Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


'Wanita besi' menang lagi

Posted: 27 Feb 2012 03:52 PM PST

Hip

TAHUN 2012 menjadi detik kecemerlangan buat filem hitam putih tanpa suara, The Artist, apabila mengulangi kejayaan manis buat sekian kalinya dengan muncul Filem Terbaik pada Anugerah Academy ke-84 yang berlangsung di Los Angeles, semalam.

Filem yang mengambil latar era 1927 itu turut membawa pulang empat lagi trofi Oscar iaitu Pengarah Terbaik menerusi Michel Hazanavicius, Pelakon Lelaki Terbaik (Jean Dujardin), Skor Asal Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik.

Namun, paling menonjol tentunya pelakon veteran, Meryl Streep, yang menggenggam Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik hasil lakonan mantapnya dalam The Iron Lady, manakala Octavia Spencer memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk filem The Help dan Christopher Plummer untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi filem Beginners. The Artist menjadi judul bisu pertama yang mendapat pengiktirafan besar selepas filem Wings (1927) melakukannya pada penganjuran Oscar pertama pada 1929.

"Sayalah pengarah paling gembira di dunia," kata Havanavicius ketika menerima trofi sambil tidak lupa mengungkap rasa terima kasihnya kepada barisan pelakon dan kru.

"Saya turut berterima kasih kepada penyumbang dana filem ini, iaitu orang yang paling gila kerana mempercayai saya dengan meletakkan wang mereka untuk filem ini," katanya.

Sementara itu, kemenangan Streep yang sudah diramal ramai mengulangi kejayaan sama pernah diraih aktres berkenaan hampir tiga dekad lalu. Memegang watak sebagai bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher yang dibawa Streep dalam filem The Iron Lady mendapat pujian ramai kerana dikatakan cukup menjadi.
Pelakon berusia 62 tahun itu pernah memenangi kategori berkenaan ketika membintangi filem Sophie's Choice, bagaimanapun tewas sebanyak 13 kali dan pernah memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita pada 1979 untuk filem Kramer vs Kramer.

"Apabila nama saya disebut, saya seolah-olah dapat mendengar sebahagian daripada penduduk Amerika berkata oh tidak, kenapa dia lagi? Tapi saya tidak peduli," katanya sambil ketawa.

Kemenangan itu adalah yang ketiga untuk Streep. Aktor dan aktres lain yang pernah memenangi Oscar sebanyak tiga kali ialah Jack Nicholson, Walter Brennan dan Ingrid Bergman, hanya Katharine Hepburn pernah empat kali memenangi Oscar.

Pelakon utama The Artis, Jean Dujardin yang baru memenangi kategori sama pada Anugerah Akademi Seni Filem dan Televisyen British (BAFTA) dua minggu lalu ternyata cukup teruja dengan kemenangan pertamanya di Oscar.

Dujardin yang popular di Perancis, memberikan sedikit kejutan apabila muncul aktor pertama Perancis yang menyerlah di Anugerah Academy.

Dujardin yang mula dikenali di negaranya selepas muncul dalam sebuah program pencarian bakat Nous C Nous, bukanlah calon kegemaran untuk memenangi kategori ini. Sebaliknya George Clooney dan Brad Pitt pada mulanya disebut-sebut bakal mengungguli kategori berkenaan.

Bagaimanapun, kemenangan demi kemenangan diraih pelakon berusia 39 tahun ini mengubah persepsi ramai.

Bagi pelakon yang pernah membintangi filem muzikal The Sound Of Music, Christopher Plummer, anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi cukup memberi makna buat dirinya apabila trofi yang menjadi impiannya selama ini hanya berjaya digenggam setelah usianya mencecah 82 tahun.

"Ke manakah kamu selama ini?

Saya ada pengakuan yang ingin dibuat, sejak berada dalam perut ibu lagi, saya sudah berlatih berucap kerana memenangi Oscar," kata pelakon itu yang menyerlah dengan watak sebagai duda tua yang terjebak dengan cinta sejenis.

Ternyata bukan Plummer saja yang mendapat pengiktirafan pada usia senja. Sebelum ini pelakon Jessica Tandy menerima Oscar yang pertama pada usia 80 tahun untuk filem Driving Miss Daisy.

Bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula, Octavia Spencer yang membawakan watak pembantu rumah kulit hitam dalam filem The Help berjaya mendapat Oscar pertamanya.

Sementara itu, Hugo arahan pengarah veteran, Martin Scorsese, yang meraih pencalonan paling banyak iaitu 11, tewas kepada The Artist apabila filem berkenaan yang menerima dua anugerah terawal hanya membawa pulang lima anugerah saja, iaitu untuk kategori Sinematografi, Penata Seni, Kesan Bunyi, Adunan Bunyi dan Suntingan Bunyi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan