Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Pilihan band IndonesiaNATASHA HUDSON melakukan banyak aksi lasak sendiri. TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah Melayu itu barangkali signifikan buat pelakon dan model jelita, Natasha Liana Hudson apabila berpeluang menghasilkan album bersama sebuah band dari Indonesia. Walaupun terpalit dengan pelbagai tuduhan negatif sebelum ini, ia sedikitpun tidak melemahkan Natasha untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian selain komited dalam lakonan. Malah, hasil kolaborasi bersama band Machio dianggap tidak sia-sia kerana Natasha berjaya mencipta single pertama berjudul Benci Kamu dan dijangka menemui pendengar pada Mac ini. Keputusan berganding dengan band yang dianggotai lima anak muda itu merupakan peluang terbaik buat aktres kacukan Melayu-Australia itu untuk bertapak dalam bidang nyanyian di negara seberang. Menurut Natasha, idea berduet dengan artis seberang itu datang secara tiba-tiba melalui perkenalannya dengan seorang anggota Machio ketika dia berlakon di sana. "Mereka (Machio) adalah kawan lama saya terutama vokalisnya, Iyo yang dikenali semasa saya berlakon di Indonesia. "Iyo sendiri yang mengundang saya untuk berduet dengan Machio. Bahkan sehingga kini kami masih berbalas e-mel mengenai perancangan berikutnya," kata ibu kepada Nessa Helena itu. Machio yang dianggotai oleh Iyo (vokal), Ram (gitar), Poo (keyboard), Joe (bass) dan Rey (drum) adalah sebuah band baru yang ditubuhkan pada tahun lepas dengan menampilkan genre muzik pop. Lagu dan lirik Benci Kamu adalah ciptaan Iyo berkonsepkan pop Melayu yang disesuaikan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia dan diuruskan oleh Mahkota Cinta Management Production. Benci Kamu berkisar tentang pertelagahan antara Indonesia dan Malaysia. Walaupun berlaku pertelingkahan, kedua-dua negara tetap serumpun. Natasha yang juga hos berharap, lagu duet itu akan mencipta muzik yang boleh diterima ramai yang membabitkan hubungan kedua-dua negara pada masa depan. Menceritakan pengalamannya bekerjasama dengan Machio, kata Nastasha dia agak teruja dengan cara mereka bekerja. Ini kerana semuanya dilakukan dengan pantas tanpa membelakangkan kualiti dan cukup profesional. Jelas kakak kepada Tania Hudson itu lagi, semuanya terbukti apabila proses rakaman klip video Benci Kamu hanya membabitkan tempoh sehari saja. "Proses suntingan lagu duet ini juga membabitkan mereka yang pernah bekerja dengan artis ternama di Indonesia seperti Agnes Monica. "Bayangkan, hari ini rakam lagu, esoknya terus diputarkan di stesen radio di sana," dedahnya yang mengakui pengalaman yang cukup berharga sepanjang bekerja dengan Machio. Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang nyanyian, dia yang kini menjangkau usia 29 tahun pernah digelar 'ratu plagiat' gara-gara lagu Hanya Tuhan Yang Tahu dikatakan mirip lagu Right or Wrong ciptaan Kimberley Chuah. Bukan itu sahaja, Natasha turut mendakwa dianiaya oleh sebuah syarikat rakaman tempatan sehingga menyebabkan kerjaya nyanyiannya terhenti seketika. Rentetan kontroversi yang melanda dirinya sedikitpun tidak mematahkan semangat ibu tunggal berkenaan untuk terus melontar vokal kerana minat menyanyi tetap ada sehingga hari ini. "Saya tidak kisah dengan masalah yang menimpa sebelum ini dan memang bukan salah saya pun," jelasnya. Watak mencabar Biarpun genre filem lakonan aktres berbintang Virgo kali ini berbeza dengan sebelumnya, akan tetapi, dia menerima semua itu sebagai cabaran yang perlu dilalui oleh setiap anak seni. Natasha yang turut memiliki bakat berlakon teater memberitahu, industri filem negara memerlukan sesuatu yang berbeza kerana penonton sebelum ini disajikan dengan filem bergenre sama. "Apa salahnya kita cuba sesuatu yang berlainan kerana industri filem kita pun sudah lama tidak menghasilkan karya berbentuk aksi malah kebanyakan memaparkan kisah cinta, komedi dan seram," luahnya. Justeru, sebagai salah seorang peneraju utama dalam filem Halilintar terbitan Shahwira Productions itu, dia berusaha memberikan komitmen terbaik kerana ini merupakan filem aksi pertama lakonannya. "Untuk filem ini saya memegang watak bernama Natasha. Dia merupakan seorang polis pengintip yang ditugaskan memerhati gerak-geri kumpulan jahat yang diketuai oleh Bron. "Malah, cabaran yang saya perlu lalui dalam filem ini apabila tiba aksi pertarungan, tetapi nasib saya baik kerana saya mengetahui serba sedikit mengenai seni mempertahankan diri," ujarnya ketika ditemui di lokasi pengambaran filem Halilintar baru-baru ini. Filem arahan Shaharul Ariffin itu merupakan sebuah cerita yang mengetengahkan seni silat Melayu yang mana hampir 40 peratus daripada keseluruhan filem berbentuk aksi. Dalam satu babak di sebuah gudang yang dipenuhi kapal terbang, Natasha yang menggayakan pakaian hitam dan kelabu ternyata lebih garang dengan sepucuk pistol serta aksi bahaya seorang pelakon terjun ke atas kapal terbang. Dalam pada itu, jelas Natasha, ketika sampai kepada babak pertarungan, pelbagai perkara bermain di kepalanya memandangkan risiko mengalami kecederaan amat tinggi. "Semasa babak pertarungan saya perlu memberi tumpuan sebaik mungkin kerana perkara itu memerlukan kawalan dan tidak boleh tumbuk dan tendang sesuka hati. "Akibat hilang tumpuan, ada beberapa insiden saya tertendang bahagian belakang badan dan tertumbuk mata Puteri Sarah secara tidak sengaja. "Takut juga kerana perkara ini bukan kita lakukan selalu," akui penerima anugerah Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin lima tahun lalu. Berbicara mengenai perkembangan terbarunya, selepas tamat penggambaran filem Halilintar, dia bakal terlibat dengan dua lagi projek penggambaran arahan pengarah terkenal, Rashid Sibir. "Malah, saya juga telah selesai penggambaran tele filem Misteri Datin Lily terbitan RTM dan kemungkinan menemui penonton dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi," ujarnya. Selain itu, Natasha yang juga seorang penulis buku berkata, dia terpaksa meninggalkan bidang penulisan buat sementara waktu kerana memberi tumpuan kepada bidang lakonan. "Sebenarnya, untuk penulisan buku, saya terpaksa menangguhkan seketika kerana kesibukan berlakon, namun hasrat menulis semula tetap ada. "Walaupun tidak menulis secara serius, saya tetap menulis di blog kerana saya meminati bidang penulisan sejak kecil lagi," akuinya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Amy Mastura pecah tradisiOleh SAHLIZAH MOHAMED AMY di samping pengarah urusan Kose Malaysia Sdn. Bhd., Takanobu Shimbo. UMUM pasti menyedari bahawa penyanyi dan aktres genit, Amy Mastura Suhaimi bukan hanya dilabel sebagai seorang selebriti, malah sejak-akhir-akhir ini, wajah comelnya semakin laris diangkat sebagai duta dan jurucakap produk. Selepas disunting menjadi duta untuk Lifebouy, Lux, Takasima, Quaker Oats dan jam tangan Omega, wanita berusia 40 tahun itu sekali lagi membuktikan bahawa auranya sebagai selebriti tidak pernah pudar apabila dilamar pula oleh produk penjagaan kulit dari Jepun, Kose. Dengan pelantikan Amy sebagai duta Kose, dia berjaya memecah tradisi sebagai wanita Melayu pertama yang diangkat sebagai duta produk itu yang sebelum ini disandang oleh pengacara, Xandaria Ooi selama setahun. Ditemui pada majlis pengumumannya sebagai jurucakap Kose baru-baru ini, Amy yang mengenakan busana berwarna kuning cair kelihatan cukup anggun dan jelita, maka logiklah ibu kepada dua puteri itu memegang posisi sebagai duta kepada rejim penjagaan kecantikan terkenal itu. Selain Kose, Amy juga pernah menjadi jurucakap untuk produk kecantikan lain seperti Sheseido dan Safi Rania. Rawatan muka Menjawab persoalan apa yang membuatkan pintu hatinya terbuka untuk bersetuju menerima tawaran menjadi duta Kose, Amy memberitahu, sepanjang menggunakan produk Kose selama sebulan, dia berpendapat produk tersebut sesuai dengan tekstur kulit wajahnya. "Sejak menggunakan Kose, saya lihat ada perubahan pada wajah saya dan ternyata ia amat sesuai dengan kulit saya. "Selepas menjalani rawatan muka Kose, wajah saya tidak bengkak seperti sebelum ini yang selalunya nampak cacat. Bagi saya, jika kita tidak boleh bawa nama sesebuah produk, maka tidak wajar dilantik sebagai duta kerana nanti ia akan kelihatan tidak ikhlas. "Untuk mengekalkan kecantikan wajah, saya sering amalkan mencuci muka dengan bersih sebelum tidur dan sentiasa ceriakan hati, tetapi tua itu tidak ke mana," ujarnya sambil tersenyum. Dilantik sebagai duta Kose selama setahun, Amy menegaskan dia perlu menjaga nama baik Kose selain bertanggungjawab dan wajib mengambil tahu kebaikan produk tersebut. Katanya, jika sesebuah produk itu memang ternyata berkesan dan bagus, tidak sukar untuk membawa jenamanya ke mana sahaja. Karier seni Selesai berbicara perihal pelantikannya sebagai jurucakap Kose, Amy disuakan pula dengan perjalanan karier seni yang dikatakan sedikit suram. Tidak langsung melenting, Amy sebaliknya hanya tersenyum dan memberitahu, dia masih melakukan perkara yang sama iaitu berlakon dan menyanyi. "Memang ada tawaran menyanyi dan berlakon. Untuk lakonan, kalau ia mengambil masa dalam seminggu, mungkin boleh. Selain waktu, ia turut bergantung kepada watak yang sesuai dengan saya. "Selain sibuk sebagai duta produk, saya juga perlu meluangkan masa untuk membesarkan kedua-dua anak perempuan saya," kata pelakon telemovie Penanggal yang disiarkan baru-baru ini. Sepanjang bergelar anak seni bermula tahun 1994, bekas pramugari Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) itu telah berjaya menerbitkan beberapa album iaitu Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009). Selain menyanyi dan berlakon, Amy pernah terlibat dalam beberapa lakonan di pentas teater seperti Siti Di Alam Fantasi (2000), Muzikal Gamat (2009) dan Muzikal Gamat 2 (2010). "Buat masa ini tiada tawaran teater yang saya terima, tetapi jika ada pun, saya mahu teater yang melibatkan kanak-kanak," tuturnya lembut. Bersara Saat dilontarkan persoalan sama ada pelantun lagu Sha Na Na itu telah menetapkan waktu yang sesuai untuk berundur daripada dunia seni, Amy pantas menggeleng. "Saya tidak ada sebarang perancangan ke arah itu. Selagi ada rezeki, saya akan teruskan. Kini saya hanya ingin menunaikan apa yang sedang saya lakukan. "Mengenai album pula, saya masih di bawah Sony Music Entertainment (M) Sdn. Bhd. dan masih ada lagi satu album yang belum dikeluarkan, tetapi saya tidak kisah. "Sebenarnya, cita-cita saya hanyalah untuk menerbitkan satu album sahaja, tetapi kini apa yang saya terima lebih daripada yang saya impikan," ujar bekas juara pertandingan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1993 itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |