Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tak mabuk, tak lariKONTROVERSI hitam penyebaran gambar panas bersama seorang gadis pantas membuatkan khalayak mula memandang serong terhadap dirinya. Selepas kontroversi itu, Nabil akui bukan mudah untuknya membersihkan imej buruk yang terpalit ke atas dirinya. Sepi seketika daripada kisah sensasi, namanya tiba-tiba kembali diperkatakan. Dia dikatakan salah seorang pengunjung sebuah pusat hiburan yang berjaya meloloskan diri sebaik sahaja pihak polis membuat serbuan minggu lalu. Menyedari dirinya adalah individu yang dimaksudkan itu, pelakon komedi berkenaan lantas menjawab segala persoalan yang timbul kerana tidak mahu peminat terus memberikan persepsi buruk terhadapnya. "Memang saya hairan kenapa nama saya telah dikaitkan dengan kontroversi berkenaan. Saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki di pusat hiburan yang dimaksudkan itu. "Apa yang saya tahu kejadian tersebut berlaku pada 29 Januari yang lalu. Sedangkan pada tarikh itu saya berada di rumah dan tengah memasang perabot yang baru dibeli di Ikea," tegasnya ketika diminta memberi penjelasan berhubung perkara itu. Ketika diberitahu terdapat rakaman melalui kamera litar tertutup di pusat hiburan itu, dia menjelaskan tidak ada apa yang perlu dirisaukan olehnya kerana dia bukanlah juara Raja Lawak tersebut. Bagaimanapun, dia turut meluahkan rasa kesalnya dengan tuduhan yang dilemparkan ketika dia sedang berusaha untuk memulihkan kembali namanya yang sudah tercalar sebelum ini. Menurutnya, selepas berlaku kontroversi yang mengaibkannya, dia sedaya upaya untuk mengelak agar tidak lagi dikaitkan dengan sebarang cerita-cerita panas membabitkan dirinya. "Bayangkan semasa kecoh mengenai cerita saya berciuman dengan seorang gadis, hampir sebulan saya tidak keluar ke mana-mana kecuali ke set penggambaran. "Keadaan itu membuatkan saya agak sedikit tertekan tetapi masih lagi boleh dikawal. Kalau nak diikutkan kata hati, dah lama saya ambil keputusan untuk berhenti sahaja daripada menjadi artis," luahnya. Pada masa yang sama, dia juga tidak menafikan bahawa segala kontroversi yang timbul telah menyebabkan perjalanan hidup dan kariernya sedikit terjejas. Namun dia menganggap segala yang berlaku itu adalah asam garam dalam kehidupan sebagai seorang artis. Ujarnya, dia sangat bersyukur kerana peminat masih lagi memberi sokongan terhadap dirinya walaupun kerap dilanda dengan pelbagai kontroversi. Berserah pada takdir Semenjak hubungan percintaannya dengan Irma Hasmie putus akhir tahun lalu, Nabil berterus terang bahawa sehingga kini dia masih lagi belum mempunyai kekasih. Mengakui sangat kecewa apabila percintaannya putus di tengah jalan, buat masa ini dia lebih selesa untuk hidup solo dan mahu menjadikan karier lakonan sebagai keutamaan dalam hidupnya sekarang.
"Bukan tidak mahu mencari pengganti, tetapi kekecewaan terhadap kegagalan cinta lalu masih belum lagi hilang. Jadi saya tidak mahu memeningkan kepala untuk memikirkan soal cinta. "Lagipun sekarang saya lebih selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Tentang jodoh pula, saya hanya berserah pada takdir dan sedia menerima siapa sahaja untuk menjadi teman hidup saya nanti," ujarnya. Tambahnya lagi, sejak bergelar solo dia gemar memberi tumpuan kepada kerjayanya. Sekiranya ada masa lapang, dia lebih banyak meluangkan masa lepak bersama rakan-rakannya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan gadis bernama Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, dia sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada sebarang hubungan istimewa antara mereka berdua. Selepas tercetusnya kontroversi yang membabitkan dirinya dan Uqasha tidak lama dahulu, Nabil memberitahu, gadis berkenaan juga kini sudah tidak lagi menghubunginya. "Hubungan kami memang tidak lebih daripada sekadar kawan biasa. Malah, kami sudah tidak lagi berhubung kerana mungkin dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi dengan saya," jelas Nabil. Watak serius Dikenali sebagai seorang pelakon komedi popular, pelawak yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui ada menyimpan hasrat untuk cuba memainkan watak yang lain berbeza. Ujarnya, sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, Nabil memberitahu dia belum pernah lagi mendapat tawaran lakonan yang mahukannya membawakan watak serius. "Sebenarnya saya tidak mahu terikat dengan watak komedi sahaja dan begitu teringin untuk membawa watak yang lebih mencabar sebagai satu cabaran dalam karier lakonan saya. "Bagaimanapun, kebanyakan pengarah masih belum berani untuk menawarkan watak yang lebih mencabar. Bukannya saya sudah bosan tetapi tidak semestinya saya berlakon dalam rancangan komedi selama-lamanya," luah Nabil. Ujarnya lagi, dia berharap agar sedia diberi peluang untuk mengembangkan karier lakonannya dan tidak mahu terlalu selektif untuk memegang apa sahaja watak yang ditawarkan. | ||
Posted: Feminisme Mary J. Blige
MUNCUL dalam dunia muzik Hollywood pada tahun 1992, Mary J. Blige awal-awal lagi telah meraih perhatian khalayak dengan keunikan muziknya yang tersendiri. Ya, dia membawa muzik yang selalu menjadi makanan penyanyi kulit hitam sepertinya, hip hop, namun yang membuat Mary lari daripada penyanyi sedia ada adalah hip hop yang dibalut dengan irama soul yang mengasyikkan. Membuat penyanyi kelahiran Amerika Syarikat ini lebih menangkap perhatian terutama golongan wanita adalah lirik-lirik lagu yang dihasilkan wanita ini - ringkas, tetapi penuh semangat juang dan menjadi pengubat patah hati. Lebih menarik apabila Mary turut banyak menyelitkan lagu yang penuh semangat feminisme sebagai lambang wanita harus kuat dan jangan mudah tewas dengan lelaki. "Saya menghasilkan muzik daripada pengalaman hidup dan apa yang terjadi di sekitar saya," begitu jawab Mary dalam sesi sidang akhbar sewaktu ditanya tentang muziknya yang mampu memikat jutaan hati peminatnya. Apa yang dikatakan Mary dibuktikan dalam kebanyakan judul albumnya seperti Love & Life, Growing Pains dan Stronger With Each Tears yang merupakan album terbarunya. Dia menggunakan muzik sebagai saluran menyampaikan segala kepedihan, perjuangan, cinta dan kegembiraan yang akhirnya menjadi satu semangat buat semua pencintanya. Telah memenangi sembilan anugerah Grammy dan empat kali anugerah American Music Awards, tiada yang lebih mengujakan pencinta wanita ini apabila dia singgah ke Malaysia sebagai salah satu destinasi siri jelajah konsert Saved My Life yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur. PERSEMBAHAN penuh energatik Mary J. Blige mendapat sorakan peminatnya. Muncul di atas pentas sekitar pukul 9.15 minit malam dalam persalinan serba hitam, Mary tidak menunggu lama untuk mengajak peminatnya terpegun dengan persembahan yang dipamerkan. Dia tidak membuang masa lebih sejam waktu konsert dengan menghidangkan satu per satu lagu hitnya seperti I Can Love You, Love No Limit, Love Is All We Need dan Overture dengan cukup bertenaga. Hanya seorang diri mengalunkan lagu-lagu romantiknya, tanpa sebarang gimik, Mary tetap memukau. Sesekali pada lagu-lagu berentak rancak, dia menari bersama dua penari dan gerak tari yang dibikin Mary telah membuat penonton teruja untuk turut menari bersamanya. "Saya begitu teruja kerana dapat menghiburkan anda semua di Malaysia. Ayuh bangun menari bersama saya," katanya yang mengajak peminat yang duduk di dalam dewan berdiri dan menari mengikut alunan lagu yang dipersembahkan. Tidak menghampakan peminat, tentunya tiga hit yang telah membikin fenomena Mary di seluruh dunia iaitu Family Affair, No More Drama dan Be Without You turut termuat dalam untaian lebih 25 lagu yang dipersembahkan. Jujurnya, tiada yang luar biasa pada persembahan Mary malam itu. Namun ia mengesankan apabila Mary tidak berlebihan untuk membuktikan bahawa dialah diva Mary J.Blige yang membuat sebuah persembahan spektekular. Sebaliknya dengan sebuah set pentas yang sederhana tetapi menjadi dramatik dengan bantuan pencahayaan serta pemuzik dan muzik yang telah diprogram lebih awal, Mary memikat hati peminat dengan vokal mantap dan gerak lincahnya di atas pentas. Itu sudah cukup membuat peminatnya terus jatuh cinta dengan penyanyi yang serba sederhana ini. - MALIAH SURIP | ||
Posted: Katrina Kaif mahu anakKATRINA KAIF BERIMEJ seksi menghiasi muka depan majalah GQ India edisi Februari, pemilik nama Katrina Kaif pastinya bertambah popular dan menjadi bualan para peminat. Kandungan majalah tersebut memaparkan sesi wawancara bersama aktres jelita itu mengenai perkembangan terbarunya di dalam industri hiburan Bollywood. Dia yang kini sibuk dengan penggambaran filem Mere Brother Ki Dulhan arahan Yash Raj memberitahu, bergelar seorang pelakon merupakan kerjaya yang cukup menarik tetapi penuh dengan kesukaran. "Saya diperhatikan dan dihakimi oleh orang ramai. Kehidupan saya juga akan tersiar di dada akhbar. Misalnya menonjolkan naluri seksual wanita secara terbuka bukanlah sikap diri saya yang sebenar. "Saya tidak selesa untuk menonjolkan diri dengan kelakuan sebegitu secara berlebihan dan ia terlalu teruk untuk pandangan segelintir audiens. Bagaimanapun, paling penting apa yang dilakukan itu datang daripada jiwa semula jadi," terangnya. Mengimbau kembali perjalanan kehidupannya, Katrina dilahirkan di Hong Kong. Dia juga telah dibesarkan di dua buah negara iaitu Perancis dan Jepun sewaktu kecil. Sewaktu meniti usia 11 tahun, Katrina yang juga berkecimpung dengan dunia peragaan telah berpindah ke Hawaii sebelum menghabiskan dunia remajanya di London ketika berumur 13 tahun. "Perasaan saya begitu kosong, malu dan sunyi. Ia seolah-olah seperti makhluk asing. Situasi yang saya lalui bagaikan tidak terurus. Saya begitu teringin untuk menyelesaikannya," ceritanya yang memulakan karier lakonan menerusi filem Boom arahan Kaizad Gustad ketika berusia 18 tahun. Lupa seketika mengenai kehidupan silamnya itu, dia memilih untuk menggunakan nama Katrina Kaif hasil gabungan daripada nama ayahnya iaitu Mohammed Kaif. Sementara itu, apabila bercerita mengenai alam rumah tangga, Katrina mempunyai pendirian tersendiri. "Adakah saya akan berkahwin dalam tempoh dua tahun akan datang? Saya sendiri tidak pasti. Tetapi dalam usia sekitar 33 tahun, saya perlu mempunyai cahaya mata. Namun, kita hanya mampu merancang. "Saya tidak mahu berkahwin tetapi tidak mungkin anak saya akan membesar tanpa belaian seorang ayah," tegas Katrina yang berusia 27 tahun. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |