Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Remy, Maya tiada cintaMEMANG sejak hari pertama angin kencang yang membawa khabar Remy Ishak dan Maya Karin bercinta, kedua-duanya menentang keras gosip tersebut. Bagi Remy dan Maya, tali yang terikat antara mereka hanya bersimpul atas dasar pelakon profesional. Tidak lebih daripada itu. Keintiman yang terbit antara mereka hanya untuk menjiwai teater Natrah. Namun ia disalah tafsir lantas menjadi satu gosip yang tiada berpenghujung. Sehingga akhir tahun lalu, Remy mula dikaitkan dengan 'isteri'nya dalam Nur Kasih, Tiz Zaqyah dan Maya sendiri rapat dengan salah seorang trio KRU, Yusry Abdul Halim. Maka lenyaplah kisah cinta dongeng antara Remy dan Maya. Namun kini nampaknya 'api cinta' mereka bagai bersemarak semula. Malah kedua-duanya langsung tidak menafikan hal tersebut. Tetapi kata mereka, api cinta yang menyala itu hanya untuk sebuah naskhah filem bernama Cun!. Dalam filem arahan Osman Ali itulah mereka merasa erti cinta seperti yang dihebohkan khalayak sebelum ini. Maya yang membawakan watak gadis desa bernama Luna Latisya dalam filem tersebut meluahkan rasa terujanya memandangkan watak yang dilakonkan kali ini agak berbeza dengan watak-watak sebelumnya. "Secara ringkasnya, Luna adalah seorang pengacara rancangan gosip yang berjaya dalam industri hiburan tanah air. Kemudian telah berlaku satu insiden sehingga menyebabkan dia lari ke sebuah kampung. "Apa yang menariknya, watak yang saya lakonkan dalam filem ini tidaklah terlalu gedik seperti dalam Pisau Cukur dan lawak yang dilakukan juga tidak slapstik," ujarnya yang mengakui cukup selektif memilih tawaran berlakon. Tambah Maya, jika sebelum ini dia sering melakonkan watak-watak yang berakhir dengan kesedihan seperti kehilangan insan yang tersayang atau cinta yang tidak kesampaian, kali ini dia dapat merasakan satu kepuasan dalam filem tersebut. Ujarnya, selain menganggap watak yang dimainkannya itu satu cabaran baru, dia turut gembira kerana jalan cerita filem itu berakhir dengan penamat yang menggembirakan setelah berjaya memiliki lelaki idamannya. Mengenai pengalaman menarik yang dilalui sepanjang penggambaran, Maya menceritakan apa yang paling tidak dapat dilupakan adalah babak yang memerlukannya menunggang seekor kerbau. "Bayangkan kerbau yang saya harus tunggang itu bersaiz besar dan memiliki tanduk yang panjang. Perasaan takut memang ada kerana takut ditanduk, tetapi itu adalah antara pengalaman yang paling menyeronokkan. REMY tidak kekok menyuap makanan untuk Maya. "Selain itu, saya berasa sangat seronok sepanjang tiga minggu berada di Alor Star, Kedah. Memang pada masa itu saya rasa tenang kerana dapat lari daripada kesibukan kota," ujarnya. Remy yang memainkan watak sebagai Atan pula memberitahu bahawa pada asalnya dia tidak dapat berlakon dalam filem arahan Osman Ali tersebut kerana sudah terikat dengan beberapa projek lain. "Mulanya saya terpaksa menolak tawaran yang diberikan kerana saya terlalu sibuk. Jadual lakonan saya pada masa itu memang padat dan saya risau tidak dapat memberikan komitmen sekiranya menerima tawaran tersebut. "Kemudian saya dapat tahu projek untuk menghasilkan filem tersebut telah ditunda. Mungkin sudah menjadi rezeki saya apabila ditawarkan sekali lagi setelah melihat gandingan mantap saya bersama Maya dalam teater Natrah," ujarnya. Tambah Remy, sepanjang berlakon dalam filem itu dia tidak berhadapan dengan masalah yang besar terutama untuk membentuk keserasian bersama Maya kerana pernah berlakon bersama-sama. Biarpun watak sebagai Atan memerlukannya bercakap menggunakan loghat utara, namun dia tidak tidak berdepan kesukaran kerana pernah bersekolah di Kedah selama sembilan tahun sebelum ini. "Apa yang mencabar adalah untuk membentuk karakter Atan dalam filem Cun!. Lagipun ini adalah percubaan pertama saya berlakon dalam filem bercorak komedi setelah sering diberikan watak serius," ujarnya. Keluar topik tentang pengalaman berlakon dalam Cun!, Maya yang ditanya tentang kesediaannya untuk kembali berkahwin pantas memberitahu dia belum bersedia untuk hidup berumah tangga semula. Namun duta produk Innershine ini tidak menafikan dia menjadi buruan ramai lelaki yang ingin cuba mengisi kekosongan hatinya itu. Maya belum sedia "Bohonglah kalau saya cakap tidak ada lelaki yang cuba mendekati saya. Memang ada yang mengajak untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius, tetapi saya menolak dengan cara baik. "Saya akan berterus-terang dengan mereka dan memberitahu yang saya masih belum bersedia lagi. Buat masa ini saya ingin lebih fokus kepada kerjaya sahaja," ujarnya. Menurutnya lagi, ketika ini dia sedang berdebar menantikan kelahiran album terbarunya selepas kali terakhir menghasilkan album kira-kira tujuh tahun yang lalu. Ujarnya lagi, komposer yang terbabit dalam pembikinan albumnya itu ialah Audi Mok dan Azlan Abu Hassan. Lebih istimewa, ada di antara lagu-lagu dalam album berkenaan yang menceritakan tentang kisah hidup dirinya. SERASI bersama. Maya dan Remy intim seperti pasangan kekasih. "Kalau boleh saya tidak mahu bercerita dengan lebih lanjut tentang album ini. Segalanya tentang album berkenaan akan saya ceritakan pada majlis pelancarannya nanti," ujarnya yang enggan mengulas lanjut. Remy tak cinta Tiz Kesempatan bercakap tentang kisah peribadi juga diajukan kepada Remy yang cukup sukar ditemui lewat kebelakangan ini kerana jadual kerjanya yang cukup padat. Tentulah topik yang dilontar adalah tentang hubungan intimnya dengan Tiz Zaqyah. Tidak mahu hubungannya terus menjadi teka-teki di kalangan para peminat, Remy akhirnya bersedia membuat kenyataan setelah dilihat lebih banyak berdiam diri apabila kontroversi mengenai dirinya timbul. "Rasanya ramai pihak yang sudah salah erti mengenai hubungan saya dan Tiz. Sebenarnya hubungan kami memang baik sebagai kawan dan tidak dinafikan kami memang pernah keluar bersama dengan rakan-rakan lain. "Cerita saya dan Tiz tinggal serumah adalah tidak benar sama sekali. Mungkin cerita ini timbul apabila melihat kami berdua membeli barangan kelengkapan rumah di Ikea, sedangkan kami beli barang rumah masing-masing," terangnya. Jelas Remy lagi, apa yang lebih mengejutkannya apabila ada yang membuat cerita kononnya Tiz sanggup terbang ke Terengganu semata-mata untuk bertemu dengannya yang sedang menjalani penggambaran di negeri tersebut. Menurut pelakon yang semakin meningkat naik itu, memang dia sengaja mengambil sikap untuk berdiam diri sahaja apabila timbul pelbagai cerita negatif yang membabitkan dirinya. Menurutnya, dia sebenarnya memang malas untuk memberi sebarang komen kerana merasakan tidak perlu sebarang kisah peribadinya diceritakan kepada semua orang. "Dahulu bila saya keluar dengan ramai kawan-kawan lelaki ada yang menuduh saya seorang gay. Sekarang ini bila saya keluar dengan rakan wanita, orang kata saya kaki perempuan pula. "Selama ini saya tidak pernah membataskan pergaulan dan berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau berkawan dengan seseorang artis itu, saya tidak berkawan semasa berada lokasi penggambaran sahaja tetapi termasuk di luar lokasi," ujarnya. |
Dokumentari Sudirman di History Posted: Dokumentari Sudirman di HistoryOleh RONI HIDAYAT RIDWAN BARISAN tenaga produksi, ahli keluarga Sudirman dan wakil Astro bergambar pada majlis pelancaran dokumentari Sudirman Arshad. TANGGAL 22 Februari 1992 menyaksikan negara telah kehilangan satu permata yang cukup bersinar dalam industri hiburan tanah air iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Bagi generasi yang lahir pada era 90-an, mungkin mereka tidak terlalu mengenalinya. Ada segelintir yang mengenalinya sebagai seorang penyanyi sahaja rentetan lagu-lagu yang sering menjadi siulan seperti Merisik Khabar, Salam Terakhir, Balik Kampung serta banyak lagi. Namun siapa sangka kerana insan istimewa yang lahir pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang itu sebenarnya merupakan seorang peguam, penghibur, pelakon, penulis, pelukis, usahawan dan pengarang. Lebih menarik lagi, Allahyarham turut dikenali di kalangan pelbagai kaum di negara ini seperti Melayu, Cina dan India. Pernah membuat konsert secara percuma di Chow Kit Road, Kuala Lumpur dengan disaksikan 100,000 peminat serta dinobatkan selaku Penghibur Terbaik Asia ketika membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989, itu adalah antara kenangan paling manis untuk dikaitkan dengan penghibur yang cukup versatil itu. Bagi mengenang kembali individu yang pernah mengharumkan nama Malaysia itu, AETN All Asia Network telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan satu dokumentari khas berjudul Sudirman Arshad. Mendapat kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dokumentari berkenaan mengimbas kembali detik pahit dan manis serta liku-liku yang terpaksa dilaluinya sepanjang menjadi penghibur tersohor negara. Pengurus Besar AETN, Louis Boswell melahirkan rasa gembiranya apabila berjaya menghasilkan sebuah dokumentari penghibur terkenal yang pernah dilahirkan di negara ini. "Pada saya Sudirman adalah ikon rakyat Malaysia dan sudah tentu ramai yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi," ujarnya pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini. Bagi Gerard Benedict yang bertindak sebagai pengarah, apa yang dipaparkan dalam dokumentari berkenaan tidak terlalu tertumpu kepada kejayaan yang diraih oleh penghibur yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya itu. "Rasanya semua orang sudah tahu tentang kejayaan yang diraih oleh Sudirman sepanjang menjadi penghibur. Jadi kami lebih menumpukan kepada kisah pahit getir serta cabaran yang terpaksa dilalui oleh Sudirman sehinggalah namanya terkenal di peringkat antarabangsa," ujarnya. Menurutnya lagi, idea untuk menghasilkan dokumentari itu muncul pada 10 tahun yang lalu setelah berjumpa dengan beberapa individu yang rapat dengan Allahyarham seperti Habsah Hassan, Bahyah Mahmood dan Manan Ngah. Bagaimanapun, ia tidak dapat dihasilkan kerana beberapa sebab dan barulah kini ia dapat direalisasikan. Sesuatu yang agak menarik tentang penerbitan dokumentari Sudirman Arshad yang berdurasi selama sejam itu, sebenarnya tiada langsung penglibatan ahli keluarga Allahyarham. Sebaliknya, kisah yang dipaparkan adalah berdasarkan cerita daripada mereka yang agak rapat dengan Allahyarham. Bagaimanapun, dokumentari berkenaan masih lagi tetap menarik untuk ditonton. Kakak kepada Allahyarham, Datin Rodziah Arshad yang ditemui pada majlis pelancaran dokumentari itu memberitahu bahawa sebelum ini sudah beberapa kali dia dihubungi oleh pihak penerbit untuk meminta kebenarannya menerbitkan dokumentari tersebut. Tidak mahu diwawancara "Sudah banyak kali mereka menghubungi sehinggalah saya terpaksa mengalah dan bersetuju untuk ia diterbitkan. Namun saya beritahu mereka yang saya tidak mahu diwawancara dalam dokumentari ini. "Pada saya biarlah orang luar yang menceritakan tentang kisah Allahyarham daripada ahli keluarga sendiri. Kalau saya yang menceritakannya, tentu saya akan memujinya sahaja dan akan ada orang yang anggap saya seperti masuk bakul angkat sendiri nanti kerana dia itu adik saya," ujarnya. Menurut Rodziah, dia sendiri meluahkan rasa kegembiraannya setelah menontonnya dan tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir. Jelasnya, dia yakin dokumentari yang dihasilkan itu mampu menjadi salah satu bahan untuk masyarakat mengenali Sudirman dengan lebih dekat lagi. Malah, dia juga memberitahu bahawa mempunyai keinginan untuk menulis sebuah buku yang mengisahkan tentang kisah hidup adiknya. "Saya sebenarnya memiliki kebolehan untuk menulis dan sekiranya tergerak hati mungkin saya akan menulis cerita mengenai riwayat adik saya itu. Cuma bila hendak menulis tu, saya sendiri tidak tahu hendak memulakannya," ujarnya yang kini sudah berusia 68 tahun. Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai, 37, yang ditemui ketika majlis sama memberitahu sehingga kini ingatannya kepada pak cik kesayangannya itu tidak pernah luput. Sebagai seorang anak saudara yang paling rapat dengan Allahyarham, dia menyatakan bahawa dirinya sangat berbangga dapat memiliki seorang pak cik yang begitu penyayang dan sangat terkenal seperti Sudirman. "Ketika saya kecil dia banyak membantu saya dari segi pelajaran. Tidak dinafikan bahawa dia adalah sumber inspirasi kepada saya sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara," ujarnya. Kini Atai hidup bahagia di samping isteri tersayang, Mazlyn Mena Mustapha, 34, dan seorang anak bernama Mira Razman Azrai yang kini berusia tiga tahun. Untuk mengetahui lebih lanjut, penonton boleh menyaksikan dokumentari Sudirman Arshad yang akan mula disiarkan pada 20 Februari ini di saluran History 555 Astro pada pukul 10 malam. Manakala Siaran ulangannya pula pada 22 Februari (11 malam), 23 Februari (9 malam), 1 Mac (7 malam), 11 Mac (11 malam) dan 13 Mac (7 malam). |
Posted: Gong Li idaman Andy LauSALING mengagumi. Kolaborasi Gong Li dan Andy Lau diharap mamou membuat What Women Want laris di pawagam. GONG LI ialah satu nama besar yang mampu menarik jutaan penonton untuk mengisi kerusi di panggung wayang setiap kali wajahnya menjadi taruhan sesebuah filem. Bukan sekadar bersandarkan kecantikan fizikal, wanita kelahiran China yang kini merupakan rakyat Singapura itu turut membuktikan kredibiliti lakonannya menerusi pelbagai anugerah yang diraihnya. Malah, kerjaya lakonannya berkembang sukses apabila diberi kepercayaan berlakon dalam beberapa buah filem gred A Hollywood antaranya Miami Vice, Hannibal Rising dan Shanghai. Terbaru, wanita yang lahir pada tanggal 31 Disember 1965 itu muncul dengan filem romantik komedi yang diadaptasi daripada filem Hollywood lakonan Mel Gibson dan Helen Hunt, What Women Want. Menggunakan judul yang sama dalam versi China arahan Chen Dai Ming itu, Gong Li memegang watak Li Yi-Long iaitu seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengiklanan. Dia bergandingan dengan aktor terkenal Andy Lau yang menghidupkan karakter Fred Wang. Menurut Gong Li, karakter lakonannya itu sungguh mencabar kerana buat pertama kali dia melakonkan watak wanita moden China yang penuh dengan karisma dan bijak bergaya. "Ia lebih kurang sama dengan watak yang saya bawakan dalam filem Miami Vice, bezanya kali ini saya berlakon dalam filem China, bukan produksi Hollywood," ujarnya. Meskipun diadaptasi daripada naskhah Hollywood, namun ia masih menyuntik elemen realiti yang sedang berlaku di China. Katanya, karakter yang dibawakan menghadapi masalah sama seperti kebanyakan wanita berkarier di China iaitu untuk menyeimbangi antara karier dan kehidupan peribadi. "Disebabkan wanita di China terikat kuat dengan nilai-nilai tradisi, mereka terpaksa menjaga kedua-duanya, kerja dan keluarga dalam masa yang sama, yang mana ia satu hal yang sukar untuk mereka imbangi," jelasnya. Bagi menghayati karakternya itu, Gong Li menjalankan inisiatif sendiri dengan menemu bual beberapa orang CEO wanita di alam realiti. Apa yang memeranjatkan dirinya, kebanyakan CEO tersebut didapatinya telah terpaksa mengorbankan banyak perkara untuk mereka kekal maju dalam karier masing-masing. "Ada antara mereka terpaksa berputus asa untuk banyak perkara penting dalam hidup termasuk keluarga untuk mengekalkan status mereka dalam syarikat. Mereka juga terpaksa berlagak tegas pada kebanyakan masa dan mereka juga lakukan banyak perkara seperti lelaki," bicaranya. Selain itu, Gong Li turut menonton filem tersebut dalam versi Hollywood, malah berbincang dengan pengarah untuk menambah skrip supaya keserasian antara Andy dan dirinya lebih terserlah. Babak apabila karakter lakonannya itu dibuang kerja, menurut Gong Li, adalah babak paling mencabar dalam filem itu. "Perasaan kecewa dan pelbagai perasaan berkecamuk dalam jiwa harus dilontarkan. "Babak itu memerlukan karakter lakonan saya itu perlu membuat keputusan yang sukar. Dia tidak faham kenapa dia dipecat dan dia tidak bersedia untuk meninggalkan hubungan cinta yang baru sahaja bermula. Ia sangat mencabar walaupun nampak mudah," jelasnya. Dalam pada itu, Chen Dai Ming menjelaskan, dia memilih Gong Li untuk bergandingan denganAndy Lau disebabkan Andy sudah lama menyimpan hasrat untuk berlakon bersama Gong Li. Bukan itu sahaja, kata Dai Ming, Gong Li dilihatnya sebagai aktres yang paling dekat dengan karakter Li Yi-Long. "Kami berhubung dengannya ketika kami sedang menyiapkan skrip filem ini. Dalam kehidupan sebenar, Gong Li sangat berkarisma. Apabila kita memandangnya, dia seolah-oleh mempunyai daya tarikan seperti magnet. Usianya juga sangat bersesuaian dengan karakter sebagai CEO wanita berjaya," jelas Dai Ming. Filem What Women Want telah mula ditayangkan sejak 10 Februari lalu di seluruh negara. - HARYATI KARIM |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |