Adsense

Sabtu, 23 April 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kuasa K-Pop

Posted: 22 Apr 2011 02:39 PM PDT

Hip

Artis Korea langkau sempadan bersama muzik popular

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, demam muzik popular Korea atau K-Pop di kalangan penggemar muzik di Asia semakin menjadi-jadi. Bahkan ia bagaikan sudah berbudaya di kalangan generasi muda hari ini. Negara kita tidak terlepas daripada terkena tempias pengaruh muzik artis solo mahupun berkumpulan dari Korea Selatan.

Ditambah dengan kewujudan media baru, pengaruh K-Pop makin cepat menular ke seluruh benua ini, bahkan sebahagian bakat dari negara berkenaan sudah pun melangkah lebih jauh hingga ke Amerika Syarikat dan Eropah. Rain dan Wonder Girls, umpamanya, sudah memahat nama mereka di persada seni Amerika. Semuanya dikatakan bermula kira-kira 20 tahun lalu, dengan penubuhan kumpulan Seo Tai-ji & Boys pada 1992. Kewujudan mereka mengubah landskap muzik negara itu. Dengan mengetengahkan konsep rap rock dan tekno, kumpulan berkenaan mencipta satu fenomena baru dalam industri muzik Korea ketika itu.

Dua dekad kemudian, pelbagai nama dan bentuk muzik menghiasi dunia muzik negara terbabit. Semuanya tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, dek fenomena yang sememangnya banyak mendatangkan laba buat artis dan syarikat yang menaungi mereka. Kumpulan Big Bang, sebagai contoh, dilaporkan mampu memungut sekitar RM50 juta pada 2007.

Maka tidak hairanlah apabila syarikat besar seperti S.M. Entertainment, YG Entertainment, DSP Entertainment dan JYP Entertainment sanggup berbelanja besar untuk merekrut, melatih, seterusnya memasarkan produk menguntungkan ini.

Difahamkan, paling kurang syarikat terbabit mengambil masa selama dua tahun untuk mencipta seseorang bintang atau sesebuah kumpulan, bagi memastikan nama mereka benar-benar melekat di hati peminat sebaik saja single atau album mereka dipasarkan.
Walaupun impak K-Pop kuat dirasa di negara seperti Jepun, Thailand, Malaysia dan Singapura, pengaruhnya dikatakan turut dilihat sehingga ke Australia. Bahkan negara Afrika Utara dan Asia Barat tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.

Tiga tahun lalu, kumpulan Wonder Girls muncul artis Korea pertama yang berjaya menempatkan diri dalam carta 100 Lagu terhangat Billboard di Amerika Syarikat menerusi single Nobody. Pada tahun lalu, artis solo, Taeyang dan sebuah lagi kumpulan yang dianggotai penyanyi perempuan, 2NE1, turut tersenarai dalam pelbagai carta di negara itu dan Kanada.

Pada tahun ini pula, album kumpulan Big Bang berjudul Tonight menjadi album K-Pop pertama yang menembusi kedudukan 10 terbaik dalam carta iTunes dan muncul satu-satunya album bukan Inggeris dalam senarai Top 100.

Dalam usaha mereka mengetengahkan lagi bakat dari negara terbabit, syarikat yang menaungi artis Korea ini menggunakan pendekatan kerjasama bersama artis luar. Di Amerika Syarikat umpamanya, artis Korea menyertai siri jelajah dengan beberapa kumpulan muzik terkemuka seperti Jonas Brothers, serta mengadakan kolaborasi bersama penerbit unggul termasuk will.i.am, Rodney Jerkins dan Kanye West.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

@Sinepleks: Giliran Rio pikat peminat

Posted: 22 Apr 2011 02:22 PM PDT

Hip

pix_gal0
Filem animasi komputer kian mendapat tempat di hati penonton

FILEM animasi komputer sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas penonton. Kelebihannya, ia mampu memikat hati bukan saja peminat kecil, bahkan golongan dewasa turut terhibur dengan pelbagai aksi menarik dipaparkan filem dalam genre ini.

Maklum saja, segala macam lagak yang tidak mungkin dapat dilaksanakan menerusi filem cereka dapat direalisasikan melalui filem animasi. Apatah lagi ketika ini taraf filem terbabit bagai diangkat ke tahap tertinggi dengan kewujudan teknologi komputer yang canggih. Saban tahun, ada saja judul animasi yang meledak ketika ditayangkan di pawagam. Beberapa judul seperti Toy Story 3, How to Train Your Dragon, Despicable Me, Shrek Forever After, Finding Nemo dan Up bukan hanya mencatat laba berlipat ganda, malah menjadi hiburan yang diingati peminat buat jangka waktu yang lama.
Sebahagiannya pula berupaya membawa balik Oscar daripada Anugerah Academy!

Sehingga kini, filem Toy Story 3 yang ditayangkan pada Jun tahun lalu muncul filem animasi komputer paling berjaya dari segi pungutan sepanjang zaman, dengan kira-kira RM3.2 bilion, dari seluruh dunia. Filem arahan Lee Unkrich itu diedarkan Buena Vista.

Hujung Minggu lalu, sebuah lagi filem hasil grafik komputer, Rio, menunjukkan petanda untuk muncul sebuah lagi judul animasi yang mendapat tempat di hati peminat apabila menguasai carta pecah panggung Amerika dengan bergaya.
Membuka tayangan hujung minggu dengan pungutan kira-kira RM121 juta, ia bukan hanya mengungguli carta, bahkan menjadi filem terbesar kutipannya bagi tahun ini. Dengan pungutan dilakukannya itu, ia turut membantu peningkatan pasaran filem sebanyak 10 peratus.

Filem yang dihasilkan menggunakan peruntukan sekitar RM272 juta oleh Blue Sky Studios itu menambah pungutan sebanyak RM162 juta lagi di luar Amerika, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM293 juta di seluruh dunia. Filem terbabit turut menguasai carta pecah panggung Malaysia.

Lebih daripada itu, filem daripada Fox Studio arahan Carlos Saldanha itu mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik.

Dengan persembahan yang begitu membanggakan, Rio secara tidak langsung mengetepikan saingan judul seram arahan Wes Craven, Scream 4, yang sekadar muncul naib juara carta filem box office di benua Amerika. Filem susulan berkenaan membawa pulang sekitar RM58.4 juta.

Eksekutif di syarikat penerbitannya turut berkeyakinan, animasi yang meminjam suara Jesse Eisenberg dan Anne Hathaway ini mampu mencatat pungutan yang tinggi sekurang-kurangnya untuk seminggu atau dua lagi.

Antara lain, Rio bercerita mengenai seekor burung kakak tua biru yang dibawa mengembara ke Brazil kerana seekor lagi burung daripada spesies yang sama dikatakan wujud di sana. Di tempat baru itu, ia berdepan pelbagai pengalaman menakjubkan dan mencabar, daripada dikejar pemburu haram hinggalah usahanya untuk belajar terbang.

Selepas ini, masih banyak lagi judul animasi yang pastinya menghiburkan penonton akan memasuki pawagam. Antaranya ialah Hoodwinked Too! Hood vs. Evil, The Lion of Judah, Kung Fu Panda 2, Cars 2, Winnie the Pooh, The Smurfs, Puss in Boots, Happy Feet 2 in 3D, Arthur Christmas dan Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked.

Carta pecah panggung:
1 - Rio
2 - The Ghost Must Be Crazy
3 - Scream 4
4 - Senjakala
5 - Justin Bieber: Never Say Never
6 - Source Code
7 - Mappillai
8 - Limitless
9 - The Last Dragon
10 - Chase Our Love


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.