Nuffnang

Gosip Artis Malaysia

sumber :-

Gosip Artis Malaysia


Yuna Utamakan Bidang Muzik Berbanding Jadi Duta Produk

Posted: 15 May 2012 06:26 PM PDT

Yuna. Foto LOW LAY PHON
PETALING JAYA: Penyanyi Yuna atau Yunalis Zarai tetap akan memberikan keutamaan kepada bidang nyanyian walaupun banyak menerima pelawaan untuk menjadi duta produk.
Yuna, 26, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah melihat perkara itu sebagai masalah kerana tawaran yang datang sentiasa seiring dengan perjalanan karier seninya.
"Semua produk yang diwakili saya langsung tidak mengalih perhatian saya kerana sebelum membuat keputusan itu, saya turut mengambil kira tentang kerjaya nyanyian.
"Sebagai contoh menjadi duta produk Canon, memberi peluang kepada saya untuk merakamkan perkara menarik dalam hidup saya kerana saya sendiri meminati bidang fotografi.
"Saya percaya pada satu tahap yang lain ia turut memberi inspirasi kepada peminat dan masyarakat keseluruhan," ujarnya  pada majlis Inspirasi Selebriti Macy di sini, pada Selasa.
Tambah Yuna, dia juga bersetuju untuk mewakili sesuatu produk yang ditawarkan kerana mereka tidak menitikberatkan soal rupa paras tetapi menghargai kualiti lain yang ada pada dirinya.
Dalam pada itu, Yuna turut memberitahu pihak pengurusannya di Amerika Syarikat tidak membantah penglibatannya menjadi duta produk di negara ini.
"Jika ia berkaitan dengan kerjaya saya di Amerika mereka berhak untuk masuk campur tetapi tidak aktiviti di Malaysia dan ia telah dipersetujui sejak awal lagi.
"Jadi tidak timbul sebarang masalah jika saya mewakili sesuatu produk atau ingin mengeluarkan album di negara saya sendiri," ujarnya.
Sementara itu, Yuna berkata, dia sangat gembira apabila album pertamanya di negara berkenaan telah dilancarkan dan terharu dengan penerimaan peminat.
Jadualnya juga cukup padat untuk mempromosikan album terbarunya itu dan bakal menjelajah ke seluruh Amerika Syarikat pada bulan depan.
"Bayangkan setiap negeri di Amerika ada 10 stesen radio berbeza dan rangka promosi yang diaturkan sangat padat tetapi ia memberi pengalaman baru buat saya.
"Saya kembali ke Malaysia pun untuk tempoh yang singkat dan akan kembali ke sana dalam masa terdekat untuk konsert jelajah," ujarnya.
Mengulas kemunculannya dalam program Conan Show di negara berkenaan baru-baru ini, Yuna memberitahu dia sangat gementar namun berjaya melakukannya selepas memikirkan peminatnya di tanah air.
"Saya tahu mereka akan menonton dan mahu buat semua orang di Malaysia bangga dengan saya tetapi gementar dalam hati hanya Allah yang tahu.
"Saya juga amat berharap album ini akan dilancarkan di Malaysia untuk peminat saya," katanya.

- ---

Isu Perceraian Buat Dayang Fobia Mahu Kahwin

Posted: 15 May 2012 05:49 PM PDT

Dayang Nurfaizah
PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah menyifatkan pelbagai isu rumah tangga termasuk perceraian yang berleluasa ketika ini membuatkan dia berasa fobia untuk berkahwin pada masa terdekat.
Pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini berkata, dia tidak terdesak untuk mencari pasangan hidup walaupun bakal mencecah usia 31 tahun pada 20 Julai depan.
"Faktor usia tidak menjadi isu buat saya. Malah ibu bapa dan keluarga saya juga tidak pernah bertanya kerana mereka memahami dan menghormati keputusan saya.
"Bohonglah kalau saya kata tidak mahu berkahwin. Apatah lagi apabila usia semakin meningkat, keinginan untuk berumah tangga memang ada cuma saya belum bersedia dan tidak ada calon pun," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dayang berkata kes-kes perceraian dan keruntuhan institusi keluarga yang berlaku di kalangan masyarakat mendatangkan kebimbangan kepadanya.
"Banyak sangat kes-kes perceraian yang berlaku membuatkan saya takut untuk berkahwin.
"Saya tidak sanggup untuk bertolak-ansur dalam banyak hal dan belum bersedia untuk menjaga orang lain (suami) dalam hidup saya.
"Saya bimbang jika berkahwin kelak, saya tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab seorang isteri dengan sempurna," jelasnya.
Ditanya tidakkah mahu berusaha ke arah itu, Dayang berkata, pada waktu ini dia lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerjaya nyanyian terlebih dulu.
"Namun, saya tidak sekat diri untuk berkawan dengan sesiapa pun cuma yang istimewa belum ada. Bagaimana hendak ada kekasih kalau kebanyakan waktu hanya untuk kerja dan saya jarang keluar berjumpa dengan orang ramai," ceritanya.
Dayang baru saja terlibat dalam persembahan amal bersama penyanyi Anuar Zain pada konsert One Night Only di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam Selasa lalu.
Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini juga akan membuat persembahan pada konsert Datuk D.J Dave di Istana Budaya pada 1 hingga 3 Jun depan.

- ---

Saiful Apek Lupakan Hasrat Tuntut RM200,000 Daripada David Teo

Posted: 15 May 2012 05:48 PM PDT

Apek akur dengan keputusan mahkamah. Foto SHAARI CHE MAT
SUBANG JAYA: Pelawak Saiful Apek yang ingin membuat tuntutan sebanyak RM200,000 terhadap penerbit filem David Teo terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana tuntutan itu sebenarnya telah dibatalkan oleh mahkamah.
Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff berkata, dia tidak tahu mengenai pembatalan tuntutan berkenaan kerana tidak dimaklumkan oleh peguamnya sebelum ini.
"Tuntutan tersebut dibuat sejak tahun 2005 lagi dan saya terkejut apabila dia (David Teo) menunjukkan dokumen-dokumen berkaitan kepada program hiburan Melodi di TV3 pada Ahad lalu dengan mengatakan kes berkenaan sudah ditutup. Saya langsung tak tahu apa-apa.
"Malah peguam saya sendiri tidak memberitahu hal itu kepada saya. Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan keputusan mahkamah seperti dinyatakan pihak yang satu lagi (David)," katanya.
Apek berkata demikian pada sidang media khas di Tease Restaurant, Subang Avenue, di sini, petang Selasa, bagi menjelaskan isu pergelutan antaranya dengan David.
Terdahulu dalam laporan akhbar sebelum ini, Apek mendakwa David yang juga pemilik syarikat Metrowealth International Group (MIG) menganiayanya apabila gagal membayar wang pelaburan sebanyak RM200,000 bagi kerjasama melaksanakan projek dua buah filem iaitu Anak Mami Kembali dan Lady Boss.
Menurut Apek, dia ditawarkan berlakon dalam kedua-dua buah filem tersebut dengan bayaran RM100,000 sebelum ia dilaburkan semula untuk dijadikan sebagai kos pembikinan filem berkenaan.
Dia juga dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM200,000 atau 10 peratus sebagai penerbit bersama.
Bagaimanapun Mahkamah Seksyen, Shah Alam membatalkan tuntutan tersebut.
Dalam pada itu Apek bertegas, tuntutan yang dilakukannya itu bukan ingin mencetuskan isu atau memfitnah produksi berkenaan.
"Saya tidak akan menimbulkan isu tuntutan berkenaan sekiranya ia tidak benar, tetapi nak buat macam mana, mungkin saya kurang arif tentang hal kontrak yang diberikan kepada saya sebelum ini.
Tambah Apek, insiden itu membuatkan dia merancang untuk menjadi sukarelawan dengan menubuhkan Biro Kebajikan Eksklusif Masyarakat Artis dan Seni (KEMAS) bagi membantu para artis memahami tentang isu kontrak dalam sesebuah produksi.
"Dengan pengalaman yang telah dilalui, banyak pengajaran yang saya peroleh. Sebab itu saya ingin menjadi sukarelawan di mana menerusi KEMAS, artis-artis yang kurang memahami tentang hal-hal kontrak bekerja di bawah sesebuah produksi boleh merujuk kepada saya," katanya.

- ---

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan