Adsense

Sabtu, 19 Mac 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Terlaris di pasaran

Posted: 18 Mar 2011 06:04 PM PDT

Hip

pix_gal0
Bukan hanya berbakat, karisma Bruno Mars terserlah di pentas

SEKELIP mata, namanya kini sebaris dengan penyanyi ternama antarabangsa yang lain. Berkebolehan mencipta lagu yang catchy dan sedap didengar, Peter Gene Hernandez, atau lebih dikenali sebagai Bruno Mars, pantas mendaki puncak populariti apabila lagu nyanyiannya, Just The Way You Are dan Grenade menguasai carta lagu popular beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Belanda dan Kanada.

Malah jejaka kelahiran Hawaii ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi lelaki solo pertama memiliki dua single yang berada pada kedudukan nombor satu selepas 13 tahun. Begitulah dahsyatnya penangan jejaka berusia 25 tahun ini apabila kejayaan yang diraihnya itu hanyalah bersandarkan kepada sebuah album.

Nama Mars terus menjadi bualan hangat apabila dia dicalonkan dalam tujuh kategori pada Anugerah Grammy baru-baru ini. Antara kategori itu ialah Lagu Terbaik Rap, Lagu Kolaborasi Rap Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik. Tuah ternyata berpihak pada Mars apabila dia memenangi anugerah vokal menewaskan calon lain seperti Adam Lambert, Michael Buble, Michael Jackson dan John Mayer.

Dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang meminati muzik, kecenderungan Mars terhadap cabang seni dapat dikesan sejak kecil lagi. Dia juga peminat setia superstar Elvis Presley dan pernah muncul dalam MidWeek sebagai penyanyi legenda itu. Kebanyakan lagunya banyak dipengaruhi muzik Elvis.

"Saya ialah peminat setia penyanyi era 50-an, Elvis Presley. Saya meminatinya kerana dia cukup hebat, dan mampu membuat ramai peminat tergila-gilakan dirinya. Begitu juga dengan penyanyi Prince dan Kumpulan The Police," ungkap Mars.

Bukan saja berbakat dalam bidang penciptaan lagu, tetapi penyanyi yang sering tampil dengan imej bertopi ini juga dikenali sebagai penghibur berkarisma apabila berada di atas pentas. Mars yang sejak beberapa bulan lalu begitu sibuk dengan siri jelajah promosi albumnya, The Doo-Wops & Hooligans Tour, sering menjadi tajuk muka depan akhbar apabila konsertnya mendapat pujian ramai.
Lebih membanggakan apabila tiket untuk menyaksikan konsertnya laris bagai pisang goreng panas. Bukan bercakap kosong, tetapi itulah kenyataan. Buktinya, konsertnya di Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 10 April dikatakan habis dijual walaupun pada awalnya, kehadiran penyanyi itu ke Malaysia masih menjadi tanda tanya.

Mars dijangka akan berkunjung ke Malaysia selepas mengadakan persembahan di Filipina sebelum meneruskan destinasi jelajah promosinya ke Australia.

Ditahan kerana dadah

DI sebalik cerita kejayaan yang diraihnya, penyanyi yang dilahirkan pada Oktober 1985 ini turut menjadi tumpuan media apabila ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah. Ketika ditahan di bilik air selepas dia mengadakan persembahan di Hard Rock Hotel & Casino Las Vegas, awal September lalu, Mars mengaku memiliki 2.6 gram kokain.

Bagaimanapun, sewaktu diberkas kira-kira jam 2.40 pagi, Mars memberitahu pihak berkuasa, dia tidak pernah mengambil dadah sebelum ini.

Ketika kesnya disebut di mahkamah, Mars diarahkan berkelakuan baik selama setahun serta mematuhi syarat yang terkandung sewaktu mengemukakan rayuan. Jika gagal mematuhi arahan itu, Mars bakal berdepan hukuman lebih berat iaitu merengkok di dalam penjara sehingga empat tahun lamanya.

Selain dikehendaki berkelakuan baik, Mars juga akan menghabiskan masa 200 jam untuk menjalankan kerja kemasyarakatan.

Mars bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung kesnya itu ketika wakil wartawan mengerumuninya selepas perbicaraan dijalankan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bukan sekadar R&B

Posted: 18 Mar 2011 05:57 PM PDT

Hip

Dayang Nurfaizah turut menggemari lagu pop

KELUNAKAN atau kemerduan suara Dayang Nurfaizah amat sinonim dengan lagu berentak pop R&B, tetapi penyanyi dari Kuching, Sarawak ini menegaskan, kemampuannya tidak boleh dibataskan kepada satu jenis lagu saja.

Malah penyanyi yang memulakan kariernya pada 1999 ini seolah-olah mahu mengisytiharkan bahawa dirinya bukan penyanyi R&B, kerana Dayang juga menganggap dirinya memiliki kelebihan dalam membawakan pelbagai jenis lagu lain, terutama irama pop Melayu asli.

Kebolehan dan bakat yang dimilikinya itulah membuka peluang kepadanya menerima banyak tawaran daripada syarikat korporat untuk mengadakan persembahan, selain mudah diterima peminat pelbagai peringkat usia. "Bukan saja lagu-lagu berentak R&B, malah saya akan turut menyelitkan lagu asli dalam setiap persembahan. Syukur alhamdulillah, setiap kali saya mengadakan persembahan, saya menerima maklum balas yang baik daripada pendengar dan peminat.

"Walaupun lagu klasik yang saya bawa agak sukar untuk dinyanyikan, disebabkan lenggok dan gaya pembawaan yang berbeza daripada rentak terkini, namun saya cuba melakukan yang terbaik buat peminat.

"Begitupun, saya bawakan juga lagu berkenaan pada persembahan majlis makan malam atau majlis eksklusif biarpun ada antara lagu yang saya nyanyikan itu tidak pernah saya dengar sebelum ini. Peminat lebih menghargai kebolehan kita apabila berupaya menyanyikan pelbagai rentak irama muzik," katanya.

Penyanyi itu ditemui selepas menjayakan persembahan bersama 'orang lama', Roy dalam Imbauan 3 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, baru-baru ini.
Dayang yang bakal muncul dengan album kelapannya awal bulan depan, tidak pernah meletakkan dirinya pada satu tahap yang memuaskan hati, malah sentiasa mempelbagaikan rentak lagu supaya diterima semua pihak, tidak mengira batas usia.

Malah, dengan kelahiran album terbarunya berjudul Sayang N Cahaya nanti, diharap ia mampu melonjakkan semula namanya dengan rentak yang lebih santai berbanding albumnya sebelum ini.

Album terbarunya memuatkan 12 lagu seperti Mulanya Di Sini nyanyian asal Allahyarham Seha daripada kumpulan Freedom, yang diberi nafas baru pada susunan melodi. Selain itu, antara lagu lain yang dimuatkan dalam produk berkenaan ialah Sayang, Ku Tunggu Cahaya, Rahsia Cinta, Saat Ini, Pelukan Cinta, Kau Bintangku, Sabarlah, Stay dan Life With You.

Lebih membanggakan, albumnya itu mendapat sentuhan komposer terkenal seperti Omar K, Yassin, Zain, Audi Mok dan Zuraini.

"Album terbaru ini lain daripada yang sebelum ini, malah ada penambahan apa yang kurang dalam album lalu. Jika dulu banyak lagu berentak rancak, kali ini ia lebih tenang.

"Tak sangka album kali ini memuatkan 12 lagu berbanding sebelum ini hanya dihiasi 10 lagu. Mulanya, memang kami ingat nak buat enam lagu saja, tapi tak sangka banyak pula lagu bagus yang dapat dirakam," katanya.

Daripada sejumlah lagu yang dimuatkan itu, Dayang Nurfaizah mempertaruhkan lagu Ku Tunggu Cahaya yang dijangka mendapat sambutan selain mensasarkan penjualan album secara digital berbanding fizikal, yang mudah dan cepat. Begitupun, dia tetap berharap jualan CDnya turut mencatat kejayaan membanggakan.

Impian solo di DFP

DAYANG turut menyimpan impian suatu hari nanti dapat mengadakan konsert solonya di DFP yang dianggap sebagai pentas berprestij dan eksklusif, dengan iringan muzik orkestra.

"Mungkin selepas ini ada pihak yang sudi memberi peluang kepada saya untuk membuat persembahan solo di sini. Cuma masa yang akan menentukan. Apa salahnya jika ada peluang untuk saya membuat persembahan lagi di sini, mungkin dengan penyanyi lain kalau bukan secara solo," katanya.

Baginya, setiap peluang yang diberikan kepadanya tidak akan disia-siakan demi peminat, walaupun berkongsi pentas dengan artis lain.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.