Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Idea tersimpan 3 tahun

Posted: 01 May 2012 06:02 AM PDT

MEREKA pernah merasai saat jatuh bangun bersama dalam memperjuangkan muzik yang begitu asing iaitu rock alternatif pada 1994. Ketika itu, Ahmad Izham Omar bergelar pengasas dan juga Pengarah Pengurusan syarikat rakaman Positive Tone. Manakala Radhi bergelar penyanyi dan Qi sebagai pemain dram kumpulan Old Automatic Garbage (OAG) yang kemudiannya ditukar kepada Orang Asia Genius.

Pelbagai masalah peribadi dan dalaman yang berlaku memaksa mereka membawa haluan hidup masing-masing selepas itu. Bagaimanapun, siapa sangka selepas 18 tahun, gandingan ini bertemu semula untuk satu projek khas dalam penerbitan drama Friday I'm In Love yang bersiaran menerusi TV9 bermula 19 April lalu.

Meskipun dalam situasi berbeza dengan Ahmad Izham Omar kini bergelar Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Qi yang kini sukses sebagai pengacara dan pelakon serta Radhi masih kekal dalam kerjaya lamanya, status ini sedikitpun tidak membataskan kemesraan mereka yang berputik sekian lama.

Bahkan suasana di studio Balai Berita tidak sunyi dengan celoteh mereka bertiga yang kembali menguak jendela kenangan lalu. Sesekali pecah berderai ketawa mereka apabila dihidangkan dengan lawak selamba daripada Radhi. Ternyata, banyak perkara yang dikongsikan mereka mengenai pembabitan dalam siri drama 13 episod ini.


Friday I'm In Love diterajui oleh Qi sebagai Awang dan turut menampilkan pelakon lain iaitu Nellydia Senrose, Ryzal Jaafar, Aiman Mentor, Zoey Rahman dan Bella Dally yang membawakan watak sebagai teman Awang. Drama sarat dengan nilai persahabatan, kasih sayang dan kekeluargaan ini diilhamkan oleh Ahmad Izham sendiri. Manakala Radhi pula bertindak selaku penyanyi lagu tema.


"Saya sedang mendengar lagu Friday I'm In Love nyanyian The Cure dan terfikir untuk buat satu cerita berkisarkan seseorang yang sering jatuh cinta pada hari Jumaat dan berakhir pada Khamis berikutnya. Impian ini dapat direalisasikan sebaik bertemu dengan penulis skrip Sofia J Rhyland.

"Sebenarnya idea ini sudah tersimpan sejak tiga tahun lalu dan menerusi perbincangan dengan Sofia, kami bangunkan cerita ini mengikut situasi sekarang. Saya sendiri tak fikir dan sangka Qi dipilih untuk bawa watak ini kerana segala-galanya diserahkan kepada unit produksi.

Begitu juga dengan pemilihan Radhi sebagai pencipta dan penyanyi lagu tema drama ini.

"Saya terkejut apabila Jai (Jalena Rejab, penerbit) maklumkan perkara ini dan anggap ia sesuatu yang sangat menarik. Saya masih ingat kami bersama perah keringat memasarkan album pertama berjudul Old Automatic Garbage dan tiba-tiba album ini meletup. Inilah yang menyebabkan Positive Tone (PT) boleh terbitkan album artis lain.

"Tanpa mereka berdua, tiadalah saya pada kedudukan sekarang dan mungkin masih bermain muzik di hotel. Disebabkan PT popular, TV3 menawarkan saya bekerja di 8TV kerana mereka nak buat konsep begini. Itu cerita 18 tahun lalu dan tak sangka kami akan bergandingan lagi dalam Friday I'm In Love.

"Saya percaya pada bakat Radhi menghasilkan lagu tema drama ini. Melodi yang dihasilkannya dari dulu sampai sekarang sangat dahsyat. Gabungan kami pasti mampu menghasilkan sesuatu yang menarik menerusi drama ini. Sehingga kini saya begitu terhutang budi dengan OAG yang membawa imej PT. Kini saya kembali bersama mereka dan saya teruja dengan apa yang dilalui," kata Ahmad Izham.

Qi juga teruja dapat kembali bergabung dengan Ahmad Izham dan Radhi. Dia yang sengaja memilih nama Awang untuk watak utama, mengakui gembira dipertemukan semula menerusi Friday I'm In Love.

"Saya mahu kelainan kerana apa salahnya nama Awang tetapi hidup dalam situasi masyarakat sekarang. Ini drama yang kedua selepas Blogger Boy dan tentunya pengalaman sangat berbeza. Konsep cerita ini menarik dan lain daripada biasa. Ia banyak berkisarkan kepada persahabatan. Awang memang malang kerana sering putus cinta tapi hebatnya dia tak kenal putus asa.

"Kawan-kawan juga sering menyokong tindakannya. Disebabkan cerita ini, kami jadi rapat dan sering berhubung biarpun penggambaran sudah tamat. Begitu juga dengan pengarah yang sering bagi tunjuk ajar dan boleh menerima pendapat kami. Inilah yang membuatkan semua pihak yang terbabit dapat menjalankan kerja dengan baik.

"Sebenarnya saya tak tahu drama ini diilhamkan oleh Ahmad Izham. Saya tahu Radhi masih aktif bermain muzik dan menghubungi dia supaya buat lagu tema. Dia tanya saya apa konsep ceritanya dan saya jelaskan serba sedikit. Dia berimaginasi sendiri dan tak sangka lagunya kena dan mewakili konsep drama ini. Saya sangat terharu dengan kerjasama semula kami. Apatah lagi kami memang ada perancangan nak buat reunion," katanya.

Radhi menjelaskan Qi menghubunginya awal Januari lalu menyatakan hasrat memintanya mencipta lagu. Dia hanya mengambil masa singkat untuk menghasilkan lagu berjudul Friday I'm In Love ini.

"Saya sudah biasa dengan Qi dan tahu apa yang dimahukan. Masa yang diambil untuk merakam lagu ini hanya tiga hari. Saya fokus apabila bekerja dalam menepati deadline. Saya mahu lagu yang sempurna tapi OAG sebenarnya sudah ada trademark sendiri. Selepas lima tahun tanpa lagu, inilah buah tangan terbaru saya buat peminat. Konsepnya saya ambil daripada album pertama OAG.

"Alhamdulillah tanpa disangka saya dapat kembali bekerjasama dengan Qi. Begitu juga Ahmad Izham yang banyak bagi peluang pada saya walaupun saya kerap mengecewakannya dulu. Maklumlah sebelum ini saya dipengaruhi oleh perkara negatif. Kalau diikutkan banyak lagi projek tahun 1990-an yang belum ditunjuk kepada peminat. Mungkin kami akan bincang menghasilkannya dalam bentuk filem bebas pula," katanya yang kelihatan agak berisi sekarang.


Tandus pengurus kental

Posted: 01 May 2012 05:48 AM PDT

APA akan jadi apabila sesebuah lagu melalui proses rakaman studio yang buruk? Dan apa pula akan berlaku kepada artis jika tidak memiliki pengurus yang bagus untuk menegur kesilapan dan memperbaiki penampilan diri?

Ini antara beberapa faktor yang dipandang serius oleh komposer berpengalaman, Fauzi Marzuki, 57, untuk memastikan industri muzik Malaysia terus berada pada tahap terbaik. Bukan itu saja, dia turut meluahkan pandangannya terhadap perkembangan kurang selesa dengan tahap artis sekarang yang kurang bijak berkomunikasi dengan golongan peminat dan pendengar yang terdiri daripada pelbagai latar.

Bukan itu saja, dia juga antara komposer 'old-timer' sentiasa mengikuti perkembangan muzik terkini terutamanya penggunaan komputer dan studio bagi memantapkan proses rakaman muzik dan selari dengan perubahan waktu.

Dengan perkembangan sekarang, dia menganggap perkembangan muzik memerlukan tahap pendekatan berbeza kerana analog dan digital adalah dua zaman yang memerlukan pendekatan berbeza.


Ikuti temu bual WARTAWAN RAP, ESME JOHARI WAHAB bersama Fauzi yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.


Antara pencapaiannya, dia pernah muncul pemenang lima kategori berbeza iaitu tiga kategori Anugerah Juara Lagu dan dua kategori menerusi Pujaan 10 Nescafe pada 1992.

RAP: Ceritakan pengalaman anda selama lebih tiga dekad dalam industri muzik tanah air?

FAUZI: Saya adalah pemain gitar kumpulan Discovery dari 1975 hingga 1977 dan merakam satu album bersama kumpulan ini. Dari 1978 hingga 1980, saya kerap mengiringi persembahan Anita Sarawak di Malaysia dan Singapura. Minat mendalam muzik mendorong saya membuka studio sendiri Sun Recorders di Sun Complex dan bekerja sebagai pembantu studio di Warner Music (M) pada masa sama.

Beberapa tahun kemudian pada 1983, saya bertugas sebagai pengurus A & R bersama EMI Music (M) mengendalikan urusan dan konsert pelbagai artis seperti Allahyarham Sudirman, Anita Sarawak, Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave, Rosemaria, Anuar/Ellina, Sweet September, Cenderawasih dan ramai lagi. Saya pernah merakam album Antara Yang Manis nyanyian Anita di Capitol Records Amerika Syarikat, Datuk Sheila Majid di Indonesia serta Tokyo dan merakam lagu Sudirman, One Thousand Million Smiles di London. Sekarang saya bergerak sebagai jurutera bunyi dan komposer bebas dan masih mencipta lagu untuk artis baru.

RAP: Apakah matlamat Fauzi sebagai komposer? Masih ada aura dan sering dijemput sebagai juri undangan?

FAUZI: Sejak dari dulu sehingga sekarang, prinsip saya masih tidak berubah. Apa yang mahu sampaikan adalah mencipta muzik yang berkualiti untuk pendengar. Masyarakat perlu dididik mendengar muzik dan lagu bagus. Bukan jenis lagu tangkap muat dan tidak mampu bertahan lama kerana tiada nilai 'malar hijau'. Saya tidak mahu komen lebih kerana kita sepatutnya sudah ada kematangan memberikan muzik seperti itu kepada masyarakat. Lagi pun, maklum balas yang saya terima, orang lama masih suka lagu lama dan generasi baru pula, sekali dengar lagu lama, mereka sudah suka walhal zaman mereka dibesarkan dengan lagu seperti itu berbeza suasana dan keadaan.

RAP: Pandangan Fauzi terhadap artis sekarang?

FAUZI: Artis sekarang memerlukan pengurus yang bagus dan faham selok-belok mengurus artis. Apa saya lihat sekarang 'trend' menggunakan Personal Assistant (PA) lebih digemari mereka. Artis memerlukan pengurus berjiwa kental kerana pengurus terbabit boleh membentuk, menegur, memperbaiki skil berkomunikasi, memilih baju sesuai dengan penampilan atau apa saja termasuk memarahi artis jika perlu. Ini demi kebaikan kerana saya pernah bekerja dengan ramai artis yang matang kerana dibentuk oleh pengurus yang baik. Cuba lihat Sudirman, dia mempunyai pengurus dan promoter muzik yang berdedikasi seperti Mike Bernie Chin dan Dharanee Kannan. Jika mahu maju, artis kena memiliki identiti sendiri, ada inisiatif menonton konsert artis berjaya dan menyesuaikannya dengan personaliti mengikut apa mereka mahukan, bukan tiru bulat-bulat.

RAP: Bagaimana menjadi pendengar muzik yang bagus?

FAUZI: Terus-terang, saya memang meminati jazz dan mendengar semua jenis muzik. Saya meminati gitaris dan kumpulan jazz seperti Lee Ritenour, Larry Carlton, kumpulan Mezzoforte mahu pun Spyro Gyra, Bukan itu saja, saya juga mendengar kumpulan 'heavy-metal' seperti Iron Maiden yang memiliki kualiti rakaman dan solo gitar yang hebat. Pendekatan seperti ini memberi lebih banyak idea terhadap kefahaman muzik. Jika boleh jangan hadkan diri mendengar kalau rock, rock saja atau pop, pop saja. Saya sentiasa membandingkan lagu saya dengan muzik luar untuk menilai kekurangan dan kelebihan.

RAP: Apakah Fauzi komposer jenis 'old school' atau menggunakan pendekatan moden terhadap mencipta lagu-lagu baru?

FAUZI: Saya akui zaman sekarang dan zaman saya memula karier jurutera audio berbeza. Dulu segala-galanya analog, semua dilakukan manual termasuk memotong pita rekod. Bagi saya, saya bukan jenis 'old school' kerana perlu ikut perkembangan semasa. Saya memang suka komputer dan mula belajar menggunakan komputer dalam urusan seharian sejak 80-an lagi. Sejak itu, tidak menoleh ke belakang dan terus belajar mengikuti perkembangan terbaru komputer hingga sekarang. Segala proses rakaman audio rakaman gitar, bass, gitar bass, vokal dan beberapa elemen lain diadun dan digabung menjadi sebuah lagu yang lengkap dengan menggunakan komputer.

Memang track rakaman sekarang lebih banyak berbanding dulu, lapan, 12, 24, 32 dan sekarang 48. Apapun, asas masih sama kerana setiap satu ada peranan tersendiri dan bergantung kepada kreativiti dan adanya pengetahuan komputer sudah tentu memberi kelebihan mendapatkan hasil lebih baik.

RAP: Boleh berkongsi pengalaman, apa beza tugas komposer dan produser?

FAUZI: Seorang produser bukan semestinya seorang komposer. Seorang komposer pula belum tentu boleh jadi produser yang baik. Mengikut pengalaman saya, komposer bukan seorang yang 'well-verse' dengan proses studio dan lagu pula perlu dirakam dengan baik sebelum dipasarkan. Zaman sekarang, komposer terdedah kepada proses rakaman studio digital yang canggih dan faham selok-belok studio. Apa perlu dibuat sekarang adalah mendapatkan semula sentuhan studio atau 'getting it back to the right path' . Komposer perlu membuat lagu bagus dan produser menghasilkan kualiti rakaman bagus. Sehebat mana pun sesebuah lagu, jika rakaman berkualiti rendah, ia menjejaskan lagu terbabit kerana 'sound' tidak sedap, lagu jadi tidak sedap!. Lagipun, 'production wise' tidak mencapai tahap terbaik.

RAP: Bagaimana dikatakan lagu itu bagus?

(F): Lagu yang bagus mesti ringkas dan tidak berlebihan, tidak perlu terlalu pendek atau terlalu panjang kerana terlalu banyak muzik juga akan membuatkan pendengar tidak tahu mana satu mereka mahu dengar. Sebaiknya lagu bukan jenis apabila orang akan jadi 'stress' dan jika boleh, jangan masukkan elemen yang tidak sepatutnya dan terlalu banyak ia menjadikan lagu itu 'kacau'. Jika anda lihat trend lagu disukai ramai atau popular dari dulu hingga sekarang, kebanyakannya mudah dan sekali dengar sudah suka. Ini yang dikatakan lagu bagus. Apapun, bagi saya rakaman studio terhadap lagu atau album mesti berkualiti, baru lagu itu boleh pergi jauh.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan