Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Hadiah untuk diri sendiri

Posted: 10 Jun 2012 07:57 AM PDT

SEBELUM menyertai Masterchef Selebriti Malaysia (MSM), Jehan Miskin, 32, hanya tahu merebus air dan sekali sekala akan masak mi segera, tetapi selepas menyertai pertandingan memasak itu, sebut saja jenis juadah yang ingin anda nikmati pasti jejaka kacak itu dapat menyediakannya.

Menurut Jehan menyertai MSM adalah suatu pengalaman indah dan menambahkan lagi bakat yang selama ini dia sendiri tidak pernah terokai.

"Sebelum ini saya tak tahu apa pun pasal memasak. Apatah lagi orang bujang seperti saya yang lebih senang makan di luar dan disebabkan itu ketika pihak produksi MSM melamar saya untuk menyertai pertandingan itu, pada mulanya saya menolak kerana saya tak tahu apa yang boleh saya lakukan di dapur MSM.

"Tanpa ada sedikit pun ilmu memasak, apa yang saya nak buat kerana apabila berada di dapur MSM, pelbagai menu perlu disediakan. Bukan saja masakan Melayu, tetapi masakan Barat dan ia bukanlah masakan biasa, tetapi yang tukang masak terkenal biasa melakukannya. Seni menghias hidangan pun kena ada.


"Lagipun bagi saya ramai artis lain yang pandai memasak. Bagaimanapun mereka tetap mahu saya bersama-sama artis serta selebriti lain untuk muncul dalam MSM, maka saya terpaksa menerimanya sebagai satu cabaran.


"Sebaik saya persetujuan diberi, saya terus mencari sahabat karib saya, chef Anis Nabila. Kami kenal lebih setahun lalu, kami pernah menjayakan program susu FN Ideal. Sejak itu kami terus berkawan. Melihatkan senarai nama hebat seperti Juliza Adzilan yang sememangnya pakar dalam dunia masakan membuatkan saya rasa gementar.

"Saya perlu melakukan sesuatu dan apa yang saya patut buat ialah belajar memasak. Justeru saya minta Anis ajar saya memasak di mana saya ada masa seminggu saja lagi sebelum bermulanya MSM. Anis mengajar saya masak hidangan paling asas yang mana saya boleh menggunakan cara memasak yang sama untuk sajian lain. Malah dia juga mengajar saya cara betul memotong bawang.

"Setiap hari saya belajar dengannya daripada hidangan Melayu sehinggalah kepada sajian Timur dan Barat. Saya sematkan azam mahu buat yang terbaik dalam MSM. Dari hari pertama saya belajar memasak sehinggalah ke hari ini, Anis sudah ajar saya lebih 100 menu. Saya bersama artis/selebriti yang lain dari Isnin hingga Jumaat akan sibuk di dapur MSM dari pagi sampailah ke malam, manakala pada Sabtu dan Ahad saya ke kelas masak bersama Anis," katanya.

Tambah Jehan, dia tidak menghafal resipi yang diajar Anis, tetapi chef itu mengajarnya cara memasak yang betul. Misalnya, menu sama untuk menyediakan hidangan berasaskan ikan, Jehan boleh mengubahsuaikan resipi itu untuk masak udang atau ayam.

"Apabila masuk MSM, ia bukanlah perkara main-main. Sehari kami semua kena masak empat atau lima hidangan. Juri akan beri arahan dan menu diberi pada masa itu juga. Kami kena sediakan masakan berdasarkan bahan yang ada di depan mata. Di sinilah kreativiti diperlukan. Alhamdulillah, cabaran pada minggu pertama dan kedua, saya 'lepas'.

"Saya pun tak sangka, tetapi dalam MSM saya tidak memburu kemenangan. Sejak menyertai MSM, saya terus suka memasak dan sekarang cakap saja mahu makan apa, saya dah boleh buat. Tak ada masalah lagi nak menjamu rakan di rumah.

"Dalam MSM saya belajar banyak perkara baru. Kalau dah tak tahu memasak manalah saya kenal bahan-bahan masakan yang digunakan, tetapi selepas menyertai MSM saya dah tahu apa itu safron, bunga cengkih dan bunga lawang. Perubahan ketara dalam hidup saya sekarang, saya sudah pandai memasak.

"Saya juga perlu buat bersungguh-sungguh kerana demi peminat yang menyokong saya. Mereka sangat seronok tengok saya dalam MSM dan mereka turut gembira apabila saya menang setiap cabaran dalam MSM.

"Oleh itu saya tidak boleh hampakan harapan dan sokongan yang mereka berikan kepada saya. Sasaran utama saya jangan kena buang pada episod pertama dan apabila menang pada pusingan pertama, saya seronok sangat," katanya.

Ibu Jehan sendiri terkejut apabila melihat anak bujangnya sudah pandai memasak.
"Ibu saya pakar memasak dan dia tak sangka saya boleh melakukannya. Sekarang tiada masalah lagi kalau ada yang mahu saya mengendalikan program masakan," katanya.

Terus berkongsi pengalamannya, jelas Jehan suasana dalam MSM meriah dan ceria kerana semuanya artis/selebriti. Memang tiada masalah langsung.

"Tomok pun dah pandai masak. Kami semua 'enjoy' dalam MSM dan berazam tak mahu disingkirkan," katanya.

Program Masterchef Selebriti Malaysia mula bersiaran 26 Mei lalu di Astro Ria, Sabtu sehingga Selasa setiap minggu. Program itu menampilkan 16 selebriti tanah air yang popular dalam bidang masing-masing, Datuk Fazley Yaccob, Tomok, Azwan Ali, Karl Shafek, Jehan Miskin, Angah Raja Lawak, Farouk Hussien, Mejar Dr Faiz, Juliza Adlizan, Thanuja, Siti Sarah Raisuddin, Serina Redzuawan, Raja Azmi, Salamiah Hassan, Louisa Chong dan Soo Wincci.

Selain semakin rajin ke dapur, Jehan juga sudah ada hobi baru iaitu menunggang motosikal berkuasa besar. Harley Davidson itu baru dibeli sebulan lalu.

"Sebenarnya sudah lama minat menunggang motosikal berkuasa besar tetapi ibu dan kakak saya bimbang, kalau terjadi apa-apa pada saya lalu terpaksalah saya pendamkan saja hasrat ingin memilikinya.

"Ramai rakan saya memiliki Harley Davidson dan ketika duduk bersama mereka saya ternampak Harley Davidson yang saya suka dan apabila kawan saya beri saya peluang menunggangnya saya jadi tak 'senang' duduk.

"Pun begitu saya masih belum memutuskan untuk membelinya. Sehinggalah saya menjalani penggambaran filem arahan terbaru Mamat Khalid, Amukan Frankenstein, dengan Awie. Dia ada dua motosikal Harley Davidson dan apabila dia tahu yang sangat meminatinya, dia pun mula menjalankan 'jarumnya' supaya saya membelinya.

"Kata Awie pembelian itu sebagai hadiah untuk diri sendiri yang penat bekerja. Kini motosikal yang paling saya minati itu sudah pun menjadi milik saya. Ada saja kelapangan saya akan menunggangnya. Saya namakan Harley Davidson saya itu El-Diablo," katanya.




Jom ketawa cerita hantu

Posted: 10 Jun 2012 07:39 AM PDT

BAGI mengukuhkan lagi kedudukannya selaku stesen TV yang menawarkan filem terkini dari pawagam terus ke kediaman anda, Astro First membawakan pula sebuah filem alih suara istimewa terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dan Double Vision Pictures Sdn Bhd yang berjudul Kawan-Kawanku Hantu.

Filem ini disiarkan secara eksklusif bermula 7 Jun lalu bagi hiburan semua peminat filem komedi tanah air.

Selain hanya perlu membayar caj RM15 untuk setiap tempahan menerusi Astro First, pelanggan mempunyai pilihan masa menonton untuk filem ini mengikut keselesaan masing-masing dalam tempoh 48 jam selepas tempahan dibuat.

Istimewa lagi, filem ini bercorak alih bahasa dan meminjam suara gabungan tiga selebriti terkenal tanah air iaitu Zizan Razak, Harun Salim Bachik dan Sharifah Shahira.


Difahamkan, Kawan-Kawanku Hantu asalnya disadur daripada filem Cina berjudul Ghost Buddies. Filem ini sudah pun ditayangkan di pawagam pada 10 Mei lalu dan dibintangi pelakon terkenal Singapura, Mark Lee serta pemegang Anugerah Pelakon Hong Kong Terbaik, Maggie Shiu sebagai teraju utama.


Filem ini turut diserikan dengan lakonan mantap pelakon serba boleh dari Singapura, Yao Wen Long, penyanyi dan produser Lenny Ooi, Wee Kheng Ming, pelawak dan penyampai Radio One FM, Lim Ching Miao serta penyampai radio MY FM, Vivian Tok selain artis radio veteran, Chow Kee Moo.

Melihat dari sudut alih bahasa, ia adalah satu cabaran besar kepada Zizan, Harun dan Shahira untuk menggunakan kreativiti mereka demi memastikan setiap dialog yang mereka tuturkan bersesuaian dengan setiap babak serta mencuit hati.

Astro First turut menawarkan dua pilihan istimewa kepada pelanggan kerana mereka boleh memilih untuk menempah filem ini sama ada dalam versi bahasa Hokkien atau bahasa Melayu.

Pengurus Saluran Astro First, Shoba Devi berkata, Astro First sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan membariskan filem terkini di pawagam demi memenuhi kehendak pelanggan.

"Objektif utama penghasilan filem versi alih suara ini adalah bagi mendedahkan filem menarik yang mendapat sambutan di pawagam. Ia sesuai untuk tontonan ramai disebabkan ada dua pilihan versi iaitu bahasa Hokkien dan bahasa Melayu.

"Kami cuba tampil dengan kelainan menggunakan inisiatif alih bahasa berbanding sari kata kerana selain dapat menyuntik cita rasa tempatan ke dalam filem ini, kami juga percaya ia akan menarik peminat baru yang menggemari pelakon seperti Zizan, Harun dan Shahira untuk menyaksikan kisah lucu ini," katanya.

Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, melihatkan sambutan yang baik terhadap filem Ghost Buddies, kedua-dua produksi Astro Shaw dan Double Vision Pictures terus mengorak langkah menghasilkan filem alih suara ini khas buat peminat filem Malaysia.

"Kisah komedi sentiasa mendapat tempat di hati peminat filem di negara ini. Inilah percubaan pertama kali menggunakan suara pelakon terkenal untuk filem bagi tayangan Astro First," kata Gayatri.

Kawan-kawanku Hantu antara lain mengisahkan dua manusia cuba membantu tugas hantu untuk memenuhi impian mereka. Sepanjang tugas ini, bermacam-macam kejadian lucu berlaku.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan