereka nanti. SEMEMANGNYA, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah yang dirasai pemenang utama peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) siri pertama dan kedua, Sharifah Faridah Wan Sait, 26, dan Siti Nur Eliani Muhamad Ali Hanafiah, 24. Hasil usaha mereka melekatkan keratan gambar dalam peraduan yang yang disiarkan akhbar ini, seterusnya meneka gambar yang dipadankan itu dengan tepat berserta slogan menarik, membolehkan dua wanita ini bergaya bagaikan selebriti. Berpeluang menggayakan rekaan pereka fesyen tempatan di samping menyusun langkah penuh bergaya di atas permaidani biru bersama bintang popular pada acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, pada 3 April ini, sebenarnya impian yang menjadi kenyataan buat mereka."Pada mulanya, saya berasa sangat terkejut kerana tidak menyangka akan dipilih sebagai pemenang pertama. Saya sekurang-kurangnya berharap untuk memenangi hadiah tempat kedua iaitu barang kemas Rafflesia bernilai RM5,000, namun nampaknya tuah lebih menyebelahi saya. "Sudah tentu saya berasa cukup gembira kerana hadiah ini umpama hadiah sempena perkahwinan saya yang bakal tiba," kata Sharifah. Wanita ini juga mengaku, dia memang teringin memakai gaun labuh walaupun sebelum ini kurang berkeyakinan untuk menggayakannya.
"Sebenarnya saya belum membuat keputusan dengan siapa saya mahu berjalan bersama. Namun saya mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada Yuna, Faizal Tahir dan Zizan Raja Lawak," kata Sharifah yang selesa dengan panggilan Sha. Perasaan gembira dan terharu turut dikongsi pemenang GBB siri kedua, Eliani, wanita tinggi lampai yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata, Muhammad Faireez Rifqi, berusia enam bulan. "Saya tidak percaya dan agak terkejut apabila diumumkan pemenang utama peraduan ini. Sudah tentu ramai yang memasuki peraduan ini bagi merebut hadiah lumayan yang ditawarkan, sebab itu saya tidak menyangkakan kemenangan berpihak kepada saya. "Namun, saya berasa amat gembira kerana berpeluang untuk berjumpa dengan artis popular nanti. Saya sebenarnya menyimpan angan-angan untuk bertemu Datuk Siti Nurhaliza, kerana memang dari dulu saya meminatinya," kata Eliani. Selain berpeluang berjalan di permaidani biru, Sharifah dan Eliani juga memenangi hadiah percutian untuk dua orang ke Jakarta-Puncak-Bandung, Indonesia dan dua tiket VVIP ke malam kemuncak ABPBH 2010. Bagi Sharifah yang bakal menamatkan zaman bujangnya pada 1 Mei ini, percutian itu tentunya menjadi hadiah bulan madu bagi dirinya dan bakal suami. Petua kelihatan anggun di permaidani biru MENERUSI penganjuran ABPBH semuanya tidak mustahil, dan peluang keemasan seperti itu mampu dirasai sesiapa saja di luar sana. Bukan saja dapat berjalan seiringan dengan wajah terkenal, malah dua wanita ini umpamanya akan bergaya sakan dengan busana rekaan Ezuwan Ismail. Ezuwan merealisasikan impian mereka untuk tampil anggun pada malam kemuncak di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad ini. Selain pemenang GBB ini, pengacara pada malam gemilang itu, Sharifah Shahira, Raja Azura dan Zizan Raja Lawak turut menggayakan rekaan pereka muda ini. Selain itu, Linda Onn, Ashraf Muslim, Memey Suhaiza, dan adik Mia Sara juga tidak ketinggalan mengenakan rekaannya. Ketika ditemui di Balai Berita baru-baru ini, dia turut memberikan 10 petua bagi anda yang menitikberatkan penampilan diri dan mahu tampil bagaikan selebriti menyusuri di permaidani biru. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |