Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Tekad kekal jenama Tomok

Posted:

Tekad kekal jenama Tomok

Tekad kekal jenama Tomok

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan ihsan MONKEY BONE


AKSI Tomok sewaktu menyampaikan beberapa lagu pada majlis pelancaran albumnya.


PERNAH selepas menjuarai program realiti, One In A Million musim ketiga (OIAM3), Tomok menyuarakan hasrat untuk menjenamakan dirinya semula dengan menggunakan nama penuhnya, Shah Indrawan.

Seiring dengan perubahan imej serta hala tuju muzik yang baru selepas bergelar juara OIAM3, Tomok merasakan ada lebih baik untuk dia menukar namanya itu.

Tetapi, nampaknya Tomok gagal merealisasikan hasratnya itu apabila dia masih lagi menggunakan nama komersialnya itu untuk album solo pertamanya.

"Saya akui memang pada mulanya saya mahu dikenali dengan nama penuh. Tetapi, lepas fikir semasak-masaknya, adalah lebih baik untuk saya terus kekal dengan nama Tomok.

"Saya mula dikenali dengan nama Tomok lebih sedekad lalu dan sehingga ke hari ini pun, peminat juga kenal saya dengan nama itu. Selepas berbincang dengan syarikat rakaman, mereka juga bersetuju untuk mengekalkan nama Tomok.

"Sejauh mana saya pergi pun orang akan terus kenal nama saya seperti mana awal kemunculan saya. Nama Tomok pun mudah diingati. Apa yang berubah kini hanyalah hala tuju muzik yang disifatkan sebagai kelahiran baru saya," katanya yang juga tidak malu untuk terus menggunakan nama komersialnya itu.

Tomok atau nama penuhnya, Shah Indrawan Ismail ditemui pada majlis pelancaran album solonya, Tomok di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Monkey Bone, Ahmad Izham Omar; Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian serta komposer dan penerbit album Tomok.

Selepas menunggu dengan penuh sabar, akhirnya Tomok mampu menarik nafas lega apabila melihat album solo perdananya berada di pasaran.

Melihat raut wajahnya itu, memang terpancar jelas riak kegembiraan saat diajak berbicara tentang album solonya yang diterbitkan oleh syarikat rakaman, Monkey Bone itu.

Kata Tomok, bagi memastikan albumnya itu mencapai piawaian yang dia sendiri tetapkan, dia telah melibatkan diri hampir keseluruhan dalam penerbitan album tersebut.

"Saya terlibat dalam album ini secara langsung hampir 90 peratus. Bermula dengan pemilihan lagu, susunan muzik sehinggalah ke kulit album, saya menyumbang idea serta pandangan.

"Semuanya adalah bagi memastikan penghasilannya berada dalam kualiti yang tinggi agar ia dapat memuaskan hati peminat dan pendengar yang telah menunggu sekian lama untuk album saya ini," katanya yang turut menyumbang kreativitinya sebagai komposer dan penulis lirik untuk enam buah lagu.

Mengambil nama pentasnya sebagai judul album, Tomok mengakui dia cukup puas hati dengan penghasilan album tersebut lebih-lebih lagi dapat bekerjasama dengan nama-nama besar industri.

Lima penerbit yang menyumbangkan tenaga kreatif mereka dalam mencorakkan perjalanan album solo Tomok ialah Aubrey Suwito, Audi Mok, Aidit Alfian, Edry Abdul Halim dan Afiez dari kumpulan New Boyz.

"Saya memang sudah lama mengidam untuk bekerjasama dengan mereka dan belajar tentang selok-belok bidang penerbitan lagu serta album daripada mereka.

"Apabila diberi peluang sebegini, saya memanfaatkannya sebaik-baiknya dan banyak yang saya pelajari daripada pembikinan album ini.

"Syukur kerana impian selama ini yang saya citakan tercapai jua akhirnya," ujarnya yang cukup teruja berkolaborasi bersama Aubrey yang telah meledakkan kembali namanya menerusi lagu Rindu Terhenti.

Tambah Tomok lagi, dia mahu peminat melihat sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah dilakukannya bersama kumpulannya, New Boyz sebelum ini.

Jika sebelum ini Tomok cukup sinonim dengan muzik pop leleh dan melankolik dengan gaya nyanyian yang meneran, namun, semua itu sudah jauh ditinggalkan.

Apa yang membanggakannya, menerusi OIAM3 jugalah peminat sudah dapat menyaksikan transformasi ketara dirinya dalam memperjuangkan dunia muziknya.

Katanya lagi, transformasi muzik yang dilakukannya sudah bermula pada tahun 2007 sejak tampil dengan album Semula Padaku bersama kumpulannya.

"Selama sedekad dalam industri, banyak pengalaman yang telah saya perolehi dan saya belajar daripada semua itu. Saya sedar yang saya tidak boleh menjadi statik dalam setiap perkara yang saya lakukan.

"Perubahan itu perlu dalam hidup kita untuk membawa kita ke arah kebaikan dan itu yang saya dapat simpulkan terhadap karier seni saya sekarang ini.

"Apa yang membanggakan dan membuatkan saya gembira apabila kini saya sudah mula memiliki peminat baru yang bukan sahaja dari kaum Melayu tetapi Cina dan India.

"Ia membuktikan perjuangan saya sepanjang menyertai OIAM3 bukanlah satu yang sia-sia kerana ia telah menampakkan hasil yang positif," kata jejaka bertubuh kurus ini dalam nada syukur dan bersungguh.

Dalam masa yang sama, anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur ini melihat kemunculan albumnya itu hadir tepat pada masanya.

Sementelah dengan empat single sebelum ini bermula dengan Rindu Terhenti, Berlari, Arjuna dan terbaru, Bagaikan Bidadari, Tomok menganggap ia merupakan strategi terbaik untuk terus mengekalkan momentum popularitinya.

Rezekinya sebagai penyanyi solo juga begitu murah apabila namanya tersenarai sebagai lima calon terbaik dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 tahun ini biarpun tewas di tangan Yuna.

Lagu Rindu Terhenti juga membawa tuah buat Tomok sehingga melayakkannya beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-24 awal tahun ini.

"Sebelum ini, saya tidak pernah merasai semua peluang itu dan barulah kini, semuanya dapat saya nikmati. Untuk AJL misalnya, saya perlu menunggu 10 tahun untuk membuat persembahan di pentas penuh prestij itu," katanya yang sekali lagi akan beraksi di AJL25 pada 9 Januari depan menerusi lagu Berlari.

Sempat juga Tomok mengkhabarkan tentang persembahan jelajah bagi mempromosikan albumnya itu yang akan dimulakan sebaik sahaja AJL25 berakhir.

Antara destinasi yang dipilih adalah beberapa buah bandar utama di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah serta Sarawak.

"Jika tiada aral melintang, jelajah ini juga akan membawa saya ke Brunei, Singapura dan Indonesia," ujarnya yang akan muncul dengan filem pertamanya, Mantera tahun depan.

Pada majlis itu, Tomok sempat menghiburkan tetamu dengan enam buah lagu antaranya Rindu Terhenti.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

DiGi bantu Search, Wings

Posted:

DiGi bantu Search, Wings

DiGi bantu Search, Wings

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar FATAH SULAIMAN


ANGGOTA-anggota Search dan Wings begitu ceria dan tidak sabar bagi menjayakan Digi-Live Konsert Gemuruh DT Search & Wings pada sidang akhbar di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUMPULAN rock legenda tanah air, Search dan Wings sebelum ini seringkali merungut apabila sukar mendapatkan penaja terutama syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) dalam konsert-konsert yang mereka adakan.

Ekoran tiadanya penaja, dua kumpulan itu sukar untuk mengadakan konsert mereka di seluruh negara yang biasanya menelan kos penganjuran yang tinggi sehingga mencecah lebih RM500,000 setiap kali ia diadakan.

Bagaimanapun, Wings dan Search kini mampu menarik nafas lega apabila konsert mereka DiGi Live - Konsert Gemuruh DT Search & Wings yang akan diadakan pada bulan depan mendapat kerjasama daripada DiGi.

Menurut vokalis Wings, Awie dia bersyukur kerana DiGi sudi bekerjasama menjayakan konsert itu di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 18 Disember dan Surf Beach, Sunway Lagoon, Selangor 25 Disember ini.

"Kami lega kerana selepas sekian lama barulah ada syarikat telco seperti DiGi yang berani tampil bekerjasama membantu kami menjayakan konsert seperti ini. Sebelum ini mereka lebih banyak menaja artis luar negara," komennya.

Awie yang ditemui selepas sidang akhbar DiGi Live - Konsert Gemuruh DT Search & Wings di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu berkata, ia mungkin ekoran daripada kejayaan Konsert Double Trouble yang mereka adakan sebelum ini.

Secara tidak langsung kejayaan konsert bergerak dua kumpulan itu katanya, telah membuka mata pihak-pihak tertentu terutama syarikat-syarikat telco bahawa mereka masih mampu menarik ramai peminat setiap kali beraksi di atas pentas.

"Konsert Double Trouble yang dijayakan oleh Search dan Wings berjaya menarik ramai penonton setiap kali ia diadakan. Setakat ini ia telah diadakan di Sabah, Johor, Kuala Lumpur dan Kuantan. Sambutannya amat baik.

"Kami juga telah mengeluarkan DVD (cakera video digital) rakaman daripada konsert-konsert itu dan sambutannya juga bagus. Ini secara tidak langsung menambahkan lagi kepercayaan syarikat-syarikat telco kepada kami," katanya.

Konsert anjuran Rye Production Sdn. Bhd., dengan kerjasama DiGi itu kata Awie, turut mendapat kepercayaan daripada dua penganjur itu bagi membawakan kelainan daripada segi persembahan untuk menarik ramai peminat.

Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini menambah, menerusi konsert di Sunway Lagoon itu, Wings dan Search akan tampil menyanyi sambil diiringi para pemuzik orkestra di mana ia pertama kali mereka lakukan.

"Kami telah diberi tugas oleh penganjur untuk mengadakan sebahagian daripada persembahan itu dengan menggunakan para pemuzik orkestra. Tetapi ia bukannya seperti Kumpulan Orkestra DBKL atau Filharmonic Orchestra.

"Persembahan kami bukanlah secara orkestra penuh tetapi ia antara gimik bagi menunjukkan kelainan. Lagu-lagu dalam bentuk orkestra pula hanya tertumpu kepada yang berentak balada atau slow rock sahaja," ujarnya.

Vokalis Search, Amy pula berkata, dia dan Search serta Wings berbangga apabila diberi peluang beraksi di Sunway Lagoon kerana mereka merupakan artis tempatan pertama yang diberi peluang tersebut.

Sambil menyifatkan selain sokongan syarikat telco seperti DiGi, dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan taman tema air itu yang memberi kerjasama kepada artis tempatan mengadakan konsert di situ.

"Sebelum ini Sunway Lagoon hanya memberi peluang kepada artis-artis dari luar negara beraksi di sana. Saya harap konsert ini dapat menarik 20,000 penonton hadir bagi menyaksikannya. Ini suatu tanda positif buat artis-artis tempatan.

"Pada 5 Ogos lalu, Sunway Lagoon mengundang saya sebagai artis pembuka tirai bagi persembahan gitaris, Slash. Saya harap selepas ini akan ada lebih banyak konsert untuk artis-artis tanah air," katanya.

Sementara itu, Ketua Segmen Pemasaran DiGi Telecommunications Sdn. Bhd., Moharmustaqeem Mohammed berkata, konsert seperti itu merupakan platform untuk DiGi terus menyokong industri muzik tempatan.

Enggan mendedahkan jumlah tajaan yang dihulurkan bagi mempromosikan DiGi Live - Konsert Gemuruh DT Search & Wings, beliau menjelaskan DiGi memberi kerjasama pada konsert itu berdasarkan permintaan peminat.

"Semua itu berdasarkan permintaan daripada para peminat Search dan Wings serta para pelanggan kami. Kalau permintaannya semakin tinggi tidak mustahil DiGi akan memberi kerjasama untuk konsert ini di Sabah dan Sarawak pula.

"Demi pelanggan DiGi juga kami akan memberi potongan harga tiket sebanyak 30 peratus daripada tiket berharga RM70. Ini salah satu cara kami menghargai sokongan para pelanggan kami selama ini," jelasnya.

Selain pelancaran dan sidang akhbar konsert itu, pihak penganjur turut membuat kejutan sempena ulang tahun hari lahir Awie yang ke-42 pada 24 November lalu pada majlis itu yang turut mendapat kerjasama daripada RapidKL.

Pada konsert di Sunway Lagoon kelak, bas RapidKL akan menyediakan perkhidmatan membawa pulang para penonton ke stesen-stesen seperti di Kelana Jaya, Subang Mewah, Pasar Seni dan Subang Parade.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan