Utusan Online - Hiburan |
Posted: Harap Tahun Arnab bawa tuahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SUDAH menjadi kelaziman setiap kali menyambut Tahun Baru Cina, penerbit prolifik ini akan menghabiskan masa cuti di kampung kelahirannya di Pekan Jabi, Segamat, Johor. Kata David Teo, sejak dia merantau ke Kuala Lumpur 26 tahun lalu, belum pernah sekali pun dia terlepas menyambut perayaan itu bersama keluarga meskipun sibuk dengan tugasnya sebagai seorang penerbit filem dan drama. Baginya, Tahun Baru Cina merupakan saat yang ditunggu-tunggu setiap tahun kerana itulah masa terbaik baginya untuk dihabiskan masa bersama bapa, adik-beradik dan ahli keluarga yang lain. Namun, jelas David, masanya bercuti bergantung kepada tilikan yang dibuat terlebih dahulu oleh bapanya menerusi sebuah buku lama berusia lebih 1,000 tahun yang merupakan milik keluarganya sejak turun-temurun. "Selepas menilik dan membacanya, barulah bapa akan memberitahu masa yang sesuai untuk saya kembali bekerja dan memulakan operasi syarikat. Semuanya bergantung kepada tahun itu sendiri dan ia amat berbeza setiap tahun. "Sebagai contoh, ada satu tahun itu, saya hanya mula bekerja pada hari ke-10 selepas menyambut Tahun Baru Cina. Untuk Tahun Arnab ini pula, saya akan mula bekerja pada hari keenam. Keseluruhannya, tahun ini saya akan bercuti selama enam hari bermula 2 Februari lalu. "Dalam erti kata lain, semuanya adalah kerana feng sui bagi memastikan tahun ini akan mendapat keberkatan dan tuah," katanya bersungguh-sungguh ketika ditemui dalam satu sesi fotografi di kediaman mewahnya di Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Turut tidak ketinggalan dalam sesi fotografi itu ialah lima pelakon wanita yang bernaung di bawah Metrowealth International Group (MIG) iaitu Intan Ladyana, Diana Amir, Faith Zakie, Mon Ryanti dan Norliana Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Yana. Seperti mana tradisi keluarga lain setiap kali menyambut kedatangan Tahun Baru Cina, begitu juga dengan David yang mempunyai rutin tersendiri dalam menyambut perayaan itu. Cerita David, sehari sebelum Tahun Baru Cina, dia bersama adik-beradiknya seramai lapan orang akan berkumpul di rumah bapa mereka untuk upacara sembahyang sebelum makan besar yang merupakan agenda utama perayaan itu. "Kemudian, selepas semuanya sudah selesai, barulah, upacara pemberian angpau akan mengambil tempat. Memang sudah menjadi satu tradisi bahawa angpau tidak boleh diberikan jika upacara sembahyang belum dilakukan. "Ketika inilah, kemeriahan itu cukup terasa dengan riuh-rendah adik-beradik dan sanak-saudara yang lain. Itulah yang membuatkan perayaan ini cukup bermakna buat saya di samping dapat bersama dengan bapa saya," ujar bapa kepada empat orang cahaya mata iaitu Ruby, 18; Jason, 17; Jackhu, 10, dan Jehan, 5, itu penuh semangat. Cerita David lagi, hari pertama Tahun Baru Cina memang dihabiskan hanya untuk keluarga sebelum pintu rumah bapanya dibuka kepada tetamu yang datang berkunjung pada hari kedua. Ketika itulah, kata David, seluruh ahli keluarga tidak akan menang tangan melayan tetamu yang hadir terutama rakan-rakan baik bapanya. "Kawan-kawan bapa saya datang bukan keseorangan sebaliknya mereka hadir bersama keluarga masing-masing. Mereka bukan hanya datang untuk berjumpa dengan bapa saya tetapi mahu bertemu dengan saya juga (ketawa). "Peluang itu diambil oleh mereka untuk bergambar dengan saya dan memang kemeriahan itu benar-benar terasa. Tetamu yang hadir pula semuanya berbilang kaum dan kerana itu, sambutan Tahun Baru Cina untuk keluarga kami memang meriah," ujar David yang merupakan anak ketujuh daripada lapan adik beradik. Walau bagaimanapun kata David, amalan kunjung mengunjung yang pernah menjadi tradisi keluarganya satu ketika dulu kini hanya tinggal kenangan sahaja selepas ibunya meninggal dunia. "Lagipun, kebanyakan saudara di sebelah ibu saya juga ramai yang sudah tiada. Jadi, kami sudah tidak mengamalkan budaya itu. Sewaktu ibu masih ada, ia merupakan acara wajib untuk kami sekeluarga," katanya menyingkap kenangan lalu. Bukan itu sahaja, sejak memulakan operasi MIG 10 tahun lalu, tidak pernah sekali pun David mengarahkan semua proses penggambaran dihentikan sementara hanya kerana dia menyambut Tahun Baru Cina. Bagi David, ia merupakan perniagaan dan siapa tahu ia akan membawa tuah kepada setiap projek filem atau drama itu. "Sebagai contoh, filem Remp-It dan Adnan Sempit semuanya menjalani penggambaran ketika musim Tahun Baru Cina dan hasilnya, ia memberikan pulangan yang cukup baik untuk syarikat saya. "Untuk Tahun Arnab ini, sudah pasti saya mengharapkan tuah dan kegemilangan yang berterusan untuk syarikat saya. Jika mengikut feng sui, Tahun Arnab juga dikatakan tahun yang akan memberikan kecemerlangan untuk semua orang. "Jika tahun lalu yang merupakan Tahun Harimau telah memberikan keuntungan kepada saya sehingga MIG menyumbang RM42 juta daripada jumlah kutipan tiket keseluruhan menerusi 11 filem yang ditayangkan, sudah pasti saya mahu ia berganda untuk tahun ini. "Setakat ini MIG sudah menyiapkan 10 buah filem. Kami mensasarkan 19 judul akan ditayangkan tahun ini," ujar David yang mula mengorak langkah sebagai penerbit filem menerusi filem Syukur 21 arahan Eddie Pak pada tahun 2000. Dua filem terbaru MIG yang sedang menjalani penggambaran ketika ini adalah Pertiga dan Bini-Biniku Gangster serta sebuah drama bersiri, Zoo. Dalam kerancakan berbual dengan penerbit filem yang dianggap paling berjaya dalam industri perfileman tempatan itu, sesekali dia mengusik isteri tercinta, Jane, yang turut pasang badan untuk sesi fotografi pada tengah hari itu. "Tengoklah baju isteri saya. Semuanya baru dan belum pernah saya tengok dia pakai baju ini. Gara-gara untuk fotografi, dia sanggup beli baju baru (ketawa). "Saya dan Jane juga tiada masalah setiap kali menyambut Tahun Baru Cina kerana kami sama-sama anak jati Johor," kata David sambil mengusik Jane sehingga isterinya itu melirik senyum manja kepadanya. Begitu juga dengan anak-anaknya, semuanya sedondon mengenakan pakaian baru berwarna merah yang merupakan warna membawa tuah kepada kaum Cina. Walaupun sudah bergelar seorang jutawan dan hidup serba mewah, David tidak mahu mendabik dada mahupun bermegah dengan apa yang dimilikinya hari ini. Bagi David, setiap rezeki yang diperolehinya bukan untuk dirinya seorang tetapi ia adalah untuk dikongsi bersama-sama dengan mereka yang bertungkus lumus menjadikan setiap filemnya sukses. "Memang dari dulu lagi sejak saya melibatkan diri dalam bidang perniagaan jualan langsung, saya akan berkongsi rezeki dengan stokis serta agen saya. Setiap kali Tahun Baru Cina, saya pasti akan memberikan sesuatu untuk mereka. "Begitu juga dengan mereka yang terlibat dalam MIG. Jauh di sudut hati saya, kalau diizinkan Tuhan, saya mahu melihat setiap seorang daripada mereka dapat menjadi jutawan," ucapnya tanpa selindung. | ||
RM5 juta untuk golongan kreatif Posted: RM5 juta untuk golongan kreatifOleh HASNURUL MOHAMED NORman (enam dari kiri) bersama Mohd. Som (tujuh dari kiri) bergambar bersama sebahagian ahli RIM yang hadir mendengar taklimat Tabung Industri Kreatif oleh Bank Simpanan Nasional. Penggiat seni tanah air tidak kira sama ada terbabit dalam bidang penerbitan filem, drama mahupun muzik berpeluang membuat pinjaman yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM5 juta. Pinjaman daripada Tabung Industri Kreatif yang diwujudkan sejak Disember 2010 itu juga adalah untuk golongan artis yang bernaung di bawah syarikat-syarikat rakaman besar. Menurut Pengerusi Persatuan Industri Hiburan Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim, objektif utama tabung itu diwujudkan adalah bagi membantu golongan kreatif meningkatkan lagi industri hiburan khususnya industri muzik tanah air. "Ini adalah satu platform dan ruang yang disediakan oleh kerajaan dengan kerjasama BSN bagi membantu golongan penerbit dan kreatif untuk mengembangkan skop perniagaan dan bidang kreatif masing-masing. "Pinjaman yang ditawarkan tidak banyak birokrasi, mudah dan fleksibel yang mana pinjaman minimum sebanyak RM50,000 boleh dibuat,'' katanya selepas majlis taklimat berkenaan Tabung Industri Kreatif oleh BSN di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selaku Pengerusi RIM, Norman memberitahu, adalah penting semua ahli RIM dan dalam industri mengetahui tentang wujudnya tabung tersebut. Walaupun adalah satu perkembangan yang sihat apabila artis yang merakamkan album mempunyai inisiatif untuk menjual album secara digital namum katanya, sekiranya mereka mahu menghasilkan satu video yang berkualiti, pinjaman boleh dibuat menerusi tabung berkenaan. Katanya lagi, selaras dengan visi kerajaan yang mahu meningkatkan kualiti dalam industri kreatif maka setiap ahli RIM dan golongan kreatif yang merasakan diri mereka layak untuk membuat permohonan pinjaman, perlu tahu cara-cara untuk memohon. "Bagi memberi penjelasan lebih lanjut mengenai tabung ini, kita adakan taklimat. Bagi ahli-ahli RIM dan mereka yang tidak tahu cara memohon, pihak BSN akan memberikan penjelasan," katanya. Sementara itu, pada sesi taklimat, Timbalan Presiden Tabung Industri Kreatif BSN, Mohd. Som Abu memberitahu, sebaik sahaja Bank Negara memberi kelulusan untuk memulakan tabung tersebut, beliau mendapat dua proposal yang ingin membuat pinjaman. "Kedua-dua proposal itu adalah untuk mengadakan konsert secara tertutup dan pihak kami sedang meneliti proposal berkenaan,'' katanya ketika memberi taklimat kepada 40 ahli RIM yang hadir. Mohd. Som berkata, mereka yang layak untuk mendapatkan pinjaman daripada tabung tersebut ialah golongan yang terlibat dalam audio visual dan media dan daripada kalangan orang yang kreatif dari segi rekaan. Selain golongan tersebut, jelasnya, kalangan mereka yang berkecimpung dalam seni dan kraf serta teater juga layak jadi peminjam. "Jika ada di kalangan media cetak yang menjurus ke arah penerbitan dan penyiaran, mereka juga boleh memohon. "Pendek kata, asalkan pemohon ini adalah orang kreatif, tiada kekangan untuk mengemukakan pinjaman,'' ujarnya. Beliau turut memberitahu, sebelum sesuatu permohonan pinjaman itu diluluskan, terlebih dahulu pemohon perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Jelasnya, setelah permohonan lengkap dengan sokongan dokumen dan setelah semakan dibuat, nama pemohon tiada senarai hitam, KPKK akan mengadakan satu mesyuarat dan pemohon perlu datang untuk buat pembentangan. Katanya lagi, secara mudah, ada dua peringkat sebelum permohonan diluluskan. Pertama, ia perlu melalui KPKK yang mana permohonan itu akan mengambil masa dalam seminggu untuk diteliti. "Peringkat kedua ialah setelah KPKK luluskan, pihak kami BSN akan meneliti pula permohonan berkenaan dan mengambil masa dalam seminggu dua untuk meluluskan. "Tetapi kalau ada kes berat, kita mengambil masa 30 hari bekerja untuk meneliti permohonan. Ini adalah permintaan KPKK," katanya. Beliau berkata, setiap pinjaman yang diluluskan tidak akan membebankan peminjam kerana mereka mempunyai masa antara satu sehingga lima tahun untuk membayar balik pinjaman. "Kalau peminjam tidak mampu untuk membayar balik pinjaman setiap bulan, mereka boleh bincang dengan kami dan bayaran boleh dibuat tiga bulan sekali. "Kalau itu pun sukar kerana pulangan yang diperolehi oleh peminjam tidak menguntungkan, kita akan kurangkan jumlah yang dimohon kerana kita tidak akan beri pinjaman yang membebankan,'' jelasnya. Katanya, setiap pinjaman akan disertakan dengan kontrak yang perlu ditandatangani dan pemberian wang akan diberi kepada peminjam secara berperingkat-peringkat. "Sebagai contoh, peminjam minta RM50,000, kita akan bagi RM25,000. Bakinya kita tunggu dulu kerana kita perlu tengok berapa kemampuan peminjam untuk bayar balik," katanya. Beliau berkata, orang perseorangan tidak layak untuk memohon. Justeru, bagi mereka yang ingin menjadi peminjam, dinasihatkan menubuhkan syarikat atau perkongsian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |