Berita Harian: Hip |
Posted: 20 Mar 2011 04:12 PM PDT Hip SAAT ini ada debaran yang bersarang dalam sanubari Mizz Nina. Tarikh 1 Julai yang hanya berbaki tiga bulan lagi membuatkan kesibukan penyanyi Hip Hop itu semakin berganda. Dalam rancak mengatur pembikinan single terbaru, persiapan pernikahan yang bakal berlangsung pada tarikh itu disusuli dua majlis resepsi tetap tidak dilepaskan bulat-bulat ke tangan orang lain. Bukan tidak percaya, sebaliknya itulah sifat semula jadi anak bongsu Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim, apatah lagi ia membabitkan hari paling bermakna dalam hidupnya. "Memang kalau tengok saya tak cukup tangan, tetapi saya mempunyai tenaga belakang tabir yang membantu dalam setiap perkara termasuk urusan kenduri dan kerjaya seni. Cuma saya memang jenis tak boleh duduk diam. Selagi boleh saya masih mahu 'turun padang' membantu mana yang termampu."Syukur, kursus kahwin, ujian HIV dan segala dokumen sudah diuruskan, manakala persiapan kenduri juga berjalan lancar. Resepsi keluarga terdekat pada 3 Julai dan bagi teman serta rakan media pula 6 Julai," katanya ketika ditemui pada majlis khas penyerahan plak pencapaian lagunya, What You Waiting For. Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 30, diraikan berikutan lagu dendangannya bersama penyanyi yang pernah terbabit dalam pembikinan album Lady Gaga dan Akon, Colby O'Donis meraih capaian muat turun lagu Inggeris tempatan terbanyak iaitu 600,000. Angka itu diraih antara Julai 2010 hingga Januari tahun ini, malah klip video single terbabit turut diikuti 2.6 juta pelayar internet sekali gus membuktikan keunggulan bekas anggota Teh Tarik Krew itu memancing tumpuan peminat muzik global.
Katanya, bersama Noh dan keluarga, mereka sepakat menyuntik konsep tertentu dalam setiap majlis termasuk pada hari pernikahan, malah secara keseluruhannya pasangan itu akan menggunakan khidmat pereka keluarga, Lady Jane, sebagai penyedia busana pengantin. "Majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman keluarga menerapkan tema klasik hitam dan putih serta menampilkan elemen Melayu kontemporari dengan berkonsepkan dalam taman. Ia diadakan di kolam renang bertemankan cahaya lilin dan gantungan tanglung. "Majlis kedua pula di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, mengambil rona ungu dan perak untuk disuai padan dengan konsep anggun yang lebih protokol kerana dihadiri tetamu kenamaan. Sekali lagi persalinan Melayu tradisional menjadi pilihan kami. "Majlis ketiga di Hotel DoubleTree pula lebih kepada tema Jepun kerana kami menyukai budaya, muzik, makanan dan keunikan negara mata hari terbit itu.
Mengenai bulan madu, pasangan itu memilih New York kerana dapat mencuri peluang mengikuti persembahan muzik dan kegiatan seni di kota berkenaan, malah jika ada rezeki percutian mereka akan disambung ke Kepulauan Maldives sebagai destinasi seterusnya. "Ada sebab saya dan Noh sepakat mahu ke New York. Selepas penat bekerja dan selain berbulan madu, dapatlah kami mengunjungi gedung muzik, pusat seni dan stor gitar kegemaran Noh. Mungkin tidak lama, dalam dua minggu. Itu pun selepas resepsi di Miri dan ulang tahun ayah saya," katanya lagi yang berhasrat menimang cahaya mata pada usia 33 tahun. Bukan Justin, Rihanna DITANYA desas desus menyatakan dirinya bakal berkolaborasi dengan dua penghibur antarabangsa iaitu Justin Timberlake dan Rihanna, katanya perkara itu hanya khabar angin, tetapi dia mengaku memang punya perancangan berduet bersama penyanyi Amerika Syarikat namun bukan dengan dua artis terbabit. "Memang benar saya akan berkolaborasi dengan orang luar, cuma hingga kini belum ada kata putus. Penghasilan lagu untuk single seterusnya yang dijangka muncul pada Mei ini juga 80 peratus selesai. Perbincangan masih berlangsung, kita akan umumkan nanti. "Soal Justin dan Rihanna, saya bukan mahu berahsia dan jika segala urusan sudah diselesaikan baik siapa komposer mahu pun penyanyi, kita akan berkongsi dengan khalayak. Apa yang pasti, penyanyi itu nanti berasal dari Amerika Syarikat," katanya lagi yang merangka penghasilan album penuh pada 2012. Enggan memikirkan cakap kosong, selain giat melakukan latihan suara untuk pembukaan konsert Bruno Mars pada 10 April ini, Mizz Nina juga bakal terbang ke Rotterdam, Belanda, bagi menghadiri konvensyen Hip Hop dan R&B terbesar di dunia, New Skool Rules bersama Joe Flizzow. Dia diundang sebagai satu-satunya penyanyi Hip Hop wanita Asia pertama ke negara itu berikutan pencapaiannya di arena muzik. Selain menghiburkan peserta selama tiga hari, Mizz Nina turut menjadi panel bagi seminar berkaitan industri.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Peluang kenali Lat lebih dekat Posted: 20 Mar 2011 04:09 PM PDT Hip PERSEMBAHAN teater Kampung Boy Muzikal arahan Hans Isaac dan Harith Iskandar di Istana Budaya. SEKIRANYA tanpa pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) sekalipun, orang ramai sememangnya mengenali siapa kartunis popular itu, menerusi karya beliau selama ini. Bagaimanapun, mungkin tidak semua jerit perih dan dilema hidupnya tidak diketahui umum. Dalam pada kita mengagumi dan menyanjungi bakat yang dikurniakan oleh Allah kepada insan istimewa bernama Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat ini, tersimpan pelbagai kisah hidup yang sedikit sebanyak dikupas menerusi pementasan berkenaan. Segala kisah kehidupan peribadinya pernah diceritakan secara humor menerusi naskhah komik yang pernah diterbitkan sejak beliau berusia 13 tahun lagi, namun tidak secara mendalam. LKBSM yang kini rancak dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) sehingga 5 April cuba menyingkap kisah yang tidak diketahui itu.Bukan senang menjadi orang yang disanjungi sehingga kebahagiaan hidup terpaksa dikorbankan. Kisah yang terkandung dalam LKBSM menggambarkan kisah hidup kartunis terkenal itu ketika kecil, di mana beliau digambarkan sebagai budak kampung yang berjiwa kental dan akhirnya berjaya dalam kehidupan. Permulaan yang sangat baik apabila tirai dilabuhkan, skrin besar memaparkan karektor Lat sebagai pencerita meriwayatkan kisah hidupnya.
Set pentas yang dicipta Jia Wei, antara set yang unik pernah berdiri di atas Panggung Sari, kesemuanya digambarkan seperti kartun daripada rekaan rumah, pokok, rumah kedai dan bangunan lain. Dari kecil Lat sudah menunjukkan minatnya terhadap lukisan kartun apabila setiap penjuru rumah akan diconteng dengan lukisan, di situ wujud watak bapanya lakonan Jalil Hamid yang cukup berkesan. Biarpun tegas, bapanya ialah insan paling menyokong minat Lat apabila setiap hari dia membawa pulang kertas kosong yang tidak digunakan, untuk Lat melukis. Dari sudut lain, penonton cukup tersentuh dengan adegan antara bapa dan anak sebaik komik pertama Lat berjudul Tiga Sekawan diterbitkan. Dari riak air muka bapanya jelas terpancar rasa bangga terhadap anaknya. Lat yang cukup terharu dengan keadaan itu terus memeluk erat bapanya kerana merestui minatnya. Kemunculan Awie (Wings) sebagai Lat dewasa sangat dinantikan-nantikan penonton, dengan rambut kerinting yang mengembang menyerlahkan lagi karektor sebenar Lat. Lakonan berkesan, meyakinkan SELAIN Awie, watak sampingan lain di sekeliling kehidupan Lat sebenarnya cukup mengesankan. Walaupun peranannya kecil, namun meninggalkan impak kepada penonton. Antara watak yang paling menyerlah ialah watak Pak Samad lakonan Omar Abdullah. Wataknya muncul ketika Lat menjadi wartawan jenayah di akhbar New Straits Times (NST). Biarpun penulis tidak begitu mengenali Pak Samad, namun keberkesanan Omar membawakan watak itu, membuatkan penonton bagai mengenali tokoh penulisan itu dengan cukup dekat. Dia seorang yang tegas, kelakar dan berhati mulia sesuai dengan jawatannya sebagai Pengarah Kanan akhbar itu. Watak lain yang tidak kurang hebatnya termasuklah Faezah yang juga isteri kepada Lat lakonan Atilia, sahabat baiknya, Frankie (Douglas Lim) dan gurunya, Mrs Hew (Sandra Sodhy). LKBSM turut memperkenalkan Pushpa Narayan sebagai guru muzik Lat, Miss Thambi dan Nasz sebagai ibunya. Pementasan yang mendapat sentuhan pengarah Hans Isaac dan Harith Iskander itu turut mengangkat konflik kehidupan Lat selepas kejayaan yang beliau kecapi. Lat berhadapan konflik dan delima hidup selepas dirinya sangat diperlukan masyarakat. Isteri dan anak-anak yang mendapat tempiasnya terpaksa berkorban, namun kesabaran setiap manusia di dalam dunia ini ada hadnya. Lat berada dalam delima dan akhirnya mengambil keputusan pulang ke kampung, Gopeng, Perak, untuk memulakan hidup baru bersama keluarga. LKBSM sebuah teater muzikal yang punya keseimbangan dan tidak membosankan penonton. Namun sentuhan muzik yang tidak menggambarkan suasana ketimuran sedikit agak mengecewakan.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |