Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Awie tepis label negatifSELEPAS hampir sejam menunggu, Awie menelefon dan memberitahu: "Saya minta maaf sangat kerana terlewat. Sibuk layan anak-anak sebab mereka tidak sekolah hari ini. Maaf ya. Ini saja masa yang saya ada dengan mereka." Talian telefon dimatikan. Kurang setengah jam kemudian dia sampai sambil memohon maaf berkali-kali. Untuk bertemu dan menemu bual Awie pada masa kini memang agak sukar. Jadual kerjanya terlalu padat sejak penghujung tahun lalu. Harus dikejar dengan tekun masa untuk duduk berbicara dengan lelaki ini. Seperti petang Sabtu lalu, kami bertemu di 'rumah kedua'nya, Istana Budaya. Awie dan produksi LAT Kampung Boy The Musical sedang berkampung di bangunan gah itu untuk memastikan pementasan julung-julung kali teater yang mengangkat kisah hidup kartunis tersohor Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) dipentaskan dengan sukses bermula esok malam sehingga 3 April di Panggung Sari, Istana Budaya. Duduk di hadapan saya, Awie bertanya, apa sahaja yang ingin dibicarakan, ia dibalas dengan - semua. Semua, tentang Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 43 tahun. Tentang kerjayanya yang semakin tinggi di puncak. Tentang kehidupan peribadinya bersama isteri, Rozana Misbun serta lima cahaya matanya, Puteri Aleeya Antasha, Puteri Aleefa Antasha, Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rizki dan Qasseh. Tentang kisah dirinya yang dilabel gangster, kaki perempuan serta jatuh bangun dia dalam industri. Awie mengangguk faham dan sambil menikmati minum petang, kami mula berbicara. Bicara kami dibuka dengan keterujaannya membawa karakter hebat Lat. Mengaku pada awal menolak pelawaan produksi sebelum menerimanya kerana terpaksa, kini emosi itu bertukar menjadi bangga. Dia bangga dan rasa bertuah kerana akan mementaskan karakter seorang genius kartun Malaysia yang sepatutnya diangkat sejak dulu lagi. "Saya akan menyesal jika saya menolak membawa watak Lat. Jujur, pada awalnya, saya tidak berasa takut. Tetapi kini, perasaan itu wujud selepas menyedari betapa besarnya pengaruh Lat bukan sahaja di Malaysia sebaliknya di mata dunia. "Jika di Barat orang mengagungkan karakter kartun seperti Bart Simpson atau Archie, di Malaysia kita ada Lat. Sebab itu bila saya perasan tentang pengaruh Lat, saya jadi takut. Tapi Insya-Allah saya akan memberi yang terbaik untuk pementasan ini," katanya penuh teruja. Untuk menguasai Lat dalam versinya, Awie memberitahu dia mengkaji karakter tokoh kartunis itu dalam kesempatan bertemunya. Namun kata Awie, dia tidak boleh 100 peratus menjadi Lat, tetapi apa yang boleh dijanjikan anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini adalah dia akan menghembuskan roh Lat di dalam jasad Awie apabila naik ke atas pentas kelak Sudah mula menjiwai Lat dan menguasai dialog selain masih gigih berusaha menghafal lirik lagu muzikal tersebut, Awie saat ditanya tentang kecenderungannya bermain teater memberitahu dia menggunakan kesempatan yang ada dengan sehabis baik untuk memaksimumkan kemampuan diri. Apabila diberi kepercayaan untuk bermain di gelanggang teater yang diketahui selalu menjadi gelanggang paling agung anak seni sejati, dia tidak mahu mempersiakannya. Maka sebab itu sejak Cuci The Muzikal, kakinya bagai sudah terpasak di pentas teater. Tahu ada segelintir pemain teater sejati kurang senang dengan kehadiran pelakon komersial sepertinya bermain di lapangan yang sama, kata Awie penuh makna: "Saya buat kerana minat dan mahu mengembangkan industri seni kita. Apa salahnya kita berkongsi ilmu bersama dan meraikan ia bersama juga." Jutawan Mengajak Awie berbicara tentang perjalanan kariernya sejak dulu, dia mengaku ada banyak gelombang besar yang telah ditempuhinya. Paling mengguris hati vokalis Wings ini adalah apabila dia dihentam teruk selepas putus tunang dengan Erra Fazira sekitar tahun 1997. Tiga tahun dia menyepi kerana kecewa dengan industri. Katanya: "Saya hanya manusia biasa dan apabila dihentam teruk selepas putus tunang, saya sangat kecewa. "Jadi saya ambil keputusan untuk 'keluar bersiar-siar' sebentar. Dalam jangka waktu tiga tahun itu, kehidupan ekonomi saya memang tidak begitu stabil. Saya buat banyak pekerjaan seperti jual minyak wangi dan menyanyi di fun fair. Merata tempat saya pergi. "Pada masa yang sama, saya sibuk buat kerja belakang tabir sehingga lahirnya Kristal dan Dragon Malaya. Tiga tahun vakum, saya rasa kemaruk untuk menyanyi semula. Kebetulan arwah J.S Kevin mempunyai pemikiran yang sama dengan saya untuk kembali bersatu dengan Wings. Sejak tahun 2000 saya kembali aktif semula," cerita Awie yang cukup berbangga dengan Wings kerana kombinasi dia, Joe, Black dan Eddie tidak pernah bubar walau sesekali berlaga ego. Diminta mengenang kemanisan sebagai anak seni pula, Awie membocorkan satu hal bahawa dia pernah memegang status jutawan pada usianya 25 tahun pada tahun 1995. Pada waktu itu, dia meledak dengan filem-filem hit seperti Sembilu dan Bara. Malah lagu-lagu solonya turut menjadi faktor kewangannya menjadi kukuh. "Itu dulu. Saya memang pernah jadi jutawan. Tapi sekejap saja sebab saya banyak membuat kesilapan dalam pelaburan. Waktu itu saya gila membeli aset seperti bangunan, namun ada bangunan yang dibeli terbengkalai dan sebagainya. Jadi aset yang tinggal tidak sebanyak dulu," akuinya jujur. Ditanya mengapa memilih membeli bangunan pada usia muda berbanding menghabiskannya untuk berfesyen, jawab Awie: "Saya mahu kehidupan mendatang buat keluarga, terutama anak-anak saya, terjamin. Sebab itu saya suka kumpul aset." Emosi kaki pukul Label kaki pukul atau gengster juga sangat sinonim dengan Awie. Awie pukul orang itu, Awie belasah orang ini, Awie bertumbuk di kelab malam dan banyak lagi. Awie senyum kelat apabila persoalan kaki pukul dibangkitkan. Kemudian, panjang sejarah bagaimana dia boleh dikaitkan dengan isu sebegitu diceritakan Awie. Namun secara ringkas, katanya, dia tidak akan mengganggu orang jika orang tidak mengganggu dirinya. Malah dia akui, dia adalah seorang lelaki yang agak baran. Terutama sewaktu muda, namun sifat barannya mula kendur apabila usia meningkat. "Saya juga nak buktikan bahawa artis kita bukan lembik dan jangan selalu dibuli. Saya sedih apabila melihat rakan seperjuangan dibaling telur, dilempar batu atau apa saja kerana dibenci peminat. "Kami golongan artis juga ada maruah dan emosi. Jadi jangan sesuka hati melakukan penghinaan terhadap kami," katanya ringkas. Soalan terakhir yang dijolok kepada Awie adalah tentang label kaki perempuan. Awie senyum lagi, menghela nafas panjang sebelum menjawab: "Saya akui, saya seorang yang nakal. Tapi bukan jahat. "Sepanjang saya menjadi artis, saya tidak pernah menyorokkan kekasih saya. Kalau saya kaki perempuan, saya tidak akan menonjolkan wanita yang bersama saya. Jadi masyarakat boleh menilai sendiri." Saat ditanya dalam hidup, berapa kali dia benar-benar jatuh cinta, Awie terdiam lama. Perlahan-lahan kemudian dia menjawab: "Lebih kurang tiga kali. Kini cinta saya hanya untuk isteri serta anak-anak." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Roslan, Amar kagumi BadeOleh SAHLIZAH MOHAMED
UMPAMA pucuk dicita, ulam mendatang. Tawaran ber lakon di bawah pengarah Badarudin Haji Azmi yang lebih dikenali sebagai Bade yang singgah kepada Roslan Shah dan pendatang baru Amar Baharin atau Amar menerusi drama komedi bersiri, Darling sememangnya merungkai sebuah penantian sejak sekian lama. Impian untuk berlakon di bawah arahan Bade sudah lama terpasang di dalam hati kedua-dua pelakon itu yang me nyifatkan Bade merupakan seorang pengarah yang mempunyai nama dan bakat besar. Menurut Roslan, kali pertama bekerja dengan Bade menerbitkan rasa yang bercampur-baur kerana pengalaman pertama adalah satu detik penting untuk menonjolkan kredebilitinya sebagai pelakon. "Saya memang sangat teruja apabila ditawarkan untuk berlakon di bawah Bade. Saya rasa takut, berdebar meskipun pada saya hanya diperlukan untuk melakonkan dua babak sahaja sebagai penampilan khas. "Barangkali selepas melihat komitmen yang saya berikan terhadap Darling, watak saya ditambah lagi kepada 12 babak dan menjadikan ia keseluruhannya 14 babak. Meskipun itu bukan watak komedi pertama lakonannya, Roslan mengakui berdepan dengan cabaran melakonkan watak Shariman kerana dia perlu bertutur mengikut loghat Negeri Sembilan. Mengakui menerima tawaran lakonan bukan untuk menunjukkan kehebatan diri, tetapi dia lebih selesa mengklasifikasikan sisi berlakon untuk memperbetulkan pembawaan watak. "Saya menerima tawaran berlakon bukan untuk nampak hebat, tetapi saya rasa ia sebagai latihan untuk mengasah pembawaan watak," katanya yang akan muncul dengan sebuah drama di TV2 pada bulan April iaitu Mawar Desa Anggerik Kota. Drama komedi Darling sebanyak 13 episod telah mula ditayangkan pada 1 Mac lalu menerusi saluran Astro Warna pada setiap Selasa pukul 9 malam. Darling turut menampilkan Datuk Jalaluddin Hassan, Ifa Raziah, Kuna, Watie Elite, dan Zarina AF. Sementara itu, pendatang baru, Amar yang lahir daripada program realiti Anak Wayang (AW) turut berkongsi rasa bertuah kerana hajat untuk bekerja dengan salah seorang pengarah yang menjadi idolanya telah termakbul. Menyifatkan Bade sebagai seorang pengarah yang ringkas dan kreatif, Amar turut memendam impian untuk berada di posisi Bade di masa akan datang. "Bade merupakan seorang pengarah yang hebat, relaks dan kreatif. Shot yang diambil semuanya ringkas, tetapi menarik dan kreatif. "Sebelum ini saya hanya pernah lihat dia menghasilkan filem genre lasak, tetapi yang menariknya, apabila dia mengarah karya komedi, ia pun tidak kurang hebatnya. "Melihat kepada bakat dan karisma yang ada dalam diri Bade, saya turut menyimpan cita-cita untuk duduk di depan monitor, tetapi bukan sekarang. Disebabkan itu, saya gemar duduk di sebelah pengarah apabila tiada babak yang melibatkan saya untuk melihat kreativiti mereka menghasilkan babak yang cantik," kata pemuda berusia 26 tahun itu. Bercerita lanjut tentang Darling, Amar yang terlibat dalam setiap episod drama itu mengakui selesa melakonkan watak komedi kerana baginya, watak komedi memberikan dia kebebasan sepenuhnya. Pernah melakonkan watak serius, menurut Amar, ia memerlukan dia bermain dengan perasaan dalaman dan kadangkala mengalirkan air mata. "Watak berat meletihkan, tetapi ia adalah cabaran yang hebat untuk dilakonkan, tetapi jika komedi, saya baru lepaskan perasaan sehabis mungkin," kata jejaka yang akan tampil dengan sebuah lagi drama rantaian yang menyaksikan gandingannya dengan Scha Al-Yahya menerusi Mimi Mencari Cinta. Biarpun tersingkir awal daripada AW, Amar bersyukur kerana perjalanan seni yang dilaluinya kini cerah dan tawaran lakonan yang diterima juga tidak mengecewakan. Mengimbas kembali perjalanan hidup Amar sebelum bergelar pelakon, dia mula aktif sebagai model iklan ko mersial sejak tahun 2003. "Selepas terlibat dalam komersial, saya ada berlakon, tetapi tidak serius. Tidak lama selepas itu, saya bekerja sebagai pelatih peribadi di sebuah gim. "Pada masa yang sama, saya tidak pernah putus asa untuk terus berlakon dan pada tahun 2009, saya terpilih sebagai salah seorang calon Anak Wayang. Namun tuah tidak menyebelahi saya dan saya terkeluar awal. "Begitupun, saya menganggap Anak Wayang adalah paltform saya untuk mula serius dalam industri lakonan," tutur pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Selepas dikenali menerusi beberapa drama termasuk Kau dan Aku, Amar turut mengintai peluang untuk beraksi di layar lebar pada masa akan datang. Katanya, dia tidak mahu tergesa-gesa untuk beraksi dalam filem kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari sebagai seorang pelakon yang masih hijau. "Tawaran belum ada. Kalau ada rezeki dan watak itu saya boleh saya bawa, mungkin saya akan ambil, tetapi jika ia terlalu berat dan tidak sesuai dengan tahap saya yang masih baru, mungkin saya kena tolak. "Buat masa sekarang, saya mahu terus aktif dalam drama dan jadual saya sudah padat sehingga bulan Jun," ujar pelakon kelahiran Kajang itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Mukul bukan kaki botol
AKTOR Mukul Dev membuat pengakuan dia begitu sukar membawa watak seorang jejaka yang gemar meminum minuman keras menerusi filem Yamla Pagla Deewana. Ini kerana dia mengaku dirinya bukan seorang peminum alkohol atau kaki botol. "Saya susah untuk uruskan diri bagi memegang watak seorang kaki botol tetapi saya berjaya juga melakukannya. Dengan bantuan rakan sekeliling, dalam beberapa minit saya dapat menghayati watak itu. "Ia sungguh fantastik dan saya rasa cukup bangga kerana orang ramai menghargai apa yang saya lakukan. Inilah antara sebab saya suka menjadi seorang pelakon. Biasanya saya sentiasa berasa di tempat teratas di seluruh dunia," beritahu Mukul dengan penuh bangga. Filem itu turut dibintangi oleh pelakon hebat antaranya Sunny, Bobby dan aktor veteran Dharmendra. Menerusi filem itu Mukul memegang watak sebagai Billa iaitu abang kepada Saheba, lakonan Kulraj Randhawa. "Tiada sesiapa yang dapat menjelaskan dan menyangka sama ada lakonan seorang pelakon itu bagus atau tidak tetapi saya tahu filem ini banyak mengisahkan kehidupan masyarakat terutama Punjabi. "Bagi saya untuk membuat penonton ketawa terutama menerusi komedi sangat senang kerana muka saya sudah menggambarkan ia lucu," jelas Mukul sambil ketawa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |