Berita Harian: Hip |
Posted: 11 Mar 2011 05:30 PM PST Hip NAMPAKNYA kisah kehidupan keluarga Kardashian akan terus menjadi perhatian orang ramai. Bermula dengan Keeping Up with the Kardashians, yang mempopularkan nama setiap anggota keluarga terbabit, terutamanya Kim, Khloe dan Kourtney, bermula 8 Mac lalu, E! Entertainment menyajikan pula siri realiti terbaru, Kourtney and Kim Take New York. Menerusi program ini, penonton dapat melihat usaha dua beradik terbabit membuka butik di New York, seterusnya mengambil kesempatan di atas kegemilangan dan keseronokan yang wujud di kota berkenaan. Kehidupan peribadi kedua-duanya juga cukup menarik untuk ditonton. Pada ketika mereka berusaha meluaskan lagi empayar Dash, dua wanita ini juga turut mengejar impian masing-masing. Jika Kourtney mendekati dunia lakonan menerusi penampilan sulung dalam drama One Life to Live siaran ABC, Kim pula merakamkan lagu yang diterbitkan oleh The Dream. Beberapa hari lalu, Kim mendedahkan, teman lelakinya, Kris Humphries, cukup menggemari lagunya yang berjudul Jam (Turn It Up) itu. Kim memperkenalkan lagu berkenaan kepada peminat pada minggu lalu, dalam rancangan radio kendalian Ryan Seacrest."Kris sangat menyukai lagu itu. Malah, dia menyanyikannya kepada saya dalam telefon," kata Kim seperti mana dipetik daripada majalah People. Bagaimanapun, wanita berusia 30 tahun itu berkata, dia tidak mempunyai rancangan untuk menawan dunia muzik walaupun sudah mempunyai single pertama.
Pada satu ketika, dia kelihatan cukup tertekan, menyebabkannya meluru keluar dari studio begitu saja, meninggalkan penerbit lagu itu dalam keadaan tercengang. Kemudian, Kim keluar makan bersama temannya, penyanyi Ciara, untuk mendapatkan sedikit kata perangsang. Ketika itu baru dia sedar, merakamkan suara bukanlah semudah disangka. Apabila kembali ke studio, Kim mula menghayati lagu itu dengan lebih baik, seterusnya berjaya menamatkan proses memasukkan suara. Dia turut memberitahu kemudiannya, betapa dia puas hati dengan hasilnya. Lagu berentak rancak itu dikatakan mempunyai persamaan dengan beberapa lagu terbitan The Dream yang lain, yang pernah dinyanyikan Rihanna, Beyonce dan Kanye West. Suka jadi tumpuan SEMENTARA itu, dalam temubual menerusi e-mel, Kim berkata, selama beberapa tahun dia pernah bekerja untuk syarikat muzik milik bapanya. Justeru, minatnya terhadap muzik sememangnya ketara. "Begitupun, saya tidak pernah menyangka akan berpeluang merakamkan lagu. Ia umpama mimpi yang akhirnya menjadi realiti dan saya amat bersyukur diberikan peluang sebegini," katanya. Mengenai pembabitannya dalam siri realiti pula, ketika ditanya apakah dia tidak pernah terfikir untuk 'bersara' daripada program sebegitu, ataupun penat dengan hakikat kamera sentiasa mengekorinya, Kim berkata, selalunya dia sukakan tumpuan berbentuk positif. "Bagaimanapun, kadangkala kamu berasa seperti ingin bertindak balas dengan keadaan sekeliling tanpa kamera di sisi. Namun, inilah hakikat dunia realiti. Jadi, kamu kenalah membiasakan diri," ujar wanita ini. Menyentuh pemilihan kota New York sebagai lokasi untuk mengembangkan perniagaan, Kim menjelaskan, dia dan Kourtney sentiasa melihat kota itu sebagai ibu kota fesyen. Lalu, kejayaan meletakkan jenama Dash di kota berkenaan tentu sekali pencapaian besar buat mereka. Lebih daripada itu, New York juga antara kota paling digemarinya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 11 Mar 2011 05:26 PM PST Hip Garapan komedi cinta Osman Ali menghiburkanRASANYA, sudah lama juga tidak menonton sebuah filem Melayu yang membuatkan kita tersenyum sendirian sebaik saja habis tayangan. Maknanya, filem terbabit seronok untuk ditonton, serta menggembirakan. Filem yang membuatkan kita tersenyum macam kerang busuk tidak payahlah cerita, jumlahnya mungkin berderet panjang. Garapan terbaru Osman Ali, yang sebelum ini menghasilkan Puaka Tebing Biru (2007) dan Anak Halal (2007), berjudul Cun nyata tidak mengecewakan. Rata-rata penonton yang hadir pada majlis tayangan perdananya di ibu kota baru-baru ini tersenyum kepuasan sebaik saja filem berkenaan habis diputarkan. Cun sekali lagi menemukan Maya Karin dengan Remy Ishak, selepas mereka beraksi bersama dalam Anak Halal dan teater Natrah. Begitupun, dalam filem terdahulu, Remy hanyalah melakonkan watak pembantu manakala Maya pula pelakon utamanya. Kini, buat julung kali pasangan ini disatukan sebagai kekasih di layar lebar. Selain Maya yang memegang watak Luna Latisya dan Remy (Atan), turut membintangi filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Nuansa Sdn Bhd ini ialah Faezah Elai (Tom), Ning Baizura (Candy), Jehan Miskin (Ryan Hidayat), Kartina Aziz (Tok Chah), Mislina Mustaffa (Bedah Tonggek), Siti Nor Faridah (Eton Gebu) dan Nadia Nissa (Manis).Kisah yang dipaparkan dalam Cun mudah saja. Ia mengenai seorang pengacara program gosip, Luna, yang kecewa dengan kecurangan kekasihnya, Ryan, yang juga pelakon terkenal. Lalu, tanpa berfikir panjang dia mengajak pembantunya, Tom, pergi ke kampung gadis itu di Kedah. Di kampung berkenaan, dia berkenalan dengan rakan baik Tom, Atan, jejaka baik hati yang bermulut lancang. Jejaka itu membantu Luna membaiki keretanya yang rosak setelah semalaman terperosok di tepi bendang. Pada mulanya Luna sukar menyesuaikan diri dengan suasana kampung, namun selepas beberapa hari di situ, dia mula menyukai persekitaran desa yang mendamaikan serta keluarga Atan yang penuh kasih-sayang. Malah, hatinya juga mula terpaut pada pemuda yang bertanggungjawab itu.
Kisah cinta yang berputik antara orang bandar dan orang kampung sememangnya acap kali kita saksikan sebelum ini, sama ada di TV mahupun filem. Bahkan, filem Hollywood sendiri tidak asing dengan kisah sebegini, apabila si teruna mahupun dara dari kota melarikan diri ke desa, lalu jatuh cinta dengan insan ditemuinya di sana. Namun begitu, Osman berjaya membentuk semula cerita berkenaan menjadi sesuatu yang nampak baru, dengan menyelitkan pelbagai elemen lebih terkini seperti program gosip yang memakan diri sendiri, menggunakan khidmat pelakon popular hari ini, serta mencipta beberapa karektor kelakar seperti Eton Gebu dan Bedah Tonggek. Pada ketika penonton seronok mengikuti bibit cinta yang mula bersemi antara Luna dan Atan, mereka juga terhibur dengan watak Tom lakonan Faezah. Dia berjaya menghidupkan watak pembantu peribadi yang tampak kasar, tetapi baik hati. Ada beberapa babak yang jelas memperlihatkan betapa dirinya turut dibelenggu gelodak dalam jiwa, di sebalik kegirangan ditunjukkannya. Begitu juga penonton akan terkesan dengan lakonan Nadia Nissa yang menjayakan watak Manis, gadis lembam. Tindakan si pengarah mewujudkan watak yang pada dasarnya menghiburkan hati, namun ada ketika berupaya membuatkan penonton menangis, dikira tepat sekali. Turut menambahkan markah buat filem ini tentunya pemilihan lokasi yang menarik. Sawah padi menghijau dan suasana kampung yang nyaman, sememangnya mampu membuatkan kita kerinduan untuk kembali menghirup udara segar di desa. Cun, yang sarat dengan nilai kekeluargaan dan kasih sayang, sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |