Adsense

Isnin, 7 Mac 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Saleha Bicara Soal Lelaki

Posted: 07 Mar 2011 12:59 AM PST


TIGA tahun berhempas-pulas dalam industri seni masih belum menjanjikan kesempurnaan buat pelakon manis Siti Saleha Mohd Baharum, 21.

Ini kerana masa yang diperuntukkan untuk bergelar anak seni terpaksa dibahagikan dengan pelajaran. Sesibuk mana dengan aktiviti seni, Saleha cuba tidak melupakan pengajiannya demi mengejar kejayaan di menara gading.

Dek kerana sibuk dengan pelajaran, dia terpaksa menolak tawaran tiga buah filem daripada penerbit ternama. Bagaimanapun, tahun ini dia memujuk hatinya untuk bersiap sedia menerima tawaran berlakon filem pertamanya.

"Saya rasa tahun ini merupakan masa yang sesuai untuk saya berlakon filem kerana sebelum ini masa saya banyak ditumpukan kepada pelajaran selain saya merasakan merasakan masih baru dalam dunia lakonan.

"Jadi, saya sudah bersedia untuk berlakon filem. Saya sedang menunggu pembikinan filem pertama tidak lama lagi.

"Paling seronok apabila saya turut menerima tawaran berlakon di samping Datuk Shah Rukh Khan iaitu filem Don 2 pada 15 Mac ini.

"Walaupun hanya terlibat untuk dua hingga tiga babak, saya menerima tawaran berkenaan kerana sangat meminati pelakon Bollywood itu dan bukan senang untuk menerima peluang sebegini," katanya.

Sementara menanti semester ketiga


Saleha akui selesa bergandingan dengan pelakon Aaron Aziz.
pengajiannya pada April ini di Kolej Inti, Subang Jaya dalam bidang Diploma Komunikasi Massa, adik kepada vokalis Sam Bunkface ini akan memenuhi masanya dengan karier seni.

Namun perjalanan akademik pelakon 'Kecuali Cintamu' dan 'Di Bawah Ketiak Isteri' ini tidak akan terhenti di situ, sebaliknya dia memasang impian untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di luar negara sebelum menjawat pekerjaan tetap dalam industri yang sama.

"Sementara mendapat pekerjaan tetap, saya akan jadikan lakonan sebagai karier sampingan. Selain itu, saya turut menerima tawaran mengacara program televisyen. Tetapi saya lebih selesa mengacara program berbahasa Inggeris," ujarnya.

Pegang watak utama

Wajah pelakon drama 'Kasut Tumit Tinggi' dan '5 Jingga' ini juga boleh ditonton menerusi drama 'Ustaz Amirul' yang sedang disiarkan di slot Zehra TV3 pada setiap Jumaat, pukul 9 malam.

Saleha melakonkan watak utama sebagai Munirah di samping Ashraf Muslim dan Eira Syazira.

"Alhamdulillah, sekarang ada pengarah dan penerbit drama yang memberi kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak utama.

"Buat pertama kalinya, saya ditawarkan berlakon drama untuk slot Akasia berjudul Kasih Yang Suci sebagai Elena di samping Aaron Aziz, Ana Dahlia dan Zul Ariffin.

"Drama ini merupakan drama adaptasi daripada novel judul yang sama karya Meen Zulaikha. Ia mengisahkan tentang Elena yang menjadi agresif dengan lelaki kerana terlalu berhati-hati dalam percintaan setelah mengalami trauma akibat dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali," ujarnya mengenai drama arahan Jet Li itu.

Selesa dengan Aaron Aziz

Menyentuh tentang pasangan lakonannya, Saleha akui selesa bergandingan dengan pelakon Aaron Aziz.

"Saya pernah bekerjasama dengan Aaron dalam drama 'Habil Qabil' di TV3 dan kali ini kami bergandingan sekali lagi.

"Saya selesa bekerja dengannya serta pelakon-pelakon lain yang bagus belaka. Aaron juga banyak memberikan tunjuk ajar dalam lakonan.

"Dalam drama 'Kasih Yang Suci', saya dipaksa berkahwin dengan Seth Tan (Aaron) setelah tunangnya memutuskan pertunangan apabila mengetahui Elena tidak suci lagi.

"Bagaimanapun, Elena mula membenci Seth setelah mengetahui lelaki itu merupakan perogolnya ketika dia berusia 15 tahun," cerita Saleha.

Jatuh cinta di lokasi

Menyelami karakter sebenar Saleha di luar berbanding yang dilihat di televisyen, dia sebenarnya sama seperti remaja lain yang gemar berkawan dan bergaya feminin.

Biarpun tinggal dalam keluarga yang tidak sempurna apabila ibu dan bapanya berpisah ketika dia berusia 10 tahun, Saleha tetap bersyukur dengan apa yang ada.

Sekurang-kurangnya dia masih lagi mendapat kasih sayang daripada bapa yang tinggal bersama-samanya, abang dan adik.

Sekali dalam setahun, duta dan model iklan wangian Enchanter ini akan melawat ibu dan kakaknya di United Kingdom.

Diperakui sikap berdikari menular dalam diri sejak kecil lagi dan kini dia mula menghitung saat manis untuk memiliki keluarga yang bahagia.

"Saya berkira-kira untuk berkahwin pada usia 25 atau 26 tahun atau paling lambat 30 tahun. Sekarang, saya sudah mempunyai kekasih yang masih belajar peringkat sarjana dan hubungan kami baru berusia setahun.

"Dia berusia 23 tahun dan berfikiran matang. Pada mulanya, saya ingatkan dia berusia 27 tahun kerana wajah dan badannya tampak lebih tua dari usianya.

"Kami mula berkenalan semasa sama-sama melakonkan iklan komersial Munchy," tutur Saleha yang bakal menyambut kelahirannya pada 14 Mac ini.

Jelas anak kacukan Melayu, Belanda dan Inggeris ini, dia lebih cenderung memilih lelaki yang berdarah kacukan, kelakar, berfikiran terbuka dan memahami kerjayanya.

'Kekasih' Pertama Rosyam

Posted: 07 Mar 2011 12:58 AM PST


KUALA LAMPUR: Pelakon dan penerbit, Rosyam Nor mengumumkan bakal memulakan penggambaran filem sulung terbitan syarikatnya Suhan Movies Trading berjudul Kekasih tidak lama lagi.

Jelas Rosyam, filem bergenre romatik komedi itu akan diarahkan oleh pengarah terkenal Bada Hj Azmi.

"Saya yakin sudah sampai masanya untuk kami mengeluarkan sebuah filem memandangkan program realiti Pilih Kasih sudah pun selesai musim kedua.

"Saya akan libatkan peserta Pilih Kasih musim pertama dan kedua memandangkan tajuk Pilik Kasih itu bermula dari Kekasih, namun begitu tentang penglibatan saya sebagai pelakon masih lagi belum ditentukan," katanya yang bakal memulakan penggambaran pada Jun ini.

Menurutnya, filem yang bakal memperuntukan sebanyak 1.5 juta itu mungkin menampilkan juara Pilih Kasih musim kedua, Livonia Ricky Guing (Livonia) sebagai teraju utama.

Dalam pada itu, tambah Rosyam, selain Kekasih, dua projek filem lagi bakal menyusul iaitu berjudul Minyak Dagu dan Gosip.

"Seperti yang saya kata tahun ini kita sudah bersedia untuk menerbitkan filem, selepas Kekasih kita juga sudah bersedia untuk penggambaran filem Minyak Dagu dan Gosip," katanya.

Sementara itu, Suham Movie Trading juga bakal menerbitkan 10 buah filem berkonsepkan filem dan lagu daripada Tan Sri P.Ramlee untuk siaran televisyen.

Jelasnya, matlamat utama adalah adalah untuk menyedarkan masyarakat betapa besarnya pengorbanan seniman agong itu dalam perkembangan dunia filem tanah air.

"Projek ini merupakan salah satu penghargaan kepada Tan Sri P.Ramlee, yang mana kami akan menerbitkan 10 filem yang akan dikeluarkan di TV2.

"Filem tersebut berdasarkan lagu-lagu ciptaan P.Ramlee dan diplah menjadi sebuah cerita dan akan dilakonkan pelakon-pelakon terkenal tanah air.

"Pengarah juga terdiri dari pengarah-pengarah filem terkenal seperti Bada Hj Azmi, Erma Fatima, Aziz M. Osman, Razak Mohaideen dan ramai lagi," katanya.

Dalam pada itu, bagi peserta Pilih Kasih, sebuah drama muzikal bertemakan inspirasi kasih sebanyak 13 episod bakal keudara bermula 1 Jun ini yang diarahkan oleh pengarah terkenal Erma Fatima.

Zarina sentiasa berwaspada

Posted: 07 Mar 2011 12:57 AM PST


MULA mengharungi kerjaya selepas tamatnya program realiti televisyen popular Akademi Fantasia 2, kira-kira lapan tahun lalu, pelakon Zarina Zainoordin, 27, mengakui banyak rintangan dan dugaan yang telah dihadapinya.

Anak kelahiran Johor Baru ini juga tidak lepas dari terpalit dengan kancah kontroversi dunia hiburan. Dia pernah dikatakan menampung hidup hasil tajaan pihak tertentu. Namun, wanita ini sekerasnya menafikan tuduhan tersebut.

Biarpun ramai yang menganggap dirinya bagaikan tenggelam timbul dalam lapangan dunia seni ini, Zarina memberitahu dia masih aktif dalam mencari rezeki halal dengan titik peluh sendiri.

"Lapan tahun dalam industri ini banyak cabaran yang saya lalu, terutamanya berhadapan dengan gosip ditaja oleh seseorang.

"Walaupun dah lama diperkatakan, kesannya sehingga kini masih lagi yang mempercayai tentang perkara itu. Namun mereka sebenarnya tidak tahu betapa susahnya saya mencari rezeki siang dan malam," katanya.

Menurut Zarina, keinginannya memakai barang-barang berjenama mewah sebagai tanda penghargaan kepada diri sendiri sering disalah tafsirkan segelintir pihak.

"Bagi saya itu adalah satu penghargaan kepada diri sendiri setelah penat bekerja. Saya mahu hasil usaha saya nampak depan mata.

"Dulu memang saya agak marah apabila dikatakan tentang perkara itu, tapi sekarang saya dah lali dan anggap cercaan tersebut sebagai salah satu tempias apabila bergelar artis.

"Kalau saya ditaja saya tidak perlu bersusah payah untuk bekerja siang dan malam sehinggakan pernah satu ketika saya hanya makan mee segera semata-mata ingin bayar segala hutang piutang," katanya.


Jelas Zarina, kerjaya sebagai seorang artis memerlukannya untuk sentiasa berwaspada dalam segala hal. Dia percaya disiplin dan rendah diri merupakan faktor utama untuk terus kekal dalam industri ini.

"Saya sedar semakin hari semakin ramai muka baru keluar mewarnai dunia hiburan kita. Untuk jadikan lakonan atau nyanyian punca pendapatan utama saya sentiasa berpegang pada prinsip rendah diri dan disiplin yang tinggi.

"Saya suka cara Liza Abdullah jaga reputasinya sebagai pelakon. Sebab itu juga dia masih ada lagi dalam industri ini biarpun sudah berbelas tahun usia lakonannya," kata Zarina yang tidak setuju sikap segelintir artis yang mudah lupa diri apabila berada di puncak kejayaan.

Zarina kini sibuk dengan penggambaran telefilem Ayu Suraya untuk saluran Astro dan bakal keluar dengan filem terbarunya Aku Bukan Tomboi arahan Syamsul Yusof yang dijangka keluar pada pertengahan tahun ini.Tidak lupakan bidang nyanyian

Biarpun lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding matlamat awal sebagai penyanyi, wanita ini mengakui masih aktif dengan persembahan nyanyian.

"Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti menyanyi, cuma rezeki saya kini lebih kepada bidang lakonan.

"Tapi sebenarnya saya masih aktif biarpun tidak di hadapan televisyen tetapi saya banyak memenuhi undangan nyanyian untuk majlis-majlis tertutup.

"Kini saya sibuk dengan Konsert Karnival Belia Sarawak iaitu konsert jelajah di beberapa daerah di Sarawak," katanya.Selain itu, dia kini dalam rangka promosi single terbaru berjudul Jentayu yang merupakan lagu tema kepada drama siri Jentayu di TV3.

Cintai Ungku Ismail

Tidak mahu cerita cinta mendahului kerjaya, Zarina hanya berharap hubungan yang dibina sejak beberapa bulan lalu akan berkekalan sehingga sebuah ikatan yang sah.

Perkenalannya dengan pelakon baru, Ungku Ismail Ungku Abd Aziz di lokasi penggambaran Syurgamu Ramadan menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka.

Namun pengalaman cinta lalu telah mengajar Zarina agar tidak terlalu memberi harapan, kepada sesebuah hubungan.

"Kami menjalani sebuah hubungan yang mudah, masing-masing beri masa untuk diri sendiri. Jika ada masa terluang barulah kami berjumpa.

"Kalau boleh saya tidak mahu hubungan cinta yang terlalu ketara takut apabila putus nanti, akan ada pula macam-macam cerita buruk. Tentang jodoh kami hanya berserah kepada Allah SWT," katanya.

Menyusu anak petua Nana jadi langsing

Posted: 07 Mar 2011 12:57 AM PST


BANYAK petua kecantikan yang ditimba oleh penyampai radio XFM, Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, 28, sejak bergelar ibu.

Salah satu petua menarik yang mahu dikongsi Nana ialah bagaimana dia berjaya mengekalkan bentuk badan selepas bersalin.

Ini kerana kebiasaannya golongan wanita berhadapan dengan masalah berat badan meningkat ketika proses berkenaan dan sukar untuk mendapatkan berat badan yang seimbang.

Nana mengaku, sejak melahirkan Althea Raqeem Brian, yang kini berusia empat bulan, kebanyakan masanya dihabiskan untuk anak tersayang berbanding diri sendiri sehingga menyebabkan aktivitinya di gim juga terpaksa ditangguhkan.

Namun, di sebalik kesibukannya sebagai seorang isteri dan ibu selain tugasnya sebagai penyampai radio, Nana tetap memastikan badannya sentiasa berada dalam keadaan terjaga.

Biarpun melakukan banyak pengambilan makanan berat, keadaan badannya masih seperti zaman bujang. Sehingga sekarang, dia telah berjaya mengekalkan berat badan sebanyak 46 kilogram (kg) daripada 53 kg.

"Ramai yang bertanya tentang petua saya lakukan untuk mengekalkan bentuk badan selepas bersalin. Saya jawab mudah saja iaitu kita perlu selalu menyusukan anak.

"Dalam beberapa bulan selepas bersalin, selera makan saya meningkat. Apatah lagi ibu saya berada bersama yang selalu memasak makanan yang sedap-sedap.



"Saya perlu makan nasi sekurang-kurangnya tiga kali sehari selain mengamalkan makanan berkhasiat dan mengambil suplemen untuk menambah susu badan.

"Bagaimanapun, saya perlu mengelak makanan pedas, mengambil ulam timun, kubis dan brokoli kerana ia boleh membuatkan anak saya kembung perut dan tidak selesa.

"Saya juga dinasihatkan mengamalkan minum banyak air putih. Petua dan amalan ini banyak diperoleh daripada bahan bacaan dan ibu saya," katanya kepada OopStarz!

Dengan pemakanan seperti itu ujar Nana, proses menyusukan anak tidak menjadi masalah dan secara tidak langsung ia mampu mengekalkan berat badan.

Amalan itu menurutnya hendaklah dilakukan dengan berdisiplin kerana kebanyakan wanita pada hari ini yang terlalu sibuk lebih gemar memberikan bayi mereka susu tambahan.

Rancak berbual, Nana tiba-tiba mengeluh kerana sejak berumah tangga, dia jarang berkesempatan untuk membuat rawatan muka di pusat kecantikan.

Memandangkan kesuntukan masa, penyanyi lagu Katakan ini mengambil inisiatif melakukan rawatan muka sendirian di rumah.

"Saya tidak mengamalkan ubat atau apa-apa barangan kecantikan secara sembarangan. Sebelum saya memasuki Akademi Fantasia, saya tidak pernah menggunakan apa-apa produk penjagaan kulit kerana kulit muka saya licin.

"Tetapi selepas memasuki AF (musim pertama), kulit muka saya menjadi kasar dan ditumbuhi jerawat. Jadi, saya perlu selalu mencuci muka dengan pencuci muka jenis Cellnique setiap kali selepas menggunakan kosmetik.

"Selepas tiga hari menggunakan produk tersebut, jerawat yang tumbuh hilang sedikit demi sedikit. Untuk kulit badan, saya menyapu losen Rosken yang membantu melembapkan kulit saya," katanya yang turut menggunakan rangkaian produk Cellnique yang lain seperti penyegar muka dan topeng muka.

Isteri kepada Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 37, ini jarang berbelanja produk kecantikan sebaliknya lebih gemar berbelanja untuk keperluan anaknya.

Sesekali berbelanja, dia akan memperuntukkan RM300 untuk membeli produk kecantikan.

Menyebut tentang pengurusan stres, Nana jarang mengalami masalah tersebut kerana masanya banyak dihabiskan bersama-sama anak. Katanya, Althea selalu membuatkan dirinya gembira.