Berita Harian: Hip |
Posted: 30 Mar 2011 04:51 PM PDT Hip Sam cuma ingin bergembira di Genting Highlands 3 April iniDEBARAN di dada finalis dan peminat sudah pastinya semakin hebat dirasa. Apatah lagi kini hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum persoalan dan teka-teki mengenai siapa yang bakal dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 terjawab. Namun, pastinya beberapa nama kini semakin kencang dicanang peminat sebagai calon pilihan untuk membawa pulang gelaran itu meskipun kiraan borang undian masih berjalan dengan rancaknya. Ramalan awal itu sudah tentu menambahkan lagi debaran yang kian mencengkam jiwa. Pelakon yang kian meningkat naik namanya, Shaheizy Sam, turut disebut-sebut antara calon yang tidak mustahil dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada edisi ke-24 ABPBH ini, dek bakat dimiliki serta kecemerlangannya dalam bidang lakonan sepanjang 2010.Biarpun peminat Sam pastinya mengharapkan jejaka berusia 28 tahun ini mampu menggenggam trofi rebutan ramai terbabit, hakikatnya keputusan akan hanya diketahui pada Ahad ini, apabila keputusan pemenang Bintang Paling Popular dan 16 kategori lain diumumkan di puncak Genting. Jika sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sering menaiki pentas untuk menerima trofi terbabit, namun penyanyi nombor satu negara itu tidak lagi bersaing sama pada kali ini. Justeru, persaingan untuk dinobat Bintang Paling Popular semakin sengit apabila begitu ramai bakat baru dan lama yang sama-sama bersinar sepanjang tahun lalu. Bagi Sam, walaupun namanya turut disebut-sebut sebagai calon pilihan, dia tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sebaliknya jejaka ini berasakan, dicalonkan dalam senarai Top 5 pada ABPBH kali ini sudah cukup memuaskan hatinya. Paling penting, sokongan peminat sehingga meletakkan namanya ke satu tahap yang tinggi dalam bidang seni begitu dihargai.
"Menang atau kalah itu tak penting, tetapi yang paling penting sokongan padu daripada peminat sudah memadai sehingga mampu membawa nama saya ke tahap sekarang," katanya. Walaupun namanya kian dikenali selepas menerajui filem Adnan Sempit, namun Sam berasakan kejayaan yang dikecapi ketika ini adalah juga atas hasil usahanya di samping sokongan daripada peminat, serta pihak pengurusan. Begitupun, MIG banyak membantunya untuk lebih dikenali peminat, sehinggakan dirinya kini menjadi rebutan produser yang melihatnya sebagai pelakon dengan pelbagai kebolehan. Pelakon berbakat besar ini amat berbangga tatkala disenaraikan antara yang paling popular dalam ABPBH 2010, tetapi tidak pernah menduga akan sampai ke tahap ini dan menganggap kuasa undian peminat mampu mengubah segala-galanya. "Tanpa peminat, nama saya tak mungkin dicalonkan dan tanpa MIG saya tak mungkin dikenali, malah tanpa Berita Harian tak mungkin ada platform (ABPBH) untuk melonjakkan nama artis," katanya. Baginya, setiap calon yang disenarai pendek dalam ABPBH 2010 mempunyai bakat tersendiri dan persaingan kali ini dianggap sengit serta sukar diramal. Peluang yang diberikan Berita Harian kepadanya juga dianggap ruang terbaik untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa dalam meningkatkan mutu lakonan, di samping menunjukkan sokongan peminat kepadanya. "Apapun kita tunggu saja keputusan pada 3 April nanti. Siapa pun yang menang itu sudah ditentukan peminat. Bagi saya, cukup sekadar nama saya turut dicalonkan orang ramai," katanya. Bukan ayam tambatan MIG SIBUK dengan rutin harian dan penggambaran membuatkan Sam sedikit terikat untuk meluangkan masa bersama kenalan dan keluarga. Begitupun dia berjanji untuk tetap mencuri waktu bagi merehatkan diri. Namun dia tidak menjadikan kesibukan itu sebagai alasan untuk mengabaikan diri dan keluarga. Bahkan, kesibukan itulah sebenarnya yang membantu dirinya bertapak lebih kukuh dalam dunia lakonan. "Saya sekarang sibuk dengan penggambaran filem Aku Ada Kau Ada terbitan Pensil Pictures sehingga 25 Mac di sekitar Lembah Klang dan memang saya tak ada masa untuk berehat. "Apabila sudah terikat dengan kerja, kita harus komited dengannya. Dengan cara itu, baru orang pandang bakat dan keupayaan yang kita ada," katanya. Filem bergenre komedi cinta yang membawa Sam ke alam kolej itu turut menjalani penggambaran di Korea bermula 5 April depan. Kata Sam, peluang menjalani penggambaran di luar negara turut memberinya peluang untuk merehatkan diri, setelah penat bekerja. Jadual kerja pemuda yang diuruskan MIG ini dikatakan cukup padat dengan tugas lakonannya, sehingga ke penghujung tahun. Nasib baiklah dia sudah punya pihak pengurusan, jika tidak Sam sendiri belum pasti dia mampu menanganinya. "Dulu saya urus sendiri jadual kerja saya, tetapi selepas berasakan bagai tak terurus, saya minta MIG uruskan sejak November lalu. Jadi kini rasa macam terurus sikit berbanding dulu, walau sibuk macam mana sekali pun," katanya. Walaupun namanya meletup sejak akhir-akhir ini, namun Sam tidak menganggap dirinya sebagai 'ayam tambatan' MIG kerana semua pelakon dilayan secara sama-rata. "Semua pelakon MIG dijaga sama-rata, cuma kebelakangan ini mungkin saya lebih banyak terbabit dalam filem, itupun atas dasar bakat. Semua orang ada bakat dan mempunyai peranan tersendiri, cuma mungkin apabila saya kerap menjadi teraju, orang mula anggap saya anak emas. Tugas berlakon sama saja, cuma yang membezakan kita ialah watak," katanya. Info: NAMA: Shaheizy Sam Abd Samad
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Siaran langsung ABPBH 2010 pasti gempak Posted: 30 Mar 2011 04:47 PM PDT Hip TV3 buat persiapan rapi pastikan acara kemuncak beri kepuasan kepada penontonTV3 buat kali pertama akan menggunakan pancaran secara terus satelit digital bagi memastikan penonton boleh merasai kepuasan mengikuti siaran langsung malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010. Dikenali sebagai Digital Satelite News Gathering (DSNG), penggunaan teknologi penyiaran ini pastinya akan membuatkan suasana acara gemilang ABPBH2010 dapat dirasai dengan lebih dekat oleh penonton apabila disiarkan secara langsung di TV3 pada Ahad ini, jam 9 malam. Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau Gbam berkata, persediaan rapi sudah diatur sejak beberapa minggu yang lalu di mana penggunaan DSNG yang canggih digunakan bagi memastikan penganjuran ABPBH2010 dapat disiarkan secara sempurna selain visualnya juga lebih berkualiti."TV3 baru saja menerima peralatan produksi baru yang lebih canggih dan buat pertama kalinya ia akan digunakan pada malam kemuncak ABPBH2010. "Siaran langsung ABPBH2010 di TV3 ini juga akan menggunakan peralatan komputer sepenuhnya. Ia membolehkan siaran langsung itu dapat dipancarkan terus dari trasmisi ke satelit berbeza dengan peralatan lama yang harus melalui pencawang yang terdapat di bumi sebelum dapat disiarkan menerusi TV3. "Penggunaan komputer sepenuhnya juga memudahkan sekiranya berlaku kecemasan untuk di sunting sebelum disiarkan ke televisyen," katanya yang dihubungi Hip bagi mengetahui persiapan terakhir sebelum menjelang malam kemuncak ABPBH2010.
Gbam yang sebelum ini menjadi penerbit bagi acara kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-25, Disember lalu, berkata setiap tahun akan memaparkan kelainan baik daripada konsep persembahan mahupun persembahan visual yang akan disediakan bagi meninggalkan memori indah buat penonton di dewan mahupun di rumah. "Permainan grafik akan dipertingkatkan dari segi mutu persembahannya sesuai dengan perkembangan era teknologi hari ini. Grafik yang digunakan itu direka khas dengan memaparkan visual seperti mana penonton sedang membaca akhbar Berita Harian secara visual. "Lebih gah, apabila penggunaan latar LCD yang lebih besar yang dianggarkan dalam 300 penggunaan panel LED digunakan kali ini," katanya yang turut dibantu oleh seorang lagi penerbit berpengalaman yang juga bertindak sebagai Penerbit Eksekutif, Muhd Sufian Isa. Dalam memastikan penganjuran penganugerahan lebih berprestij, tenaga kerja di belakang tabir menjadi tulang belakang yang paling penting harus diketengahkan. "Seramai 60 tenaga kerja daripada pihak TV3 akan bertugas memastikan siaran langsung ABPBH2010 berjalan dengan lancar. Itu tidak termasuk dengan tenaga kerja daripada pihak Akademi Industri Muzik (AIM) yang akan membabitkan lebih 100 tenaga kerja keseluruhan. "Daripada jumlah itu ia akan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang akan mengawal sembilan penggunaan kamera termasuk dua kren, bilik kawalan produksi dan kumpulan produksi," katanya yang sebelum ini hanya menempatkan sebuah kren saja untuk rakaman siaran langsung ABPBH. ABPBH2010 akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands menerusi stesen televisyen rasmi TV3 tepat 9 malam dan menerusi stesen radio rasmi Hot FM pada masa yang sama. Info |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |