Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Bukan gadis hipokrit

Posted: 08 May 2011 05:35 PM PDT

Hip

Miera Leyana

Miera Leyana

Ingin dikenali kerana bakat, bukan cerita sensasi

BEBERAPA minggu lalu, namanya menjadi bualan peminat seni hiburan tanah air apabila dia mengenakan pakai­­an yang agak mendedahkan ketika menghadiri sebuah majlis. Gambar dirinya dengan gaun yang menunjukkan sebaha­­gian daripada dada itu dengan pantas menjalar di alam maya, sedikit sebanyak membuatkan orang ramai mula 'mengenali' si empunya diri.

Biarpun agak hangat diper­­katakan, sehingga Miera Leyana sendiri beberapa hari kemudian tampil memohon maaf atas 'ke­­terlanjuran' berkenaan, pelakon berusia 18 tahun ini tidak me­­nuding jari kepada sesiapa untuk dipersalahkan. Cuma, dia terkilan apabila gambar terbabit cepat disebarkan. Walaupun bukan cara terbaik untuk dikenali, namun sedikit seba­­nyak remaja ini mengaku namanya mula mendapat tempat di hati peminat akibat kejadian terbabit.

"Kejadian itu sedikit sebanyak memang ada kesannya. Begitupun, saya bukan ingin dikenali menerusi kejadian seperti ini. Sebaliknya saya ingin membuktikan saya mempunyai bakat dalam lakonan, yang sepatutnya menjadi cara lebih baik dalam memperkenalkan nama Miera Leyana dalam dunia hiburan.

"Saya bukan main-main apabila membabitkan diri dalam dunia seni. Malah, saya sudah berlakon sejak berusia 15 tahun. Jika saya ingin tagih populariti dengan cara yang cepat, baiklah saya berpakaian seksi sejak dulu lagi.

"Lagi pun, saya tidak pernah bersikap hipokrit. Saya masih Miera Leyana seperti yang dikenali sejak dulu. Bagaimana peminat melihat saya hari ini, begitulah juga saya suatu masa lalu. Takkan hanya kerana peristiwa itu, esok lusa saya akan tampil berbaju kurung?" katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Menurut Miera, kejadian ber­­kenaan juga bukanlah saat paling pahit pernah dialaminya, namun dia lebih suka melihat kejadian terbabit sebagai pengalaman baru buatnya.

"Secara jujur, saya tidak menyangka orang ramai akan memperkatakan mengenainya sampai begitu sekali. Ia bagaikan kilat yang tiba-tiba menyambar. Bagaimanapun, pengalaman itu membuka mata saya dengan lebih luas lagi, untuk memahami dunia artis. Pada masa yang sama, ia pengalaman yang mematangkan diri," ujar gadis kacukan Melayu-Cina ini.

Mengaku gambar berkenaan dirakam ketika dirinya berada dalam keadaan belum bersedia sepenuhnya, Miera turut me­­ngaku, sebagai manusia biasa dia sendiri agak kurang selesa apabila orang ramai bercerita mengenai penampilannya yang dikatakan terlalu seksi itu.

Ditanya mengenai reaksi orang tuanya tatkala berdepan situasi itu, Miera cepat-cepat me­­luahkan kelegaan kerana menurutnya, ibu dan bapanya sudah pun bersedia dengan segala macam dugaan yang mungkin anak mereka akan tempuhi sebaik saja Miera memutuskan untuk terjun ke dunia seni. Mereka nyata memahami keperitan yang dialami gadis ini.

"Setiap manusia pasti akan membuat kesilapan dalam hidup mereka. Jadi, kita kena reda dengan apa yang berlaku. Mulut orang bukan seperti mulut tempayan yang boleh ditutup. Ketika yang sama, saya percaya, lama-lama mereka akan berhenti daripada bercakap me­­ngenainya. Kita pula boleh belajar daripada kesilapan lalu," tegas remaja peramah ini.

Cabaran melakonkan watak gadis gothik

MENYENTUH karier lakonan, Miera tersenyum lebar dan nyata gembira untuk berkongsi cerita yang lebih menceriakan diri. Katanya, selepas membintangi filem Apokalips arahan Mamat Khalid, dia dilamar pula Ahmad Idham untuk berlakon dalam filem Jangan Pandang-Pandang.

Pada pertengahan Mei, Miera dijadualkan sekali lagi turun ke lokasi, kali ini untuk menjayakan penggambaran sebuah filem terbitan Tayangan Unggul pula.

"Penghujung Mac lalu, saya terbabit dalam penggambaran filem komedi seram Jangan Pandang-Pandang dengan membawakan watak gadis gothik bernama Marsha.
Antara lain, filem itu mengisahkan sekumpulan pelajar yang melakukan kajian mengenai tulang-tulang manusia di sebuah pulau. Marsha pula menyertai pelajar berkenaan apabila mereka tidak mempunyai anggota yang cukup.

"Selain diri saya, pelakon lain yang menjayakan filem ini ialah Zizan, Sara Ali, Anith dan Nas-T," katanya yang cukup seronok beraksi dalam filem terbabit, apatah lagi apabila diberikan watak yang dianggapnya mencabar kebolehan diri.
Marsha, katanya, digambarkan sebagai gadis yang agak misteri, tetapi mempunyai sifat kepe­­mimpinan yang tinggi.

"Cuba bayangkan bagaimana ekspresi seorang gadis gothik yang nampak hantu? Tentulah ia bukan tugas yang mudah untuk saya lakukan. Sebagai gadis sedemikian, saya tidak boleh mempunyai perasaan yang jelas kelihatan.

"Nasib baik, sebelum turun ke lokasi, saya melakukan sedikit kajian mengenai golongan ini. Saya mengkaji bagaimana kelakuan dan gaya mereka menerusi paparan yang tersedia di internet. Saya lihat cara mereka bercakap, cara berpakaian dan juga cara mereka mengenakan solekan.

"Idham juga mahukan saya menjadi gadis yang penuh teka-teki. Begitupun, peminat tetap akan dapat menyaksikan ciri-ciri Miera Leyana sebenar dalam watak ini, walaupun sedikit," katanya yang turut berlakon dalam siri komedi Nana Narita bersama-sama Faezah Elai, Anne Abdullah, Zoey dan Radhi Khalid, siaran TV9.

Biarpun berasakan kesukaran membawakan watak ber­­kenaan, Miera menerimanya sebagai cabaran yang harus ditempuh dalam membentuk dirinya sebagai pelakon lebih berwibawa.

Lebih-lebih lagi, dia berasakan, tidak ramai pelakon yang diberikan ruang untuk mencuba watak sedemikian.

Hampir tempang lakukan aksi Apokalips

SEBAGAI Marsha, Miera mendakwa watak itu tidak sama dengan peranan yang diberikan kepadanya dalam Apokalips, sebelum itu.

"Menerusi filem arahan Abang Mamat, saya beraksi sebagai gadis yang berdepan masalah percintaan. Pada masa yang sama, watak saya juga adalah ketua kumpulan yang muncul pada dunia baru. Ia sebuah generasi yang nyata berbeza daripada apa yang ada pada hari ini," katanya yang baru saja menamatkan penggambaran drama bersiri, Kasih, yang dilakonkan bersama Aaron Aziz untuk TV3.

Remaja ini masih ingat, ketika beraksi dalam filem yang menggunakan set cukup dikaguminya itu, dia terjatuh tatkala menjayakan sebuah babak aksi sehingga terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan.

"Kerana terjatuh di lokasi, tisu otot kaki saya terkoyak. Kata doktor, saya boleh tempang jika nasib kurang menyebelahi diri. Nasib baiklah kecederaan berkenaan tidak mencapai tahap yang lebih serius," cerita anak kedua daripada tiga adik-beradik, yang dilahirkan di Johor Bahru ini.

Kerana kecederaannya itu, Mamat terpaksa menukar skrip, dengan mewujudkan babak yang menunjukkan dirinya tercedera, supaya kesinambungan filem berkenaan terjaga.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Fragmen: Menanti filem Osama

Posted: 08 May 2011 05:29 PM PDT

Hip

Kathryn Bigelow bakal arahkan filem Kill Bin Laden.

Kathryn Bigelow bakal arahkan filem Kill Bin Laden.

Penonton kena bijak berfikir permainan propaganda filem Barat

BERDASARKAN sesawang Wikipedia, terdapat lebih 50 filem, drama bersiri TV dan dokumentari berkisar mengenai usaha memerangi keganasan atau perang di Iraq dan Afghanistan diterbitkan sejak tahun 2001 hingga sekarang.

Selain Iraq dan Afghanistan, terdapat filem mengenai konspirasi keganasan yang berakar umbi di Asia Barat dan gagal ditangani pemerintah di negara rantau ini seperti Arab Saudi, sehingga memaksa campur tangan daripada Amerika Syarikat. Pada 2007, Peter Berg mengarah filem berjudul The Kingdom yang dibintangi Jamie Coxx, Chris Cooper, Jennifer Garner, Ashraf Barhom dan Jason Bateman. Filem fiksyen tetapi diilhamkan berdasarkan peristiwa pengeboman sebuah kawasan di Riyadh, Arab Saudi pada Mei 2003 dan kompleks perumahan Khobar (Jun 1996).

Ceritanya bermula apabila diplomat dari Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan kepada kerajaan Arab Saudi mengenai peningkatan rangkaian pengganas daripada kumpulan Al-Qaeda dan Perang Teluk Parsi, yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak di negara Arab.

Bagi membanteras kumpulan pengganas itu, sekumpulan ejen FBI diarahkan menyiasat pengeboman kemudahan pekerja asing di bumi Saudi itu. Filem The Kingdom diharamkan tayangannya di beberapa negara di Asia Barat kerana menggambarkan seolah-olah orang Arab sebagai pengganas.

Daripada tahun 2001 hingga sekarang, ada 12 filem yang berlatar belakang perang di Afghanistan. Antaranya ialah filem Kandahar pada 2001. Filem yang pernah ditayangkan di Malaysia ini menceritakan usaha seorang lelaki Afghan, tetapi sudah lama menetap di Amerika yang kembali ke negara asal untuk membebaskan saudaranya.
Usaha itu menghadapi kesukaran kerana setiap inci di bumi Afghanistan kononnya dikuasai puak Taliban yang digambarkan sebagai ganas.

Filem lain ialah Osama pada tahun 2003, Fire Over Afghanistan (2003), Lions For Lambs (2007), The Kite Runner (2007) dan Where in the World Is Osama Bin Laden? (2008).

Kematian Osama Bin Laden, pemimpin Al-Qaeda yang dikaitkan dengan serangan 11 September 2011 dalam satu serangan oleh komando AS minggu lalu, memberi ilham dengan segera kepada penerbit filem di Hollywood.

Kematian Osama rupa-rupanya tidak saja disambut gembira oleh rakyat AS, tetapi yang jelas ia juga memberikan inspirasi kepada karyawan filem Hollywood untuk buat duit.

Pastinya ada beberapa filem berkaitan dengan propaganda kejayaan AS membunuh Osama dan seterusnya kejayaan negara itu membanteras keganasan dunia akan diperbesar-besarkan menerusi filem seperti yang dilakukan dalam beberapa siri filem Rambo, Platoon, Delta dan seumpamanya yang mengisahkan pembabitan tentera AS di Vietnam.

Filem propaganda AS sekadar syok sendiri mengangkat diri sebagai hero dalam semua aspek, tetapi pastinya ia tidak mendedahkan kelemahan diri mereka.
Mungkin dalam setiap filem itu, tidak ada paparan mengenai kelemahan mereka menjejaki Osama yang mengambil masa selama 10 tahun, sedangkan mereka memiliki pelbagai peralatan perisikan dan ketenteraan canggih.

Dan, tidak akan dinyatakan oleh pentadbiran AS berapa kos yang dibelanjakan untuk memburu pengganas selama tempoh sedekad itu.

Sutradara, Kathryn Bigelow dilaporkan oleh beberapa agensi berita asing dikatakan antara penggiat filem terawal di Hollywood yang sudah bersedia untuk menerbitkan filem berjudul Kill Bin Laden.

Sutradara yang pernah meraih Oscar menerusi filem The Hurt Locker dilaporkan sudah memilih aktor, Yoel Edgerton, sebagai pelakon utama filem itu nanti.
Filem Kill Bin Laden tidak memberi tumpuan kepada Osama saja tetapi juga mahu mendedahkan struktur organisasi Al-Qaeda dan usaha mencari Osama dari tempat persembunyiannya di sempadan Pakistan dan Afghanistan.

Idea untuk menerbitkan filem ini mendapat sokongan daripada Megan Ellison, anak perempuan pemilik syarikat perisian Oracle, Larry Ellison. Syarikat ini dikatakan bersedia untuk membiayai kos penerbitan filem Kill Bin Laden.

Bigelow ialah bekas isteri pengarah filem terkemuka, James Cameron, menjadi wanita pertama memenangi Pengarah Terbaik pada Anugerah Academy. Dia juga disenaraikan majalah Time sebagai antara 100 insan paling berpengaruh pada April 2010.

Filem The Hurt Locker arahan Bigelow pada tahun 2008 yang juga turut memenangi Filem Terbaik pada Anugerah Academy, menggunakan latar belakang Perang Iraq.
Filem ini memaparkan kisah tiga tentera Amerika daripada pasukan pemusnah bom ditugaskan di Iraq yang sedang bergolak. Seorang daripada mereka terbunuh terkena letupan bom dan kejadian itu memberi kesan dan tekanan kepada rakannya yang masih hidup untuk meneruskan tugasan masing-masing.

Bagaimanapun, kita tunggu saja filem yang berkaitan dengan Osama ini. Dari sudut manakah yang mereka hendak paparkan. Kita seharusnya boleh menjangka filem seperti ini sedikit sebanyak akan mengaitkan imej Islam dengan keganasan.

Apa yang penting, usah terlalu beremosi ketika menonton filem seperti ini. Kita fikir apa yang diceritakan mungkin berfakta. Namun, elemen fiksyen atau rekaannya pula diperbesar-besarkan. Bagi kita itulah klisenya filem daripada Hollywood.

Pasti ramai masih ingat filem Avatar arahan Cameron. Apa yang tersirat daripada subteks filem ini ialah mengenai AS sebagai kuasa besar memusnahkan sebuah negara kerana mahu merebut sumber aslinya seperti minyak.

Selepas menghancurkan negara itu, akan muncullah rakyat AS juga sebagai hero yang kononnya baik hati, menjadi penyelamat untuk bangkit menentang negara sendiri dan menjadi kawan baik kepada negara yang sudah dimusnahkan. Itulah yang kita jangkakan daripada filem Hollywood berkaitan dengan Osama nanti. - zainuri@bharian.com.my


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan