Adsense

Khamis, 10 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu kerja dengan pengarah hebat

Posted: 09 Feb 2011 05:49 AM PST

USAH ditanya lagi kisah cintanya dengan pelakon dan pengarah Farid Kamil yang sering mendapat perhatian akhir-akhir ini. Semua itu tinggal kenangan kerana hubungan mereka sudah putus di tengah jalan.

Bagi pelakon jelita, Diana Danielle Danny Beeson, 20, tidak perlu mencanang kisah cintanya yang tidak kesampaian itu kerana apa yang berlaku itu sudah ketentuan Tuhan. Malah ketika bercinta dulu pun Diana tidak suka bercerita mengenai hubungan mereka.


Kata Diana, fokusnya kini adalah pada pelajaran dan karier seni yang diceburinya, sejak enam tahun lalu. Dia mahu bekerja lebih keras lagi tahun ini kerana aktiviti seninya perlahan tahun lalu kerana tumpuan pada pelajaran.

"Saya bersyukur kerana rezeki murah dalam bidang seni tahun ini. Saya juga akan terus berlakon kerana masih banyak impian yang belum tercapai dalam karier seni. Antara impian saya ialah untuk bekerja dengan ramai lagi pengarah filem hebat seperti Kabir Bhatia, Osman Ali, Mamat Khalid, Shuhami Baba sekali gus memantapkan lagi prestasi lakonan sedia ada," katanya.

Sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang seni, Diana akui, namanya sering dilanda gosip dan kontroversi. Lepas satu, satu lagi gosip yang datang menguji ketabahannya sebagai anak seni.


Namun, anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini tabah berdepan dengan semua itu. Malah, pada usia muda, Diana tetap matang berdepan segala kontroversi yang datang dalam hidupnya.


"Saya sudah lali dengan semua gosip dan kontroversi itu. Kontroversi yang melanda sekarang tidak seteruk pada awal pembabitan saya dulu. Saya akui sedih dan kecewa kerana sering menjadi sasaran kontroversi yang sedikit sebanyak mencalar nama baik saya dan keluarga.

"Mamalah yang memberi kekuatan dalam hidup saya untuk berdepan dengan semua ujian itu. Selain itu, peminat dan rakan media sendiri banyak memberi sokongan pada saya selama ini," katanya.

Berkongsi lanjut perkembangan karier seni, kata Diana yang juga duta salun dandanan dan penjagaan rambut Snips, dia baru selesai penggambaran filem Barajiwa arahan Osman Ali.

"Saya terima tawaran buat filem aksi, Barajiwa kerana ingin bekerja dengan pengarahnya Osman Ali. Saya bawa watak utama, Trisya yang berasal dari keluarga berada bergandingan dengan pelakon Remy Ishak. Ini cerita mengenai ilmu persilatan dan cerita golongan muda.

"Bila generasi muda menonton filem ini mereka akan mengetahui seni silat yang juga budaya Melayu dengan lebih mendalam. Filem ini dijangka menjengah pawagam pada tahun depan," katanya.

Terbaru, Diana akan berlepas ke Yellow Mountain, China selama tiga minggu untuk menjayakan dokumentari arahan U-Wei Saari pada minggu depan.


"Saya akan berlakon dalam dokumentari perubatan tradisi Cina 'Chi' di sana. Saya memang minat dengan perubatan Cina yang tidak memerlukan pembedahan, sejak dulu lagi. Saya akan ke China bulan ini dan Mac nanti," katanya.

Filem lakonannya, Hanyut arahan U-wei Shaari pula sudah dalam pos produksi dan dijangka menjengah pawagam tempatan tahun ini.

"Saya juga ada menerima beberapa tawaran berlakon dan masih belum diputuskan lagi. Antaranya, dia akan berlakon dalam telefilem untuk raya arahan Khabir Batia," katanya yang turut dicalonkan dalam Top 5 kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bersaing dengan Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Maya Karin serta Scha Alyahya.

Menyentuh pelajarannya pula, Diana yang juga pemegang diploma jurusan biosains, Universiti Nottingham, cawangan Semenyih ini bakal melanjutkan pengajiannya dalam jurusan ijazah psikologi di Kolej Universiti Sunway selama empat tahun secara sepenuh masa.

"Saya pilih untuk belajar di Kolej Universiti Sunway selepas meminta pandangan rakan seperjuangan, Juliana Evans yang menuntut di sana. Menurut Juliana, jurusan yang ditawarkan pada pelajar di sana juga bagus. Saya pilih jurusan psikologi kerana memang meminatinya, sejak dulu.


"Rumah saya juga dekat iaitu hanya setengah jam saja dari Sunway ke Ampang. Maklumlah, selain ke kolej, saya juga terpaksa berulang-alik dari rumah ke lokasi penggambaran juga setiap hari," katanya.


Apapun kata Diana, dia belum fikir jauh mengenai masa depannya selepas tamat pengajian. Apa yang pasti, seperti orang lain juga, Diana mahu hidup lebih stabil dan normal.

Diana belum terfikir cari pengganti
INI kali kedua Diana putus cinta selepas berpisah dengan pelakon dan juga pengarah Syamsul Yusof. Apapun kata Diana, sekalipun sudah putus, dia dan Farid Kamil masih berkawan baik sampai sekarang. Pada masa sama, mereka juga menyokong karier seni masing-masing.


Walaupun tidak mahu bercerita banyak mengenai perpisahan mereka, Diana mengakui putus dengan Farid kerana bintang Lagenda Budak Setan itu terlalu 'gilakan' kudanya.

"Saya pun minat kuda tapi tidaklah sampai dunia saya hanyalah kuda. Makan, minum dan tidur semuanya kuda seperti orang gila bola.

"Kami juga berpisah secara baik dan tidak bergaduh. Mama pula tidak mahu masuk campur dalam perkara ini dan hanya menyerahkannya kepada kami berdua untuk mencari jalan terbaik. Saya tidak kecewa kerana apa yang berlaku itu sudah takdir," katanya.

Diana juga mengakui tidak terfikir hendak mencari pengganti lagi. Katanya, mereka masih berusaha untuk berbaik semula dan memperbaiki kelemahan masing-masing.

"Jika ada jodoh, kami akan menyambung semula hubungan kami nanti," katanya.

Apapun, Diana kini ada buah hati baru pengubat sunyi. Kata Diana, ibunya mempunyai anak angkat, Halley Hayden kini sudah berusia tiga tahun.


"Mama ingin membesarkan Halley dengan sempurna seperti kanak-kanak lain. Mama juga merancang untuk mengambil anak angkat perempuan pula selepas ini untuk melengkapkan lagi keluarga kami," katanya.

>PROFIL
NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson
TARIKH LAHIR: 22 November, 1991
ASAL: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat dan dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berusia dua tahun
UMUR: 20 tahun
KERJAYA: Model iklan dan pelakon
DARAH CAMPURAN: Amerika (ayah) dan Melayu (ibu)
KELUARGA: Anak tunggal, adik angkat Hayley
PENDIDIKAN: Mengikuti pengajian Ijazah Jurusan Biosains, Universiti Nottingham, cawangan Semenyih
FILEM: Idola (2002), Evolusi KL Drift (2008), Setem (2009), Maut (2009), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Kecoh Betul (2009), ...Dalam Botol, Magika
DRAMA: Drama bersiri Air Mata Maria, Janji Diana, Sembilu Kasih, Takbir Terakhir, Cinta Bulan Dan Mentari, Gol & Gincu The Series, Igauan dan siri realiti, Project N.S, Farah Syakirah
ANTARA IKLAN : Volvo, Watson's, Pampers, Shuemura, Milo, Hazeline Snow Vietnam Market, Telecom I-talk, Fair and Lovely, Bauch and Lomb contact lense, Kentucky Fried Chicken, Binary Body Scrub, T3 Body Wash, F&N Soya Bean, Raflessia Pearl, Inner Shine Brands
KOMERSIL: Lampin Merries (ketika berusia sembilan bulan), Milo, Telekom Malaysia (TM), Hazeline Snow dan Fair & Lovely

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hans gusar kritikan peminat

Posted: 09 Feb 2011 05:45 AM PST

WATAK Lat Kampung Boy mula diperkenalkan menerusi akhbar New Straits Times (NST) pada 1979. Kini selepas tiga dekad berlalu, ia menjadi ikon cukup popular bukan saja di peringkat tempatan tetapi juga seluruh dunia.

Himpunan koleksi komik Lat Kampung Boy, turut dijual hingga ke Brazil dan animasinya diterbitkan Astro sebelum ini pernah memenangi Anugerah Annecy Awards '99 yang mengiktiraf animasi dihasilkan dari seluruh dunia.


Mempunyai latar pencapaian yang begitu tinggi dan membanggakan, maka tidak hairanlah ada pihak berminat membawa Lat Kampung Boy ke pentas Istana Budaya. Pelakon dan pengarah Hans Isaac melalui syarikatnya, Tall Order Productions Sdn Bhd akan mementaskan muzikal Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) pada 17 Mac hingga 3 April ini.

Hans mengakui berasa gusar dengan cabaran besar harus digalas bagi memastikan drama muzikal itu mampu menarik perhatian peminat setia Lat. Katanya, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih popular dengan panggilan Lat, iaitu nama wataknya sendiri adalah satu jenama besar dan turut mempunyai ramai peminat baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.


Justeru, baginya menggalas tugas pengarahan drama muzikal ini adalah satu tanggungjawab berat.


"Drama ini memerlukan saya menumpukan lebih perhatian demi mencapai hasil yang boleh membuat peminatnya setuju, suka dan terhibur. Selain itu, saya juga semestinya tidak mahu menghampakan Datuk Lat," katanya. Menjelaskan lebih lanjut mengenai kesungguhannya untuk menggalas tugas berat ini kata Hans, sokongan diterima daripada seluruh kumpulan produksi, terutamanya Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang bertindak sebagai penerbit bersama bagi mementaskan LKBSM sangat membantu. "Saya bersyukur kerana mempunyai kumpulan yang hebat untuk teater ini. Istana Budaya, Datuk Lat, Harith Iskander, Michael Veerapen, Awie dan Pat Ibrahim. Ternyata dari senarai nama itu, umum sudah tahu betapa bertuahnya saya kerana disokong kumpulan yang hebat untuk projek ini. Hal ini sangat membantu dalam membina keyakinan saya untuk melaksanakan tanggungjawab berat sebagai pengarah," katanya. Menyentuh pandangan peminat Lat sendiri yang kurang berkeyakinan dengan kemampuan Hans untuk merencanakan pementasan ini, Hans yang sebelum ini berjaya dengan pementasan Teater Muzikal Cuci-Cuci berkata, dia mahupun Harith yang turut menjadi pengarah bersama akan memberikan komitmen 150 peratus bagi projek ini.

"Saya berharap supaya kerja keras itu dapat dilihat serta dinilai apabila dipentaskan kelak. Ada banyak perkara yang secara teknikalnya boleh dieksperimentasikan bagi tujuan persembahan itu. "Kami sendiri ketika ini sedang dalam proses menambah baik idea-idea tertentu, antaranya teknik untuk mempersembahkan kartun Lat secara langsung (live), cara untuk mengubah Awie menyerupai karakter Lat serta bagaimana mahu tampilkan Sandra Sodhy supaya nampak seperti Mrs. Hiew.


"Juga terkecuali, membuat Datuk Rahim Razali hidup seperti mana watak Pak Samad Ismail. Semua ini sangat mengujakan dan kami akan usahakan yang terbaik untuk tampilkan semua itu sebagai kejutan kepada penonton," katanya.

Kerja-kerja penerbitan LKBSM sudah dilakukan Hans sejak enam bulan lalu. Secara tidak langsung, ia sedikit sebanyak turut membantu pelakon itu untuk mengarah.


"Sebelum orang lain tahu mengenai projek ini, saya dan ITNM memulakan pelbagai proses. Banyak yang kami lakukan selama enam bulan ini dan ia satu tempoh yang sangat penting. "Justeru, apabila tanggungjawab tersebut mula digabungkan dengan kerja kreatif, saya sudah tahu apa yang boleh dan juga tidak boleh dilakukan mengikut bajet yang kami ada. "Sebagai pengarah, maklumat ini sangat berguna dan menjadi satu kelebihan kepada saya. Saya cuma perlu aturkan masa saya dan memilih pada waktu mana saya perlu bertindak sebagai penerbit dan bila masa pula saya perlu berperanan sebagai pengarah. "Sehingga kini, saya belum lagi berdepan masalah. Pengalaman berlakon, mengarah, menulis skrip dan menjadi penerbit memang banyak membantu," katanya. Berkongsi kegusarannya itu, jelas Hans, cabaran paling besar harus difikirkan adalah mencari kaedah terbaik untuk mereka persembahkan lima segmen animasi Lat menjadi kartun. Pihak produksi LKBSM belum lagi membuat sebarang keputusan mengenainya, malah masih mengkaji serta mencuba beberapa kaedah berbeza sebelum memilih yang terbaik untuk pementasan ini.


Satu lagi cabaran untuk LKBSM adalah bagaimana muzik dan reka tari digabungkan dengan jalan cerita. Sehingga kini, ia masih belum dilakukan kerana jelas Hans, setakat ini mereka masih bekerja dalam kumpulan mengikut jabatan seperti muzik memberikan tumpuan terhadap muzik saja begitu juga dengan koreografi yang baru dimulakan minggu lalu. Latihan untuk lakonan pula akan bermula minggu ini. Menjelang pementasannya pada 17 Mac ini, Hans yakin mereka mampu melakukan apa yang difikirkan mustahil dilaksanakan. Begitupun, sekiranya dikira dari tempoh hari, karyawan terbabit tidak boleh membiarkan setiap minit disia-siakan. Waktu sama komitmen daripada semua pihak benar-benar diharapkan.


"Saya berharap semua pihak mendoakan agar produksi LKBSM berjalan lancar sehingga hari pementasannya kelak," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.