Adsense

Selasa, 15 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Karier bermula dengan tudung

Posted: 14 Feb 2011 07:44 AM PST

CERITA sensasi sering mengiringi perjalanan seninya. Dikaitkan dengan orang kenamaan, suami orang malah dilabel anak emas stesen tertentu. Tidak cukup dengan itu, teka-teki hubungannya dengan pelakon popular turut menjadi perhatian.

Sejak melangkah ke dunia lakonan melalui siri Cinta Medik arahan Prof Madya A Razak Mohaideen kemudian Enigma, nama Fouziah Gous mula mendapat perhatian. Selepas enam tahun, Fouziah terus mengukuhkan tapaknya dalam lakonan dengan memastikan watak diserahkan memberi kesan kepada penonton.


Dalam kata lain, Fouziah atau nama sebenar, Nor Fouziah Mohd Gous, 28, kini lebih selektif memilih watak kerana tidak mahu tampil dengan watak sama dan pernah dilakukan sebelum ini. Katanya, dia melangkah ke dunia lakonan tanpa asas kerana sebelum itu menjadi pramugari dan mengikut apa saja watak diberikan kepadanya.

"Tapi kalau tiada Prof Razak, tentu saya tidak dikenali seperti sekarang. Apabila sudah beberapa tahun menjadi pelakon dan berpeluang bekerja dengan pelakon hebat seperti Datuk Rahim Razali dan Rosyam Nor, timbul keinginan untuk menyelami dan memahami dunia lakonan itu.

"Dulu saya tidak diberi peluang pegang watak berat tetapi saya tahu mampu melakukannya dengan belajar memahami lakonan. Saya juga tidak kisah sering berlakon untuk drama televisyen ataupun filem.

"Bagi saya, apa yang lebih penting ialah karakter dan menantikan tawaran watak berat dan mencabar seperti masalah emosi. Saya suka mencabar diri saya dengan melakonkan watak yang belum pernah saya lakukan sebelum ini," katanya.

Pelakon jelita berdarah kacukan Melayu, Pakistan dan Cina ini meluahkan rasa bangganya kerana menjadi pilihan stesen TV Al Hijrah untuk watak utama drama 12 episod, Kala Terbit Cinta.

Drama terbitan Global Station Sdn Bhd dan arahan Amie Maziah itu disiarkan setiap Rabu, Khamis dan Jumaat sepanjang bulan ini. Turut berlakon, Adi Putra, Rozie Rashid dan Riezman Khuzaimi.


Katanya, sememangnya dia tidak mampu menolak tawaran membintangi drama ini kerana tahu ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi.


"Bagi saya, ia sesuatu yang berbeza dan mencabar. Saya juga difahamkan, stesen ini sangat mementingkan siapa pelakon yang menjayakan drama mereka dan mereka yang dikaitkan dengan kontroversi tidak digalakkan. Bagi saya, ini satu penghormatan besar buat saya.

"Walaupun perlu mematuhi syarat ditetapkan, saya tiada masalah. Cuma ketika babak saya tidak bertudung, pakaian tetap tidak boleh menampakkan bentuk badan dan saya cuba pakai baju longgar tetapi masih sesuai dengan watak Juliana yang digambarkan menjalani kehidupan bebas. Untuk nampak remaja, saya ikat rambut dengan skaf serta pakai subang besar bersama kardigan labuh atau pakai topi," katanya.


Kata Fouziah, watak bertudung sudah selalu dijayakannya tetapi kali ini berbeza kerana ada peraturan dan etikanya. Tudung dipakai hendaklah labuh menutup dada manakala pakaian pula tidak menampakkan bentuk badan.

"Saya cuba mewarnai watak saya untuk drama ini dengan mencari fesyen tudung dan pakaian sesuai mengikut peraturan ditetapkan. Saya banyak berjubah hitam tetapi cuba warnakan penampilan saya dengan tudung warna cerah seperti hitam dan merah.


"Lebih membanggakan, ada pihak yang sudi menaja tudung untuk kemunculan saya dalam drama ini. Butik Zaliana di Axis Atrium, Pandan Indah menghasilkan tudung khas untuk saya, siap dinamakan FG, sempena nama saya.


"Selepas ini saya akan menjayakan drama Tahajut Cinta arahan Erma Fatima yang memerlukan saya tampil berpurdah. Saya tidak sabar menantikan penggambarannya kerana ini sesuatu yang mencabar kerana orang tidak nampak ekspresi saya kerana berpurdah," katanya.


Fouziah juga menafikan dia menjadi kesayangan stesen TV3 sebagaimana diperkatakan orang kerana tidak banyak drama dijayakannya untuk stesen itu berbanding untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Pada awal kemunculan dulu, saya berlakon Enigma untuk slot Samarinda di TV3 tetapi selepas itu tidak banyak. Kalau ada pun, bukan watak utama seperti Spa Q dan tahun lalu Penunggu Gunung Raya," katanya.

Akuinya, penampilan bertudung juga sudah sinonim dengan lakonannya walaupun realitinya, tidak bertudung. Dirinya juga tahu bertudung itu wajib bagi setiap wanita Islam tetapi buat masa ini belum bersedia ke arah itu.


"Saya sedar banyak dugaan yang harus ditempuh apabila bertudung dan saya tidak mahu pakai tudung tetapi tidak kekal. Kalau pakai biarlah berterusan dan bukan pakai seperti fesyen.

"Niat bertudung memang ada tapi saya takut kerana sedar menjadi artis sering dijadikan contoh oleh masyarakat dan mahu jadi contoh yang baik. Saya sedar ia satu tanggungjawab besar dan saya belum berani mengambil risiko itu.

"Saya selalu ingat kata-kata ustazah mengatakan berdosa tidak pakai tudung tetapi lagi besar dosanya jika pakai tudung kemudian tidak memakainya," katanya.


Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, keinginan bertudung sudah timbul ketika di tingkatan lima dan sempat bertudung ketika itu. Malah sebelum menceburi lakonan, dia lebih dulu menjadi model menggayakan fesyen tudung untuk majalah.


"Alhamdulillah, rezeki saya bermula dengan tudung malah saya mula dilamar menjadi pelakon oleh Prof Razak ketika melihat gaya saya sebagai model bertudung dan kini saya sering diberi watak bertudung," katanya.

>PROFIL
NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
TEMPAT LAHIR: Hospital Kuala Lumpur (HKL)
STATUS: Bujang
KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic
KERJAYA: Model dan pelakon
DRAMA: Cinta Medik, Enigma, Demi, Sanggar Saadah, Qa'naah, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat dan SpaQ 2
FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa, Skrip 707
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Maulidur Rasul penuh pengisian

Posted: 14 Feb 2011 07:35 AM PST

TEMA sambutan Maulidur Rasul tahun ini 1Malaysia 1Ummah, disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan keberkatan. Kebanyakan daripada kita mengharapkan apa yang diutarakan akan menjadi ikutan.

Rasulullah menegaskan tunjang kepada kewujudan ummah terbilang diasaskan dengan penerapan nilai akhlak seperti sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?" (Hadis riwayat al-Tabrani).


Bahkan, tugas utama Nabi Muhammad s.a.w ialah menyempurnakan akhlak seperti dinyatakan Baginda dalam sabdanya bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak kamu" (Hadis riwayat Muslim).

Hari ini, kebanyakan warga seni berasakan pengisian membabitkan sambutan Maulidur Rasul semakin berubah. Ia diperkukuhkan dengan corak hiburan membawa lebih manfaat dan kebaikan. Seperti apa yang disarankan Rasulullah iaitu akhlak dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk nilai moral, etika dan adab.


Oleh itu karya dihasilkan juga banyak memberikan penekanan kepada memahami nilai murni dan perubahan sikap agar mampu membentuk masyarakat menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.


Penyanyi Norafizah Arifin atau Nora mengakui perubahan dalam pengisian rancangan di televisyen juga sudah banyak berubah. Malah cerita diketengahkan dalam kebanyakan drama memberikan penekanan kepada pengisian rohaniah. "Sepuluh tahun lalu kita dapat lihat kepekaan sedikit kurang. Namun tidak sekarang. Walaupun sambutan Maulidur Rasul lagi seminggu tarikhnya, tetapi ia sudah pun diuar-uarkan lebih awal menerusi promosi rancangan-rancangan menarik. Ia secara tidak langsung mengingatkan kita kepada sambutannya.

"Tambahan pula tahun ini ia bertembung dengan sambutan hari kekasih yang sebelum ini sering diraikan sehingga remaja kita ramai terpengaruh dengannya. Bagaimanapun, saya bangga melihat tanggungjawab sosial yang dilakukan kebanyakan stesen televisyen tempatan memberi tumpuan kepada sambutan Maulidur Rasul. "Banyak drama yang ditampilkan mempunyai pengisian yang bagus dan dirasakan mampu memberikan pengajaran dan peringatan kepada kita untuk memperbaiki akhlak dan menjaga peribadi seperti apa yang disaran Rasulullah. Begitu juga dengan rancangan hiburan disiarkan. Ia bukanlah hiburan kosong dan melalaikan semata-mata," katanya.


Menyentuh mengenai tema dipilih 1Malaysia 1Ummah, jelas Nora ia sangat sesuai memandangkan Rasulullah sendiri mempunyai akhlak terpuji yang boleh dicontohi bukan saja masyarakat Islam tetapi seluruh penduduk dunia. Ajaran Baginda sekiranya diikuti oleh semua pihak, akan membolehkan masyarakat hidup dengan aman dan makmur walaupun hidup berbilang bangsa dan pegangan.

"Di Malaysia, masyarakatnya pelbagai bangsa. Namun begitu, walaupun agama rasmi adalah Islam kita tetap menghormati semua pegangan. Saya mengharapkan begitu jugalah sebaliknya. "Dalam waktu sama, saya menyeru agar masyarakat Islam sendiri terus memantapkan diri daripada sudut ilmu dan perkukuh iman. Sekiranya itu dilaksanakan, nescaya kekuatan ummah dapat dicapai," katanya. Dalam membentuk akhlak seperti apa yang disarankan Rasulullah, ia harus dididik dari mula. Bagaimanapun ia bergantung kepada latar dan pengalaman hidup. Tambahan pula didikan diterima setiap orang adalah berbeza. Itulah yang ditegaskan Noraniza Idris yang banyak memperjuangkan muzik tradisional. Katanya, selepas merdeka kehidupan yang lebih mudah dijalani masyarakat terutama pengaruh yang diterima daripada luar menyebabkan jati diri dan akhlak mudah dipengaruhi.


"Untuk membentuk kembali asas jadi diri dan akhlak, setiap daripada kita harus kembali kepada asas. Apabila kita menyebut asas, sudah tentu ia berpegang kuat kepada agama dan pegangan. Rasulullah adalah contoh terbaik. "Namun dalam keadaan perkembangan teknologi dan kepesatan hidup yang sangat menekan manusia mudah lupa. Bagi memperingatkan kita, media dan hiburan boleh dijadikan saluran. "Setakat ini kita dapat lihat kebanyakan media mengetengahkan atau mengangkat tema yang bagus dan memberi pengajaran. Kebanyakan drama dan hiburan diisi sempena dengan sambutan Maulidur Rasul mempunyai penerapan yang baik. Ini satu perkembangan cukup baik dan meyakinkan," katanya.


Waktu sama sebagai anak seni, Noraniza turut melaksanakan tanggungjawabnya dalam mendidik generasi muda agar menerapkan nilai-nilai murni dalam diri juga memperbaiki akhlak.


"Produksi saya Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd sedang melaksanakan Akademi Tatih Seni Malaysia, peringkat negeri dengan kerjasama Jabatan Kesenian negara dan Kementerian Belia dan Sukan. Selain memberi penekanan kepada seni dan budaya, kami turut memberikan tunjuk ajar mengenai akhlak yang baik.


"Setiap kelas diadakan kami akan adakan ceramah mengenai perkara ini. Ia turut membabitkan semua bangsa. Pada saya apa yang dilakukan ini adalah bagi mengukuhkan asas jati diri dan akhlak di kalangan anak muda. Kerana mereka ini adalah pelapis kepada generasi sekarang dan ia penting untuk dilentur dari sekarang," katanya.


Sementara itu bintang muda yang semakin mencipta nama, Iqram Dinzly, berkata apabila sambutan Maulidur Rasul diberikan pendedahan lebih kepada masyarakat ia secara tidak langsung mengingatkan generasi muda sepertinya mengenai siapa mereka dan apa pegangannya.


"Tidak dinafikan bagi golongan muda seperti saya harus berhadapan dengan banyak cabaran yang turut mencabar keimanan. Sekiranya tersalah langkah ia boleh membuatkan seseorang itu hanyut. Apatah lagi sekarang ini pengaruh luar begitu banyak. "Seperti sambutan hari kekasih yang sebelum ini sering diperkatakan, tahun ini harinya berselang dengan sambutan Maulidur Rasul. Namun, mujur keraian perayaan yang boleh memesongkan akidah itu tidak diberikan pendedahan berlebihan. Kerana golongan muda mudah terikut dengan perkara yang melalaikan," katanya.


Iqram juga berasa bangga kerana pada sambutan Maulidur Rasul tahun ini, pengisian hiburan ditunjukkan di kaca televisyen mahupun drama membawa mesej yang bagus. Ia diharapkan dapat dijadikan pengajaran kepada mereka yang menyaksikannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.