Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Persandingan ala JepunSEPERTI raja sehari yang lain, tersirat perasaan gemuruh tatkala mengenangkan cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi dirinya bakal memegang status sah isteri kepada vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh, 27. Mengikat tali pertunangan pada 6 November tahun lalu dengan mengadakan majlis tertutup di teratak keluarganya di Ampang, Selangor, sudah tiba masanya Mizz Nina mengatur langkah membina sebuah keluarga dengan pilihan hati. Pasangan itu mula berkenalan pada Disember dua tahun lalu dan hubungan mereka semakin serius apabila Noh turut terlibat dalam pembikinan album Mizz Nina. Sejak itu, timbul keserasian dan disulami dengan perasaan cinta. Maka, lebih baik masing-masing menjaga hubungan yang terjalin itu dengan mengambil keputusan untuk diijab kabul. Sudah dapat menyangka akan diajukan soalan mengenai persiapan perkahwinan, anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim itu hanya mampu tergelak kecil. "Sekarang perasaan saya bercampur antara gembira dan panik. Sebab perancangan tahun ini terlalu banyak dan kesemuanya perlu diutamakan. "Tidak kira soal masa depan kehidupan mahu pun karier seni saya," katanya ringkas. Memilih 1 Julai ini sebagai saksi lambang cinta sehingga akhir hayat bersama tunang tersayang, sebenarnya tarikh itu memberi dua erti yang sungguh bermakna kerana dia juga bakal menyambut ulang tahun ke-31. Tidak keberatan berkongsi kegembiraannya itu terutama bagi susun atur majlis, Mizz Nina mengakui dia tidak melepaskan segala tugasan kepada perancang perkahwinan seratus peratus. Bukannya tidak yakin dengan hasil kerja individu yang dipilih, sebaliknya wanita itu mahu melihat memori indah yang hadir sekali dalam hidupnya terlaksana dengan penuh kegembiraan seperti yang telah dirancang. Lebih senang jika dia tidak lepas tangan bagi memastikan ketiga-tiga majlis yang akan berlangsung berjalan lancar. Maklumlah, Mizz Nina harus memahami dirinya bukan sahaja seorang penghibur bahkan merupakan cahaya mata kepada salah seorang jutawan di negara ini. "Setiap minggu saya dan perancang perkahwinan megadakan perbincangan. Seramai lapan jurufoto dan video daripada produksi Manggis akan turut serta merakamkan memori itu nanti. "Seterusnya, individu penting untuk menghasilkan potongan busana ialah pereka yang sudah lama bersama keluarga saya iaitu Lady Jane. Dua ribu tetamu MIZZ NINA dan Noh sepakat memilih gaya Jepun untuk salah satu majlis perkahwinan mereka nanti kerana begitu meminati fesyen dari negara matahari terbit itu. Sudah tentu kehadirannya di pentas persandingan kelak, menjadi tatapan golongan korporat. Jadi, tidak mustahil Mizz Nina sekeluarga memilih untuk mengadakan tiga majlis berlainan lokasi semata-mata mahu memastikan setiap jemputan berpuas hati dengan detik bersejarahnya. "Upacara akad nikah akan dilangsungkan di kediaman keluarga saya pada sebelah malam, 1 Julai nanti. Kita buat secara tertutup dan hanya sanak saudara sahaja yang dijemput. "Dekorasi pada malam itu, pastinya sungguh romantis. Ideanya ialah kita buat jambatan di tengah-tengah kolam renang. Itu sahaja, selebihnya perlu rahsia," terangnya yang memilih tema klasik berona hitam dan putih. Berdasarkan perbincangan oleh kedua belah pihak pada majlis pertunangan mereka, Nina bakal menerima mas kahwin sebanyak RM888.88 manakala wang hantaran pula lebih RM11,000. Sementara itu, majlis resepsi secara tertutup bagi golongan VVIP terutama kenalan keluarganya akan diraikan pada pada 3 Julai di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Setiap majlis turut mengenengahkan konsep berlainan. Keputusan sudah muktamad apabila keluarga Mizz Nina memilih untuk meraikan kedua-dua mempelai dengan mempersiapkan diri mereka menyarung persalinan busana tradisi Melayu. Bukan itu sahaja, tetamu juga seboleh-bolehnya berhias cantik dengan gaya elegan menggunakan fabrik berwarna ungu. "Kita mahukan majlis berlangsung dengan tenang dan bukannya tidak mahu menjemput media hadir. Tetapi atas permintaan keluarga kami yang mahu menjadikannya sebagai sebuah majlis penuh privasi.
"Namun, jangan risau kerana kami akan membekalkan gambar-gambar sewaktu pernikahan itu nanti," ulasnya sambil tersenyum. Tidak sesekali melupakan hasrat untuk berkongsi kegembiraan, Mizz Nina memilih Hotel Double Tree by Hilton Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai ruang meraikannya bersama media dan rakan-rakan. Tetamu yang dijemput terlalu tidak terikat dengan protokol sebaliknya dapat meluangkan sepenuh masa dengan mempelai. "Sebuah lagi majlis resepsi khusus buat teman-teman artis dan media akan diadakan pada 6 Julai. Beberapa orang artis akan diundang membuat persembahan. "Antara yang boleh saya umumkan di sini ialah akan ada kumpulan dari Indonesia bakal membuat persembahan kelak," jelasnya yang cukup popular dengan lagu What Are You Waiting For. Bagaikan tidak sabar menanti detik bersejarah itu, majlis resepsi ketiga menetapkan tema ala Jepun. Celahnya, tetamu yang hadir dapat menyaksikan para pengiring wanita memakai kimono manakala pengiring lelaki pula bersut ninja. "Ini memang idea saya dan Noh kerana kami sungguh meminati stail Jepun. Tidak kira dari segi makanan atau fesyen mereka. "Majlis kali ini lebih kepada keseronokan yang akan dikongsi bersama tetamu. Sebelum upacara berlangsung, kita turut mengadakan majlis karpet merah. Jadi setiap tetamu jangan lupa untuk melaram," selorohnya. Tambah Mizz Nina, sesudah mencapai usia 33 tahun, dia mahukan mahligai yang dibinanya itu hadir dengan keceriaan gelak tawa cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Noh. Cuma dirinya perlu membahagikan peluang yang ada supaya rumah tangga tidak terabai. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Teknik kolaj Pretty UglyDARI kiri: J-Lead, Juad, Neves dan Nett berikrar akan meneruskan hayat Pretty Ugly sampai bila-bila. GABUNGAN bakat tulen empat lelaki bergaya urban yang dikenali sebagai Pretty Ugly, kini kembali menonjol menerusi penghasilan sebuah album terbaru mereka berjudul Darabkan Sejuta. Mereka dijangka menggegarkan semula industri muzik tanah air setelah mendiamkan diri lebih daripada setahun yang lalu. Dianggotai Neves (atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin), Nett (Nik Muhammad Histami Nik Mohammad Din), J-Lead (Mohamad Raziz Zainal Abidin) dan Juad (Ikhwan Ajwad Rawyani), Pretty Ugly sememangnya sudah pun melakar populariti dalam kalangan pencinta muzik tempatan. Justeru, kemunculan terbaru mereka itu bukan sesuatu yang sukar untuk melariskan lagu-lagu ciptaan asli mereka di pasaran. Difahamkan perjalanan bagi menyiapkan album terbaru itu tanpa disedari telah mengambil masa lebih daripada setahun dan istimewanya, kesemua lagu tersebut dihasilkan sendiri oleh mereka atas kepercayaan serta dorongan pengalaman yang tersedia ada. Sempena kemunculan semula Pretty Ugly, majlis pelancaran album terbaru mereka itu diadakan di destinasi hiburan karaoke, Redbox di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sebelum bermulanya majlis pelancaran itu, para pengunjung dihiburkan dengan persembahan singkat Pretty Ugly yang menampilkan barisan lagu daripada album tersebut. Apa yang jelas, persembahan Pretty Ugly masih mampu memukau jiwa. Ia sekali gus membuktikan kredibiliti mereka dalam menghasilkan lagu-lagu berkualiti tinggi sungguhpun mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Usai acara pelancaran, Neves dan rakan-rakan dalam kumpulannya itu berkongsi serba sedikit pengalaman pembikinan album terbaru itu. Neves memberitahu, album berkenaan mengandungi lapan buah lagu baru dan merupakan album keempat Pretty Ugly. "Konsepnya pula lebih kepada rock moden. Sebabnya, generasi muda hari ini memang gemar dan tertarik kepada genre muzik seumpama itu. Menitikberatkan kegemaran dan permintaan semasa, justeru kami bercadang untuk menghasilkan lagu-lagu alunan moden serta rock," kata Neves yang tampil bersahaja. Neves menaruh harapan, antara lagu yang dijangka hit termasuklah Takut Aku Kalah, Bunuh Kisah Lalumu dan Darabkan Sejuta. Selain itu, dua buah lagu lain daripada album tersebut telah pun dimainkan di media elektronik terutama radio sebelum album itu dipasarkan iaitu Kelab Jiwa Muzik dan Itu Bukan Aku. Tambahnya, album tersebut diterbitkan Cdbagasi Music di bawah naungan Record Label & Publishing House yang merupakan milik Neves sendiri. Sama seperti sebelum ini, muzik album ini disusun dan diterbitkan oleh Pretty Ugly sendiri serta diedarkan oleh Eastern Records Sdn. Bhd. Cuma single Itu Bukan Aku sahaja diedarkan oleh Warner Music Sdn. Bhd. Bagi memperhebatkan lagi promosi album itu, klip video lagu-lagu dari album tersebut juga telah dihasilkan dengan sentuhan teknik yang unik dan menarik. "Terutama klip video lagu Takut Aku Kalah menampilkan kreativiti unsur-unsur kolaj iaitu teknik atau cara membuat gambar daripada pelbagai jenis bahan seperti cebisan kertas, cebisan kain atau foto yang berwarna-warni dan dicantum-cantumkan dilekatkan pada kertas. "Klip video itu juga menggambarkan jalan cerita seorang pahlawan berperang untuk memusnahkan musuhnya di medan pertempuran," ujarnya. Menjelaskan mengenai lirik lagu-lagu dalam album tersebut, beritahu Neves, kesemuanya dicipta dengan mementingkan elemen yang lebih matang dan mantap untuk menguasai sanubari para peminat. Jelas Neves lagi, kekuatan lirik yang baik mampu membuatkan lagu-lagu itu sentiasa hidup dan indah didengari. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Steve Martin bersara
BINTANG komedi popular, Steve Martin telah membuat keputusan mahu bersara. Bagaimanapun, dia hanya akan bersara daripada dunia persembahan komedi pentas, tetapi dia akan meneruskan karier lakonannya. Menurut pelawak yang popular menerusi filem Cheaper by the Dozen itu, alasannya untuk bersara disebabkan faktor usia. Sudah berusia 65 tahun, Steve juga adalah nama besar dunia pelawak pentas di Amerika Syarikat. "Rasanya sudah tidak sesuai lagi untuk saya beraksi di pentas dan peluang seharusnya diberikan kepada pelawak muda. Malah, sudah lebih 30 tahun saya berada dalam bidang ini," ujarnya. Martin memulakan kariernya sebagai pelawak pada tahun 1970-an dan kemudian beralih kepada siaran televisyen. Kemudian, dia mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem Hollywood, namun masih tetap meneruskan kariernya membuat persembahan komedi pentas. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |