Utusan Online - Hiburan |
Tanggungjawab dan keprihatinan Sheila Posted: Tanggungjawab dan keprihatinan SheilaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
HATINYA bagaikan ditusuk sembilu setiap kali membaca akhbar dan menonton televisyen tentang kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi lewat kebelakangan ini. Detik hatinya, sampai bilakah gejala sosial yang semakin berleluasa di kalangan remaja hari ini akan berkesudahan kerana jika dibiarkan melarat, ia mampu menjejaskan masa depan negara memandangkan remaja merupakan pemimpin untuk generasi akan datang. Sebagai seorang insan yang cukup prihatin dengan masalah tersebut yang dianggap seperti virus merbahaya, Sheila Rusly sedar dia tidak mampu untuk bergerak seorang diri untuk mengatasinya. Katanya, memang mustahil untuk menghapuskan gejala sosial tersebut. Malah, kalau ditanya kepada sesiapa waima orang yang tertinggi dalam kerajaan sekali pun, masalah itu memang sukar untuk dihentikan. Tetapi, sebagai seorang pengkarya, Sheila mempunyai tanggungjawab sosialnya sendiri dalam memberi panduan kepada masyarakat untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih rasional. Atas faktor itu, Sheila menerusi syarikat produksinya, JS Pictures Sdn. Bhd., menerbitkan sebuah drama berjudul Ampunkan Daku yang mampu memberi iktibar serta kesedaran kepada masyarakat berhubung gejala sosial di negara ini. "Saya harus akui idea untuk menerbitkan drama Ampunkan Daku timbul selepas hampir setiap hari kisah gejala sosial ini dipaparkan di media massa. Memang cukup menyedihkan saya apabila perkara ini bagaikan tiada kesudahan. "Kesilapan masyarakat kita adalah mereka terlalu cepat menghukum dan bersikap prejudis terhadap remaja terutama gadis yang sudah terlanjur. "Seharusnya mereka ini perlu diberi didikan dan nasihat dengan cara terbaik agar mereka dapat muhasabah diri untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. "Jika mereka mengambil pendekatan yang lebih rasional, pasti isu pembuangan bayi tidak akan berleluasa seperti mana hari ini. "Saya percaya remaja ini cenderung melakukan perbuatan tersebut berpunca daripada tekanan orang sekeliling juga," kata Sheila ketika memberikan hujahnya berhubung isu yang cukup hangat diperdebatkan itu. Penerbit wanita prolifik ini ditemui di lokasi penggambaran Ampunkan Daku arahan suaminya, Azman Yahya atau Jinggo di Gombak, Selangor, baru-baru ini. Untuk menerbitkan drama berat seperti Ampunkan Daku ini, Sheila menjelaskan ia bukanlah satu proses yang mudah kerana semuanya perlu berteraskan fakta yang tepat dan tidak boleh dipandang ringan. Bagi melancarkan proses penerbitan drama ini, ibu kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu, penulis skrip Ampunkan Daku iaitu Rozie Rashid telah membuat penyelidikan di Kem Modal Insan Kewaja yang merupakan pusat pelindungan bagi remaja yang bermasalah di Gombak. Daripada situ, Rozie mendapat gambaran sebenar tentang kehidupan remaja di pusat berkenaan selain menemuramah para penghuninya untuk mendapat idea sebelum memulakan proses penulisan skrip. "Tetapi, saya tidak mahu masyarakat dan penonton menganggap drama ini sebagai sebuah ceramah. "Apabila memperkatakan tentang drama atau telefilem dengan genre seperti ini, kita harus bijak untuk mewarnakan agar ia menjadi lebih dramatik agar penonton tidak bosan untuk menontonnya. Ada cerita dalam drama ini yang menjadi titik permulaan segala-galanya tentang perkara yang berlaku. "Seperti mana drama-drama terbitan saya sebelum ini, saya percaya Ampunkan Daku dapat diterima dengan baik oleh audiens sementelah drama ini ditayangkan sempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada 15 Februari ini," ujar Sheila yang pernah memenangi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Sebuah Ijtihad. Barangkali ramai yang tidak tahu, Ampunkan Daku sebenarnya bukanlah tajuk asal untuk drama ini. Sebaliknya, Sheila telah menggunakan judul Diari Anak Haram yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan drama ini. Namun, selepas dinilai, pihak TV3 selaku stesen penyiar merasakan tajuk itu kedengaran sedikit 'keras' dan bimbang ada yang akan salah tafsir serta mencuit sensitiviti masyarakat di negara ini jika judul itu terus digunakan. Selepas berbincang dengan TV3, Sheila akur dengan kehendak stesen itu yang akhirnya memilih tajuk Ampunkan Daku. "Saya tidak kisah tentang soal tajuk tetapi apa yang saya mahukan intipati drama ini mampu memberikan pengajaran yang berguna kepada seluruh masyarakat di negara ini. "Hanya menerusi drama ini sahajalah, saya dapat membantu semua pihak untuk mengurangkan gejala sosial di negara ini. Mungkin tidak secara total, tetapi jika ada yang mengambilnya dari sudut yang positif, ia sudah cukup menggembirakan saya," ujar aktres yang mula menempa nama menerusi filem Hantu Siang arahan A.R. Badul pada tahun 1986 ini lagi. Selain Sheila turut membintangi drama ini termasuklah Zamarul Hisham, Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Fezrul Khan, Mak Engku dan Erin Malek. Bukan itu sahaja, drama Ampunkan Daku juga memperlihatkan keberanian Sheila mengambil beberapa orang pelakon baru iaitu Melia Aimiellia, Falisha Rossley, Farah, Zulyda Fatiha dan Zahera bagi membawakan watak-watak remaja yang menghuni pusat pelindungan itu. Ketika diajukan soalan itu, Sheila mempunyai justifikasi sendiri sambil memberitahu industri hiburan tempatan sebenarnya kekurangan pelakon yang berkualiti. | ||
Uji bakat lakon, baca berita di HTF 2011 Posted: Uji bakat lakon, baca berita di HTF 2011Oleh ABD. AZIZ ITAR HARI Terbuka Finas (HTF) yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sejak tahun 2009 bertujuan merapatkan hubungan agensi kerajaan itu dengan para peminat filem tempatan. Menerusi HTF 2011 yang akan diadakan hari ini dan esok (12 dan 13 Februari) di Finas, Hulu Klang, Selangor, pelbagai aktiviti diadakan seperti uji bakat mencari pelakon dan pembaca berita televisyen (TV) untuk para pengunjung yang berbakat. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab berkata, melalui peluang itu para peserta yang berbakat dan terpilih berpeluang menjadi pelakon serta pembaca berita di stesen-stesen TV pada masa depan. "Tahun lalu HTF hanya mengadakan uji bakat mencari pelakon baru di mana ia disertai 956 peserta. 98 daripadanya telah disenarai pendek dan kita akan serahkan kepada syarikat-syarikat produksi yang berminat dengan mereka. "Kami akan menjemput wakil-wakil syarikat produksi seperti Tayangan Unggul, MIG dan Line Clear Motion Pictures bagi melihat serta menilai bakat-bakat baru yang menghadiri sesi uji bakat tersebut. "Daripada situlah mereka boleh memulakan kerjaya sebagai pelakon. Sementara itu, tahun ini kami memperkenalkan pula uji bakat mencari pembaca berita TV dan ia akan dikendalikan oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia). "Mereka yang terpilih pada uji bakat itu juga akan diberi latihan dalam Bengkel Khas Lakonan secara percuma oleh Finas," katanya pada sidang akhbar HTF 2011 di ibu pejabat Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini. Sesi uji bakat mencari pelakon itu akan dinilai oleh para pelakon berpengalaman seperti Piere Andre, Julia Ziegler, Elly Suriaty dan Radhi Khalid di mana ia akan diadakan di Studio L. Krishnan, Finas pada 12 dan 13 Februari ini mulai pukul 10 pagi. Sementara uji bakat mencari pembaca berita TV pula akan diadakan di Studio Ho Ah Loke, Finas juga pada 12 dan 13 Februari ini mulai pukul 10 pagi hingga 6 petang di mana ia akan dinilai serta dikendalikan oleh pihak RTM. Mohd. Zulkifli berharap HTF 2011 akan menarik lebih ramai pengunjung berbanding 6,184 pengunjung pada tahun lalu termasuklah aktiviti-aktiviti lain seperti sesi bergambar dengan artis dan tayangan filem-filem percuma. "Ini adalah peluang para peminat datang ke tapak HTF 2011 yang diadakan percuma kepada orang ramai dua hari berturut-turut. Jehan Miskin, Scha Al-Yahya, Intan Ladyana, Zizan Raja Lawak antara artis yang terbabit dalam sesi tersebut. "Turut ditempatkan di HTF 2011 ialah 39 tapak gerai yang menjual dan mempamerkan produk-produk mewakili persatuan artis, syarikat-syarikat koporat, telekomunikasi, makanan dan pakaian," ujarnya. Apa pun tayangan filem tempatan percuma berjudul Hantu Kak Limah Balik Rumah, Estet, Crayon, Ngangkung dan Janin akan diadakan pada 12 dan 13 September mulai pukul 2.30 petang hingga 10 malam bakal mencuri tumpuan ramai. Selain itu dokumentari-dokumentari terbitan Finas berjudul P. Ramlee, Supermokh, Tun Razak, Sudirman dan Fight Master juga akan ditayangkan untuk tontonan orang ramai. HTF 2011 akan mencipta satu lagi sejarah apabila dua studio iaitu Studio L. Krishnan dan Studio Ho Ah Loke bakal dirasmikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 12 Februari ini pukul 10.30 pagi. Tambah Mohd Zulkifli, semua aktiviti itu juga diadakan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peranan Finas dalam usahanya untuk memajukan industri perfileman tanah air sejak ditubuhkan sejak tiga dekad lalu. "Secara tidak langsung ia mampu membentuk komuniti filem Malaysia untuk jangka masa panjang. Sebab itu, kami memilih tema Filem Citra 1Malaysia yang membawa maksud filem sebagai jendela kehidupan masyarakat," katanya. Turut diadakan pada HTF 2011 itu ialah pameran dan demonstrasi berkaitan peralatan-peralatan perfileman, lawatan ke studio-studio milik Finas serta taklimat tentang Dana Industri Kreatif anjuran perbadanan tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |