Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Zul lari daripada antagonisKREDIBILITINYA membawa watak antagonis mampu menggoncang jiwa penonton. Biarpun ia seringkali mengundang kebencian, namun Zul Huzaimy Marzuki atau ringkas disapa sebagai Zul mengakui akan terbit rasa puas setiap kali dirinya disuakan watak sedemikian. Tidak hanya bertongkatkan wajah kacak serta bakat lakonan yang hebat, pelakon berusia 32 tahun itu dilihat mempunyai pengetahuan luas dalam dunia lakonan berdasarkan pengalaman lakonan yang dikutip sejak bergelar anak seni lebih kurang 11 tahun yang lalu. Bermula sebagai pelakon teater ketika masih menuntut di Akademi Seni Kebangsaan (kini dikenali sebagai Aswara), pelakon berkarisma itu mula berjinak-jinak dengan lakonan drama dan filem sekitar tahun 2000 dan 2001. "Saya mula berlakon dalam teater sekitar tahun 1993 dan pada waktu itu, sekadar untuk suka-suka sahaja. Selepas teater, saya menjadi pengacara untuk televisyen pendidikan. "Tidak lama selepas itu, saya menjadi pengacara untuk program Remaja di bawah kelolaan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sekitar tahun 2002, saya diberi kepercayaan untuk melakonkan watak pembantu dalam filem Embun dan segala-galanya bermula selepas itu," tuturnya ketika ditemui semasa sesi fotografi di Kosmo! baru-baru ini. Sehingga kini, Zul sudah membintangi kira-kira 10 buah filem antaranya Anak Halal, Remp-It, Wayang, Lembing Awang Pulang ke Dayang dan yang terbaru ialah filem bergenre drama thriller, Haq yang sudah mula menjengah pawagam seluruh negara termasuk Brunei pada 27 Januari lalu. Haq di mata Zul Berbicara lanjut tentang Haq, bapa kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, pengalaman berlakon di bawah KasehDia Pictures buat julung kalinya antara yang terbaik pernah dilalui. "Saya memegang watak utama (superhero) sebagai Haq, yang dianugerahkan kuasa istimewa seperti ayahnya. Watak itu memerlukan kekuatan dalaman yang lebih daripada luaran. Watak tersebut pada awalnya memang sukar untuk dibawa kerana lazimnya saya hanya bermain dengan fizikal, tetapi dalam Haq, ia lebih kepada kebatinan. "Lakonan saya terhad kerana perlu menjaga sisi batin itu. Ia adalah sesuatu yang dituntut dalam watak Haq. Jika saya tidak berbuat demikian, hilanglah kebatinan itu," jelas pelakon kelahiran Grik, Perak itu. ZUL HUZAIMY puas membawa watak Haq. Katanya lagi, sewaktu menjalankan kajian mengenai wataknya itu, dia banyak bertanya hal yang berkaitan dengan batin. "Saya banyak bertanya mengenai kebatinan yang perlu ada untuk menjayakan watak. Kalau watak jahat, memang senang. Boleh buat apa sahaja yang dimahukan, tetapi watak saya ada pantang larangnya. Saya tidak boleh melebih-lebih kerana jika itu berlaku, nampak seolah-olah tidak jujur dengan batin. Kalau tidak jujur dengan batin, hilanglah batin itu. "Pada saya, apabila memainkan watak yang istimewa, kita tidak boleh melakukan pergerakan yang keterlaluan ketika babak berlawan kerana bimbang nanti nampak macam filem Hong Kong," jelasnya panjang lebar. Turut membintangi Haq ialah Ady Putra sebagai Bad yang cemburu dengan Haq dan ingin memiliki kuasa sepertinya. Haq diserikan lagi dengan Nanu Baharudin sebagai Zahra yang keliru antara cintanya pada Bad dan Haq. Raja Farah (Aina) pada masa yang sama menaruh hati kepada Haq, tetapi diperdaya oleh Bad untuk menghancurkan Haq. Mengakui Haq mempunyai elemen lain daripada yang lain, Zul menyifatkan filem tersebut sebagai sebuah filem Melayu yang diberi suntikan baru, namun, pada masa yang sama masih mengekalkan adat dan tatasusila Melayu yang berteraskan nilai-nilai ketimuran. Selain itu, Zul turut kagum dengan sentuhan pengarah bersama naskhah tersebut iaitu CL Hor yang disifatkannya sebagai seorang pengarah yang bijak dan terlalu teliti dalam setiap pergerakan para pelakonnya. "Hor gemar mencungkil sisi baru seseorang pelakon sehingga pada satu ketika itu saya termenung sekejap. Dia akan minta kita buat perkara yang kita tidak boleh buat untuk menampakkan kelainan. Dia tidak mahu lakonan yang biasa. "Meskipun dia berbangsa Cina, cara dia mengangkat naskhah ini untuk kelihatan seperti filem antarabangsa sangat hebat. Di sebalik itu, ciri-ciri kemelayuan masih terus dikekalkan," luahnya. Kebajikan pelakon Mengulas tentang layanan yang diberikan sepanjang menjalani penggambaran filem Haq, Zul melahirkan rasa kagum dengan produksi tersebut yang amat menitikberatkan kebajikan pelakon-pelakonnya.
"Memang antara yang terbaik. Saya juga cukup kagum apabila pengarah turut menjaga karakter yang ada dalam naskhah itu kerana sebelum ini, ada sesetengah produksi yang mungkin terlepas pandang soal itu. "Mereka bukan daripada pengkarya filem, tetapi mereka memberikan layanan yang selayaknya kepada semua orang. "Apa yang paling mengujakan saya ialah pembikinan filem itu berlangsung dalam keadaan yang sangat berdisiplin. Bila penggambaran sedang dijalankan, tiada pun suara-suara lain yang akan kita dengar selain daripada suara pengarah," katanya lagi. Barangkali sudah puas membicarakan naskhah Haq, Zul mendedahkan satu lagi fasa bakat yang dimilikinya iaitu penulisan skrip dan pengarahan Katanya, dia akan cuba untuk mempelbagaikan bakat yang dimiliki dalam kepompong dunia lakonan dan atas sebab itu, dia mengambil pendekatan untuk cuba menghasilkan skrip dan mengarah telefilem. "Setakat ini, saya sudah menghasilkan tiga skrip dan telefilem iaitu Rambong, Unjul Nak Jadi Orang dan Inang Di Bumi Kerbau. "Saya juga sangat aktif dalam drama, jadi apa salahnya saya cuba benda yang baru," jelasnya. Namun begitu, Zul menekankan bahawa fokus utamanya dalam industri hiburan masih lebih cenderung ke arah bidang lakonan dan dia akan terus-terusan berlakon sehingga bila-bila. "Saya akan terus berlakon sampai bila-bila tidak kira filem atau drama dan akan terus mencuba untuk melakukan sehabis baik selagi khidmat saya diperlukan," tutur pelakon itu. | ||
Posted: Vidya jadi avatarVIDYA BALAN PARA peminat filem Bollywood bakal menyaksikan aktres, Vidya Balan beraksi dalam satu lakonan watak 'avatar' menerusi filem terbaru berjudul Dirty Picture. "Ia tidak lebih berani daripada ini," beritahu Vidya. Filem itu mengisahkan kehidupan Silk Smitha yang merupakan salah seorang siren seks popular pada pertengahan tahun 80-an di dalam industri perfileman India Selatan. Dia turut terkenal dengan sikapnya yang berani. Penggambaran filem Dirty Picture yang akan dijalankan dalam masa terdekat turut dibintangi oleh Nasseeruddin Shah. Kedua-dua pelakon itu pernah digandingkan bersama menerusi filem Ishqiya. Vidya yang pernah meraih beberapa kejayaan terutama menerusi filem terakhirnya No One Killed Jessica, yakin bahawa watak Silk Smitha amat menarik dan tidak banyak beza dengan watak yang pernah dipegangnya sebelum ini. "Saya perlu bekerja keras bagi menghidupkan karakter Silk Smitha kerana ia tidak mempunyai persamaan dengan watak sebenar saya. "Tetapi watak yang diberikan itu sungguh menarik kerana ia amat berbeza dengan diri saya. Saya sungguh teruja," jelasnya bersungguh-sungguh. | ||
Projek amal Hero Malaya sukses Posted: Projek amal Hero Malaya suksesOleh FAIZAL SAHARUNI SKUAD Hero Malaya membuktikan barisan artis juga punya masa untuk membuat amal. PADA awalnya, kamar sembang mendapat jolokan Hero Malaya yang diwujudkan sekitar Disember 2010 menerusi BlackBerry Messenger (BBM) oleh pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi, 48, menjadi wadah golongan artis lelaki tanah air berbual dan berkongsi cerita antara satu sama lain. Laman itu diisi dengan 20 pengikut antaranya ialah Fazley Yaakob, Zahid AF2, Erry Putra, Farish Aziz, Adi Fashla, Alif Satar, Altimet, Nas T, Imran Ajmain, Kamal Adli, Zizan Raja Lawak, Maulana, Zahiril Adzim, Fizo Omar, Shaheizy Sam, Zoey Rahman, Riz Ainuddin, Syafie Naswip dan Iqram Dinzly. Bermula sebagai platform bersembang kosong, Aznil akhirnya menjana idea bagi menjadikan Hero Malaya sebagai kumpulan selebriti yang aktif menjalankan aktiviti kebajikan. Semua bermula apabila Bob meletakkan status di laman Twitter miliknya dengan menulis dia menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan bantuan wang berjumlah RM60,000 bagi menampung kos hospital. Rentetan itu, Aznil dan ahli Hero Malaya mengadakan pertemuan untuk membincangkan hal itu. Dan tanggal 28 Januari lalu mencatat momen paling indah Hero Malaya apabila buat kali pertama menyelenggara kerja amal dengan kerjasama Carrefour (Wangsa Maju). Ia bertujuan membantu salah seorang ahlinya, Bob Kuman bagi menampung kos hospital demi mengubati penyakit obesitinya. "Sebaik saja menubuhkan Hero Malaya, selang beberapa hari kemudian saya cuba menghubungi Pengarah Pemasaran & Komunikasi Carrefour Malaysia dan Singapura, Low Ngai Yuen bagi menerangkan hasrat sebenar kami untuk mengadakan kerja amal dengan mendapatkan khidmat bantuan Carrefour. ALTIMET (kanan) antara Hero Malaya yang turun padang untuk kerja amal. "Tidak mencuri waktu panjang, hanya dua jam diperlukan oleh Yuen memberi kata persetujuan untuk pihaknya terlibat sama pada program kebajikan ini. Carrefour bermurah hati memperuntukkan wang tunai sebanyak RM60,000 bagi membantu kami mengumpulkan dana bagi disumbang kepada Bob. "Lantaran itu, saya dan ahli Hero Malaya terus bersetuju untuk melakukan tugas amal dengan menjual kek, roti dan limau sambil bertugas di bahagian kaunter Carrefour bermula pukul 3 petang hingga 8 malam. Ia menjadi pengalaman cukup menyeronokkan buat kami," jelas Aznil sambil tersenyum puas sewaktu ditemui usai melakukan kerja amalnya itu. Menyentuh tentang kejayaan sulung Hero Malaya menjalankan kerja sosial, beritahu Aznil, buat masa ini, pihaknya belum bercadang untuk menambah bilangan ahli tambahan pula kamar sembang itu hanya mampu memuatkan tidak lebih daripada 30 ahli pada satu-satu masa sebagai sebuah kumpulan. "Hero Malaya sebagai kamar sembang sekadar ada kapasiti sebanyak 30 ahli. Insya-Allah, kami amat alu-alukan penyertaan anggota baru selepas ini. Namun kini, biar kami bekerjasama dengan ahli sedia ada tambahan pula telah serasi bersama dengan 20 individu ini sejak beberapa bulan lalu. "Yang pasti, Fazley banyak membantu saya dalam hal ini bersama ahli lain. Saya anggap Hero Malaya sebagai permulaan awal buat kami bagi meluaskan kegiatan kebajikan selepas ini sambil sentiasa mengangkat moto - Yang Susah Kami Tolong, Yang Senang Jangan Sombong, singkap Aznil lagi. Bob terharu Bob yang hadir berkerusi roda dilihat amat terharu dengan bantuan rakan-rakan Hero Malaya sehingga sanggup melakukan kerja amal di Carrefour atas nama dana disalur sebanyak RM60,000. Tidak hanya itu, dia juga menerima wang saku hasil derma kilat dikumpul oleh pengunjung pasar raya. MARI beli sambil beramal. Barangkali itu yang bermain di benak barisan selebriti ini. Dalam nada separa sebak sambil tersenyum gembira, Bob mengaku tidak mampu meluah dengan kata atas bantuan Hero Malaya dan masyarakat yang ingin melihat dia kembali pulih seperti sedia kala. Itu semangat positif ditunjukkan oleh golongan artis terhadap insan yang memerlukan bantuan. "Sebetulnya, saya tidak bermaksud untuk menulis status di Twitter ini bagi meraih simpati daripada orang lain. Saya sekadar meluah apa yang terbuku di hati kerana membayangkan bagaimana pula jika perkara sama berlaku kepada artis atau orang lain sekiranya mereka tidak ada wang mencukupi. "Saya bersyukur kerana masih boleh bekerja dan mencari wang sebanyak RM60,000 bagi menampung kos rawatan di hospital selepas menderita penyakit ini beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, Aznil dan teman-teman Hero Malaya pula memberi kejutan kepada saya dengan melakukan kegiatan amal di Carrefour. "Terus-terang, saya tidak menyangka langsung kawan-kawan Hero Malaya sanggup berkorban sehingga ke tahap ini semata-mata ingin membantu selepas membaca Twitter saya. Sekali ingin diberitahu, saya terharu dengan bantuan serta sokongan ditunjukkan oleh mereka," ungkap Bob dalam nada perlahan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |