Adsense

Selasa, 15 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


LKBSM teater muzikal termahal

Posted:

LKBSM teater muzikal termahal

LKBSM teater muzikal termahal

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


BARISAN ensemble yang mempersembahkan sedutan lagu dari Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


JIKA tiada aral melintang dan seperti mana yang dirancang, pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) akan membuka tirainya bermula malam ini di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).

Bakal dipentaskan sehingga 3 April ini, LKBSM pastinya akan memberikan satu dimensi baru untuk pementasan teater muzikal di negara ini yang dilihat semakin berkembang pesat.

Malah, LKBSM juga telah mencipta sejarah apabila kos keseluruhan penerbitannya menelan belanja lebih RM3 juta sekali gus meletakkan teater muzikal arahan Harith Iskander dan Hans Isaac itu sebagai teater muzikal paling mahal pernah diterbitkan.

Biarpun enggan mendedahkan jumlah sebenar LKBSM, namun, Hans yang juga bertindak sebagai penerbit teater muzikal itu walau bagaimanapun tidak menafikan teater berkenaan telah menelan belanja yang cukup besar.

Dengan menampilkan 23 set dan barisan orkestra yang akan mengiringi pementasan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu, maka tidak hairanlah LKBSM menjadi teater muzikal paling mahal setakat ini.

Sedangkan, Puteri Gunung Ledang the Musical yang dipentaskan pada tahun 2006 dikatakan memakan belanja hanya sekitar RM2.5 juta sahaja.

"Saya mahu menjadikan LKBSM sebagai sebuah pementasan yang dapat diingati oleh semua rakyat Malaysia kerana ia adalah kisah tentang seorang ikon negara yang cukup unggul di mata kita semua.

"Jadi, untuk mementaskan riwayat kisah hidup seorang figura yang masih hidup memang bukan mudah.

"Kerana itu, saya mahu memastikan LKBSM berada di tahap yang tertinggi setanding dengan individu yang kita raikan.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana apa yang dirancang selama ini semuanya berjalan dengan lancar dan saya kagum serta bangga dengan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan produksi ini mengecapi kejayaan yang sewajarnya," ujar Hans pada sidang akhbar di IB, baru-baru ini.

LKBSM merupakan pementasan yang diterbitkan oleh syarikat milik Hans, Tall Order Productions dengan kerjasama Institut Terjemahan Malaysia (ITNM).

Turut hadir ialah Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

Tidak ketinggalan pemeran watak Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat iaitu Awie dan Atilia yang memegang watak sebagai isteri Lat, Faezah serta Douglas Lim (Frankie), Sandra Sodhy (Mrs. Hiew) dan Pushpa Narayan (Miss Thambi).

Menyambung perbualan, Hans memberitahu sejak tiga bulan kebelakangan ini, hampir keseluruhan masanya dicurahkan untuk LKBSM sehinggakan dirinya sendiri tidak berpeluang menikmati waktu tidur yang cukup.

Apatah lagi, dia perlu memikul dua tugas besar sebagai pengarah dan penerbit membuatkan Hans perlu lebih menumpukan perhatian kepada teater muzikal kedua terbitan syarikatnya itu.

"Bukan tugas yang mudah untuk saya sebagai pengarah dan penerbit kerana saya perlu mengimbangkan kedua-duanya. Ada kalanya memang sukar buat saya untuk membuat keputusan.

"Sebagai pengarah, kita harus menjadi kreatif dan memikirkan elemen yang mampu menjadikan pementasan itu lebih menarik. Dalam masa yang sama, sebagai penerbit, saya juga perlu memikirkan tentang kos agar ia tidak melebihi daripada apa yang telah ditetapkan.

"Nampaknya, ia memang tidak dapat dielakkan (ketawa). Tetapi, saya tidak kisah kerana saya mahu LKBSM akan meninggalkan kesan luar biasa buat penonton dan pencinta teater muzikal secara amnya," ujarnya yang pernah menerbitkan Cuci the Musical selama dua musim dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Dalam sidang akhbar itu juga, Hans sempat mempertontonkan sedutan lagu-lagu yang akan menjadi nadi kepada perjalanan LKBSM kelak.

Walaupun hanya seketika, ia tidak perlu menunggu lama untuk menangkap halwa telinga yang rata-rata berpendapat muzik untuk pementasan ini cukup segar dan menghiburkan.

Ternyata, percaturan Hans menggunakan khidmat penerbit dan komposer terkenal, Michael Veerapan sebagai pengarah muzik LKBSM merupakan langkah yang cukup tepat dan bijak.

Dalam kegembiraannya itu, Hans juga tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya apabila Datuk Rahim Razali yang sepatutnya memegang watak sebagai Tan Sri Samad Ismail terpaksa menarik diri atas alasan terikat dengan komitmen seni lain.

Untuk itu, watak tersebut telah diambil alih oleh Omar Abdullah dan Hans sendiri memuji komitmen Omar yang berjaya membawakan watak Samad Ismail atau lebih dikenali ramai sebagai Pak Samad itu.

Jelas Hans, pemilihan Omar adalah daripada cadangan Lat sendiri dan tanpa perlu menunggu lama, Hans menghubungi Omar dengan memintanya hadir untuk ke sesi uji bakat.

"Seperti mana yang saya katakan tadi, tidak kira watak utama atau kecil, saya akan menjalankan uji bakat dan Omar juga tidak terkecuali. Apabila dia membaca skrip dan membawakan watak Pak Samad, saya melihat karisma itu ada pada dirinya.

"Walaupun pada saat-saat akhir, namun, Omar berjaya menyakinkan saya untuk watak berkenaan dan selepas menjalani latihan insentif, dia sudah sebati dengan watak itu.

"Saya juga harus akui bahawa Lat memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran teater muzikal ini. Beliau akan hadir pada sesi latihan dalam seminggu sekali untuk melihat proses penceritaannya.

"Jika ada yang dirasakan perlu diubah atau tidak kena, beliau akan memberikan komen tetapi selalunya, perubahan yang kami lakukan pun tidaklah banyak mana. Setakat ini, beliau memang cukup berpuas hati dan tidak sabar untuk menontonnya di pentas yang besar," kata Hans yang mula dikenali menerusi filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1995 ini lagi.

Dalam masa yang sama, Hans juga gembira dengan penjualan tiket yang kini sudah mencecah 50 peratus walaupun Hans mengakui ia bergerak sedikit perlahan.

Katanya, sudah menjadi budaya rakyat Malaysia yang gemar membeli tiket di saat akhir dan dia mengharapkan ia akan terus meningkat lebih-lebih lagi dengan musim cuti sekolah ketika ini.

"Kalau semua tiket terjual setakat 70 hingga 80 peratus sekali pun, ia sudah memadai buat saya. Apa-apa pun, saya gembira dan mengucapkan terima kasih kerana LKBSM tetap mendapat perhatian syarikat korporat dan swasta yang sudi menjadi penaja untuk pementasan ini," ucapnya dalam nada syukur.

Sebanyak tiga syarikat korporat iaitu Kumpulan CIMB, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Sapura telah menjadi penaja utama untuk KLBSM manakala Kerajaan Negeri Perak, Kontena Nasional Berhad dan Khazanah Nasional Berhad pula merupakan penaja bersama pementasan mega ini.

Bagi mereka yang masih belum mendapatkan tiket bagi menyaksikan LKBSM, pastikan anda berbuat demikian dengan segera bagi mengelakkan kekecewaan.

Tiket-tiket adalah berharga RM40, RM70, RM100, RM120, RM160, RM180, RM200, RM230 dan RM300. Untuk sebarang tempahan dan pembelian tiket, bolehlah berbuat demikian dengan melayari laman web, www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4147 8600.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Melda buat konsert bersama artis popular

Posted:

Melda buat konsert bersama artis popular

Melda buat konsert bersama artis popular

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


Pemain bass kumpulan Hujan, Izat (kiri) bersama Melda dan Ella bakal berkongsi pentas.


TIDAK pernah terfikir oleh Nur Imelda Ahmad, 20, dipilih sebagai pelakon utama program realiti televisyen, Gadis Semasa Sunsilk (GSS) sebanyak 13 episod terbitan Red Communications Sdn. Bhd.

Tuah gadis itu bermula apabila pihak Unilever (Malaysia) Sdn. Bhd., yang ketika itu sedang mencari bakat baru untuk menjayakan kempen terbaru Sunsilk, jenama penjagaan rambut.

Kempen tersebut bertujuan untuk membantu mana-mana individu mencapai kehidupan yang lebih menarik dan penuh keyakinan selaras dengan jenama Sunsilk.

Berdasarkan persembahan Nur Imelda atau Melda menerusi lagu Putus ciptaan dan dendangannya yang dimuatkan di YouTube, akhirnya dia dipilih untuk muncul dalam GSS.

Melda yang ditemui baru-baru ini mengaku sebelum berlakon dalam program realiti GSS, dia seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan dengan kebolehannya.

"Saat mula ditawarkan menyertai program ini, saya menolak sebab sedang mengikuti diploma dalam bidang muzik, pengkhususan vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

"Tetapi saya berubah fikiran setelah berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan. Lagipun peluang keemasan ini datang sekali dalam seumur hidup," katanya membuka bicara.

Tanpa pengalaman berlakon dan penuh dengan sifat pemalu, Melda akui dia sukar untuk berlakon walaupun melakonkan watak sendiri.

Katanya, paling sukar apabila terpaksa melakonkan adegan percintaan di mana memerlukan dirinya untuk meluahkan perasaannya.

"Memanglah program itu berkisar tentang diri saya, tapi bab percintaan itu tambahan saja. Itulah sukar sikit nak buat. Apa pun saya gembira diberi peluang melakukan perkara yang tidak pernah saya impikan selama ini.

"Menerusi GSS, saya berpeluang mengasah bakat mencipta lagu dengan bimbingan Ajai. Begitu juga dengan tunjuk ajar daripada Wardina Safiyyah, pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI)dan pakar dandanan diri, Bambang Soteto, saya lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai," katanya jujur.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, pengalaman yang ditimba dalam GSS amat bernilai dan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

Katanya, program itu bukan sahaja memberinya inspirasi malah turut menanam sifat berani dalam kehidupan dan mengekspresikan diri dengan yakin serta membakar minatnya terhadap muzik.

Setelah diuji dengan lakonan dan kolaborasi bersama Ajai dalam bidang muzik, Melda turut diberi kesempatan mengadakan konsert yang jarang-jarang sekali diberi kepada bakat baru.

Melda yang masih mentah dalam bidang seni suara, bakal mengadakan persembahan bersama dengan diva rock, Ella, kumpulan Hujan, One Nation Emcess dan Yuna.

Melda akan mengadakan persembahan dengan artis tersebut di Konsert Gadis Semasa Sunsilk yang bakal berlangsung di Orange Club, Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam, 16 April ini.

"Memang mendebarkan, sebab kali pertama saya akan menyanyi di hadapan orang ramai secara live. Lainlah kalau di YouTube, mereka menonton persembahan secara rakaman.

"Bagaimanapun, saya menganggap konsert ini sebagai satu platform untuk mengenengahkan bakat saya dalam bidang seni," katanya yang bakal mendendangkan lagu Putus, Kimia dan lagu baru ciptaan Ajai, Aku Adalah Aku.

Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam lebih itu bukan sekadar memberi ruang pada Melda untuk tonjolkan bakat malah konsert itu juga merupakan adegan kemuncak GSS.

Melda capai impian

Pengurus Jenama Sunsilk Malaysia, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Emily Chong berkata, dengan bantuan inisiatif kempen Gadis Semasa Sunsilk, diharap Melda dapat melangkah menjadi seorang yang lebih yakin dalam mengejar impian.

Menurutnya, kempen GSS adalah berkisar tentang transformasi kehidupan seorang gadis pemalu kepada individu yang lebih berkeyakinan.

Katanya, peminat-peminat yang ingin melihat Melda membuat persembahan boleh mendapatkan tiket di roadshow GSS di seluruh negara.

"Melda bersama pelakon-pelakon lain GSS akan mengedarkan tiket-tiket berkenaan di Pantai Timur Hyper, Kota Bahru (18 dan 19 Mac, 10.30 pagi hingga 10 petang).

"Setiap pembelian mana-mana produk Sunsilk bernilai lebih RM15, pelanggan berpeluang untuk memenangi syampu dan perapi Sunsilk, cakera padat, tiket konsert dan pek percutian eksklusif Sunsilk," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.