Utusan Online - Hiburan |
Posted: Linda Onn gadis motorOleh KHADIJAH IBRAHIM
SEBELUM ini penyampai radio Suria FM, Linda Onn, 34, tidak gemar menunggang motosikal gara-gara dimarahi oleh ibunya kerana jatuh ketika menunggang motosikal secara 'curi-curi' sewaktu berusia 13 tahun. Kini keinginan menunggang motosikal kembali menyerap dalam jiwa Linda dan kali ini beliau menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati 696cc sejak Mac 2010. "Sebenarnya, waktu itu Linda bosan dan beritahu kawan yang Linda perlukan satu aktiviti. Kebetulan Linda sedang membaca majalah Motokar dan terpandang gambar motosikal berkuasa tinggi. "Keesokannya Linda terus pergi showroom untuk melihat motor yang berkenan di hati dan jurujual itu nasihatkan Linda ambil lesen penuh (B Full). Selepas itulah baru Linda belajar menunggang motosikal berkuasa besar. Kira-kira dua bulan Linda belajar menunggang motor. "Ada beberapa kali Linda terjatuh di simpang sebab tidak pandai kawal motor terutamanya gear dan brek. Sekarang ini pun Linda masih belajar cara-cara untuk mengawal motor sebab motosikal berkuasa tinggi ini kalau kena dengan caranya, ia mudah ditunggang," ceritanya yang menggunakan topi keledar jenama X-lite. Linda yang lahir pada 26 November 1977 membeli motosikal berkuasa tinggi itu tahun lalu sempena ulang tahunnya yang ke-33. Katanya, sewaktu membawa balik motosikal tersebut ke rumah, ibunya terkejut kerana sebelum itu Linda tidak pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki motosikal. "Setelah Linda berjanji pada ibu yang Linda akan menunggang motosikal itu dengan berhati-hati, barulah dia lega dan ibu pun tahu aktiviti Linda bersama kawan-kawan motor," katanya yang mendapat hadiah jaket kulit daripada kakak iparnya. Sejak boleh mengendalikan motosikal berkuasa besar, Linda bersama rakan-rakannya pernah mengikuti konvoi 300 penunggang motosikal ke Cherating, Pahang dan Sepang, Selangor. Pemilik kedai makan My Mom's Chicken Rice dan My Asam Pedas itu berkata, setakat ini beliau tidak berani untuk menunggang sendirian melainkan bersama rakan-rakan. Malah katanya, setelah berkawan dengan geng motosikal barulah beliau tahu bahawa ramai wanita Malaysia yang mempunyai motosikal berkuasa tinggi termasuk penyanyi Fauziah Latiff yang sekarang ini sudah menjadi rakan motornya. "Tahulah motosikal berkuasa tinggi ini perlu perhatian lebih, Linda pula masih belajar jadi tidak berani lagi untuk bergerak solo melainkan berkawan. "Selalunya rakan-rakan motor akan lepak di kedai Linda atau kami akan konvoi ke Melaka atau Port Dickson, semata-mata untuk pergi makan. Selepas itu balik ke Kuala Lumpur," katanya yang tidak lupa menghantar motosikal kesayangannya ke kedai untuk servis. Paling menggembirakan Linda, selepas menyertai aktiviti bermotosikal, beliau dilantik sebagai wakil selebriti jelajah 1Malaysia mulai 14 sehingga 21 Mei ini. Dia turut menyertai kempen penjelajahan bermotor 'Jelajah 1Malaysia siri ke-tiga' dengan membawa tema Kami Prihatin Membanteras Pembuangan Bayi 2011. Setelah memiliki motosikal Ducati, Linda menyimpan hasrat untuk memiliki motosikal easy rider seperti Harley Davidson. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Tauke suka 'pandu' helikopterOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
TIDAK kira walau di mana berada, jika ada sahaja masa terluang Tauke pasti tidak melepaskan peluang itu untuk mengemudi helikopter mini kawalan jauhnya. Bermula sekadar mahu menghadiahkan helikopter itu kepada salah seorang anak buahnya, Tauke terkena badi keseronokan melayan permainan berkenaan. Tanpa berkira, Tauke membeli sebuah lagi helikopter mini kawalan jauh untuk diri sendiri. Tujuannya hanya satu iaitu untuk melepaskan gian setelah terkena penangan permainan berkenaan yang dirasa dapat memberi kepuasan bagi menghilangkan letih dan tekanan kerja. Siapa sangka kelibatnya yang sering kali muncul di kaca telivesyen dengan watak-watak yang membuatkan kita berderai tawa berubah menjadi serius apabila asyik mengemudikan helikopter mini itu. Baginya apa yang dilakukan itu adalah sebagai permulaan untuk mengejar impiannya memiliki sebuah helikopter kawalan jauh yang lebih besar. "Dulu selalu tengok orang bermain. Niat untuk mencuba itu ada tetapi tidaklah sampai rasa hendak memiliki. Tetapi setelah bermain bersama dengan anak buah di kampung, Masai, Johor datang pula seronoknya. "Mulanya saya Ingat hendak beli yang besar dan menggunakan petrol. Tetapi apabila difikirkan balik dengan tidak ada pengalaman bermain helikopter itu saya beli sama saiz seperti helikopter anak buah. "Sekarang ini kira dalam proses belajar untuk memahirkan diri mengawal permainan berkenaan. Insya-Allah dalam masa terdekat apabila sudah pandai saya nak beli yang besar sedikit," ujar Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Zamri Zakaria,35, ketika ditemui di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini. Tauke yang bakatnya digilap melalui rancangan realiti Raja Lawak musim pertama itu, sering kali menghabiskan masa terluang dengan bermain helikopter mini kawalan jauh itu di persekitaran rumahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Jika dahulu masa terluang banyak dihabiskan dengan gitar dan beriadah bersama kawan-kawan, kini temannya adalah helikopter mini kawalan jauh model K2 999-201 yang dibeli sekitar Januari lalu. "Nak cepat pandai punya fasal kadang-kadang sampai ke set penggambaran pun saya bawa. Apabila ada sahaja masa terluang terus saya cari kawasan lapang. "Macam baru-baru ini ketika penggambaran Sofazr The Movie di Ulu Yam, habis sahaja penggambaran sebelah petang pelakon lain sibuk ajak bermain bola saya tetap dengan helikopter kecil ini," jelas peserta rancangan Maharaja Lawak yang bergandingan dengan Yus. Walaupun saiz helikopter kawalan jauhnya itu hanya sebesar betis kanak-kanak ia tetap membuatkan Tauke 'gila' dan berazam untuk segera memahirkan diri dengan permainan berkenaan. Apa yang ada difikirannya adalah segera menamatkan 'latihan' pertama itu agar ia dapat membiasakan diri dengan permainan berkenaan. "Kalau tengok orang bermain macam mudah, tetapi setelah mula memegang alat kawalan barulah saya tahu agak sukar untuk mengawal permainan ini dan jika silap ia boleh melayang jauh mengikut angin. "Apa pun selepas ini saya akan pastikan saya juga boleh bersama bermain dengan peminat-peminat permainan kawalan jauh udara yang sering bermain di Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) di Kepong. "Sekarang ini segan nak bermain bersama 'pro-pro' permainan ini. Ibaratnya helikopter kawalan jauh mereka itu enggang dan saya punya pipit mana boleh terbang sama, tetapi tunggulah apabila pipit saya bertukar menjadi helang sikit hari nanti," katanya berseloroh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |