Harian Metro: Rap |
Bieber kegilaan peminat remaja Posted: 22 Apr 2011 07:09 AM PDT USIANYA baru mencecah 17 tahun pada 1 Mac lalu namun 'gelombang tsunami' yang dicetuskan Justin Drew Bieber atau Justin Bieber sebagai nama pentasnya, cukup luar biasa. Kehadiran lebih 20,000 penonton yang membanjiri Konsert Justin Bieber My World Tour In Malaysia di Stadium Merdeka yang berlangsung, malam kelmarin membuktikan Bieber bukan sekadar masyhur di Amerika Syarikat mahupun Kanada, tetapi kini seantero dunia. Semua tiket konsert jelajahnya di seluruh Asia laris terjual dan bahkan Konsert Justin Bieber My World Tour In Malaysia, yang berlangsung Khamis lalu berjaya mengenepikan jumlah penonton konsert Mariah Carey dan Celine Dion yang juga pernah menjadikan Stadium Merdeka sebagai pentas mereka. Bayangkan tiket konsert yang berharga RM98, RM188, RM288, RM358, RM498 dan RM888 yang disedia penganjur, Tune Talk Mobile Prepaid semuanya 'sold out'.
Terus kepada pengisian konsert, Bieber muncul di pentas jam 9 malam dengan mendendangkan lagu pertama Love Me dengan tarian mempesonakan, seterusnya diikuti lagu Bigger sambil diiringi jeritan peminat yang kebanyakannya remaja serta kanak-kanak yang ditemani ibu-bapa masing-masing. "Selamat datang ke dunia saya. Rasa amat bertuah bertemu kalian di sini. Bangga mendapat sokongan dari peminat Malaysia dan anda adalah peminat terbaik di dunia dan saya akan melakukan apa saja untuk anda selain memastikan setiap daripada kamu tersenyum. "Perkara paling menggembirakan saya apabila melihat kamu tersenyum saya juga pasti tersenyum," kata Bieber seterusnya menyanyikan lagu ketiga Smile. Selesai menyanyikan lagu itu, Bieber penyanyi yang dianugerahkan pelbagai kebolehan iaitu boleh bermain pelbagai peralatan muzik mendendangkan lagu Runaway Love dan One Less Lonely Girl secara akustik. Membuatkan Bieber tampak seksi di pentas apabila bermain gitar secara kidal (tangan kiri). Suasana disko kembali menguasai pentas yang seketika romantis apabila Bieber mengalunkan lagu Somebody To Love, Never Say Never, One Time dan That Should Be Me. Sebagaimana pernah dinyatakan sebelum ini yang dia amat memuja superstar Micheal Jackson, Bieber turut mempersembahkan tarian 'Moonwalk' serta menyanyikan lagu Walk This Way. Membuatkan konsert ini bertambah manis dan bererti, apabila klip video semasa Bieber kecil dan sangat comel turut dipertontonkan. Ketika menyaksikannya, terjawablah kenapa dia kini seorang penyanyi dan pemuzik, malah superstar. Sedari usia kecil lagi, dia sudah mula berkawan dengan gitar, dram, piano dan trumpet. Kelebihan itu dilengkapkan lagi dengan kebolehannya bernyanyi. Sebaik klip video itu dipadamkan, Bieber mempamerkan kehebatannya menari serta bermain dram sehingga memukau puluhan ribu penonton. Mengenakan dua persalinan hitam dan putih, penggemar warna ungu ini turut menyampaikan lagu Eenie Meenie dan Pray. Bieber kemudian hilang dari pentas sebaik mendendangkan lagu Pray seolah menandakan konsert sudah berakhir. Namun, jeritan peminat berjaya mengembalikannya ke pentas untuk menyanyikan lagu terakhir, Baby yang memperkenal dan menjadikannya bintang tersohor. Bagaimanapun, sebelum menyanyikan lagu itu Bieber sempat menduga hati penonton dengan menyampaikan beberapa lagu yang mempunyai kaitan dengan perkataan 'Baby' antaranya dari lagu hit Justin Timberlake dan Usher. Gurauan ini nyata berjaya mengundang tawa penonton. Secara keseluruhan, persembahan Bieber sangat menarik dengan paduan muzik yang bertenaga walaupun vokalnya tidaklah terlalu 'superb'. Kadangkala konsert itu kedengaran seperti konsert 'miming' atau menyanyi secara pertindihan (on top). Terdahulu, penyanyi Malaysia, Mizz Nina turut diberi penghargaan menampilkan persembahan pembuka tirai konsert berkenaan. Dua lagu disampaikan salah satunya adalah hit, What You Waiting For. Bieber yang turut menggunakan platform berkenaan untuk mempromosikan filem sulung Never Say Never seminggu sebelum konsert jelajah itu diadakan di negara ini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur bersama kekasihnya, aktres Selena Gomez kira-kira jam 2.30 petang. Sedikit info menarik, menurut penganjur tiket terjual sebanyak 17,000 bagaimanapun penulis menjangkakan jumlah penonton yang hadir pada malam itu lebih daripada angka berkenaan kerana Stadium Merdeka yang mampu memuatkan kapasiti lebih 40,000 penonton itu penuh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Nantikan gegaran artis popular Posted: 22 Apr 2011 06:49 AM PDT PELANCARAN akhbar Harian Metro edisi Sabah bakal meriah dengan kehadiran beberapa artis yang turut sama menyerikan majlis itu. Candy AF5, Tom Mystarz LG, Ezad Exist, Bandi Amuk dan Along Raja Lawak sebagai pengacara pada majlis itu akan menghiburkan pengunjung yang hadir. Ia turut diserikan dengan kehadiran dua bintang Metro Idol, Rien dan Seri Dewi. Walaupun sibuk dengan album single solo pertamanya, Ezad Exist turut meluangkan masa untuk bersama-sama dengan Harian Metro meraikan majlis penuh bermakna berkenaan.
Baginya, peluang yang diberikan itu adalah kesempatan buatnya untuk mempromosikan lagu barunya. Dengan kehadiran Harian Metro di Sabah, ia dapat membantu artis mengukuhkan nama mereka di persada seni tanah air.
"Harian Metro juga menggunakan Bahasa Melayu dan perkara ini memudahkan masyarakat Sabah untuk lebih dekat dengan akhbar ini," katanya ketika dihubungi. Selepas tamatnya kontrak dengan Astro, Candy kini dalam pembikinan album single Dusun sebagai pasaran di sekitar Sabah. Dia turut merancang untuk merakamkan lagu dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris selepas album berkenaan dilancarkan. Dia bakal muncul dalam drama komedi Kopi-o bergandingan dengan Alex Raja Lawak yang disiarkan di RTM. Akhbar tabloid yang mula mencipta nama pada 1991 ini kini menembusi pasaran media cetak Negeri Di Bawah Bayu. Harian Metro edisi Sabah secara rasminya akan bertapak di Sabah dengan pelancaran akhbar ini esok. Majlis yang diadakan di Concourse, Centerpoint, Kota Kinabalu itu bakal memberikan saingan kepada akhbar tempatan sedia ada di Sabah. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman bakal merasmikan pelancaran itu bermula jam 4 hingga 6 petang. Harian Metro mula diterbitkan pada 25 Mac 1991 dengan cetakan 30,000 naskhah yang diedarkan di sekitar Lembah Klang saja. Setahun kemudian, pada 25 Mac 1992, Harian Metro meluaskan pasaran dengan memulakan edisi Johor diikuti oleh edisi Utara pada 1 Ogos 1994 dan edisi Tengah pada 1 Ogos pada tahun berikutnya. Akhbar itu pada mulanya hanya diterbitkan pada setiap Isnin hingga Sabtu saja.
Diterajui Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, Harian Metro kini semakin menempah nama untuk kekal menjadi akhbar nombor 1 di Malaysia.
Selain Kota Kinabalu, Harian Metro diedarkan di empat kawasan iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Wilayah Persekutuan Labuan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |