Adsense

Rabu, 16 Februari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tak pernah sunyi

Posted: 15 Feb 2011 03:00 PM PST

Hip

Maya Karin mahu nikmati kehidupan secara solo sepuas-puasnya

MELIHAT kepada gambar yang memaparkan aksi Maya Karin dan Remy Ishak, memang tidak salah kalau hendak mengatakan seperti ada hubungan yang intim antara mereka.

Kemesraan antara mereka yang jelas terpancar, seolah-olah itu bukan lakonan. Kedua-duanya dilihat menjadi pasangan cukup serasi dan romantik selepas pertama kali digandingkan dalam teater muzikal Natrah. Jadi, tidak hairanlah, peminat sentiasa menanti perkembangan selanjutnya mengenai hubungan mereka. Pernah ditanya mengenai keintiman itu, tetapi Maya dan Remy masing-masing menegaskan hubungan yang dilihat rapat itu sebenarnya tidak lebih daripada seorang sahabat.

Sehingga hari ini, Maya sendiri memberi gambaran kepada media bahawa dirinya tidaklah terdesak sangat hendak mencari pasangan hidup.

Baginya, tiada perkataan sunyi dalam kamus kehidupannya ketika ini. Biarpun statusnya sudah berubah dari seorang isteri kepada seorang janda, namun bagi Maya Karin, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Mungkin bagi sesetengah pihak, perkahwinan yang berakhir dengan perceraian adalah menyakitkan. Namun perkara itu tidak berlaku pada pelakon yang terkenal dengan watak pontianak ini.
Baginya, tak perlu dikesalkan atas apa yang berlaku. Mungkin apa yang terjadi, ada hikmahnya dan setiap apa yang mendatang, harus dijalaninya dengan penuh tenang tanpa sebarang rungutan. Sebab itulah, senyuman manis sentiasa terukir di bibir bentuk limau seulas pelakon manis ini.

Wajah segar Maya itu kelihatan ketika dia menghadiri majlis ramah mesra filem Cun lakonannya bersama Remy Ishak yang diadakan di Restoran Enak, Starhill Gallery di Jalan Bukit Bintang, baru-baru ini.

Dengan rambut melepasi paras bahu yang disisir rapi, ditambah mengenakan skirt kembang paras lutut dan menyarung baju tanpa lengan rona hijau serta kasut tumit tinggi warna merah jambu di kaki menyebabkan penampilan Maya cukup hebat petang itu.

Mustahil wanita secantik ini tidak ada yang cuba mendekati? Apatah lagi selepas kembali hidup bersendirian tentunya ramai lelaki akan berusaha untuk memenangi hati Maya sekali gus menjadikan mereka antara calon suaminya.

"Memang ada lelaki yang cuba mendekati, tapi saya tolak baik-baik dengan mengatakan saya mahu menumpukan kerjaya saya. Buat masa ini, saya ingin menikmati sepenuhnya kehidupan saya. Sudah lama tak hidup bersendirian, jadi bila ada peluang, biarlah saya lalui saat-saat ini tanpa gangguan," jelasnya.

Kata pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke ini, biarpun ada yang mengaitkan perkataan sunyi dengan kehidupannya masa kini, namun dia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

"Saya tak pernah sunyi. Kalau tidak berlakon, saya terbabit dengan komersial ataupun tugasan sebagai jurucakap produk kecantikan dan penjagaan kesihatan. Selepas tamat penggambaran filem Cun, saya mahu tumpukan perhatian terhadap pembikinan album.

"Minggu depan saya ada sesi fotografi untuk sampul album. Jadi jadual saya sentiasa padat sehingga tidak ada masa memikirkan soal kesunyian," katanya sambil tertawa kecil.

Mengenai kesahihan sejauh mana hubungannya dengan Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU yang digosipkan sedang bermain cinta dengannya, Maya berkata antara mereka hanyalah kawan biasa.

Selesa bersama Remy

Walaupun berusaha meyakinkan media bahawa dirinya bahagia menjalani kehidupan solo, namun secara tiba-tiba Maya menukar pengakuannya itu. Katanya, dia seronok kerana kehidupannya itu bakal diakhiri dengan kisah gembira.
Kenapa perlu berdolak dalik? Apakah dia bimbang jika menggembar-gemburkan kisah cintanya itu, ia juga bakal berakhir kesedihan?

"Sebelum ini kisah cinta saya banyak yang berakhir dengan tragedi, seperti cinta tidak kesampaian, kehilangan dan sebagainya. Namun, untuk kali ini saya puas hati kerana akhirnya saya dapat juga lelaki yang saya idamkan.

Bagaimanapun perkara itu hanya berlaku dalam filem Cun apabila cerita itu mempunyai penamat yang gembira berbanding filem lakonan saya sebelum ini," kata Maya berseloroh.

Mengulas wataknya sebagai Luna Latisha, Maya berkata watak itu benar-benar memberikan cabaran baru buatnya. Selain perlu berlakon di sawah padi, dia juga perlu menunggang kerbau yang disifatkannya sebagai pengalaman yang menyeronokkan.

"Saya perlu menunggang kerbau yang amat besar. Bimbang juga melihat tanduknya. Namun seronok dan dapat menjayakan babak itu sebaik mungkin. Selain itu, saya juga seronok kerana berpeluang bercuti sambil bekerja. Hampir tiga minggu di Alor Setar, saya rasa segar sebab dapat lari dari kesibukan kota," kata Maya sambil mengakui cukup selesa digandingkan dengan Remy dalam filem arahan Osman Ali itu

Ia bakal ditayangkan kepada khalayak penghujung Mac depan.

Kongsi cerita dalam album solo

PENANTIAN selama tujuh tahun berakhir apabila album yang dinanti Maya akan siap juga akhirnya. Namun, ketika orang lain begitu teruja menantikan buah tangan terbarunya itu, Maya pula yang berdebar-debar.

"Memang itulah yang sering saya fikirkan sementara menunggu album saya siap nanti. Tak tergambar perasaan saya bila membuat persembahan di atas pentas. Maklum sajalah, berlakon dan menyanyi memang berbeza," kata wanita berusia 31 tahun ini.

Berbanding album sebelum ini yang ada liriknya ditulis oleh Maya, tapi kali ini Maya menyerahkan tugas itu kepada penulis lirik profesional.

"Bagaimanapun ada tiga lirik yang menceritakan kisah hidup saya. Saya hanya bercerita kepada penulis lirik terbabit dan mereka yang menulisnya. Semuanya kisah benar yang berlaku dalam hidup saya dari dulu hingga sekarang," katanya.
Antara komposer yang terbabit dalam pembikinan album ketiga Maya itu ialah Azlan Abu Hassan dan Audi Mok.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mengepak di istana

Posted: 15 Feb 2011 02:52 PM PST

Hip

KONSERT Opera Hidup janjikan persembahan terbaik buat peminat setia Wings.

KONSERT Opera Hidup janjikan persembahan terbaik buat peminat setia Wings.

Wings gegarkan Istana Budaya menerusi Konsert Opera Hidup selama empat hari berturut-turut

PERSEMBAHAN penuh kejutan dan paling memuncak pernah diadakan buat peminat, itu janji kumpulan rock, Wings, apabila mereka muncul menjayakan Konsert Opera Hidup di Istana Budaya (IB), pada 29 April hingga 1 Mei depan.

Lebih membanggakan, Wings menjadi kumpulan rock pertama menggunakan pentas Panggung Sari di IB bagi menimbulkan kelainan kepada dunia rock tempatan dengan diiringi 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan serta 16 penyanyi koir. Konsert ini berlangsung selama empat hari dengan setiap persembahan selama dua jam. Dalam tempoh dua jam itu pula akan dibahagikan kepada empat segmen yang penuh kejutan buat penonton apabila Wings menyanyikan 20 lagu terbaik mereka.

Sudah tentu bagi peminat lagu rock, khususnya kumpulan Wings, ada yang sudah tidak sabar untuk sama-sama menyanyikan lagu Sejati, Taman Rashidah Utama, Peronda Jaket Biru, Misteri Mimpi Syakila, Teori Domino, Rock N Roll Lu Punya Suka, Midnight Blues, Keris Taming Sari, Jerangkung Dalam Alamari atau mungkin juga lagu Alam Barzakh.

Malah, penonton turut dihiburkan dengan lagu-lagu daripada kumpulan Sweet Charity dan M Nasir yang juga idola anggota kumpulan ini bagi mengimbau kembali nostalgia kemunculan mereka di persada muzik, terutama dalam aliran rock.

Yang pasti, selepas selepas 25 tahun terbabit dalam industri hiburan, Wings memilih waktu yang tepat untuk mengadakan konsert reunion yang julung di IB bagi mengimbau nostalgia kemunculan kumpulan rock ternama itu.
Malah, setiap detik kebangkitan kumpulan itu diterjemahkan ke dalam empat segmen yang akan disajikan kepada penonton, bahkan bakal menjadi sejarah sebagai kumpulan rock pertama menggabungkan muzik rock dan alunan muzik orkestra.

Konsert yang dirancang sejak lima bulan itu adalah harapan dan impian Wings untuk memberikan persembahan yang terbaik pernah ditonton peminatnya, bahkan bakal meninggalkan memori buat peminat mereka.

Bukan saja Wings, malah konsert terbabit adalah impian pemain gitar kumpulan itu, Joe untuk menggabungkan kesemua anggota dan bekas anggota Wings dalam satu konsert mega buat peminat di samping menandakan semangat Wings yang tidak pernah pudar.

"Konsert di IB ini nanti bukanlah yang terakhir daripada Wings. Konsert ini adalah sempena 25 tahun Wings buat peminat, jadi kita akan buat persembahan yang terbaik sehingga peminat berasa puas.

"Memang menjadi impian saya sejak dulu lagi untuk mengadakan konsert yang tidak pernah dibuat oleh kumpulan lain di luar sana dan diharap penonton mendapat kepuasan paling hebat apabila menonton konsert ini nanti," katanya.

Janji Joe kepada peminat Wings, akan ada perubahan yang ketara sepanjang konsert itu berlangsung berbanding konsert-konsert yang pernah dipersembahkan Wings sejak kemunculan kumpulan rock itu pada tahun 1987.

Malah, pemilihan IB dibuat kerana lokasi yang strategik disamping mempunyai kemudahan yang canggih serta dapat menggabungkan elemen rock dan orkestra yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Meskipun agak janggal, namun Joe berharap impiannya itu terlaksana, malah bakal melakar sejarah baru buat Wings yang mempunyai lebih 25,000 peminat di laman sosial Facebook.

"Konsert rock dengan orkestra ini adalah yang pertama dan saya rasa memang sukar mengadakan konsert serupa untuk kali kedua sebab itu kita mahu persembahan pada malam itu yang terbaik.

"Kita tidak boleh membawa semua peminat Wings menyaksikan konsert ini kerana tempat terhad dan tempohnya juga singkat. Jadi kita rakamkan konsert ini, muatkan dalam bentuk VCD dan DVD bagi peminat yang tidak dapat menyaksikan konsert secara live nanti," katanya.

Apapun harapan yang disandarkan, Wings berharap konsert di IB itu bakal menjadi konsert paling berprestij yang pernah diadakan di situ.

Pilih lagu terbaik

JURUCAKAP penganjur konsert terbabit, Zamberi Shaari berkata, lagu-lagu yang akan disampaikan oleh Wings bukan saja yang terbaik, tetapi juga susunan muziknya turut diubah bagi memberi kesan lebih memuaskan kepada penonton selain seiring dengan muzik orkestra.

"Konsert ini nanti akan meninggalkan kesan buat peminat, malah dua bekas vokalis Wings iaitu Mel dan Mus dan Jojet (bekas pemain dram) akan turut terbabit dalam persembahan itu nanti.

"Muzik tidak akan sama dengan asal kerana kita akan membuat sedikit perubahan bagi memberi kesan dan kepuasan apabila menikmati suasana konsert yang turut diiringi oleh orkestra itu," kata Zamberi.

Bagaimanapun, hanya 7,000 penonton saja yang berpeluang menyaksikan konsert yang julung kali diadakan itu memandangkan kapasiti tempat duduk di Istana Budaya yang agak terhad disamping jangka masa persembahan yang agak singkat.

"Walaupun tempoh persediaan konsert masih panjang, namun kini penjualan tiket sudah dimulakan dan mendapat maklum balas yang baik daripada peminat. Jadi bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert julung-julung kali diadakan itu kena, dapatkan tiket segera," katanya.

Mesti patuhi etika pakaian

SEMENTARA itu, Ketua Pengarah IB, Mohd Juhari Shaarani menjelaskan Konsert Opera Hidup mendapat keizinan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana diadakan dengan tujuan mengangkat muzik rock tempatan selain mempromosikan IB sebagai pusat pelbagai acara kesenian.

Malah, konsert yang akan berlangsung itu juga bakal mengubah tanggapan negatif masyarakat terhadap muzik rock apabila digabungkan dengan pemuzik orkestra, bagi menyuntik kelainan selain persembahan yang diadakan di dalam kawasan yang tertutup berbanding konsert rock lain.

"Jika sebelum ini Istana Budaya hanya dikenali sebagai lokasi pementasan teater, kini kita akan mengubah tanggapan itu dengan penganjuran konsert yang besar di sini selepas konsert Jamal Abdillah dan Francissca Peter baru-baru ini.

"Bagaimanapun, sebelum konsert ini dibenarkan dibuat di sini, kita sudah mengadakan perbincangan dengan penganjur supaya diadakan kelainan berbanding konsert di luar, termasuk menggabungkan dengan pemuzik orkestra," katanya.

Walaupun konsert yang bakal diadakan itu bergenre rock, namun tiada garis panduan khusus ditetapkan. Bagaimanapun mereka perlu mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan oleh kementerian ketika mengadakan persembahan.

Istana Budaya tidak pernah meletakkan sebarang syarat yang ketat dari segi pemakaian terhadap artis rock tempatan untuk mengadakan persembahan di situ, sebaliknya perlulah kemas dan menarik bersesuaian dengan tempat yang dianggap berprestij itu.

Pemakaian anggota kumpulan Wings pada konsert terbabit ditentukan sendiri penganjur dan kumpulan itu, bagi mewujudkan kelainan serta bersesuaian dengan segmen dipersembahkan.

"Pakaian mereka bukan 100 peratus rock dan berimej koyak tetapi ada kelainan dan perubahan yang akan dibuat oleh mereka sendiri dan bukan ditetapkan oleh IB. Malah setiap pakaian yang akan dipakai akan mengikut setiap segmen yang akan dipersembahkan mengikut zaman bermulanya Wings," katanya.

INFO: Konsert Opera Hidup Wings
Tarikh: 29 April hingga 1 Mei
Tempat: Panggung Sari, Istana Budaya

  • Keterangan lanjut mengenai harga tiket layari laman web www.ticket2u.bz dan www.sayap2wings.com.
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.