Harian Metro: Rap |
Posted: 08 May 2011 07:30 AM PDT SEKALIPUN berusia 39 tahun, Rozita Che Wan tetap cantik dan kelihatan muda. Justeru, tidak hairanlah apabila ibu tunggal kepada dua anak ini sering dikaitkan dengan gosip percintaan. Bukan saja dengan golongan kenamaan tetapi rakan seangkatan. Terbaru dan masih hangat, pastinya gosip membabitkan Rozita dan juara Akademi Fantasia 8 (AF8), Ahmad Shahir Zawawi, 23, yang kini tersebar luas. Hinggakan, ahli Kelab Peminat Shahir turut memberi maklum balas kurang senang pada gosip itu. Malah, ada antara peminat fanatik Shahir sanggup menghubungi Harian Metro meluahkan perasaan bengang dan geram kepada Rozita. Bagi mereka, Rozita tidak wajar cuba mendekati Shahir yang jauh lebih muda daripadanya. Bahkan, Rozita diminta tidak menumpang populariti Shahir.
"Tidak dinafikan, memang banyak gosip saya dan Shahir dipaparkan media, sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, kami sekadar rakan sesama artis. "Tidak salah, kami berkawan dan ia juga tak perlu dipandang serong sesiapa serta kurang disenangi. "Lima tahun bergelar anak seni, saya sudah lali dengan pelbagai gosip. Terutama, gosip membabitkan kisah percintaan. Saya masih ingat, gosip pertama saya sebagai artis apabila dikaitkan bercinta dengan lelaki yang saya tak pernah kenal. "Gosip kedua, dengan lelaki yang hanya bersahabat dengan saya. Justeru, sekarang dengan lelaki muda pula. Dalam soal ini, saya fikir adalah lebih elok berkawan dengan lelaki muda berbanding menjalin hubungan dengan suami orang. "Saya akui selesa berkawan dengan lelaki muda kerana mereka sangat menghormati dan matang. Jadi, saya tak kisah dengan apa yang orang hendak perkatakan. Saya tak berlakon pun orang tetap gosip juga. Oleh itu, gosip memang lumrah hidup artis," katanya. Enggan melayan gosip yang tidak berasas, Rozita berkata dia menceburi bidang lakonan bukan suka-suka dan atau memikirkan populariti, tetapi bagi menyara kehidupan keluarga. Katanya, dia sangat bersyukur rezeki lakonan diterima tidak putus-putus. Menurut Rozita, jadual lakonan yang padat turut menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat bersara yang pernah diluahkannya dulu. Jelas Rozita, dia bukan main-main untuk bersara kerana mahu memberi tumpuan pada anak dan perniagaan diusahakan. "Tetapi, rezeki lakonan yang tak putus diterima membuatkan saya harus memikirkannya semula. Justeru, buat masa ini saya takkan bersara dan meneruskan karier lakonan seperti biasa. Mengenai perniagaan, saya ada rakan kongsi yang boleh membantu. "Saya menceburi perniagaan fesyen kerana minat mendalam. Bahkan, saya melihat sememangnya wanita dan gaya cukup sinonim, termasuk mereka yang bertudung. Jadi, dengan penubuhan butik pakaian muslimah My Couture Sdn Bhd, pelbagai pilihan disediakan. "Apapun, ikutkan rancangan awal dulu perniagaan ini mahu ditubuhkan bersama adik-beradik saya. Namun, semua mereka sudah berkahwin dan memberi tumpuan pada keluarga. Mujur, saya bertemu dengan rakan kongsi, Hanim Sahrom yang memiliki minat sama. "Hanim selaku pengarah kreatif My Couture memang mempunyai banyak idea terutama dalam rekaan busana muslimah. Menerusi perniagaan ini, kami bertindak sebagai pembekal busana seperti jubah, tudung dan pakaian wanita yang sedia dipakai untuk butik terpilih," katanya. Lebih banyak mengendalikan urusan pemilihan material, Rozita juga terbabit dalam rekaan mini tudung. Biarpun, masih belum terbuka hati untuk berhijab (tudung) tetapi, apa salahnya kebolehan yang ada dimanfaatkannya dengan mendorong orang lain bertudung. "Sebagai rakan kongsi, saya dan Hanim saling bertukar idea mengenai rekaan pakaian terbaru untuk butik ini. Justeru, setiap tiga bulan, kami akan tampil dengan rekaan terkini. Saya beruntung kerana Hanim memiliki kepakaran dalam rekaan busana muslimah. "Saya percaya dan yakin dengan Hanim. Ini kerana, kami berdua memang berkongsi minat yang sama," kata Rozita kini di Perlis menjayakan penggambaran drama Diari Summer Camp terbitan Zeel Production Sdn Bhd yang menggandingkannya bersama Shahir. Berdepan jadual lakonan padat, Rozita terpaksa mengorbankan masa tidurnya untuk memberi komitmen terhadap perniagaan fesyen yang serius diceburinya secara sejak awal tahun ini. Katanya, My Couture juga menerima tempahan dari Singapura, Dubai dan United Kingdom. Berbicara mengenai harga pakaian di butiknya, Rozita memaklumkan harga ditetapkan bagi setiap pakaian yang dijual mampu dimiliki golongan pelanggan yang berpendapatan sederhana dalam anggaran antara harga RM1,000 dan ke bawah. Selain menjual secara pukal, pelanggan persendirian yang berminat untuk melihat dan menempah rekaan pakaian muslimah dihasilkan, melayari laman web www.mycouture.com.my atau mengunjungi bengkel mereka yang bertempat di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor. Menyentuh pula mengenai perkembangan anak sulung, Ammar Effendy Azuar, 15, yang dikatakan mengalami kecederaan akibat dipukul di sekolah berasrama penuh, Rozita berkata, kini kedua-dua anak lelakinya, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra, 13 meneruskan pelajaran di sekolah menengah biasa. Tidak mahu memanjangkan cerita, Rozita berkata, dia dan bekas suami bertindak menukarkan sekolah anak mereka bagi memastikan pelajaran tidak terganggu. Ini kerana, kata Rozita akibat insiden itu anaknya trauma dan lebih baik ditukarkan sekolah. "Saya seorang ibu yang sangat mementingkan pendidikan anak-anak. Saya hantar mereka ke sekolah untuk menimba ilmu dan bukan untuk bergaduh. Malah, demi keselamatan anak saya adalah lebih baik mereka meneruskan pelajaran di sekolah biasa saja. "Apapun, saya tidak berniat untuk membesar-besarkan perkara ini lagi. Cuma, apa yang terjadi kepada anak saya itu adalah benar dan kami mempunyai bukti kukuh seperti laporan pemeriksaan doktor di hospital dan laporan polis," katanya tenang. PROFIL NAMA SEBENAR: Rozita Che Wan |
Posted: 08 May 2011 07:22 AM PDT SELEPAS 28 tahun berlalu, kisah kematian Biduanita Negara, Puan Sri Saloma pada 25 April 1983 menjadi perbualan apabila wujud cerita berbeza mengenai insan yang berada di sisinya ketika menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Seniwati Datuk Rosnani Jamil mendakwa Saloma meninggal di pangkuannya dan menyifatkan detik itu satu penghargaan besar buat dirinya sekali gus menginsafkan dirinya kerana bintang yang diagung-agungkan dan dipuja-puja, tetapi pada akhir hayatnya hanya ditemani dirinya dan seorang ustaz.
Kenyataan Rosnani atau mesra dipanggil Mak Nani disiarkan Harian Metro dalam ruangan Interaksi pada 6 April hingga kakak Saloma, Mariani Ismail, 75, tersinggung seolah-olah tiada ahli keluarga di sisinya ketika detik kematiannya. Hakikatnya kata Mariani, dia bersama keluarga terdekat, Umi Kalsom Mahban dan Ismail Osman (ibu bapa Saloma) serta bapa tiri, Mum Yusof bersama Dian P Ramlee dan suami, Mohd Amanti Ahmad serta Shasha dan suami, Azlan Ramli berada di sisinya.
Dalam artikel disiarkan pada 2 Mei lalu, Mak Nani mendakwa, anak saudara Saloma, Linda menghubunginya malam itu kira-kira jam 9 malam mengatakan Saloma nazak dan memintanya datang membawa ustaz. Ketika sampai, dia disambut Linda, Dian, Shasha, Armali, Sazali dan Mum lalu Mak Nani meminta mereka keluar, meninggalkan hanya dia dan ustaz bersama Saloma. Selepas ustaz membaca doa dan Mak Nani membaca Al-Fatihah, ustaz memaklumkan kepadanya yang Saloma sudah tiada. Mak Nani keluar bertemu yang lain memaklumkan perkara itu dan menyuruh mereka masuk. Ketika itu, anaknya, Anwardi Jamil sampai lalu disuruh memanggil doktor. Armali sebagai waris Saloma, bersama doktor menguruskan surat kematian manakala Anwardi mencari kereta jenazah sementara Dian, Shasha dan Linda disuruh pulang untuk mengemas rumah. Apabila segalanya selesai, Mak Nani, Anwardi, Armali dan Mum membawa jenazah pulang ke rumah Saloma di SS 2, Petaling Jaya dan ketika memasuki lif, keadaan sunyi dan sayu apabila azan Subuh berkumandang. Situasi itu cukup menyedihkan dan menginsafkan diri Mak Nani hingga menangis hiba. Kenyataan Rosnani menimbulkan rasa kurang senang keluarga Saloma hingga Dian dan Shasha tampil membuat kenyataan. Dian dan Shasha menegaskan Saloma di kelilingi ahli keluarganya yang sentiasa berada di hospital sejak lima hari terlantar di hospital. Shasha atau nama sebenar, Siti Haslinda Abdul Hamid, 56, yang juga dikenali sebagai Linda, mempersoalkan mengapa ada pihak lain mendakwa berada di sisi Saloma yang dipanggilnya Mama ketika menghembuskan nafas terakhir. Dengan kata lain, tiada ahli keluarganya sedangkan mereka semua mengelilingi katilnya ketika detik terakhir itu. Katanya, sebelum Saloma dimasukkan ke Hospital Assunta, Mama mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (GH) kemudian dibawa pulang. Di rumah, Saloma dijaga jururawat 24 jam mengikut shif manakala doktor datang dua kali sehari. "Mama dimasukkan ke hospital atas nasihat doktor kerana perutnya besar dan keras. Kata doktor, peralatan di rumah tidak cukup tetapi Mama enggan ke hospital. "Saya memujuknya dan mengatakan mahu membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Assunta dan Mama setuju. "Hari Rabu Mama masuk hospital dan pada Jumaat malam, doktor mengatakan keadaannya kritikal lalu meminta semua ahli keluarga berkumpul. "Ketika itu, semua orang kelam kabut tetapi keadaannya kembali baik begitu juga keesokan harinya, Sabtu dan Ahad. "Pada Ahad malam, ketika tiba di hospital selepas membawa datuk (Ismail) yang tiba dari Singapura, saya lihat pernafasan Mama berbeza dari biasa lalu memanggil doktor. "Ketika itu semua ahli keluarga ada di hospital dan Mama disahkan meninggal beberapa minit selepas jam 12 tengah malam. "Orang pertama yang saya hubungi memaklumkan perkara itu ialah Datuk Muda Hitam yang juga kawan Mama. Saya juga menghubungi Mak Nani memaklumkan kematian Mama," katanya. Shasha yang kini menjadi Penasihat Imej RTM tidak menafikan kehadiran Mak Nani di hospital sepanjang Mama dirawat tetapi pada malam kematiannya mengatakan Mak Nani tiada di situ. Apabila membaca kenyataan Mak Nani, Shasha mendakwa dirinya keliru dan tertanya-tanya apa tujuannya berkata demikian. Katanya, dia dan suami yang membawa jenazah Mama pulang dan tiba di rumah kira-kira jam 3 pagi. Sepanjang Saloma di hospital, Shasha mendakwa dia dan Dian bergilir-gilir menjaganya. Memandangkan ketika itu Dian mengandung, dia jaga waktu siang ditemani nenek manakala giliran Shasha waktu malam. "Walaupun saya hanya anak saudara tetapi memang rapat dengan Mama yang menjaga saya sejak kecil. Malah sayang Mama pada saya pernah membuatkan anak kandungnya, Armali cemburu. "Saya bangga kerana berpeluang mendampingi Mama yang mempunyai bakat besar dalam seni. Saya juga bangga dapat menjaganya sehingga akhir hayat," katanya. Dian turut menafikan cerita Rosnani berada di sisi Saloma ketika menghembuskan nafas terakhir di hospital dan hairan mengapa selepas 28 tahun baru kini perkara itu ditimbulkan. "Ketika itu umur saya 25 tahun dan sedang mengandung enam bulan. Saya bukan mahu gaduh tapi kenyataannya salah dan perlu diperbetulkan. "Hakikatnya, ibu bapa Mama ada, begitu juga anak-anak dan keluarga yang lain seperti Zazaloma. Suami saya juga ambil cuti ketika itu. "Sepanjang Mama dirawat, ramai datang melawat. Bagaimanapun apabila Mama dipindahkan ke wad lain, kami kurangkan bilangan orang melawat, hanya keluarga dan teman rapat seperti Mak Nani dan Latifah Omar. "Doktor juga mengatakan Mama menunggu seseorang dan kami sempat membawa Nasir berjumpanya, begitu juga datuk (Ismail) yang tiba dari Singapura pada Ahad dan sempat bertemu dan berbisik kepadanya mengatakan dia sudah sampai. "Orang terakhir bercakap dengan Mama ialah suami saya yang membisikkan ke telinga memintanya mengucap. Zazaloma juga berada di hujung katil memicit-micit kaki Mama tetapi dilarang suami saya. Selepas itu, suami memaklumkan Mama sudah tiada," katanya. Dian menafikan Mak Nani tiba di hospital bersama ustaz pada malam kematiannya dan meminta semua yang lain keluar untuk membiarkan dia dan ustaz saja bersama Saloma sebagaimana didakwa. "Dian juga menafikan Mak Nani meminta dia dan Shasha pulang untuk mengemas rumah manakala jenazah Mama dibawa pulang oleh Mak Nani. "Kalau saya dan Shasha disuruh pulang, siapa yang menjelaskan bil hospital? Kalau bayaran belum dijelaskan, bagaimana hendak membawa jenazah pulang?" katanya. Saloma atau nama sebenar, Salmah Ismail yang dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1933, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pada 25 April 1983 selepas lima hari koma kerana masalah hati disebabkan demam kuning. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |