Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Izzue kenang zaman susah

Posted: 19 Jul 2012 05:30 AM PDT

SUATU ketika dulu, dia hanyalah seorang budak kampung biasa yang menjadi penjual burger. Pun begitu, kunjungan ke Kuala Lumpur gara-gara mahu menyaksikan satu 'gig' akhirnya membawa dimensi baru dalam kehidupan pelakon kacak, Muhammad Izzul Islam Mazlan atau Izzue Islam, 22.

Anak muda kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang ini berkata, ketika itu dia cukup berminat dengan bidang muzik, membuatkan dia dan rakannya terdorong untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menonton persembahan Kami The Konsert di Bukit Jalil, sempena filem Kami terbitan produksi Red Films Sdn Bhd, empat tahun lalu.

Menurut Izzue, selama tiga hari menetap di Kuala Lumpur, dia dan rakannya kehabisan wang untuk balik ke Kelantan. Justeru, ketika menjamu selera di sebuah restoran di Desa Mentari, Petaling Jaya, dia tergerak hati untuk bertanya kepada pemilik kedai makan itu sama ada memerlukan pekerja untuk berkhidmat di situ.

"Syukur kepada Tuhan, apabila pemilik kedai itu sudi memberikan pekerjaan kepada kami. Malah memandangkan tiada duit untuk menyewa bilik, kami terpaksa pula menumpang tidur di kedai pakaian 'bundle' milik seorang kawan. Kalau diingatkan semula, memang susah kehidupan saya ketika mula-mula datang Kuala Lumpur dulu.


"Bagi menampung kehidupan, saya juga pernah melakukan beberapa kerja sambilan seperti menjadi penghantar susu, pembancuh air di gerai makan dan jurujual di pusat beli-belah. Terus-terang, saya tidak pernah rasa malu melakukan pekerjaan itu kerana apa yang penting mendapat rezeki yang halal," katanya.


Jelas Izzue lagi, dia sanggup mengalami kesusahan di ibu kota kerana berpegang pada prinsip, itulah jalan hidup yang dipilihnya. Katanya, dia perlu belajar berdikari sendiri dan enggan meminta bantuan daripada keluarga di kampung. Kini, Izzue akur pengalaman kesusahan dilaluinya itu banyak membantu dia menjadi matang.

"Dalam keseronokan bekerja sambilan, ketika itulah saya terbaca iklan mencari pelakon di akhbar. Masih saya ingat lagi, uji bakat pertama dilalui untuk menjadi pelakon tambahan dalam drama Kampung Jaguh terbitan produksi Double Vision Sdn Bhd. Saya tak pernah menduga pun akan mendapat watak Halim.

"Dua episod watak Halim itu cukup membantu saya menonjolkan bakat dalam bidang lakonan. Sejak itu, saya aktif dalam industri seni dan menjadi pelakon tambahan selama dua tahun. Namun, berkat usaha dan kesungguhan saya, akhirnya dapat juga peluang melakonkan watak utama dalam drama Cita dan Cinta di TV9.

"Selepas itu, saya sudah mula meraih kepercayaan melakonkan watak utama sehinggalah membintangi filem. Malah, ketika sibuk berlakon itu jugalah saya mendapat lamaran daripada pihak KRU untuk menjadi salah seorang anggota Forteen. Tak dinafikan, saya tak berfikir panjang dan terus menerima tawaran itu.

"Menerusi Forteen, saya dapati nama semakin kukuh dalam industri seni. Bahkan, Forteen banyak membantu menaikkan nama saya sehinggalah berada di tahap ini sekarang. Jujur saya katakan, memang tak pernah pun ada cita-cita untuk menjadi artis. Kedatangan saya ke Kuala Lumpur dulu, hanyalah untuk menonton persembahan gig itu.

"Ketika di kampung saya ada kumpulan muzik sendiri yang dikenali dengan nama Hellow Yellow. Malah, harapan kami pun bukan untuk menjadi artis tapi sekadar mahu membuat persembahan di hadapan orang ramai walau pun hanya sekali. Apa yang kami inginkan adalah pengalaman," katanya.

Menurut Izzue, bagaimanapun dia dan anggota kumpulan Hallow Yellow berjaya juga menggapai impian mereka membuat persembahan di depan khalayak sebanyak dua kali iaitu di Kelantan dan Shah Alam. Namun katanya, anggota kini sudah Hallow Yellow membawa haluan masing-masing.

"Malah, penyertaan saya dalam Forteen disokong oleh mereka. Sekarang, saya sangat bersyukur dengan segala yang dimiliki selepas puas hidup dalam kesusahan. Pun begitu, ia tidak bermakna saya sudah cukup berpuas hati dengan pencapaian saya.

"Masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki dalam memantapkan karier seni diceburi. Apapun, ingin saya tegaskan bahawa pembabitan dalam bidang seni ini bukanlah untuk mengejar populariti tetapi atas dasar minat. Malah, saya juga ingin peminat menerima diri ini kerana bakat," katanya yang boleh bermain gitar, dram dan keyboards.

Semakin dikenali ramai, Izzue juga sehingga kini sudah membintangi enam filem iaitu Songlap, Hantu Kapcai, Cikaro, Mat Tudung, Ular dan 29 Februari. Filem yang menggandingkan Izzue dan Remy Ishak itu akan ditayangkan di pada
30 Ogos nanti.

Membawakan watak Razak, seorang pemuda buta, Izzue berkata watak itu cukup memberikan cabaran besar. Pun begitu, itulah kepercayaan yang diberikan pengarah, Edry Abdul Halim kepada Izzue yang kini semakin popular.

Malah, bagi Izzue pula dia sangat berbesar hati menerima kepercayaan daripada Edry itu, memandangkan 29 Februari adalah filem 3D pertama yang dihasilkan di Malaysia. Bahkan, selain berlakon dalam filem itu, Izzue bersama Forteen yang turut mendendangkan lagu untuk filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19


AIM bangkit pembaharuan

Posted: 19 Jul 2012 05:19 AM PDT

PERNAH terdengar kononnya ada artis yang ingin memboikot penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) kerana kecewa dengan pelbagai isu yang berkaitan. Mana selepas isu penarikan semula trofi Lagu Terbaik yang dimenangi Yuna pada edisi ke-18 yang lalu, kritikan dan persepsi penggiat seni semakin meruncing mempersoalkan ketelusan majlis anugerah itu.

Bagaimanapun, dalam pada kotornya nama dan kredibiliti AIM, majlis penganugerahan berprestij ini tetap diteruskan untuk kali ke-19 apabila beberapa pembaharuan disuntik untuk memastikannya kekal relevan dan tidak lagi dipertikaikan.

Petang Rabu lalu, satu majlis pengumuman kategori pencalonan, syarat kelayakan dan rakan-rakan kerjasama AIM ke-19 diadakan.

Majlis yang dikendalikan oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur RIM (Persatuan Rakaman Malaysia) AIM19, Rosmin Hashim ini turut dihadiri Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh yang juga menjadi penyiar rasmi acara itu tahun ini.


Menurut Rosmin yang menyifatkan penganjuran AIM kali ini akan berbeza dari aspek penghakiman dan penjurian, pembaharuan yang dilakukan adalah untuk memenuhi permintaan penggiat seni yang meluahkan pandangan ketika majlis forum anjuran RIM sebelum ini.


Mengakui kredibiliti goyah sedikit kerana isu penarikan trofi tahun lalu, Rosmin bagaimanapun yakin pengiktirafan harus terus dilakukan bagi membangunkan industri muzik tempatan.

"Soal pertikaian yang berlaku dan segala macam pandangan yang diberikan kami sebelum ini sudah pun dijadikan satu panduan bagi membaiki mana yang perlu dan terus mencari formula baru agar majlis penganugerahan ini tidak dipandang ringan. Alhamdulillah segala-galanya sudah pun diselesaikan dan pihak penganjur sendiri ada menjalankan sesi forum bagi mendengar pandangan penggiat seni sendiri.

"Hasil daripada pendapat, keluhan dan komen mereka itu kami rangkum dan melihat apa yang perlu dan apa yang tidak. Pemerhatian dan penelitian secara terbuka di kalangan jawatankuasa melihat AIM harus diberi pembaharuan terutamanya pada sudut penjurian dan penghakimannya," katanya.

AIM19 yang dulunya diadili ahli Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) sudah tidak lagi diteruskan sebaliknya kaedah itu ditukar sepenuhnya. Kali ini, penjurian untuk kesemua kategori akan diadili oleh panel yang dipilih dari kalangan penggiat industri yang aktif dan mempunyai profil seni yang kukuh.

Tambah Rosmin lagi, ini adalah permintaan ramai penggiat seni agar keputusan dan penilaian karya mereka dilakukan oleh teman-teman yang turut terbabit dalam lapangan seni secara aktif.

"Menerusi sesi forum yang dijalankan, inilah yang mereka (artis) inginkan iaitu panel penjurian baru dilantik menghakimi kesemua kategori. Mereka terdiri daripada komposer, penulis lirik, pengarah muzik, penyanyi sendiri dan beberapa pihak yang lain. Kiranya, jika dulu kaedahnya adalah ahli PAIMM seramai lebih 100 orang menjadi panel juri, kali ini jumlah juri itu dikecilkan kepada kurang dari 100 saja.

"Pihak penganjur akan mengumumkan kesemua nama-nama juri yang dipilih ini pada sidang media pengenalan kesemua calon nanti agar tiada lagi pihak yang ingin pertikaikan kerana kesemua juri ini mempunyai latar belakang kerjaya yang baik dan profil pencapaian yang hebat dalam lapangan seni muzik ini. Mungkin pembaharuan ini akan melihat satu kelainan dalam AIM.

"Pengurusan dan pentadbiran proses penghakiman tahun ini pula akan dikendalikan oleh sebuah firma profesional bebas, MACOMM Management Services. Namun sebagai penganjur, pihak kami tetap meletak seorang ketua juri bagi memantau keseluruhan proses pemilihan dan penghakiman agar tidak wujud sentimen kronisme, berat sebelah dan tidak profesional dalam pemilihan pemenang," katanya lagi.

Penganjuran kali ke-19 ini masih mengekalkan kesemua kategori-kategori utamanya termasuk Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu Wanita dan Lelaki, Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, kategori Lagu Terbaik mengikut genre seperti Pop Etnik, Nasyid, Rock, Hip Hop, Pop, Inggeris Tempatan, Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara, Anugerah Kembara, Sri Wirama, Susunan Muzik Terbaik di Dalam Album, Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Pencalonan untuk AIM kali ini terbuka kepada lagu dan album dalam Bahasa Melayu dan Inggeris yang dikeluarkan di Malaysia dari tarikh 1 Julai 2011 hingga 20 Jun 2012. Tempoh pencalonannya pula dibuka bermula 16 Julai lalu dan akan ditutup pada 15 Ogos depan.

Pembaharuan lain adalah kategori Hip Hop yang mana sudah dilonggarkan penyertaannya iaitu lagu dalam Bahasa Inggeris kini dibenarkan.

Menurut Rosmin lagi, kelonggaran ini dilakukan bagi mengikut perkembangan muzik bergenre itu yang rata-ratanya berbahasa Inggeris.

"Kami mengikut perubahan dan logikal kerana lagu berentak Hip Hop kebanyakannya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris. Untuk kategori Lagu Terbaik dalam setiap genre, kami menilai pada aspek kualiti, susunan muziknya, kualiti rakaman dan penerbitan, persembahan vokal dan kriteria penulis atau komposer lagu itu yang mesti mengikut kelayakan asalkan lagu itu dilakukan di studio tempatan," katanya yang mengalu-alukan artis atau pihak syarikat rakaman untuk menghubunginya bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Selepas ketelusan juruaudit yang lalu, Ernst & Young dipersoal kerana silap dalam melakukan kerjanya, AIM kali ini menggantikannya dengan KPMG.

AIM19 akan kembali memartabat dunia seni muzik tempatan pada 17 November depan di Stadium Malawati, Shah Alam yang akan turut dipancarkan secara langsung oleh stesen televisyen rasminya, Astro Ria dan radio rasmi, Era FM.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan