Adsense

Khamis, 28 April 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Anggap Shiha seperti anak sendiri

Posted:

Anggap Shiha seperti anak sendiri

Anggap Shiha seperti anak sendiri

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL dan NUR SYADILA AMRI (Politeknik Johor Bahru)


AKSI-AKSI Sharifah Aini dan Shiha sewaktu menjalani latihan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


SEBAIK sahaja melangkah masuk ke mahligai indah milik Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, telinga ini terus menangkap alunan indah suara yang cukup merdu sambil diiringi oleh petikan piano.

Kelihatan Sharifah Aini dan Shiha begitu khusyuk dan fokus kepada sesi latihan yang berlangsung ketika itu sehinggakan kehadiran kami tidak disedari mereka berdua.

Usai memberi salam, Sharifah Aini bingkas bangkit dari kerusi piano lalu menyambut kedatangan penulis dan jurufoto dengan penuh mesra sambil diekori Shiha di belakangnya yang pantas menghulurkan tangannya dan bersalam dengan kami.

"Inilah rutin yang kami jalankan setiap minggu dan saya mahu memastikan Shiha berada dalam tahap terbaik agar dia mampu memberikan persembahan yang membanggakan pada konsert mingguan.

"Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi Shiha. Sebagai mentor, saya rasa bertuah kerana dapat memiliki Shiha sebagai protege. Alhamdulillah, sepanjang bersama dengan Shiha, saya tidak mempunyai sebarang masalah.

"Dia memiliki bakat yang pada hemat saya cukup luar biasa dan segala apa yang saya ajar kepadanya, dia cepat tangkap dan aplikasi untuk setiap persembahannya," ucap Sharifah Aini dalam nada syukur sambil dipersetujui Shiha yang duduk di sebelahnya.

Mengulas tentang penglibatannya dalam Mentor 5, Sharifah Aini menyifatkan ia merupakan keputusan terbaik yang dilakukannya.

Apatah lagi, sepanjang lebih empat dekad menjadi seorang anak seni, inilah kali pertama dia melibatkan diri dalam program realiti seperti Mentor 5.

"Alhamdulillah, saya gembira apabila pihak TV3 sentiasa memberi ruang kepada saya untuk berkongsi idea bagi memantapkan lagi persembahan Shiha," kata Sharifah Aini atau nama penuhnya, Sharifah Aini Syed Jaafar ini bersungguh.

Sebagai seorang yang memiliki pengalaman luas dalam bidang seni, sudah pasti Sharifah Aini mahu berkongsi ilmu yang ada dalam dirinya kepada generasi muda agar mereka mampu menjadi seorang penyanyi unggul kelak.

"Acap kali saya tegaskan kepada Shiha, untuk menjadi seorang penyanyi yang baik bukan mudah. Semuanya memerlukan pengorbanan, usaha dan kerja keras dalam membentuk diri menjadi seorang penyanyi yang versatil.

"Atas alasan itu, saya amat menitik beratkan semua aspek termasuk kedudukan tubuh badan ketika menyanyi, sebutan, penghayatan dan lontaran suara.

"Sering kali, masyarakat menganggap seorang penyanyi itu perlu menjaga sebutan dalam nyanyiannya hanya untuk lagu-lagu Inggeris.

"Sedangkan mereka tidak tahu bahawa sebutan itu juga amat penting dalam lagu bahasa Melayu. Daripada pengamatan saya, bukan semua penyanyi hari ini khususnya penyanyi muda yang menitik beratkan soal itu.

"Mungkin ia kedengaran agak remeh tetapi sebenarnya ia adalah elemen penting dalam memastikan persembahan kita mampu memberikan kepuasan kepada audiens," cerita pelantun lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Rahsia Hati ini penuh bersungguh.

Berbekalkan tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan kepada Shiha, tidak hairanlah apabila Shiha sering mendapat pujian dan berada di carta teratas dalam Kumpulan A Mentor 5 lalu meninggalkan dua pencabarnya, Ayish dan Ratnah di belakangnya.

Namun, Sharifah Aini juga sering menasihatkan Shiha agar tidak berasa selesa dengan kedudukannya kerana dalam program realiti, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Dalam hal ini, protege kepada Edry Abdul Halim iaitu Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor atau Iqa dilihat Sharifah Aini sebagai bom jangka yang mampu mengejutkan ramai pihak sepanjang Mentor 5 berlangsung.

Begitu juga dengan Salma yang merupakan protege kepada Erra Fazira yang menjadi perhatian dan sebutan ramai ketika ini.

"Kedua-dua protege ini saya anggap sebagai pencabar terdekat Shiha dalam Mentor 5 kerana mereka memiliki keistimewaan tersendiri," ujarnya.

Untuk itu, selain kelas vokal yang turut dibantu oleh rakannya, Eja, Sharifah Aini juga memastikan Shiha mendapat bimbingan yang sewajarnya menerusi kelas tarian.

"Saya membimbing Shiha dengan cara yang cukup matang dan profesional di mana dia boleh meluahkan apa sahaja masalah kepada saya," jelas Sharifah Aini yang pernah membintangi filem Hapuslah Airmatamu dan Bintang Pujaan ini lagi.

Ketika ditanya mengapa Shiha tidak diberi peluang menyanyikan lagu-lagu popularnya:

"Saya mahu Shiha menjadi penyanyi yang memiliki identiti sendiri. Saya bimbang kalau saya beri lagu-lagu saya, nanti dia akan mengikut lenggok nyanyian saya.

"Walaupun apa yang terjadi, saya akan terus menyokong Shiha walaupun Mentor sudah tamat kelak kerana yakin dengan pakej lengkap yang dimilikinya. Saya mahu melihat bakat-bakat baru yang segar terus mewarnai industri hiburan kita."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Karl di KL Metal Camp

Posted:

Karl di KL Metal Camp

Karl di KL Metal Camp

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AMIRA AZMAN


KARL bakal mengubat rindu peminat Cromok pada Konsert KL Metal Camp 2011 di One Cafe, Kuala Lumpur 1 Mei ini.


TAHUN ini Konsert KL Metal Camp masuk tahun kelima anjuran syarikat rakaman Nebiula Productions di mana ia dijayakan oleh kumpulan-kumpulan metal terkenal tempatan.

Pemilik syarikat itu, Ramze Hamid berkata, tahun ini konsert yang mengenakan tiket RM30 itu menampilkan dua kumpulan terkemuka, Sofea dan Karl Cromok sebagai tarikan utamanya.

Menurutnya, Konsert KL Metal Camp 2011 buat julung-julung kalinya menampilkan dua kumpulan itu selepas hampir 20 tahun mereka tidak muncul di atas pentas persembahan.

"Tidak dinafikan setiap tahun KL Metal Camp yang merupakan aktiviti tahunan kami menampilkan pelbagai kelainan. Tahun ini kelainan dan tarikan utama konsert ini ialah Sofea dan Karl Cromok.

"Ini kerana, dua kumpulan itu bukan sahaja sudah lama tidak mengadakan konsert tetapi mereka masih mempunyai peminat yang ramai," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karl atau Khairul Anuar Shariff, 45, yang merupakan gitaris kumpulan thrash metal, Cromok akan muncul biarpun tidak bersama anggota-anggota asal kumpulan tersebut.

Sebaliknya, dia akan muncul bersama tiga pemuzik undangan iaitu Shah Sidious selaku gitaris, Zali Dethstroke (dram) dan Hafiz Fedora (bassis) pada konsert yang dinanti-nantikan ramai itu.

"Kali terakhir saya muncul bersama Cromok ialah pada tahun 1996 menerusi album Yours Truly. Saya juga akan mempromosikan album solo saya berjudul Shred It Back pada konsert itu nanti.

"Persembahan saya itu nanti sedikit sebanyak mampu mengubat rindu para peminat saya dan Cromok. Saya juga mungkin akan menyampaikan lagu Cromok secara instrumental," ujarnya penuh optimis.

Sementara itu, vokalis kumpulan Sofea, Amiruddin Zulkefli atau Ami juga teruja untuk muncul pada Konsert KL Metal Camp 2011 selepas hampir 20 tahun tidak mengadakan persembahan pentas.

Jelas bapa kepada tujuh anak dan berasal dari Manjoi, Ipoh, Perak ini, dia akan menyanyikan lagu-lagu lama Sofea dan bekas kumpulannya, SYJ pada persembahannya dengan durasi sekitar 40 minit itu kelak.

"Antara lagu yang akan saya sampaikan bersama Sofea pada konsert itu bertajuk Hati Syaitan, Orang Timur dan juga lagu Red Hot yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Motley Crue.

"Kami muncul semula di atas pentas persembahan selepas pihak penganjur begitu beriya-iya mahukan kemunculan Sofea pada konsert ini menyebabkan kami agak terkejut.

"Saya terpaksa mengumpulkan anggota-anggota Sofea dan kami pula hanya sempat berlatih tidak sampai sebulan untuk konsert ini," katanya yang seperti tidak sabar muncul pada Ahad ini.

Selain Amir, anggota-anggota Sofea yang akan muncul di One Cafe, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pukul 3 petang itu ialah Man Rani (bassis), Nuar SYJ08 (gitaris) dan Nahar (dram).

Selain Karl Cromok dan Sofea, kumpulan-kumpulan metal lain yang menjayakan KL Metal Camp 2011 ialah As Sahar, Fastkill, Scum, Damokis, Kazana dan Voltan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.