Utusan Online - Hiburan |
Posted: Peminat nadi hidup FranOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEBAGAI seorang yang membesar dengan lagu-lagu dendangannya sejak, penulis harus mengakui Francissca Peter telah meninggalkan impak yang bukan sedikit dalam hidup penulis. Setiap lagu nyanyiannya mempunyai memori dan kenangan yang tersendiri buat diri penulis yang terus bersemadi sehingga ke hari ini. Kerana itu, penulis berasa cukup teruja dan tidak mahu ketinggalan menonton Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) malam Sabtu lalu. Penulis tahu konsert sulung penghibur itu bagaikan satu kemestian dan tidak wajar dilepaskan begitu sahaja. Malah, penulis optimis bahawa konsert itu pastinya tidak akan mengecewakan peminat tegar Francissca seperti penulis dan barangkali peminat-peminat yang lain. Apatah lagi dengan koleksi rangkaian lagu-lagu popularnya yang sudah bertaraf malar segar itu mengukuhkan lagi justifikasi penulis bahawa tiada ragu, konsert ini mampu meninggalkan impak kepada audiens. Ternyata telahan itu tidak langsung silap. Sepanjang dua jam setengah menonton persembahan penyanyi yang dilahirkan di Klang, Selangor ini, Francissca atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Fran berjaya membawa penulis dan audiens yang lain menyelusuri terowong masa dengan lagu-lagunya. Berbekalkan vokal yang cukup mantap dan bertenaga, Fran langsung tidak mengecewakan peminat setianya yang sememangnya menanti dari awal untuk menikmati lagu-lagu nyanyiannya yang lebih 30 buah lagu itu. Tidak sebuah lagu pun yang tertinggal dalam konsert ini lalu menjadikan ia salah sebuah konsert terbaik yang pernah dipersembahkan di pentas bertaraf antarabangsa itu. Namun, ia bukan bermakna konsert yang diterbitkan oleh Eye Design itu merupakan sebuah produksi yang sempurna. Masih terdapat cacat-cela yang sepatutnya boleh diperbaiki dan semuanya itu ditutup dengan kemantapan vokal Fran yang tiada tandingan itu. Cuma, timbul sedikit rasa ralat kerana lagu Komputer Muzik yang merupakan lagu popular dari album solo pertamanya pada tahun 1984 itu tidak dipilih dalam repertoire lagu untuk konsert sulung Fran ini. Dalam usianya yang sudah mencecah 50 tahun itu, Fran memang sudah membuktikan dia adalah antara penyanyi wanita terbaik negara yang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Kesemua lagu dinyanyikan Fran dengan cukup sempurna dan tidak keterlaluan dikatakan, kualiti vokalnya masih lagi sama jika didengar menerusi cakera padat. Nyanyiannya cukup jelas dan terang. Malah, penghayatan Fran untuk setiap lagu juga berjaya menjentik emosi penonton yang turut sama larut dalam persembahannya terutama untuk lagu-lagu balada dan sentimental. Ku Ke Udara Lagi!, Si Mata Merah, Aku Hanya Pendatang, Akulah Kekasihmu, Sekadar Di Pinggiran, Aku Kehilanganmu, Kau Lilin Cintaku, Diriku Terbelenggu, Si Kunang Kunang dan Mawar Terpinggir sudah cukup untuk melengkapkan perjalanan konsert sulung Fran itu. Kerana koleksi lagu-lagunya yang cukup banyak itu juga, beberapa lagu popularnya telah dijadikan medley iaitu Kau Bintangku, Digenggam Sepi, Andainya dan Masih Belum Terlambat. Semuanya dinyanyikan peminatnya tanpa perlu disuruh dan jelas kelihatan setiap seorang daripada mereka yang hadir menampakkan mulut mereka terkumat-kamit menyanyi mengiringi lagu-lagu Fran. Ketika lagu-lagu ini disampaikan, sempat lagi penulis berbisik kepada teman di sebelah dengan memberitahunya : "Konsert Fran ini membuatkan saya mahu kembali kepada zaman kanak-kanak saya. Dia berjaya mengimbau kenangan lalu saya dengan lagu-lagunya." Lalu teman tadi hanya tersenyum dan memandang penulis sambil mengangguk tanda setuju bahawa dia juga mempunyai pandangan yang sama seperti penulis. Konsert itu juga mencipta momennya sendiri apabila komposer tersohor, Manan Ngah diundang mengiringi nyanyian Fran menerusi lagu Kerna Terpaksa yang mengundang tepukan gemuruh daripada audiens. "Bayangkan hampir 24 tahun kami tidak bekerjasama dan malam ini, kami bersatu kembali meskipun bukan untuk rakaman lagu baru," ujar Manan ringkas sambil Fran ketawa kecil di sisinya. Memang wajar Manan diundang ke konsert itu kerana tidak dapat dinafikan lagi, peranan komposer itu dalam memacu karier seni Fran memang cukup besar sehingga menjadikan kolaborasi mereka sebagai antara yang terbaik dalam sejarah industri muzik tempatan. Buktinya, kehebatan lagu Sekadar Di Pinggiran telah menobatkan mereka sebagai pemenang pertama pada Anugerah Juara Lagu 1986. Malam itu juga penonton dibuai dengan nostalgia silam apabila teman duet Fran yang cukup serasi iaitu Royston Sta Maria atau Roy juga diundang untuk menyampaikan lagu-lagu duet popular mereka. Ternyata pengaruh dan populariti mereka masih lagi utuh serta diterima dengan baik oleh peminat-peminat mereka khususnya Roy yang sudah 23 tahun meninggalkan bumi Malaysia dan kini menetap di Perth, Australia. Tiga lagu mereka iaitu Bersama Pertemuan Ini, Siapa Dia Sebelum Daku dan Tak Kenal Maka Tak Cinta sudah cukup membuatkan Panggung Sari bergegar dengan jeritan dan sorakan penonton. Fran atau nama sebenarnya Francissca Luciana Peter juga tidak melupakan menyanyikan lagu patriotik yang cukup popular satu ketika dulu, Setia. Populariti lagu itu juga telah merobah senario muzik patriotik sehingga mampu diterima dengan baik setaraf dengan lagu komersial. Tidak dilupakan, lagu Kehebatan Cinta yang pernah dinyanyikan secara duet oleh Fran dan Jamal Abdillah juga diabadikan dalam konsert itu namun pasangannya bukan Jamal tetapi Imran Ajmain. Biarpun duet tersebut kedengaran sedikit canggung, tetapi Imran menyampaikan lagu itu dengan caranya tersendiri tanpa perlu mengikut lenggok nyanyian Jamal. Secara eksklusif juga pada konsert itu, Fran mendendangkan lagu terbarunya, Tiada Gementar Lagi yang diciptanya bersama Imran. Kecemerlangan konsert itu juga tidak hanya terletak kepada kehebatan nyanyian Fran tetapi susunan muzik yang segar dan bertenaga di bawah pimpinan maestro muzik terkenal, Datuk Ramli M.S. Tidak ketinggalan hadir menonton konsert pada malam kedua itu ialah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini; penghibur malar segar, Salamiah Hassan serta penyanyi remaja, Dafi yang menemani ibunya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin. Secara keseluruhan, Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter merupakan salah sebuah konsert yang berjaya walaupun ada segelintir pihak yang pada mulanya skeptikal dengan kemampuan dan populariti Fran untuk beraksi di pentas penuh prestij itu. | ||
Posted: AST temukan pelakon veteranOleh ABD. AZIZ ITAR (Yang membuat liputan Anugerah Seri Temasek di Singapura baru-baru ini) MOHD Mahyidin Mustakim (lapan dari kiri) bersama para penerima AST di Hotel Fairmont, Singapura baru-baru ini. ANUGERAH Seri Temasek (AST) yang cuma mempunyai tujuh kategori boleh diibaratkan anugerah yang diadakan bagi mempertemukan para karyawan terutamanya pelakon popular era tahun 1950-an dan 1960-an di Singapura. Selain bertanya khabar satu sama lain, anugerah anjuran Majlis Pusat Singapura dan Hann's Entertainment itu juga mengimbau banyak nostalgia buat para karyawan filem Malaysia dan Singapura yang hadir memeriahkannya. Momo Latiff, 90, atau Marfuah Abdul Karim yang merupakan pelakon paling senior hadir menerima Anugerah Seri Temasek bersama 13 lagi penerima lain gembira kerana turut serta pada anugerah itu biarpun dalam keadaan bertongkat. Pelakon yang mempunyai 12 anak, 48 cucu dan 26 cicit ini berkata, biarpun kadang-kala pelupa tetapi apabila berjumpa semula dengan para pelakon seangkatannya pada AST kenangan silam sebagai pelakon kembali segar di hatinya. "Saya gembira kerana ia peluang saya bertemu kawan-kawan lama sewaktu menjadi pelakon 50 tahun lalu. Kenangan berhijrah dari Medan, Indonesia ke Singapura pada usia 15 tahun juga masih segar. "Selain itu, nama Momo yang diberikan oleh seorang tauke sarkis di Jakarta telah menjadi nama pentas saya hingga kini. Nama itu diberikan kepada saya kerana gaya dan pergerakan saya yang macam tomboy ketika itu," ujarnya. Ratu Airmata filem Melayu klasik, Neng Yatimah, 86, menitiskan airmata lantaran gembira dapat berjumpa dengan ramai pelakon seangkatannya pada malam itu dan menerima Anugerah Seri Temasek. Menurut Neng yang mesra dengan panggilan Mak Neng dan kini menetap di Tampines, Singapura, biarpun namanya masih diingati ramai peminat tetapi dia terpaksa melupakan hasrat untuk berlakon kerana faktor usianya yang lanjut. "Saya tidak rindu lagi pada bidang lakonan kerana sudah lama meninggalkannya. Saya masih sihat cuma ingatan saya kurang baik. Kalau berlakon saya mungkin lupa dialog. "Kalau dulu saya boleh melakonkan adegan menangis dari pukul 10 pagi sampai 6 petang kerana hati saya mudah tersentuh," ujarnya. Penyanyi dan juga anak seniwati Allahyarham Siput Sarawak iaitu Anita Sarawak juga antara yang menerima anugerah kategori Anugerah Pencapaian Seri Temasek begitu teruja pada majlis penganugerahan tersebut. AST yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu sekali gus menganugerahkan Anugerah Lagenda Seri Temasek kepada Allahyarham ibu penyanyi popular dari Singapura itu. "Apabila menerima anugerah ini, ingatan saya mengimbas pesanan arwah ibu saya yang banyak memberi galakan supaya bekerja keras dan berdisiplin dalam bidang yang saya ceburi ini. Saya tidak sangka dapat anugerah ini. "Sebelas tahun lalu saya pernah bercadang untuk bersara menyanyi tetapi kerana sokongan anda saya masih berada di sini. Malah, Abang Mahathir (suami) juga antara orang yang membawa saya semula dalam bidang ini," katanya. Penerbit MIG Production, David Teo yang menerima Anugerah Pencapaian Seri Temasek berharap lebih banyak filem terbitannya akan ditayangkan di Singapura kerana ia juga bertaraf antarabangsa. "Filem terbitan saya, Jangan Pandang Belakang telah ditayangkan di Singapura dan mendapat kutipan tiket RM400,000 manakala filem Santau pula RM300,000. "Ini menunjukkan filem-filem saya bukan sahaja berjaya di Malaysia tetapi di Singapura. Kalau ia tidak mendapat sambutan di Malaysia, mana mungkin ia diterima di Singapura," jelasnya. Selain penerima anugerah yang terdiri daripada para pelakon veteran, Syamsul Yusof merupakan penerima anugerah AST termuda menerusi Anugerah Harapan Seri Temasek menganggapnya sebagai galakan kepada kerjayanya. Sebagai pelakon dan pengarah filem muda di Malaysia, anak penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam ini berkata, dia berharap untuk mengatasi pencapaian bapanya sebagai penerbit yang berjaya dalam bidang perfileman. "Saya berasa rendah diri dan seperti tidak layak menerima anugerah ini kerana terlalu baru dalam bidang ini. Kalau dulu filem Sembilu arahan bapa saya mengutip RM6 juta kerana ketika itu tiket wayang harganya sekitar RM5. "Kalau ikutkan harga tiket sekarang jumlah itu sepatutnya RM12 juta. Cabaran saya bagaimana mahu mengatasi kutipan tiket bapa saya sekurang-kurangnya lebih daripada RM12 juta," tuturnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |