Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Hevance pejuang lagu Iban

Posted:

Hevance pejuang lagu Iban

Hevance pejuang lagu Iban

MALAM Sabtu lalu melakar sejarah baharu yang sukar dilupakan buat anggota band Hevance apabila mereka muncul juara Anugerah Juara Rentak Ruai 2011 (AJARR) 2011, suatu acara muzik paling berprestij buat penyanyi Iban yang berlangsung di Dewan Suarah, Sibu, Sarawak.

Kali pertama menjejakkan kaki di pentas AJARR 2011 menerusi lagu rock berjudul Aku Nemu (Aku Tahu) ciptaan vokalis Hevance sendiri, Aldrich, Hevance yang turut dianggotai Joners (gitar), Lucas (bass), Gideon (dram) dan Nathanial (keyboard) tidak pernah menyangka mereka akan menewaskan 11 penyanyi popular Iban yang lain.

Bertemu dengan mereka sebaik AJARR 2011 berakhir, senyuman kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap anggota Hevance.

Kata Aldrich: "Memang terkejut kerana ini kali pertama kami cuba nasib dan terus menang. Ketika nama band kami diumumkan juara, saya seperti mahu pengsan dan terasa kaku buat sementara waktu.

"Kami buat persembahan dalam AJARR 2011 adalah untuk menghiburkan orang ramai dan berkongsi muzik kami dengan semua peminat muzik Iban. Kemenangan itu sesuatu yang tidak ada dalam fikiran kami tetapi dalam masa yang sama kami bersyukur kerana juri melihat potensi serta bakat yang ada dalam band Hevance."

Ditanya siapakah antara sebelas penyanyi yang bertanding pada AJARR 2011 yang memberi saingan paling sengit kepada Hevance, kesemua anggota band Hevance memilih penyanyi jelita Melissa Francis. Malah dalam jangkaan Hevance, Melissa yang bakal muncul sebagai juara.

"Kami semua ingat Melissa yang akan menang kerana persembahan, vokal dan bakat yang dimilikinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Tambahan lagunya juga sungguh sedap dan amat popular dalam kalangan peminat muzik Iban," ujar Nathanial melontarkan pandangannya.

Aku Nemu yang merupakan single kedua daripada album pertama band Hevance yang diberi judul Sada Ati (Rintihan Hati) dicipta dalam masa hanya empat jam sahaja. Bagaimanapun persiapan untuk persembahan dalam AJARR 2011 telah bermula sejak bulan Mac yang lalu.

"Kami melakukan persiapan dalam tempoh kira-kira dua bulan. Masa yang lama diambil kerana kami ingin memberi impak pada kemunculan pertama kami. Ternyata latihan itu sangat berbaloi apabila kami bergelar juara," tutur Aldrich yang turut mencipta lagu untuk penyanyi Iban yang lain.


MELISSA menguasai pentas AJARR 2011 dengan pesona yang tersendiri.


Kemenangan Hevance yang membawa muzik baharu dalam industri muzik Iban yang selama ini dimonopoli oleh genre irama Malaysia khususnya joget, namun kemenangan band Masterpiece yang membawa irama Iban Fusion pada AJARR 2010 telah mengubah senario tersebut.

Akui Aldrich, Masterpiece memberi suntikan semangat untuk mereka terus berjuang dalam irama Iban Fusion berbanding dengan irama Malaysia yang lebih diterima secara meluas oleh segenap usia etnik Iban di Sarawak.

"Saya dapat lihat perkembangan yang amat menggalakkan sejak Masterpiece menang AJARR 2010. Munculnya lebih banyak muzik genre baharu dalam industri muzik Iban serta orang ramai semakin terbuka terhadap muzik baharu seperti kami.

"Kalau ikutkan orang-orang tua lebih sukakan lagu irama Malaysia, tetapi apabila anak muda lihat muzik rock juga semakin diterima, muzik Iban semakin berkembang kerana ramai anak muda semakin berani muncul dengan lagu ciptaan masing-masing tidak ketinggalan band Hevance juga," luah Nathanial.

Hevance ditubuhkan pada tahun 2001 dan mula aktif dalam industri muzik Iban sejak tahun 2008. Menurut Aldrich band Hevance telah melalui beberapa pertukaran anggota dan mereka telah melahirkan album sulung pada bulan Jun tahun lalu.

Kemenangan Hevance melayakkan mereka menerima trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000.

Melissa paling popular

Melissa Francis yang membawakan lagu ciptaan adik lelakinya, Hairee Francis berjudul Mutus Ati (Kurelakan) sememangnya memberi impak yang cukup hebat. Tidak hanya daripada kostum yang dipakainya, malah Melissa turut melakukan gimik lakonan ketika melakukan persembahan.

Melissa merupakan penyanyi Iban yang paling popular buat masa ini. Buktinya, Mutus Ati telah dipilih menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh peminat sebagai juara lagu popular dengan undian sebanyak 21,226, satu angka yang cukup besar.

Bukan itu sahaja, Melissa turut dipilih oleh juri profesional sebagai pemenang vokal terbaik. Kemenangannya itu membolehkan Melissa membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000 secara keseluruhannya. RM2,000 untuk vokal terbaik dan RM3,000 untuk juara lagu popular.

"Saya tidak sangka akan menang dua anugerah sekali. Lagu Mutus Ati sangat dekat dengan jiwa saya dan apabila dipilih sebagai juara lagu popular, saya cukup senang kerana lagu yang dicipta oleh adik saya diterima ramai.

"Mengenai kemenangan vokal pula, saya rasa ramai penyanyi lain juga hebat-hebat. Mungkin ini sudah rezeki saya, sudah pasti kemenangan ini sesuatu yang cukup menggembirakan," katanya yang mengambil masa selama tiga bulan melakukan persediaan untuk AJARR 2011.

Melissa yang membawakan lagu pop dan bekerja sebagai penyunting visual di Kuala Lumpur berkata, masa latihan sangat terbatas buatnya kerana dia mempunyai pekerjaan yang tetap dan latihan dijalankan hanya pada hujung minggu sahaja.


HEVANCE layak dinobatkan sebagai juara AJARR 2011 berdasarkan kelainan muzik yang dibawakan mereka.


Disoal mungkinkah Mutus Ati berkaitan dengan kisah peribadinya selepas penceraiannya dengan penyanyi Rickie Andrewson pada bulan Jun 2011 yang juga merupakan pemenang lagu popular tempat ketiga menerusi lagunya Engkerecam Cuka (Bermasam Muka) dalam AJARR 2011.

Akui Melissa, pada awalnya lagu itu memang bersifat peribadi mengenai hatinya tetapi kini, lagu itu hanya untuk hiburan semata-mata.

"Dulu memang bersifat peribadi kerana saya kecewa dengan perkahwinan tetapi sekarang sudah tidak ada makna lagi. Saya sudah melupakan semua yang berlaku dan memandang ke hadapan sahaja. Lagu itu hanya untuk hiburan semata-mata," katanya yang mula aktif menyanyi di Kuala Lumpur.

Meskipun ada parut di hati wanita berusia 26 tahun itu, tetapi dia masih boleh berdiri di atas pentas yang sama dengan bekas suaminya di dalam AJARR 2011.

"Apabila berkaitan dengan hal kerjaya, saya bersikap profesional. Saya tidak ada sebarang masalah untuk berada dalam satu pentas yang sama dengan dia (bekas suami). Ketika menyanyi, saya memang menyanyi dengan penuh perasaan kerana menghayati lirik lagu itu," jawab Melissa.

Selain Mutus Ati yang dipetik daripada album kelimanya, Melissa turut memuatkan lagu tersebut yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu dalam album kelimanya yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Selain Melissa dan Rickie Andrewson, penyanyi Lucy M mendapat tempat kedua untuk lagu popular dengan undian sebanyak 8,396.

Persembahan Terbaik

Band Ethnic Transmissions (ET) yang pertama kali menyertai AJARR 2011 dengan lagu Pulai Pengujung (Penghujung) mampu tersenyum apabila berjaya membawa pulang trofi persembahan terbaik dan menerima wang tunai berjumlah RM2,000.

Meskipun membuat persembahan tanpa vokalis utamanya yang juga pencipta Pulai Pengujung, Macmillan Lungan yang terpaksa bekerja pada hari persembahan, ET yang dianggotai oleh Estee Clara (gitar), David (drum), Daniel Anding (gitar utama) dan Norman Anding (bass) tetap memberi persembahan terbaik dengan vokalis gantian, Kent yang merupakan anggota Masterpiece.

"Mungkin kami menang sebab Kent juga. Jika dia tidak menyanyikan lagu dengan baik dan bersungguh-sungguh ketika melakukan persembahan, kami tidak akan menerima trofi ini. Kalau daripada persembahan, kami telah beri 110 peratus tenaga," ujar Norman.

ET mengharapkan selepas kemenangan mereka di AJARR 2011 dapat membuka mata banyak pihak tentang kualiti muzik Iban.

"Kami main muzik untuk menghiburkan orang ramai dan juga memartabatkan lagi muzik Iban ke peringkat yang lebih tinggi," balas Norman lagi.

Ketua juri Iskandar Bujang menjelaskan kesemua pihak juri sebulat suara memilih band Hevence kerana kualiti serta perbezaan muzik yang dibawakan oleh mereka.

Selain Hevence, Melissa, Ethnic Transmissions, Lucy M dan Rickie Andrewson finalis lain yang turut bertanding termasuk Inochi Austin, Rolisawati, Wendy, Betty, James Jacob, Clemence Joys dan Jennarino Jeraki. Artis yang turut membuat persembahan ialah Amir UK's.

AJARR 2011 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh stesen radio swasta Cats FM. Kesemua 12 buah lagu yang bertanding dipilih selepas beberapa minggu menjuarai Carta Lagu Terbilang Cats yang disiarkan setiap Ahad pada pukul 4 hingga 6 petang dalam program Cats Ujung Minggu di radio Cats FM.

Johan enggan menilai diri

Posted:

Johan enggan menilai diri

Johan enggan menilai diri

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


JOHAN menjawab spekulasi yang mendakwa dia bakal menyertai Sepahtu.


MENURUT kaji selidik Pengukuran Pendengar Radio Nielson baru-baru ini, stesen radio Era FM kembali merampas kedudukan pertama dengan jumlah pendengar seramai 4.8 juta.

Bagi segmen pagi, Riuh Pagi Era bersama Johara (Johan, Ray dan Haniff) merupakan siaran paling popular dengan jumlah pendengar seramai 2.56 juta. Peningkatan prestasi stesen radio itu dikatakan banyak bergantung pada kredibiliti Johan Raja Lawak sebagai pelawak spontan yang menceriakan setiap pagi hari Isnin hingga Jumaat seawal pukul 6 hingga 10 pagi.

Johan juga terbabit dengan spekulasi yang mendakwa dia bakal menyertai kumpulan Sepahtu.

Kosmo! yang sempat bersua dengan Johan dalam satu acara di Holiday Villa Subang, Selangor baru-baru ini mendapatkan komen lanjut daripadanya.

Kosmo!: Benarkah Johan akan bergabung dengan kumpulan Sepahtu?

JOHAN: Saya tak cakap apa-apa dan tak tahu menahu pun mengenal hal ini. Saya dengar (cerita) pun daripada orang yang bercerita.

Stesen radio Era FM kembali mendapat tempat di hati pendengar

di Malaysia. Adakah mungkin faktor utamanya kerana adanya anda sebagai pelawak?

Bukan sebab

saya seorang. Peningkatan rating ini berpunca daripada kerjasama semua pihak yang terlibat dengan Era FM. Saya tak boleh cakap prestasi yang baik ini disebabkan oleh saya seorang.

Justeru, bagaimana Johan menilai diri Johan sekarang?

Saya tidak boleh menilai diri sendiri, kalau betul saya mengatakan diri ini hebat maka 70 peratus daripadanya adalah tipu. Biar orang lain yang menilai kita dan penilaian itu yang boleh kita jadikan kayu pengukur.

Mungkin Johan boleh berkongsi sedikit rahsia untuk menarik pendengar berdasarkan pengalaman Johan sebagai pelawak sendiri?

Saya sudah berikan yang terbaik untuk pendengar dan biarkan mereka menilai sendiri. Sekurang-kurangnya saya hasilkan satu kerja yang ikhlas untuk semua. Setiap ayat yang tersirat dan keluar daripada mulut saya tak dibenarkan melalui proses penyuntingan supaya tidak menampakkan ia terlalu sempurna.

Apa maksud Johan tidak mahu nampak terlalu sempurna?

Jika tiada proses penyuntingan, setiap percakapan deejay akan nampak semula jadi dan kata-kata yang keluar bunyinya ikhlas disampaikan kepada pendengar. Saya mengakui akan ada kesilapan apabila bercakap dan kami akan jadikan silap itu sebagai jenaka untuk berhibur.

Bagaimana rutin harian Johan sebagai penyampai radio dan membahagikan masa dengan perkara lain selain Era FM?

Saya mula menjadi penyampai radio Era FM secara rasminya pada bulan Ogos tahun lalu dan sepenuhnya tugas saya bermula pada bulan Januari 2012. Setiap hari Isnin hingga Jumaat saya perlu bangun seawal pukul 4 pagi untuk bersiap dan harus berada di dalam konti sebelum pukul 5.45 pagi. Saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin supaya tidak mengganggu kesihatan.

Perkembangan terkini Johan?

Saya akan muncul dalam program bual bicara saya sendiri berjudul, Acaner Tu Johan di Astro Warna mulai hari Khamis, pukul 10 malam, 7 Jun nanti. Program ini terbitan JWH Production Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat produksi saya sendiri.

Projek terbaharu Awie, Wings

Posted:

Projek terbaharu Awie, Wings

Projek terbaharu Awie, Wings

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


AWIE bakal muncul dalam filem berjudul Amukan Frankenstein Tempatan.


KALI terakhir kumpulan Wings muncul dengan album studio mereka adalah pada tahun 2002. Selepas itu, mereka hanya mengadakan persembahan pentas dan konsert. Bagi mengubati rindu peminat terhadap lagu-lagu mereka, Awie merancang untuk menghasilkan album baharu dengan kumpulan Wings.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 44, dia dan Wings kini sedang sibuk mengumpul lagu-lagu yang terbaik bagi album baharu mereka.

"Sehingga kini kami masih lagi mengumpul bahan untuk album baharu kami dan apa yang menariknya untuk album kami kali ini kerana kami akan memuatkan semua lagu-lagu baharu," ujarnya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum kerjasama Awie bersama Arlief Event & Management, sebuah syarikat pengurusan majlis untuk misi ekspedisi bersama peminat Awie ke Beijing dan Mongolia yang diadakan di Royal Bintang The Curve, Petaling Jaya.

Mengakui cukup selesa bersama Wings, kata Awie, buat masa ini yang menjadi masalah buat kumpulan itu adalah mencari penulis lirik yang sesuai untuk lagu mereka.

Ulasnya, kebanyakan lagu yang mereka ada kini mempunyai melodi yang menarik tetapi mereka tidak mempunyai lirik yang hebat seperti yang terdapat dalam lagu-lagu lama mereka.

"Kebanyakan lagu kumpulan Wings sebelum ini liriknya dihasilkan oleh JS Kevin dan arwah Loloq. Lagu-lagu seperti Sejati, Taman Rashidah Utama, Intanku Kesepian dan Misteri Mimpi Syakila mempunyai lirik yang hebat dan menjadi lagu berhantu kepada peminat-peminat. Kami ingin mengembalikan fenomena seperti itu kepada peminat-peminat," tuturnya.

Ditanya adakah dia dan Wings ingin memberikan nafas baharu pada lagu-lagu popular Wings untuk album baharu mereka nanti, ungkap Awie, setakat ini Wings masih belum membuat perancangan untuk memasukkan lagu-lagu lama di dalam album baharu mereka.

"Walaupun ada permintaan daripada peminat yang ingin mendengar semula lagu-lagu lama Wings yang diberi nafas baharu tetapi kami tiada sebarang perancangan untuk susunan muzik baharu bagi lagu-lagu lama Wings. Namun, pada masa akan datang tak tahu lagi. Kalau ikutkan, saya sebenarnya teringin juga menyanyikan lagu-lagu lama Wings yang diberi nafas baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang terkenal dengan watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu juga bakal bekerjasama sekali lagi dengan pengarah, Mamat Khalid untuk filem baharu yang berjudul Amukan Frankenstein Tempatan.

Masih berkonsepkan cerita komedi, bagaimanapun menurut Awie, cerita itu bukan kesinambungan kepada filem Hantu Kak Limah Balik Kampung atau Zombie Kampung Pisang.

"Walaupun berkonsepkan komedi seram, cerita ini bukan kesinambungan cerita-cerita komedi seram Mamat Khalid sebelum ini. Sekali lagi saya akan bekerjasama dengan Mamat Khalid dan jangan salah faham pula saya hanya menerima tawaran daripadanya saja. Saya cuma serasi bekerjasama dengan Mamat," ulas Awie yang baharu memenangi gelaran Aktor Terbaik bagi kategori Teater Muzikal BOH Cameronian Arts Awards 2012.

Duta pelancongan

Sementara itu, Awie baru saja menandatangani memorandum kerjasama bersama Arlief Event & Management, sebuah syarikat pengurusan majlis untuk misi ekspedisi ke Mongolia dan Beijing bersama peminat bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Ekspedisi kembara berkonsepkan percutian itu semestinya sesuatu yang tidak harus dilepaskan kerana peserta bukan saja akan menjelajah destinasi menarik, malah peluang beramah mesra dengan Awie sepuas-puasnya.

Menurut Pengarah Arlief Event & Management, Muhammad Alif Haziq Azman, pemilihan Awie untuk ekspedisi itu adalah kerana dia merupakan artis popular yang memiliki jutaan peminat.

"Awie seperti yang kita tahu ada pengaruh besar dalam industri hiburan tanah air. Saya juga antara seorang peminat setianya sejak daripada kecil lagi. Ini merupakan projek kali pertama syarikat saya dan saya teruja dan gembira kerana Awie bersetuju untuk terbabit dalam projek julung-julungnya syarikat saya.

Jelas Muhammad Alif, pelbagai aktiviti sudah disusun untuk sesi jelajah ke Beijing dan Mongolia nanti namun buat masa ini kami mengalukan sambutan daripada sesiapa yang berminat untuk menyertainya," katanya.

Menyasarkan seramai 200 peserta, Alif memberitahu, selain dapat meluangkan masa bersama Awie, peminat yang menyertai ekspedisi itu juga berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik yang terdapat di Beijing dan Mongolia.

Percutian selama enam hari lima malam itu menawarkan pakej berpatutan iaitu sebanyak RM2,990 seorang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan