Harian Metro: Rap |
Posted: 15 Feb 2011 06:37 AM PST JIKA selebriti terkenal lain bimbang bentuk badan mereka berubah selepas melahirkan anak, pelakon dan pengacara jelita, Dynas Mokhtar pula bertuah kerana tubuhnya kini kembali langsing seperti dulu. Semuanya kerana dia menyusukan anaknya, Khyra Khalyssa, 10 bulan, dengan susu badan sepenuhnya. "Saya memang merancang untuk memberi susu badan sepenuhnya kepada Khyra kerana susu ibu adalah makanan terbaik buatnya. Setakat ini, saya sudah berjaya menyusukan Khyra selama 10 bulan. Kalau kaum ibu mampu menyusukan anak mereka sehingga usia setahun pun sudah bagus untuk perkembangan kanak-kanak. "Saya bukannya pakar dalam hal ini, tetapi apa yang saya tahu bayi yang menyusu badan antibodinya juga kuat dan tidak mudah dijangkiti penyakit kronik termasuk berat badan berlebihan. Jika bayi itu demam pun kerana tumbuh gigi saja yang juga perkara biasa dialami bayi dalam tempoh pembesaran awal mereka," katanya. Pemilik nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 28, ternyata cukup prihatin dengan penyusuan susu ibu di kalangan ibu muda di negara ini.
"Baju menyusu ini juga boleh dipakai ke pejabat dan wanita tidak akan berasa malu untuk menyusukan anak mereka ketika bekerja. Mungkin ada kaum wanita malu untuk menyimpan susu badan mereka dalam peti sejuk di pejabat sebab itu kami jual beg khas untuk kemudahan menyimpan susu badan di pejabat. "Terus terang, saya tidak faham jika ada segelintir wanita yang memberi alasan berdepan dengan masalah untuk menyusu badan kerana sudah ada pelbagai peralatan untuk kemudahan ibu menyusu bayi mereka," katanya. Kata Dynas yang juga duta produk pelangsingan badan Kunzense, dia juga merancang untuk menyusukan Khyra sehingga berusia dua tahun. "Saya juga tidak terfikir untuk menyusukan Khyra dengan susu formula kerana khasiat susu ibu yang tidak ternilai. Tiada alasan buat kaum ibu tidak menyusukan anak mereka dengan susu badan jika tiada masalah kesihatan atau dia memang kurang susu," katanya. Tambah Dynas lagi, dia juga mendapat sokongan padu suaminya, Mohd Hafizy Hafiz untuk menyusukan Khyra dengan susu badan sepenuhnya. "Suami menyokong apa yang terbaik untuk proses pembesaran Khyra. Saya juga dapat menurunkan berat badan dengan cepat, sejak menyusukan Khyra dengan susu badan sepenuhnya," katanya. Mengenai perkembangan bisnes butiknya, kata Dynas, fokusnya kini hanya pada butik DNA semata-mata. "Sebenarnya, saya sudah membubarkan butik dengan Awal Ashaari iaitu D&A: Celebrity di Hartamas dan D&A Fashion Cafe yang diusahakan bersama rakan kongsi Adrina Osman sebelum ini. Begitu juga rakan kongsi dengan pusat beli-belah, Empire Shopping Gallery yang sudah dibubarkan," katanya. Dynas timba pengalaman bekerja dengan Wan Hasliza SELEPAS bergelar ibu, rezeki Dynas semakin murah dalam bidang lakonan. Telefilem terbaru lakonannya, Dan Sebenarnya (Dalam Mimpi Ada Realiti) terbitan KL Motion Picture Company. Kata Dynas, dia membawa watak pembantu bernama Hana yang juga kawan baik kepada watak utamanya, Maira (lakonan Sazzy Falak) dalam telefilem arahan Wan Hasliza itu. "Saya terima tawaran berlakon dalam cerita ini kerana ingin bekerja dengan Wan Hasliza yang juga pengarah dan penulis skrip cerita itu sekali gus. Saya juga tidak pernah bekerja dengan Sazzy dan Nazril dalam drama sebelum ini dan ia pengalaman yang cukup mengagumkan dan lakonan mereka juga semula jadi. "Cerita ini mengisahkan percintaan dalam mimpi Maira dan Doktor Harris (lakonan Nazril Idrus). Hana adalah anak orang kaya dan gadis yang ceria. Dia adalah tunang doktor Harris dan mereka putus apabila doktor itu bercinta dengan Maira yang ditemui dalam mimpinya itu," katanya. Pengalaman bekerja dengan Wan Hasliza pula, kata Dynas, dia pengarah yang cukup teliti dan mendalam serta tahu apa yang di mahukannya dalam cerita itu. "Cerita itu akan menjadi 80 atau 90 peratus seperti yang dikehendakinya. Penggambaran cerita ini sudah selesai tahun lalu dan saya berharap peminat akan menonton cerita itu kerana ia adalah filem yang bagus dan jalan ceritanya juga menarik. Telefilem ini akan disiarkan pada 13 Mac ini, jam 10 malam di Saluran Astro Citra (saluran 131)," katanya. Selain itu, Dynas juga baru selesai penggambaran drama Pengorbanan Terakhir juga arahan Wan Hasliza bergandingan dengan Hairie Othman untuk TV9. "Ini antara skrip yang paling bagus pernah ditawarkan pada saya. Saya bawa watak utama Erin yang mengalami tekanan kerana sering keguguran dan apabila mengandung dia disahkan menghidap kanser ketika usia kandungannya mencecah lima bulan. Dia juga enggan menjalani kimoterapi kerana ingin melahirkan anaknya itu," katanya. Selain itu, Dynas juga berlakon dalam drama Cinta Antara Kita untuk Slot Akasia di TV3. Dia hanya mahu bawa watak pembantu dalam cerita diterajui Puteri Sarah dan Siti Elizad. Tidak ketinggalan, dia juga berlakon dalam Awan Dania musim baru dan menjadi hos Si Kecilku... Chakk!! yang disiarkan di TV3 sejak 5 Oktober lalu. Dalam perkembangan lain, peminat Dynas juga boleh berhubung dengannya menerusi blog khusus DynasFanClub yang akan mengemaskini perkembangan karier seninya dan kelab itu turut merapatkan hubungannya dengan seluruh ahli termasuk dari Sabah dan Sarawak. Pada masa sama, dia merancang buat lebih banyak program amal bersama ahli kelabnya pada tahun ini. PROFIL NAMA PENUH: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar ASAL: Petaling Jaya, Selangor TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983 PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon STATUS: Berkahwin NAMA SUAMI: Mohd Hafizy Hafiz NAMA ANAK: Khyra Khalyssa, 10 bulan DRAMA: Di Bawah Ketiak Isteri FILEM: Apa Kata Hati, Dunia Baru The Movie, Impak Maksima, Kayangan, Haru Biru, Main-Main Cinta, I Know What U Did Last Raya dan Cinta Kolesterol. PROGRAM: Beat TV (2002-2004) PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21; Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008. |
Posted: 15 Feb 2011 06:20 AM PST USAHA berterusan oleh Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim menerusi penganjuran Malam Bersama Bintang dan pelbagai program lain membuahkan hasil positif apabila berjaya mendekatkan agensi kerajaan itu dengan masyarakat. Begitu juga dengan penganjuran Hari Terbuka Finas yang diperkenalkan sejak 2009 turut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Acara ini antara komponen aktiviti program induk Program Merakyatkan Filem (PMF) yang diilhamkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 2006.
Tahun ini, edisi ketiga Hari Terbuka Finas berlangsung selama dua hari pada 12 dan 13 Februari lalu yang dirasmikan Datuk Seri Dr. Rais pada Sabtu. Majlis ini dihadiri Pengerusi Finas, Datuk Seri Salleh Tun Mohd Said Keruak, Senator Tan Sri Dr Jins Shamsuddin, Datuk L Krishnan, Datuk HM Shah, penggiat filem serta orang ramai. Meskipun memuji apa yang dilakukan Finas, Datuk Seri Dr Rais sempat mengingatkan Finas mengenai peranannya sebagai agensi yang bertanggungjawab membantu penerbit menghasilkan filem yang terbaik sehingga mengangkat nama negara ke mata dunia.
"Jika melihat pada data, jumlah filem yang dihasilkan pada 2007 sebanyak 21 dengan jumlah kutipan sebanyak RM30 juta. Tahun 2008 pula dengan 25 filem mendapat RM43 juta. Tahun 2009 pula dengan 26 filem mendapat RM51 juta dan tahun 2010 dengan 29 filem mendapat kutipan RM76 juta. "Tahniah kepada Finas dan lebih-lebih lagi kepada pengeluar dan produser filem kita. Untuk tahun 2011, saya mungkin wujudkan KPI (Penilaian Indeks Prestasi) kepada Pengerusi Finas dan Ahli Lembaga Finas supaya dapatkan tak kurang RM100 Juta. Saya juga berazam pada diri sendiri untuk lebih merapatkan diri dengan Ahli Lembaga Finas," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh semua yang hadir. Bagi mencapai hasrat ini, perkara pertama yang ingin dilihat beliau ialah mahu mewujudkan organisasi semua persatuan hiburan dengan lebih tersusun berbanding sekarang yang ada 11 persatuan. "Saya akan cari jalan supaya persatuan diminimumkan. Cubalah cari jalan ke arah itu supaya kita dapat wujudkan senario sebagai pembikin filem yang berjaya. Saya yakin bila dapat kurangkan jumlah, jurang antara kita dapat dikecilkan. Perkara ini sudah lama saya kemukakan. Saya juga mencari erti dan fungsi filem Malaysia. "Menerusi cara ini saya akan menggalakkan penerbit kaum India buat filem mengenai orang Melayu atau orang Cina dan penerbit kaum Cina buat filem mengenai orang Melayu. Orang Melayu juga perlu buat filem mengenai dua kaum lain ini. Kita perlu mencontohi Datuk L Krishnan yang menghasilkan filem Melayu dulu," jelasnya. Datuk Seri Rais turut menyampaikan berita baik mengenai duti hiburan yang menjadi isu baru-baru ini. Ia tercetus apabila Finas meminta kerajaan mengkaji semula cara pemberiannya kerana ia menggunakan duit koceknya sendiri. Perkataan duti hiburan kini diganti dengan skim insentif yang mana semua penerbit akan memperolehnya. "Duti hiburan terletak di bawah kerajaan negeri dan ada sesetengah kerajaan negeri tak mahu melakukan tanggungjawab itu. Kami tiada kuasa nak minta dari mereka. Tapi kami tetap ingin teruskan misi menolong penerbit filem kita menerusi skim insentif. Filem yang kurang berjaya juga dapat sedikit bantuan. Ia akan diberikan secara adil berdasarkan jualan tiket sesebuah filem.
Selain melawat ruang pameran dan gerai yang terdapat di situ, Datuk Seri Rais turut merasmikan studio yang akan berfungsi sebagai bengkel latihan Finas yang dinamakan Studio Ho Ah Loke dan Studio L Krishnan, yang mengambil nama dua tokoh legenda perfileman tanah air. Sementara itu, Mohd Mahyidin berkata mereka masih mengekalkan tema Filem Citra 1Malaysia untuk Hari Terbuka Finas tahun ini selari dengan hasrat Datuk Seri Rais agar penggiat filem Malaysia menerbitkan lebih banyak filem yang membawa wajah atau identiti 1 Malaysia. "Mengambil beberapa contoh filem ini ialah Papadom, Talentime, Gubra dan Estet. Maka keunikan, kepelbagaian budaya, toleransi, keharmonian bangsa dan elemen gagasan 1Malaysia seharusnya dijadikan identiti filem Malaysia. Objektif Hari Terbuka Finas diadakan ialah untuk memberi kefahaman dan penjelasan kepada orang ramai mengenai peranan dan fungsi Finas. Ia juga bertujuan mengukuhkan hubungan Finas dengan karyawan, persatuan perfileman mahupun pelanggan-pelanggan Finas," katanya. Pelbagai agenda dan aktiviti menarik diatur pada Hari Terbuka Finas itu antaranya sesi bergambar bersama artis, sesi uji bakat lakonan, pameran dan demonstrasi peralatan perfileman, tayangan filem cereka, dokumentari dan filem pendek, taklimat Dana Industri Kreatif, uji bakat pembaca berita, gerai jualan, sesi interaktif dan pertandingan karaoke lagu-lagu filem. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |