Berita Harian: Hip |
Lawatan bersama PM, TPM ke Sarawak satu 'isyarat' Posted: 17 Mar 2011 03:49 AM PDT Hip KUCHING: Dalam apa yang dilihat sebagai isyarat yang belum pernah berlaku, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mengadakan lawatan bersama ke Sarawak Sabtu ini, destinasti pertama beliau dalam siri jelajah bertemu rakyat di seluruh negara.Ia adalah kemuncak beberapa siri lawatan Perdana Menteri sejak tahun lepas, sering kali merentasi negeri yang sangat luas ini dengan menaiki helikopter untuk "merasai denyut nadi rakyat", nun jauh di pedalaman di mana penempatan luar bandar dan rumah panjang yang bertaburan menjadi ciri-ciri lumrah. Bagi majoriti penduduk Sarawak, semangat 1Malaysia telah menjadi konsep yang telah pun diuji selama beberapa generasi namun kunjungan oleh kedua-dua pemimpin negara kali ini, pastinya menunjukkan komitmen mereka kepada amalan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan." Dengan pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang bakal menjelang tidak lama lagi, jadual lawatan mereka sudah tentu akan membawa keceriaan kepada kalangan rakyat, yang masih inginkan kepastian berhubung kesinambungan dasar pembangunan sosio-ekonomi kerajaan dan kestabilan politik.Sebagai permulaan, Najib dan Muhyiddin dijangka bersama-sama menghadiri pelancaran program Sejiwa Senada bagi bahagian Samarahan di Serian, kira-kira 65 kilometer (km) dari sini, dan kemudiannya beredar untuk melakukan tinjauan mesra di bandar itu, disusuli dengan majlis makan tengah hari di gerai Perbadanan Pembangunan Ekonomi Serian Sarawak (SEDC). Kira-kira 500,000 orang dijangka mengunjungi gerai penerangan dan perkhidmatan yang diwujudkan di bawah program yang dilaksanakan di seluruh negeri itu sebagai wadah untuk kerajaan bertemu rakyat dalam menyebarkan inisiatiaf inovatif dan kreatif, termasuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam sejajar dengan konsep 1Malaysia. Terdahulu pada hari sama, Najib buat julung kali akan bertemu rakan Facebook beliau dalam sesi Mari Berjumpa, Mari Berhubung di kompleks Dewan Undangan Negeri lama di Petra Jaya di sini.
Seorang lagi rakan Facebook Perdana Menteri, Kamsiah Saufi, ingin tahu sama ada lawatan itu adalah tanda pilihan raya semakin hampir. Perdana Menteri, yang akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut dijadual beramah mesra dengan penduduk setempat semasa tinjauan mesra itu dan sesi bertemu rakyat di Kampung Semera, Sadong Jaya di Samarahan. Penduduk di bandar akan turut menghadiri majlis serupa yang akan diadakan pada sebelah tengah hari di kawasan pasar basah Taman Kenyalang di sini. Pada masa ini, penduduk Taman Kenyalang adalah antara mereka yang memperoleh manfaat daripada semakan semula premium untuk memperbaharui pajakan tanah baru-baru ini, yang tidak dinafikan lagi merupakan kadar paling rendah di negara ini. Sementara itu, Muhyiddin, yang akan diiringi isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, dijangka bertemu pegawai kanan pendidikan di sebuah hotel di sini, dalam kedudukan beliau selaku Menteri Pelajaran. Dalam acara berasingan, beliau akan menghadiri sesi bertemu rakyat di Rumah Wilson Bada, sebuah rumah panjang Iban di Gran Stumbin, bahagian Sri Aman. Beliau kemudian akan beredar untuk melakukan tinjauan mesra ke Skim Skrang di Engkilili, Sri Aman, kira-kira empat jam perjalanan berkereta dari sini. Skim Skrang kini dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit di bawah inisiatif Tanah Hak Adat Bumiputera. - BERNAMA Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komenFull Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 16 Mar 2011 03:15 PM PDT Hip Ada kekuatan tersendiri antara Bront, Remy dan Syamsul dalam dunia seniKESEIMBANGAN antara populariti dan kualiti bakat tiga jejaka ini usah lagi dipertikaikan. Remy Ishak, Bront Palarae dan Syamsul Yusof adalah tiga jejaka yang pernah merangkul anugerah berprestij, berkat kesungguhan usaha masing-masing sekali gus membuktikan produk keluaran mereka berkualiti. Kemunculan dalam arena seni bukan saja diiktiraf industri menerusi majlis penganugerahan, malah turut disanjungi masyarakat selepas menjadi antara yang popular dalam senarai pendek Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010).Justeru, pertemuan ketiga-tiga jejaka yang masih solo ini secara tidak langsung mengeratkan antara pelakon hebat itu dan pengarah berkaliber yang sukar mempunyai masa untuk bersama. Remy dan Bront adalah sahabat baik, manakala Syamsul dan Remy pula rakan yang pernah terbabit sama di dalam sebuah filem. Syamsul pernah menawarkan Bront dalam filem arahannya, namun kesempatan dan nasib itu tidak pernah memihak kepadanya. Masa yang terluang pada sesi fotografi ini digunakan sebaik mungkin oleh ketiga-tiganya dengan bertanya khabar dan perkembangan kerjaya masing-masing. Menurut Bront, biarpun masih gugup, namun disebabkan Remy, dia bersetuju untuk memenuhi permintaan sesi fotografi ini. "Walaupun sudah tujuh tahun dalam bidang lakonan, tapi saya masih gementar setiap kali media nak buat sesi fotografi, begitu juga setiap kali saya memasuki mana-mana set penggambaran. Pelawaan Berita Harian untuk mengadakan sesi fotografi ini pun disebabkan Remy turut bersama. Dan menggandingkan kami bersama Syamsul," katanya. Bercakap mengenai lakonan, Bront mengagumi serlahan mutu persembahan Remy yang begitu ketara selepas tiga tahun tidak bergandingan bersama. "Selepas Anak Halal, kami tidak pernah lagi digandingkan sehinggalah baru-baru ini ditemukan semula untuk filem Bara Jiwa. Kali ini saya melihat satu perubahan drastik dari segi mutu lakon Remy yang semakin matang. "Saya bangga dengan peningkatan mutu lakonannya yang sangat drastik dan dia adalah pelakon baru yang berjaya mempertaruhkan bakat dan populariti pada masa yang sama," katanya. Bagaimanapun, Bront agak kecewa kerana terpaksa menolak dua tawaran berlakon daripada Syamsul kerana terikat dengan komitmen lain. "Dua tawaran dari Syamsul itu, kebetulan tidak kena dengan jadual saya yang memang sudah terikat dengan projek lain. Bagaimanapun saya masih lagi mengharapkan sekiranya tawaran itu datang sekali lagi pada bila-bila masa kerana saya teringin berlakon di bawah pengarah muda yang begitu komited dengan kerjanya. "Dia adalah pembuat filem yang sangat serius di dalam kerjanya dan tidak hairanlah mutu kerjanya begitu baik sekali," katanya. Bront bersahaja, Remy menyerlah BAGI Syamsul pula, bekerja dengan Remy lebih menyerlahkan lagi profesionalnya dalam bidang pengarahan. "Saya pernah bekerja dengan Remy dalam filem Evolusi KL Drift 2. Ketika itu saya melihat dia bukan kerana popularitinya di sebabkan drama Nur Kasih tetapi ada sesuatu yang saya lihat di mana dia mampu pergi lebih jauh dalam bidang seni. "Dia pelakon serius dalam bidangnya, pelakon yang banyak mengambil berat dalam segala aspek dan sering bertanya kepada saya apa yang saya. Bagi saya cara itu sangat baik untuk sama-sama kita bertukar-tukar pandangan dalam membikin filem yang terbaik. "Jika pelakon itu tidak suka bertanya, ia menjadi masalah pula kepada saya," katanya. Mengenai Bront, Syamsul menjelaskan memang satu kesilapan kerana mengajukan tawaran kepada pelakon itu pada saat akhir. "Memang nak dia berlakon dalam filem saya, tetapi tak dapat sebab tawaran dibuat pada saat akhir. Saya tak salahkan Bront tetapi ini kesilapan saya juga," jelas Syamsul. Menurut Syamsul, Bront dilihat bukan saja menyerlah menerusi filem yang mengangkat namanya dalam filem Belukar dan V3, tetapi bakatnya itu mula dilihat sejak awal pembabitannya di dalam industri perfileman ini. "Saya mengenali Bront hanya menerusi filem lakonannya saja seperti Castello, Bilut, Lang Buana, Man Laksa dan banyak lagi. Semua filem yang dilakonkannya memang kita perasaan kerana biarpun wataknya sikit tetapi penonton masih perasan kelibatnya. "Suatu masa nanti, Insya-Allah saya akan pastikan Bront dan Remy dapat memenuhi tawaran saya untuk berlakon bersama filem arahan saya," katanya yang kini masih ghairah mempelbagaikan genre karyanya. Tahun ini, Syamsul bakal mengeluarkan beberapa filem dari genre yang berlainan seperti KL Gangster yang akan ditayangkan pada Jun, Aku Bukan Tomboy dan Bohsia; Jalan Kembali yang baru saja menamatkan penggambaran Februari lalu. Kagumi keberanian Syamsul SEMENTARA itu, Remy turut mengagumi keberanian dan kesungguhan Syamsul yang berjaya menempatkan namanya di dalam industri filem dalam usia muda khususnya sebagai pelakon dan pengarah filem. "Sebelum ini saya pernah menyaksikan filem arahannya Evolusi KL Drift dan sangat mengagumi kebolehannya, namun saya tidak mengenalinya sangat, namun selepas ditawarkan untuk Evolusi KL Drift 2, saya lebih mengenali jiwa seninya yang mengharapkan sesuatu yang sangat besar. "Memang dia sentiasa menyimpan impian sangat tinggi dalam melahirkan sesuatu produk filem. Dia begitu komited dengan kerjanya, beruntungnya juga dia diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk mengarahkan apa saja genre filem dan dia tidak mempersia-siakan peluang yang sudah ada di hadapan mata. "Saya cukup berbangga dengan hasil kerjanya kini yang berani mencuba pelbagai genre filem dan tidak hanya menumpukan pada filem genre aksi saja dan tidak hairanlah dia kini sedang dalam proses mempelbagaikan genre filemnya." katanya yang berbangga dengan filem bergenre seram arahan pertama Syamsul berjudul Khurafat mencapai kutipan lebih RM8 juta. Dalam masa yang sama menurut Remy, biarpun sudah lama tidak digandingkan dengan sahabatnya Bront dalam satu filem, namun sahabat ini kerap berjumpa dan melepak bersama. "Bront adalah kawan karib saya sejak mengenalinya menerusi filem Anak Halal, sejak itu kami sentiasa berhubung dan melepak bersama. Biasanya kami akan melepak dan minum di kedai mamak sekitar Bangsar. "Apa yang membuatkan saya mudah mengenalinya adalah kerana kami dalam bidang yang sama selain pengalamannya selama ini tidak lokek dikongsi. Kami sering berbincang mengenai dunia lakonan, Bront cukup banyak memberi saya inspirasi dan motivasi yang lebih membakar semangat saya untuk melakukan kerjaya lakonan ini dengan gigih lagi," katanya. Info INFO: Bront Palarae INFO: Remy Ishak INFO: Syamsul Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |