Adsense

Jumaat, 8 April 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu bakat diingati bukan gosip

Posted: 07 Apr 2011 05:40 AM PDT

KEBELAKANGAN ini, gosip cinta antara pelakon sedang mencipta nama, Siti Zaqyah Abdul Razak, atau Tiz Zaqyah, 23, dengan hero muda pujaan ramai, Remy Ishak bertiup kencang. Tidak kurang ada yang mengadakan mereka kini semakin intim dan merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat.

Walaupun ramai pihak membicarakan mengenai hubungan cinta Tiz dan Remy, kedua-dua pelakon popular dari siri Nur Kasih ini lebih senang mendiamkan diri dan enggan memberikan sebarang komen mengenainya.


Bertemu dengan Tiz sewaktu sesi fotografi khas yang diadakan di Sekolah Menengah Antarabangsa St John, Bukit Bintang baru-baru ini, memberi peluang kepada Harian Metro untuk mendapatkan pengesahan mengenai gosip cintanya.

Menarik sesi fotografi bersama Tiz diatur sempena drama Gemilang yang disiarkan di TV3 setiap Isnin, jam 9 malam. Mengangkat tema mengenai kesungguhan sekumpulan anak muda yang mahu mengubah nasib anak bangsa menerusi pendidikan, Rap bertuah kerana diberi peluang merakamkan gambar menarik di sekolah itu.


Lokasi ini dipilih kerana ia dikenali antara institusi pendidikan tertua di Malaysia dan berjaya melahirkan ramai cendikiawan dan memberikan penekanan terhadap sistem pembelajaran terancang sehingga muncul antara sekolah terbaik di Malaysia.

Beberapa nama besar dalam industri hiburan tempatan juga memperoleh pendidikan awal di sekolah terbabit, antaranya Afdlin Shauki dan Hans Isaac.


Berbalik kepada isu yang hangat diperkatakan mengenai Tiz dan pelakon utama filem Cun itu, jelas gadis kelahiran Kuala Lumpur ini tiada 'ikatan' istimewa antara dia dan Remy, sekali gus menafikan gosip mengatakan mereka akan mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat atau mendirikan rumah tangga.

"Selama tiga bulan berada di lokasi bersama, hubungan antara kami sudah menjadi seperti satu keluarga. Disebabkan itu juga apabila beraksi dalam Nur Kasih, penonton dapat melihat keserasian antara kami.

"Apatah lagi dalam cerita itu, Remy menjadi kekasih saya. Gosip mengatakan kami bercinta dan mahu bertunang tidak lama lagi adalah tidak benar sama sekali," katanya.


Jelas Tiz, apa yang diperkatakan itu (gosip cinta bersama Remy) tidak lebih daripada cerita yang dihebohkan dari mulut ke mulut, sedangkan dari pihaknya tiada sebarang kenyataan mengenainya dibuat.

"Saya menganggap ia perkara biasa dalam industri hiburan. Lagipun ini bukan kali pertama orang mengaitkan saya dengan gosip sedemikian rupa. Sebelum ini ada orang berkata saya sudah berkahwin dan cerita saya pergi berbulan madu turut hangat diperkatakan," katanya.


Walaupun menafikan mengenainya, di kalangan artis sendiri ia turut hangat diperkatakan terutama apabila ada pihak cuba mengaitkan nama Remy dengan beberapa pelakon wanita lain. Apabila ia ditimbulkan, kebanyakan mereka mengelak dengan berkata bimbang perkara itu akan menyebabkan hati Tiz terluka.


"Alah! itu juga perkara biasa. Macam gosip zaman sekolah di mana rakan-rakan mengusik. Saya secara peribadi tidak pernah berkecil hati atau ambil pusing mengenainya.

"Apa yang lebih penting adalah kerja. Pada saya sekiranya lakonan saya mampu menghidupkan jalan cerita, itu dianggap satu pencapaian. Apatah lagi saya masih baru dalam bidang lakonan ini. Saya lebih suka sekiranya bakat saya lebih dilihat orang berbanding gosip yang sering dikaitkan," katanya.


Sebelum ini, nama Tiz melonjak naik menerusi drama bersiri Nur Kasih, kerana kehangatan drama itu turut mengangkat nama pelakon yang mula menceburi bidang lakonan menerusi Gol & Gincu, sehingga memenangi anugerah Pelakon Drama Wanita Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.

Gemilang yang turut dihasilkan Khabir Bhatia dan skripnya dihasilkan Mira Mustafa turut membawa namanya melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan. Watak dibawakan sebagai guru turut meninggalkan kesan mendalam.


Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam drama yang ditonton hampir tiga juta orang setiap minggu itu katanya, antara sebab utama dia membintangi Gemilang kerana ia diarahkan Khabir dan skrip ditulis Mira.


"Gandingan mereka selalunya tidak mengecewakan. Saya sendiri mengagumi hasil kerja pasangan suami isteri ini. Sebaik membaca skripnya, saya sudah tertarik.

"Walaupun jalan cerita bersulam cinta namun pada saya usaha yang ditonjolkan membabitkan kesungguhan empat anak muda dalam memberikan pendidikan kepada pelajar yang bijak tetapi keciciran kerana kepayahan hidup adalah perkara yang sangat bagus untuk ditonton. Ia sedikit sebanyak mampu membina sahsiah diri kepada mereka yang menontonnya," katanya.


Bagaimanapun jelas Tiz, dia tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pendidik, namun sangat mengagumi mereka yang bertugas sebagai guru yang tidak pernah kenal erti penat dalam usaha memperturunkan ilmu dimiliki untuk dikongsi dengan mereka bergelar pelajar.


Bercerita lanjut mengenai kerjaya seni, Tiz menegaskan dia tidak pernah terburu-buru untuk menerima tawaran berlakon. Sebaliknya lebih gemar memberikan tumpuan kepada satu projek dalam satu masa.


"Selain itu saya akan berehat panjang apabila selesai menjalani satu-satu penggambaran drama terutama bersiri atau rantaian. Mengambil contoh sewaktu selesai penggambaran Nur Kasih, hampir sebulan saya berehat. Selain merehatkan badan, saya cuba untuk tidak terlalu tamak. Saya bersyukur kerana walaupun masih baru tetapi ramai pihak percayakan bakat saya," katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Movies.

>PROFIL
Nama Penuh: Siti Zaqyah Abdul Razak
Panggilan: Tiz Zaqyah
Tarikh Lahir: 25 Oktober 1988
Umur: 23 Tahun
Asal: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak bongsu daripada dua beradik
Status: Bujang
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Karier: Pelakon
Drama: Gol & Gincu, Impian Illyana, Nur Kasih, Bernafas Dalam Lumpur, Puaka Topeng Putih dan Gemilang
Filem: Nur Kasih dan Cinta Kura-Kura

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lebih RM6 juta juga dapat

Posted: 07 Apr 2011 05:37 AM PDT

MASALAH tayangan satu filem seminggu, saingan daripada filem import dan kini satu-satunya insentif untuk produser filem tempatan iaitu pulangan duti hiburan yang sejak 1986 yang sudah dimansuhkan, menjadi antara perkembangan 'panas' dalam dunia perfileman tanah air.

Pulangan duti hiburan itu kini digantikan dengan Insentif Tayangan Filem yang diumumkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam satu majlis di ibu negara pada 28 Mac lalu. Bagaimanapun, ia menimbulkan rasa kurang senang beberapa produser apabila filem yang mencatat kutipan lebih RM6 juta tidak layak mendapat insentif itu. Sebaliknya, filem yang mendapat kutipan bawah RM2 juta menerima insentif sebanyak RM200,000, kutipan RM2 juta hingga RM4 juta menerima 10 peratus daripada jumlah kutipan tiket manakala filem mencatat kutipan RM4 juta hingga RM6 juta layak menerima insentif lima peratus daripada jumlah kutipan tiket.


Hakikatnya, banyak filem ditayangkan tahun lalu mencatat kutipan lebih RM6 juta seperti Adnan Sempit, Ngangkung dan Hantu Kak Limah Balik Rumah begitu juga filem Khurafat yang ditayangkan Januari lalu diikuti Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) pada Mac.

Ruangan Depan Mata pada Isnin lalu, membangkitkan isu ini dengan mengatakan pengagihan baru ini menimbulkan kesan besar kepada industri filem kerana produser dikatakan hilang semangat menghasilkan filem berkualiti dengan bajet besar kerana filem yang mendapat kutipan lebih RM6 juta tidak mendapat insentif berbanding filem yang mendapat kutipan lebih rendah.


Artikel bertajuk Hilang Semangat Mahu Buat Filem Hebat itu mendapat reaksi daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Ketua Pengarahnya, Mohd Mahyidin Mustakim dalam kenyataannya berkata, menerusi maklum balas dan kerjasama Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Perbadanan sedang mengkaji kesesuaian mekanisme insentif ini untuk kebaikan industri filem tempatan. Katanya, kerajaan mengambil keputusan memansuhkan pulangan Duti Hiburan yang diperkenalkan sejak 1986 dengan mewujudkan Insentif Tayangan kepada pengeluar dan penerbit filem tempatan. "Keputusan ini mengambil kira faktor-faktor disebabkan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mematuhi komitmen asal iaitu pemulangan rebat 20 peratus daripada hasil jualan tiket kepada kerajaan Persekutuan. "Finas menggunakan peruntukan mengurusnya bagi menampung pulangan duti hiburan ini kepada pengeluar dan penerbit filem tempatan. Ini sekali gus memberi kesan terhadap program pembangunan filem yang digerakkan Finas.


"Namun demikian, pengenalan Insentif Tayangan ini adalah usaha kerajaan untuk menggalakkan penerbitan filem berkualiti.

"Insentif baru ini tidak dapat memenuhi sepenuhnya kehendak pengeluar filem tapi filem yang mendapat kutipan melebihi RM6 juta juga menerima insentif mengikut kadar yang setimpal dengan keuntungan di panggung. "Filem-filem yang gagal mendapat kutipan yang baik, menerima insentif tetapi tertakluk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan," katanya.


Katanya, pihaknya berharap dengan penjelasan ini semua pihak dapat bersama-sama berganding bahu bagi memastikan pembangunan industri filem terus diperkasakan dari semasa ke semasa. Produser Metrowealth (MIG) Productions, David Teo antara produser yang memprotes skim baru itu kerana beberapa filemnya yang ditayangkan tahun lalu mencatat kutipan lebih RM6 juta seperti Adnan Sempit dan Ngangkung.

Bagaimanapun, David menerima insentif untuk beberapa filemnya yang ditayangkan tahun lalu mencatat kutipan lebih RM1 juta hingga RM4 juta seperti V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto, Zoo, Mantra, Senario Asam Garam, Jangan Pandang Belakang Congkak, Cuti-cuti Cinta, Aku Masih Dara dan Damping Malam.


Produser KRU Studios, Norman Abdul Halim, terkejut dengan skim Insentif Tayangan Filem yang diumumkan itu kerana filem HMM yang mencatat kutipan lebih RM6 juta tidak layak menerima skim itu.


Katanya, sepatutnya skim itu diperkenalkan bagi tempoh tertentu supaya produser bersedia dengan perubahan yang dilakukan. Contohnya HMM diterbitkan tahun lalu dengan kos yang besar dan tentunya mengharapkan pulangan besar.


"Bagaimanapun, apabila filem ini termasuk dalam skim ini, sudah tentu saya kecewa kerana tidak layak mendapat insentif. Kesan lain termasuklah mengurangkan kos menerbitkan filem dan ini pastinya memberi kesan kepada semua karyawan dari pengarah, pelakon dan kru. Hakikatnya, produser bukan saja perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghasilkan filem malah dibebankan dengan duti hiburan yang tinggi iaitu 20 peratus dan ini paling tinggi di dunia. Di Singapura contohnya tiada cukai seperti ini.


"Saya harap skim ini dikaji semula untuk meringankan beban produser yang berhadapan banyak kekangan dan masalah dalam menghasilkan filem," katanya.


Norman yang juga Setiausaha Kehormat PFM berkata, ahli-ahli PFM kurang senang dengan Insentif Tayangan Filem yang diperkenalkan itu hingga mengadakan perjumpaan pada 1 April lalu.


Katanya, PFM juga mengadakan perjumpaan dengan ahli yang aktif menghasilkan filem iaitu lebih dua filem setahun pada Rabu lalu untuk membincangkan kertas cadangan yang akan dibentangkan kepada kerajaan.


"Kita akan cuba mendapatkan satu tarikh untuk mengadakan perjumpaan dengan menteri bagi membincangkan masalah ini. Hakikatnya, banyak masalah yang dihadapi produser filem Melayu dan berharap mendapat pertimbangan kerajaan. Semua ini dilakukan untuk memajukan filem Melayu. "Saya yakin Dr Rais yang dilihat begitu mengambil berat masalah dihadapi produser filem Melayu dapat mencari satu jalan penyelesaian terbaik.


"Apa yang kami harapkan adalah satu skim berpanjangan dan tetap untuk mendapat insentif. Harap apa yang dilakukan PFM ini memuaskan hati ahli yang aktif," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.