Berita Harian: Hip |
Posted: 01 Feb 2011 11:45 PM PST Hip PERJALANAN ke Langkawi sememangnya meletihkan kerana terperuk berjam-jam di dalam perut bas namun sebaik menjejakkan ke pulau legenda yang punya banyak keunikan, segala rasa gundah dan lesu seakan terbang bersama bayu laut yang menyapa. Tidak hairan, 35 anggota rombongan dari Kuala Lumpur termasuk artis dan pemenang peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 teruja untuk 'mengenali' pulau itu dengan lebih dekat. Tiga personaliti popular yang turut menyertai percutian eksklusif selama empat hari tiga malam itu ialah pelakon Lisa Surihani, Shaheizy Sam penyampai Hot FM, Faizal Ismail malah masing-masing ialah antara finalis ABPBH musim ini. Sudah pasti yang paling gembira tentu saja dua pemenang GBB, akauntan, Badiuzaman Mohd Noor, 32 dan pembantu juru akaun, Marina Mohd Roslan, 28, yang mengakui seronok apabila berpeluang merasai pengalaman melancong dengan orang popular.Selain memenangi pakej pelancongan tajaan POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO), penyokong setia ABPBH turut mendapat ganjaran lebih awal iaitu melaram bersama busana sentuhan pereka popular dan berjalan di permaidani merah beriringan dengan barisan selebriti ketika ABPBH lalu. Terima kasih juga kepada MIG Talent dan Hot FM kerana memberi pelepasan sepenuhnya kepada Lisa, Sam dan Faizal untuk percutian selama tiga hari ini. Badiuzaman berkata, percutian seumpama itu cukup bermakna buat pengikut industri seni kerana dapat mengenali artis kesayangan lebih dekat dan pada masa sama meneroka keindahan destinasi pelancongan dalam negara yang sebenarnya cukup hebat.
Bagi Marina, peluang yang awalnya dianggap tidak ubah seperti percutian lain sememangnya meninggalkan nostalgia manis apabila bertemu pelakon dan penyampai radio yang selama ini hanya dikenali menerusi televisyen, majalah dan akhbar. "Bersembang, berjalan beriringan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama mereka begitu menyeronokkan. Setiap seorang ada keunikan tersendiri. Macam Faizal, di luar dia sememangnya kelakar, Lisa lebih jelita di luar filem, manakala Sam yang gila-gila dalam Adnan Sempit sebenarnya agak pemalu. "Sebagai peminat saya kagum dengan keramahan, kesabaran serta sikap terbuka mereka yang bukan hanya melayani kami malah setiap kali berjalan-jalan, pasti ramai 'menahan' mereka untuk bergambar. Sekali pun letih mereka tidak pernah menghampakan," katanya. Pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri ini menjadi destinasi percutian keempat POTO Travel dan ABPBH selepas Perth, Australia bersama Erra Fazira; Bandung, Puncak dan Jakarta bersama Raja Azura dan Que Haidar, diikuti dengan Fara Fauzana, Saiful Apek serta Dafi ke Bali, manakala tahun lalu ke Singapura bersama Mawi, Diana Danielle dan Linda Onn. Sebaik sampai ke jeti Kuah dari Kuala Perlis, rombongan dibawa mengunjungi Kompleks Makam Mahsuri sebelum menjamu selera dengan hidangan masakan kampung bersama menu istimewa, ikan bakar, ayam masak asam pedas serta ulaman di Padang Mat Sirat. Semangat mahu menjelajah keseluruhan pulau yang dikatakan hampir menyamai keluasan Singapura itu merangsang tenaga peserta meneruskan perjalanan untuk menakluk Gunung Mat Cincang menaiki kereta kabel yang letaknya 45 kilometer dari Kuah. Rupa-rupanya rasa seronok yang bersarang dalam hati peserta tidak dirasai Faizal kerana penyampai radio yang sudah tiga kali berturut-turut menyandang gelaran Penyampai Radio Popular itu sebenarnya gayat berada di tempat tinggi!
Sememangnya itu antara program wajib bagi setiap pelancong kerana pulau berstatus bebas cukai itu menawarkan barangan yang cukup berpatutan dibandingkan tempat lain dan seperti biasa, coklat dan minyak wangi menjadi pilihan rombongan GBB. Aktiviti hari kedua juga cukup menarik iaitu penjelajahan ke tiga pulau kecil iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah kerana seperti yang dimaklumkan pemandu pelancong, tidak lengkap ke Langkawi jika tidak berkunjung ke sana. Paling menarik pastinya ke Pulau Dayang Bunting. Seunik namanya, ia turut dihuni monyet kecil yang jika salah percaturan - memberi makanan sesuka hati dikerumuni bagai seorang 'superstar' namun sedari awal peserta sudah dimaklumkan 'larangan' itu. Begitupun, Faizal, Sam dan Lisa hanya sekadar menaiki gondola air bukannya mandi seperti kebanyakan pengunjung tetapi peluang berada di antara lokasi wajib Langkawi yang indah panoramanya tidak dilepaskan untuk merakamkan gambar kenangan. Gelagat Lisa, Faizal dan Sam beraksi di atas bot ketika melawat Pulau Beras Basah untuk menyaksikan burung helang makan, memang melucukan tetapi mendebarkan. Bahkan aksi mereka turut menarik perhatian pelancong lain. Seperti lokasi lain, ketiga-tiga mereka diserbu peminat. Paling menyeronokkan adalah aktiviti Explorace GBB yang diadakan di Dataran Lang pada sebelah petangnya. Walaupun matahari terik memancar, anggota rombongan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan begitu bersemangat tetapi kemenangan akhirnya berpihak pada kumpulan Sam. Ketika itu gelagat peserta cukup menghiburkan malah demi mahu mendapatkan seberapa banyak markah untuk bergelar juara, ada yang sanggup 'menjual' artis yang juga ketua kumpulan mereka sebagai tukaran kepada barangan cenderamata seperti dikehendaki penganjur! Percutian terhebat! BAGI Lisa pengalaman percutian bersama peminat menerusi GBB ini antara yang terhebat pernah dirasai kerana ia mendekatkan lagi artis sepertinya dengan mereka yang sentiasa berada di belakangnya, tanpa sebarang jurang. "Saya pernah mengikuti promosi bergerak ABPBH serta pelbagai acara lain dengan peminat namun perasaannya tidak sama kerana menerusi GBB, kita lebih intim - bersembang, makan dan melakukan aktiviti bersama yang membuatkan keakraban itu lebih terasa. "Jika mendapat peluang sebegini pada masa lain, saya tidak akan melepaskan kesempatan diberi apatah lagi bercuti dengan rakan lain terutama Sam dan Faizal," kata Lisa yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2010. Faizal yang sentiasa membuatkan anggota rombongan tidak kering gusi dengan telatahnya pula mengakui kunjungan ke Langkawi mengingatkannya dengan tragedi tsunami kerana ketika bencana itu, Faizal dan keluarganya bercuti di pulau terbabit. "Kalau dulu saya membawa pulang memori menyedihkan, rumah ditenggelami air dan mendengar satu nyawa melayang dibaham tsunami, kunjungan kali ini menghadirkan kenangan indah yang diisi dengan hilai tawa selain berkongsi cerita dengan peminat. "Bagi saya tidak kira dalam atau di luar negara, berlibur dengan teman mampu mengeratkan hubungan malah meluaskan lagi rangkaian persahabatan kerana kita dapat mengenali teman baru," kata suami dan bapa penyayang itu yang tidak ketinggalan membawa keluarganya. Hero Adnan sempit yang bakal tampil dengan lima filem tahun ini, Sam, berkata sepanjang tahun lalu dia belum lagi berehat daripada menjalani penggambaran sekali gus peluang bersama GBB digunakan sepenuhnya untuk 'lari' daripada kesibukan kerja. "Selama ini saya hanya terperap di bilik selepas penat bekerja atau sesekali keluar dengan kawan tetapi dapat bercuti dengan peminat adalah pengalaman baru buat diri saya. Nampak di filem memang saya macam bertih jagung tetapi hakikatnya saya agak pemalu dan harap-harap program seumpama ini mendekatkan lagi saya dengan mereka. "Jika tiada aral atau terikat dengan jadual penggambaran, saya berhasrat mengikuti Jelajah ABPBH musim ini sebagai tanda penghargaan di atas sokongan peminat hingga meletakkan saya sebagai antara finalis kategori Pelakon Filem Lelaki Popular," kata Sam yang ditemani ibunya, Khaty Fauziah dan anak buahnya, Mohd Azrin Samzy Fuzzette, 10. CORAT-CORET
|
PMF akan diperluas ke seluruh negara Posted: 01 Feb 2011 03:04 PM PST Hip PANGGUNG Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman menayangkan semula filem lama menerusi Program Merakyatkan Filem yang dilancarkan lima tahun lalu. LIMA tahun lalu, Program Merakyatkan Filem (PMF) dilancarkan dengan harapan filem tempatan akan lebih dekat di hati penonton. Meskipun kebanyakan filem yang ditayangkan ialah judul klasik yang pernah menjengah pawagam sekitar era 60-an hinggalah 90-an, namun siapa sangka sambutan yang diterima tetap menggalakkan. Sepanjang tempoh itu, lebih 30,000 penonton hadir menyaksikan tayangan percuma yang di adakan di Panggung Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur itu. Bukan saja mahu menyemai semangat mencintai filem nasional tetapi ia juga bagai mengimbau nostalgia buat peminat apabila kembali menyaksikan filem yang pernah mereka tonton suatu ketika dulu. Berdasarkan jumlah penonton yang hadir untuk acara yang diadakan pada Sabtu terakhir setiap bulan itu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menjadi tunjang utama program itu cukup berpuas hati dengan pencapaian program terbabit.Justeru, untuk mempertingkatkan lagi program ini, Timbalan Ketua Setiausaha (kebudayaan) kementerian berkenaan, Datuk Mohamed Mohd Daud menyarankan supaya PMF diperluaskan ke seluruh negara. "Apabila PMF ini dilancarkan, objektif kami adalah untuk menjadikannya sebagai agenda pembangunan seni budaya dan warisan di negara ini. Bahkan, ia turut membantu usaha kementerian untuk menjayakan gagasan 1Malaysia yang diterjemahkan menerusi kehadiran pelbagaikan kaum, lapisan umur dan agama. "Melihatkan sambutan yang diberikan penonton, saya menyarankan agar program PMF dapat diperluaskan ke seluruh negara. Saya yakin, ia pasti mendapat sambutan yang baik juga," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-5 PMF serta tayangan filem muzikal romantik, Azura.
Katanya, kementerian juga sudah mengenal pasti beberapa panggung di seluruh negara yang boleh dijadikan gelanggang untuk program PMF. "Untuk negeri yang tidak mempunyai pawagam, mungkin kita akan menggunakan konsep wayang pacak. Lagipun sebelum ini sudah terbukti wayang pacak tetap mendapat sambutan apabila ia digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan amanat kerajaan," katanya. Tambah Mohamed, apabila semangat cintakan filem tempatan sudah mula bercambah dalam jiwa penonton, tidak mustahil matlamat untuk filem Melayu mencapai kutipan jualan tiket yang tinggi akan tercapai. "Saya lihat penonton sekarang sudah kembali berminat menyaksikan filem tempatan. Tahun lalu saja, seramai 9 juta penonton ke pawagam menyaksikan penayangan 29 filem cakera tempatan. Berdasarkan jumlah itu, kutipan diraih industri meningkat sebanyak RM76 juta. "Jadi saya harap FINAS akan terus mempergiatkan promosi mereka supaya pencapaian ini dapat dikekalkan sampai bila-bila," ujarnya. Antara filem menarik yang disediakan sepanjang tahun ini bagi menyemarakkan lagi program terbabit ialah Rozana Cinta 87 pada 28 Februari, Perjanjian Syaitan (28 Mac), Adik Manja (30 April), Madu Tiga (29 Mei), Rentak Desa (25 Jun), Dendam dari Pusara (24 September), Fantasi (29 Oktober), Guru Badul (26 November) dan Balik Kampung (31 Disember). Pada majlis itu, penonton turut dibawa mengimbau kenangan silam apabila Lan Kristal mempersembahkan lagu Azura, serta berduet bersama Ogy menyampaikan lagu Sandarkan Pada Kenangan. Coliseum kekal antik, klasik SUATU ketika dulu, Panggung Coliseum pernah menjadi tumpuan ramai apabila kebanyakan filem hebat dan bertaraf blockbuster ditayangkan di situ. Malah, jika ada majlis pratonton filem terbaru, pawagam berkenaan yang menjadi pilihan.
"Ini semua berlaku kerana pada masa itu filem Melayu mengalami zaman kejatuhan.
Sejak dia bertugas di pawagam terbabit lebih sedekad lalu, Sofie berkata, Coliseum sudah mengalami proses pengubahsuaian sebanyak dua kali. "Bagaimanapun, proses itu tidak mengubah struktur klasik yang ada pada panggung ini. Kami masih mengekalkan nilai antik yang ada meskipun usianya sudah hampir mencecah satu abad. kerusinya masih lagi yang asal dan kaunter tiket, masih lagi menggunakan kaedah manual," cerita Sofie yang mula bekerja di situ sekitar 1997. Mengenai kutipan tertinggi yang pernah dicapai pawagam terbabit, Sofie memberitahu, filem Sivaji The Boss lakonan Rajnikanth berjaya melakar sejarah itu. "Filem itu berjaya mengutip jumlah jualan tiket sebanyak RM700,000 ketika ditayangkan pada tahun 2007. Setiap hari tayangannya penuh dengan penonton. Perkara itu berlanjutan sehingga sebulan. Memang ia mencatat sejarah tersendiri buat pawagam ini," cerita Sofie mengenai pawagam yang mempunyai satu panggung serta boleh menempatkan seribu penonton dalam satu-satu masa itu. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |