Berita Harian: Hip |
Posted: 19 Jul 2012 12:32 PM PDT Farid cedera jayakan filem aksi bersama Aaron Aziz BIARPUN berkerusi roda sepanjang majlis tayangan media dan sidang media filem terbarunya, Hantu Gangster, Farid Kamil tetapi bersemangat membantu mempromosikan judul arahan Wee Meng Chee atau Namewee. Berpakaian baju Melayu serta bersongkok, Farid setia ditemani kekasih, Diana Danielle, yang turut membintangi filem itu, di Kuala Lumpur, kelmarin. Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 31, berkata kecederaan itu dialami ketika sesi penggambaran di sebuah kelab di Bukit Bintang, yang turut mengakibatkan lutut kirinya bengkak dan lebam. "Saya terjatuh berguling di tangga kelab itu kerana hilang imbangan badan ketika melakukan babak kejar-mengejar. Kemalangan kecil itu menyebabkan lutut kiri bengkak kerana berlaku pendarahan dalaman yang serius. "Selepas mendapat rawatan di Hospital Ampang Puteri, doktor mengesahkan tempurung lutut saya retak akibat hentakan kuat. Jadi, saya terpaksa menggunakan tongkat. Untuk bergerak lebih jauh pula, saya perlu menggunakan kerusi roda," katanya. Kesal dengan kemalangan itu yang mengakibatkan sesi penggambaran tergendala, Farid berkata, dia hanya mampu melakukan babak yang memerlukan dirinya berdiri buat seketika. "Saya mungkin berkeadaan begini sehingga enam minggu. Kecederaan ini begitu mengganggu tugas saya sebagai pelakon dan kadang kala saya rasa tertekan, walaupun baru beberapa hari mengalaminya," katanya. Kejadian itu turut menyebabkan produksi filem Dampak terpaksa menggunakan pelakon pengganti untuk saki-baki babak aksi membabitkan dirinya. Suka pendekatan Namewee Berbicara soal pembabitannya dalam filem arahan pengarah kontroversi, Namewee, Farid menyifatkan ia peluang yang dinanti dan amat sukakan sentuhan karya jejaka Tionghua itu. "Bila Namewee datang berjumpa saya bersama produser, mereka tidak sedar saya mempunyai hubungan dengan Diana. Itulah antara sebab saya terima pelawaan mereka. Begitu juga ketika mereka menawarkan watak kepada Diana. "Bukan apa, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan atau menjual kisah cinta kami melalui filem. Saya mahu dikenali kerana bakat lakon saja," katanya. Farid juga melihat pengarah itu cukup kreatif dalam mencipta watak dan perwatakannya sebagai Ewan. "Dia mencipta watak jahat yang tidak terlalu nampak kejahatannya. Itulah antara pendekatan pengarah ini. Pembunuh yang digambarkan dalam filem ini berbeza dengan watak pembunuh sering digambarkan dalam filem lain. Saya lihat, Namewee mengkaji watak pernah saya lakonkan sebelum ini supaya saya tidak lagi melakonkan watak sama, katanya yang menggunakan seragam Superman dalam filem berkenaan. Selain Dampak dan Hantu Gangster, yang ditayangkan mulai 9 Ogos ini, Farid juga terbabit dalam filem Pengapit arahan Wan Hasliza, bersama aktres Nadiya Nisaa. |
Posted: 19 Jul 2012 12:29 PM PDT Norman belanja besar pikat kumpulan rock legenda SYARIKAT rakaman KRU Music sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan kumpulan rock legenda, Wings, bernaung di bawah label mereka. Presiden Eksekutifnya, Norman Abdul Halim, berkata meskipun jumlahnya besar, ia amat berbaloi dengan status kumpulan rock terhebat disandang mereka ketika ini. Dengan penyertaan kumpulan popular itu dalam KRU, menurut Norman, ia sekali gus membuktikan label itu bersikap terbuka menerima karya orang lain. "Sebelum ini ramai mengatakan kami banyak menggunakan tenaga kerja dalaman untuk berkarya. Bagi album Wings nanti, kami tidak akan campur tangan dalam soal rakaman, konsep lagu dan susunan muzik. Semuanya kami serahkan kepada mereka. Cuma kami akan terbabit dalam soal pemasaran, promosi, pembikinan klip video dan juga pemasaran dari segi digital," terangnya. Norman bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dikeluarkan untuk mendapatkan kumpulan terbabit. Sebaliknya dia menyifatkan kerjasama itu sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua pihak. Ambil masa fikir tawaran Sementara itu, Awie mendedahkan keputusan menerima tawaran itu tidak dibuat dalam sekelip mata. Banyak perkara perlu diambil kira supaya hasrat menghasilkan album terbaik selepas sedekad tanpa produk baru dapat dicapai. "Sebelum ini memang ada syarikat rakaman lain menawarkan kami untuk menjadi artis rakaman mereka. Namun kami tolak kerana tawaran itu tidak memenuhi kehendak kami. "Pemilihan KRU Music sebagai label baru kami ini pun mengambil masa agak lama. Kejayaan demi kejayaan dilakar Norman, Yusry dan Edry serta keupayaan mereka mengendalikan label itu membuatkan mereka yakin untuk menerima tawaran berkenaan. Mengenai pembikinan album yang berjudul Menakluk Kosmos itu, Awie berkata, mereka masih lagi mencari material yang sesuai. "Ada beberapa lagu sudah pun dirakam dan kami akan masuk ke studio lagi pada hari ketiga puasa. Memang agak sukar untuk kami mencari lagu baru yang sesuai dengan cita rasa masa kini. "Walaupun ada pembaharuan tapi tanda dagang muzik Wings, iaitu bunyi gitar dan ketukan dram, tetap dikekalkan," ujarnya. Kali terakhir Wing merakamkan album ialah sedekad lalu menerusi Naga K'ramat terbitan BMG. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |