Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jimmy sedia jaga anakHATINYA robek bagaikan dicarik-carik setiap kali mengenangkan kesudahan mahligai yang dibina hanya dikecapi keindahannya dalam tempoh cukup pendek. Sekelip mata segala perancangan yang diatur dengan teliti semata-mata ingin meluangkan masa bersama isteri tersayang harus dilenyapkan begitu sahaja. Menerima dugaan yang berlaku dengan sudut pandangan positif, Jimmy Shanley mengakui tidak pernah membenci isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, meskipun berkesempatan tinggal sebumbung selama 20 hari sahaja. "Tidak ada guna kalau saya bermasam muka dengan isteri sendiri. Sebaliknya saya masih bersabar menanti kepulangannya untuk kembali normal menjalani kehidupan sebagai suami isteri," jelasnya ketika ditemui Kosmo! Rabu lalu. Memaparkan reaksi mimik muka seperti seorang individu yang tidak dibelenggu masalah peribadi, Jimmy sebenarnya tidak sabar untuk menanti kehadiran orang ketiga dalam keluarganya iaitu cahaya mata pertama. Walaupun, sedikit terkilan kerana mengetahui saat menggembirakan itu daripada mulut orang lain dan bukannya disampaikan oleh isteri sendiri, dia masih lagi mampu mengukir senyuman ikhlas. Ibu mentuanya, Datin Muniroh Kassim merupakan individu yang memberitahu Jimmy berhubung kandungan isterinya yang ketika itu sudah berusia empat minggu. Namun disoalnya sendiri, bagaimana perasaan seorang suami apabila sehingga kini tidak berpeluang melihat dengan mata sendiri isteri yang mengandung lima bulan. Sudah pasti hatinya cukup sepi dan cemburu dengan pasangan lain apabila bibit manis seorang suami yang bakal bergelar ayah tidak dapat dilaluinya. "Pengalaman untuk sentuh perut isteri yang mengandung perlu dilupakan. Saya tidak macam orang lain yang menemani isteri masing-masing membuat pemeriksaan di hospital. "Sedih memang sudah tentu saya sedih tetapi saya sentiasa ingatkan kepada diri sendiri ia merupakan ujian untuk menilai tahap kesabaran," terangnya dengan penuh perasaan. Membilang hari detik-detik kehadiran cahaya mata, Jimmy mengakui dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai ayah dengan mengambil keputusan untuk menjaga sendiri anaknya itu. Dia begitu yakin dapat mencurahkan sepenuh belaian kasih sayang dan mampu melaksanakan tugas itu tanpa rasa kekok.
Jadi tidak mustahil, Jimmy mampu bergerak sendiri ke pusat beli-belah untuk menyediakan segala persiapan bagi menantikan kelahiran penyeri rumah tangganya. "Saya memang terlalu gembira untuk beli barang bayi. Walaupun tidak tahu apa yang diperlukan, saya tidak risau kerana ada pembantu iaitu jurujual. "Persiapan hampir lengkap, keterujaan pun semakin bertambah meskipun terpaksa berkongsi kegembiraan ini seorang diri," akuinya yang memilih rona hijau bagi kelengkapan memandangkan masih tidak mengetahui jantina bayinya itu. Dirinya dari dulu lagi mengimpikan sebuah keluarga bahagia yang sering meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Kini apa yang sedang dilalui bagaikan tidak percaya kerana Jimmy cukup yakin bahawa dia mampu memiliki sebuah institusi keluarga yang ceria. "Keluar melakukan aktiviti kegemaran keluarga merupakan detik yang paling saya nantikan. Tetapi bila dah jadi macam ini, ia amat menyedihkan," tuturnya penuh sayu. Tidak jemu memujuk rayu Dirinya yang sudah terbiasa berdikari sejak kecil dan tidak malu bertanya membuatkan Jimmy seorang lelaki yang tidak berfikiran mengikut kata hati. Apa yang ditempuhi tidak pernah membuatkan dirinya bersikap putus asa. Bahkan, dia kuatkan semangatkan melepaskan ego dalam diri semata-mata untuk menyelamatkan kebahagiaan rumah tangga. Tidak jemu memujuk rayu tidak kira sama ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau talian telefon hanya kerana ingin lihat wajah isteri tersenyum kembali kepadanya seperti sedia kala. Sambil rancak berbicara, renungannya tajam seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang hilang dalam sanubarinya tetapi perjalanan hidup harus ditempuhi jua. Bila ditegur, dia mengeluh menandakan resah menyelubungi diri kerana tidak tahu bagaimana keadaan isteri dan anak di dalam kandungan.
"Setiap hari saya menaruh harapan dia membalas SMS atau menjawab panggilan telefon. Saya begitu teringin untuk tahu perkembangan kesihatan isteri dan anak," luah Jimmy lagi. Tempoh masa lima bulan hidup bersendirian tidak menimbulkan perasaan dendam terhadap isterinya yang sepatutnya menemani dirinya. Jika wanita yang disayanginya itu pulang ke pangkuannya, Jimmy memanjat kesyukuran kerana hubungan mereka masih boleh diselamatkan. Paling penting, dia ingin saling bermaafan sekali gus melupakan segala kepahitan yang telah berlaku. Tiba masanya untuk membuka tirai baru bersama isteri. "Inilah cabaran bila sudah berumah tangga, apa yang berlaku perlu dimaafkan dan jangan disimpan dalam hati. Benda yang telah terjadi biarkan berlalu, kami berdua kena buka buku baru," katanya. Dengar nasihat kaunselor Menyentuh seperkara lagi yang hangat dibualkan umum adalah tentang dua permohonan Jimmy iaitu permohonan kembali taat dan permohonan nusyuz (bermaksud isteri enggan mentaati perintah suami) yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Jimmy berbuat demikian tanggal Januari 11 lalu bermatlamat mahukan Nursuhaila kembali taat kerana dia didakwa telah meninggalkan rumah selepas 20 hari berkahwin. Impaknya, pada Rabu lepas, mahkamah yang sama memerintahkan Nursuhaila memfailkan pembelaan terhadap dua permohonan suaminya itu. Tindakan yang menimbulkan spekulasi mengenai rumah tangganya yang dikatakan semakin rapuh itu sebenarnya menurut Jimmy bukan untuk mengaibkan isterinya itu. Disebabkan terlalu sayangkan isterinya itulah dia bertindak sedemikian dan ia dibuat bukannya untuk suka-suka tetapi berdasarkan nasihat pakar kaunseling dan tokoh agama. "Saya tidak buat keputusan melulu tanpa fikir panjang kerana selepas puas pujuk dan kami juga pernah berjumpa kaunselor pada 15 November lalu, keadaan masih lagi sama. "Mungkin dengan tindakan ini ia dapat menyatukan kembali hubungan kami. Saya perlu banyak bersabar untuk melalui kenangan manis," tuturnya mengakhiri bicara. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Penghargaan buat LoloqOleh SHANIKA ABDULLATIB BARISAN karyawan yang telah bergabung untuk menjadikan Konsert Untukmu Lolog suatu realiti menjelang 22 hingga 24 April nanti. DALAM bidang seni, arwah Loloq atau Rosli Khamis, 49, dikenali bukan kerana imejnya tapi idea genius yang acapkali dicetuskan daripada akal fikirannya lalu diterapkan pada lirik-lirik lagu karyanya. Sejak lebih sedekad lalu sebelum meninggal dunia tanggal 30 Januari 2008, Loloq berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik gah tanah air, malah lirik lagu nukilannya mencecah 600 lirik. Justeru, buat pertama kalinya, konsert penghargaan terhadap penulis lirik bakal dipentaskan di Panggung Seni, Istana Budaya. Bakal berlangsung pada 22 hingga 24 April depan, barisan artis yang bakal terlibat ialah M. Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider. Ujar Pengarah Persembahan, Lokman Ghani, idea tersebut dicetuskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. "Sudah masanya kita menghargai penulis lirik terutama seseorang yang kreatif, penuh dengan semangat juang dan kecintaan yang tinggi terhadap muzik seperti Loloq," katanya di dalam sidang akbar di Istana Budaya baru-baru ini. Jelas Lokman, konsert penghargaan tersebut bakal melibatkan 60 orang terdiri dari pemuzik bekas tentera darat, artis tari kumpulan koir dari Kementerian Pertahanan. "Seunik namanya, konsert ini akan mempunyai tiga segmen utama iaitu nyanyian lagu-lagu popular karya Loloq, sketsa pendek mengenainya serta penampilan khas M. Nasir." "Dalam segmen-segmen itu, perkara-perkara yang kita tidak tahu tentang arwah akan dipaparkan pada konsert itu menerusi hasil cerita kawan-kawan rapat arwah. Misalnya arwah gemar melakukan pelbagai aksi melucukan ketika menulis lirik di atas lantai," tutur lokman. Tambahnya: "Saya pernah berlakon dengan Loloq selama seminggu dalam drama Hujan Di Hati Kamariah arahan Fauziah Ahmad Daud tetapi sehingga sekarang drama itu tidak disiarkan di televisyen. "Dijangkakan sebanyak 24 lagu hasil tulisan Loloq akan dinyanyikan dan untuk memudahkan penonton menghayati nukilan Loloq, lirik lagu tersebut akan dipaparkan di tepi pentas." Antara lirik lagu ciptaannya yang berada di dalam senarai untuk dipersembahkan ialah adalah Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Aladin. Dia turut memberitahu, konsert tersebut bakal mendapat sentuhan pengarah muzik Eddy Marzuki, penerbit Den Wahab dan penulis skrip Ad Samad. Harga tiket konsert dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450. Tam Spider yang turut hadir memberitahu, mereka masih dalam proses memilih lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada konsert itu. "Terlalu banyak lirik yang dihasilkan oleh Loloq kepada kami. Jadi, kami memerlukan sedikit masa untuk memilih apa yang perlu dipersembahkan pada konsert tersebut," "Yang penting, lagu yang bakal dipersembahkan adalah terjemahan yang lahir dari isi hati kami semua terhadap Loloq yang merupakan seorang guru dan sahabat yang terbaik yang pernah kami ada," ungkap Tam. Akui Tam, mereka hingga kini masih 'tempang' dalam menghasilkan karya-karya selepas pemergian Loloq kira-kira dua tahun lalu. Ungkap Tam, sejak mula lagi Spider menghasilkan album, Loloq akan terlibat secara penuh dalam menyumbang lirik. "Bukan yang lain tidak bagus tapi Loloq lebih memahami dan lirik yang dihasilkan mudah saja memberi kesan kepada kami," kata Tam sambil memberitahu, lirik Aladdin paling meninggalkan kesan terhadap kumpulan Spider. Sekiranya Loloq masih bernafas, pastinya semalam dia menyambut ulangtahun perkahwinannya yang ke- 17 bersama isteri tercinta, Hariah Yaacob. Meskipun tiada dan tidak pernah menyambut ulang tahun perkahwinan mereka secara luar biasa, namun bagi Hariah, Loloq adalah lelaki, suami dan ayah yang hebat dalam caranya yang tersendiri. Ungkap Hariah, dia memberi keizinan kepada pihak Istana Budaya dan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan konsert tersebut setelah memikir panjang. "Saya anggap, ini adalah antara cara untuk menghargai apa yang telah dilakukan oleh Loloq. Diharap, idea-idea dalam penulisannya akan lebih dihargai pada masa akan datang,"katanya. Mengenai sketsa yang akan diadakan, dia menyerahkan segalanya kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk mencari seseorang yang menyerupai arwah suaminnya itu. Namun secara tegas, Hariah menjelaskan, dia sendiri akan membantu memutuskan sama ada orang terpilih menjayakan watak Loloq itu sesuai atau tidak. "Saya masih menilai skrip yang diberikan kepada saya untuk persembahan sketsa itu. Walaupun tidak akan membawa apa-apa watak, tetapi saya mahu yang terbaik dan saya akan membantu pihak bertanggungjawab untuk mengenal pasti 'Loloq'," katanya. Di samping itu, dia bersyukur atas kesudian Kementerian Pertahanan yang berhasrat untuk membiayai pengajian tiga anaknya iaitu Krsty Nur, 15, Jaevn Nur, 12 dan Yasha Nur 10. "Hingga hari ini, saya hanya bergantung kepada royalti hasil karya arwah. Tidaklah mewah tapi cukuplah untuk kami sekeluarga," ungkapnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Amar jadi ahli silap mataOleh RONI HIDAYAT RIDWAN SIAPA sangka pemuda ini merupakan Amar, penyanyi nasyid. TIDAK ramai individu di negara ini yang dilahirkan dengan mempunyai pelbagai kemahiran. Mungkin penyanyi nasyid, Amar adalah satu-satunya individu yang mempunyai kebolehan seperti menyanyi, memberi ceramah, menulis buku dan melukis. Namun, jangan terkejut jika dia juga kini bergiat sebagai ahli silap mata! Menyedari irama nasyid kini semakin kurang mendapat sambutan, namun Amar bersyukur kerana tawaran membuat persembahan pentas masih lagi banyak diterimanya. Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) itu, selain menyanyi dan memberi ceramah, dia turut membuat kelainan dengan mengadakan pertunjukan silap mata kepada tetamu yang hadir. "Bermain silap mata adalah satu kemahiran yang memang saya minat sejak dari kecil lagi. Minat tersebut timbul kerana saya adalah seorang individu yang suka ingin tahu tentang sesuatu perkara. "Ternyata dengan bakat bermain silap mata yang dimiliki itu juga menjadi punca rezeki kepada saya. Misalnya kalau memberi ceramah di sekolah, saya tidak ketinggalan untuk bermain silap mata dan menyanyi sebagai satu tarikan supaya persembahan saya tidak hambar," ujarnya. Tambah Amar, pada mulanya ramai yang sukar untuk menerima persembahan silap mata yang dilakukannya kerana tanggapan ia adalah satu perbuatan berbentuk sihir dan syirik. Namun dengan terbitnya beberapa buah buku berkenaan rahsia silap mata yang dihasilkannya sendiri, lama-kelamaan ia semakin diterima dan ternyata persembahan silap matanya itu sering mendapat sambutan ramai. Selain sibuk mengadakan persembahan pentas dan mengadakan ceramah motivasi, Amar juga pada masa yang sama masih mampu untuk menghasilkan buku. Sehingga kini dia telah menghasilkan sebanyak tujuh buah buku. Antara buku-buku yang dihasilkan adalah seperti Anda Mampu Melakukannya, Dunia Kartun Motivasi Amar, 55 Silap Mata Mudah, 66 Silap Mata Praktikal, 77 Silap Mata Profesional, Tranformasi Cinta Pertama Remaja dan Rahsia Silap Mata Antarabangsa. Tekad perjuang nasyid Biarpun namanya kurang dikenali dalam persada hiburan tanah air, tetapi ia langsung tidak menghalang untuk penyanyi yang pernah melahirkan tiga buah album itu untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni. "Saya akui irama nasyid sekarang tidak lagi meriah dan album saya sebelum ini, Hikayat Cinta juga kurang mendapat sambutan. Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat saya untuk terus berjuang mempertahankan irama nasyid. "Kali terakhir saya menghasilkan album adalah kira-kira empat tahun yang lalu dan kini saya sedang mengumpul lagu untuk menghasilkan album terbaru dan berkemungkinan besar akan memulakan rakaman sekitar bulan Julai nanti," ujarnya. Cerita Amar, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk merakamkan lagu untuk album terbarunya itu memandangkan kini dia agak sibuk dengan jadual siri jelajahnya ke sekolah-sekolah untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar sekolah bermula awal tahun sehingga Jun 2011. Jelasnya, pada tahun lalu sahaja dia telah berjaya memberi ceramah motivasi kepada pelajar di 29 buah sekolah di seluruh Malaysia. Tahun ini dia menyasarkan untuk memberi ceramah kepada 35 buah sekolah. Sementara itu, ketika ditanya mengapa dia tidak menubuhkan sebuah kumpulan nasyid seperti kebanyakan artis nasyid yang lain, Amar menjelaskan dia sebenarnya lebih selesa untuk bergerak secara solo sahaja. Menurutnya, sebelum ini dia pernah menubuhkan sebuah kumpulan nasyid semasa di berada di alam persekolahan. Namun, kumpulan nasyidnya itu tidak mampu pergi lebih jauh memandangkan ahli-ahli kumpulan yang lain sibuk dengan komitmen masing-masing. "Semenjak dari sekolah menengah lagi saya memang telah bertekad untuk menjadi seorang penyanyi nasyid dan mengajak beberapa orang rakan untuk menubuhkan sebuah kumpulan. "Namun tidak lama selepas ditubuhkan, mereka tidak dapat memberi fokus dan akhirnya saya telah ambil keputusan untuk bergerak secara solo sahaja," ujarnya yang mula bergiat aktif dalam dunia nyanyian sejak tahun 2002. Sehingga kini, Amar telah melahirkan tiga buah album iaitu Kiasan Naluri (2003), Diari Rindu (2005) dan Hikayat Cinta (2007) serta meraih beberapa penghargaan seperti Juara Pertandingan Akhir Nasyid Minggu Ini (2004) dan Anugerah Artis Nasyid Paling Popular 2009 pada pertandingan akhir Nasyid Minggu Ini anjuran Jakim dan RTM. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |