Harian Metro: Rap |
Remy titis air mata kerana Alyah Posted: 18 Mar 2011 09:43 AM PDT MEREKA berdua mungkin pertama kali dipertemukan namun perasaan cinta yang terbit daripada gerak tubuh mereka mampu dirasai oleh kita yang memandang. Dengan erti lain, keserasian antara si jejaka yang datang dari dunia lakonan dan si perawan dari pentas nyanyian, begitu terserlah dalam menghidupkan sebuah lagu yang sangat indah. Malah kalau diterjemahkan lagu bernama Kisah Hati itu ke sebuah filem atau drama, pasti ia meruntun perasaan sebagai mana kita terpana dengan keasyikan filem Legenda Budak Setan, Sepi dan Cinta. Begitulah gambaran diberikan terhadap Kisah Hati - single terbaru Alyah yang buat pertama kalinya menampilkan aktor pujaan satu Malaya, Remy Ishak.
"Lalu kami sebagai pasangan kekasih sekadar muncul dalam imaginasi gadis itu apabila dia merintih dan terkenangkan kekasihnya," katanya. Kata Remy, selepas mendapat CD Kisah Hati daripada Ghaz, dia tidak lagi berfikir dua kali kerana kebetulan meminati Alyah. "Saya selalu dengar lagu Tak Mungkin Kerana Sayang. Bagi saya vokal Alyah sangat hebat dan dia ada 'feel' yang tersendiri apabila menyanyi. "Kebetulan ketika ditawarkan Ghaz dan Alyah, saya tengah lapang, jadi apa salahnya mencuba sesuatu yang baru apatah lagi saya sukakan hasil kerja Ghaz yang sebelum ini. Wang bagi saya adalah soal kedua," ujar Remy ketika ditemui di lokasi taman buluh madu, berhampiran Tasoh Lake Resort, Perlis, baru-baru ini. Apa pula komen Remy terhadap sikap Alyah? "Alyah sangat hormatkan orang lain - tidak diva, tidak gedik. Dia boleh dijadikan kawan dan kadang-kadang suka melawak. Itu yang saya suka dan kami macam dah kenal lama walaupun baru jumpa." Kata Remy, yang turut menyukai muzik video Kau Bisu dendangan Alyah, juga arahan Ghaz, dia sangat gementar apabila berada di lokasi Kisah Hati memandangkan dia perlu 'memadu cinta' dengan Alyah. Namun katanya, dia terkejut dan kagum apabila Alyah memberikan reaksi bersahaja dan sangat profesional apabila babak mereka berpegangan tangan dan berpelukan yang dilakonkan awal pagi di tepian tasik. Lebih menarik, Remy berkata, Alyah memang boleh menjadi seorang pelakon kerana dia memberikan aksi yang sangat bersahaja. Malah pada babak akhir, Remy menitiskan air mata kerana tersentuh dengan lirik lagu itu dan penghayatan Alyah yang meraung-raung. Bagi Alyah, kesudian Remy muncul dalam muzik videonya sangat disanjung tinggi kerana dia sendiri meminati pelakon filem Cun! dan Nur Kasih itu. "Alyah terkejut apabila Ghaz cakap Remy akan berlakon dalam muzik video ini. Alyah tak percaya sehinggalah Remy benar-benar ada di set penggambaran. Maklumlah, siapa Alyah ini kalau nak dibandingkan dengan Remy yang hebat dan popular itu. Tapi lepas kenal, kami dah boleh melawak dan bersembang," kata Alyah yang mengeluarkan bajet sendiri, lebih RM20,000 bagi projek itu. Demi mengindahkan Kisah Hati, Alyah mengenakan tiga pasang adi busana (haute couture) rekaan Rizman Ruzaini, Amir Luqman dan Yanna Husin. Solekan oleh Bosco Ryzarl juga sangat dramatik, relevan dengan imej flamboyan Alyah selama ini. Perlis jadi lokasi Kisah Hati HARUS dinyatakan kehebatan muzik video Kisah Hati terletak kepada beberapa elemen iaitu melodi lagu itu sendiri, seni kata dan nyanyian Alyah yang sangat menggetarkan. Ditambah pula dengan garapan Ghaz sebagai pengarah sebelum ini pernah menghasilkan muzik video untuk Anuar Zain (Mungkin & Sesucinya Cintamu) dan Kaer (Izin Ku Pergi) yang dibantu kru produksi profesional, maka segala yang cantik berjaya dirakamkan selama dua hari. Faktor lain yang penting sudah semestinya aura Remy serta landskap Perlis Indera Kayangan yang membentuk lukisan semula jadi yang sangat mempesonakan. Apa yang menarik, pembikinan muzik video Kisah Hati bermula pada bulan lepas apabila Alyah, Ghaz, jurumekap Bosco dan penulis sendiri pergi membuat tinjuan lokasi ke arah utara Semenanjung. Terbukti bahawa Alyah sendiri sanggup bersusah payah membuat pencarian lokasi bagi memastikan apa yang dimahukannya benar-benar tercapai. Akhirnya, selepas kami singgah di Empangan Timah Tasoh dan Ladang Tebu di Chuping, maka masing-masing terus bersetuju bahawa itulah lokasi terbaik bagi menggambarkan gelora Kisah Hati. Seterusnya, penulis meminta perkenan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan tanpa berfikir panjang lagi, Tuanku Raja Muda terus memberi sokongan dari sudut logistik kerana pada masa yang sama berhajat mempromosikan lagi Perlis Indera Kayangan sebagai destinasi pelancongan. Seterusnya, penggambaran Kisah Hati berjaya dilangsungkan dengan jayanya pada 9 dan 10 Mac lalu dan semua petugas menginap di Tasoh Lake Resort yang sudi memberikan tajaan. Pihak Alyah juga mengundang beberapa wartawan hiburan ke Perlis dan Ghaz sendiri membawa lebih 12 kru produksi profesional dari Kuala Lumpur. Kata Ghaz, muzik video Kisah Hati itu akan siap sepenuhnya pada penghujung Mac ini dan akan diedarkan Alyah ke semua stesen TV tempatan dan negara jiran termasuk Singapura serta Brunei Darussalam. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 18 Mar 2011 09:27 AM PDT APABILA kartun Lat Kampung Boy disiarkan di Astro Ria, penonton cilik amat akrab dengan keluarga Mat iaitu adiknya Ana, ibu bapanya, atuk dan opah serta kawan-kawan Mat yang lain. Watak lain yang turut menambat hati ialah cikgu Mat, iaitu Mrs Hew yang terkenal dengan imej bercermin mata ala 60-an dan fesyen rambut sarang lebah sanggul tinggi.
Suasana kampung yang aman damai dengan pelbagai permainan ditonjolkan dalam animasi itu adalah ilham dan sentuhan kartunis, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat. Dia sangat mencintai kampung halaman dan rumah yang diduduki keluarganya adalah syurga baginya. Sungai dan hutan berhampiran kampungnya menjadi 'taman permainan' untuk Mat dan kawan-kawannya.
LKBSM dipentaskan di Istana Budaya mulai Rabu lalu dan berakhir 5 April ini. Kelmarin diadakan pratonton teater itu turut dihadiri Lat dan isterinya. Lat berkata, sesiapa pun boleh mencapai apa saja yang dihajatkan jika ada kesungguhan dan mendapat sokongan orang disayangi. "Dalam cerita ini, saya melukis sehingga menjadi pelukis terkenal. Ketika saya belajar di tingkatan empat, orang sudah kenal saya dan bila dewasa senang cari kerja di mana saya mendapat kerja di NSTP (New Straits Times Press). "Arwah Pak Samad (Tan Sri Samad Ismail) adalah ketua saya dan sebab itu dimasukkan wataknya dalam pementasan ini. "Selain Pak Samad, mentor saya yang lain seperti Rejabhad dan Raja Hamzah. Sebenarnya ramai namun saya tidak boleh memasukkan semua watak itu dan untuk berlaku adil, biarlah saya ceritakan kisah saya saja. "Bagaimanapun, apa yang anda lihat pada pementasan ini, adalah dari kaca mata Hans dan Harith. Mereka datang jumpa saya dan kami menghabiskan tiga hingga empat hari untuk bercerita kisah hidup saya," katanya. Menurutnya, dia terhibur menyaksikan pementasan dan segala kreativiti di pentas dia serahkan kepada Hans dan Harith kerana mereka lebih arif mengenainya. Lat juga kagum dengan persembahan tarian dan nyanyian dalam LKBSM. Bercerita mengenai watak Mrs Hew yang ditangani cukup berkesan oleh Sandra Sodhy, kata Lat, guru bahasa Inggeris kesayangannya masih hidup dan akan datang menyaksikan pementasan itu. "Kalau tak salah saya umurnya sekitar 75 tahun. Waktu dia mengajar saya usianya baru awal 20-an. Gaya berpakaian, fesyen rambut dan cermin yang digayakan Sandra dalam pementasan ini adalah yang biasa dipakai oleh kaum wanita zaman dulu. "Karakter Frankie (Douglas Lim) pula saya tampilkan dalam buku Town Boy," katanya. Awie yang memegang watak Lat zaman remaja pula berkata, dia hanya boleh mengambil 50 hingga 60 peratus saja sikap dan karakter Lat yang sebenar. "Saya berjumpa Datuk Lat untuk melihat cara dia menyapa kawan-kawan dan cara dia bercakap. Perangai Datuk Lat yang lain, dia suka mengangkat tangan dan menyeluk tangannya dalam poket. "Mustahil saya dapat menjadi Datuk Lat 100 peratus. Sepanjang pementasan ini, anak sulung Datuk Lat, Junaidah, ada bersama kami dan kami banyak merujuk dengannya. "Kepada penonton di luar sana mereka kena menonton teater ini untuk melihat siapakah yang biasanya berada di belakang kejayaan seseorang," katanya. Pementasan itu dibuka dengan zaman kanak-kanak Lat yang suka melukis sejak kecil. Minatnya itu mendapat sokongan bapanya (Jalil Hamid). Lat berpuas hati kerana kejayaannya sebagai kartunis dapat dikongsi bersama bapanya sebelum dia meninggal dunia. Selain watak Lat, pujian juga diberikan kepada Omar Abdullah yang dapat menjiwai watak Pak Samad dengan sangat baik. Set pejabat akhbar NSTP, juga direka seolah-olah berada di pejabat akhbar sebenar. Keseluruhan set teater sangat cantik. Perjalanan Lat ke luar negara seperti ke London, Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman digambarkan dengan cukup baik. Berlatarkan Istana Buckingham yang sangat terkenal di kota London itu, dengan butiran salji berguguran ke bumi, penonton turut tenggelam dalam penceritaan pementasan itu. Melihatkan keseluruhan set pementasan itu, Hans mengakui LKBSM adalah produksi paling mahal berbanding teater lain yang dipentaskan di IB. "Tidak perlulah saya sebut berapa kosnya tetapi ia adalah pementasan teater yang paling mahal," katanya. Bagaimanapun, ada yang berpendapat, adalah lebih baik jika LKBSM memokuskan suasana kampung yang menceritakan segala pengalaman menarik Lat ketika membesar di kampungnya di Gopeng, Perak. Penonton kanak-kanak misalnya lebih mengenali Lat waktu zaman kanak-kanaknya yang mana buku kartun Lat sendiri mengisahkan zaman hidup Lat ketika kecil dan kanak-kanak dengan lengkap. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |