Berita Harian: Hip |
Posted: 14 Feb 2011 02:57 PM PST Hip Fouziah Gous yakin satu hari nanti terus kekal bertudungINSAN yang bergelar artis juga turut mempunyai agenda tersendiri bagi menyemai perasaan cintakan Rasulullah sempena sambutan Maulidur Rasul. Itulah yang berlaku dalam sanubari Fouziah Gous apabila terlintas untuk bertudung. Tidak dapat dinafikan, niat untuk menutup aurat dengan mengenakan tudung secara rasmi memang wujud dalam naluri pelakon ini. "Seboleh-bolehnya saya tidak mahu jadi orang yang sekejap pakai dan sekejap buka tudung. Prinsip saya, kalau sudah memakai tudung, saya akan terus memakainya walau ke mana pun destinasi saya."Saya mahu memakai tudung dengan niat yang betul dan dengan izin tuhan suatu hari nanti saya akan pakai juga dan tidak akan meninggalkannya (membuka tudung) lagi. "Saya akui saya masih takut dan belum bersedia kerana sekiranya saya memakai tudung, saya mahu jadi teladan yang baik untuk dicontohi. Saya merasakan ia tanggungjawab besar apabila saya memakai tudung," kata Fouziah ketika ditemubual Hip baru-baru ini. Dalam sesi temu bual dan fotografi ini di Studio Hip di Balai Berita, Fouziah Gous atau nama penuhnya Nor Fouziah Mohd Gous, tampak lebih manis mengenakan tudung daripada biasa. Tidak dapat dinafikan, niat untuk menutup aurat dengan mengenakan tudung secara rasmi memang wujud dalam naluri Fouziah. "Peminat juga lebih gemar saya memakai tudung kerana sejak dulu lagi saya banyak menjadi model bertudung seperti untuk iklan Avon. Syukur, rezeki saya bertambah apabila saya memakai tudung," ujar Fouziah. Apatah lagi, seorang pengusaha butik, Koleksi Zaliana, ada menjahit dan menghasilkan rekaan tudung khas untuk Fouziah yang diberi nama FG, bersempena dengan singkatan namanya sendiri, Fouziah Gous. Bagaikan satu penghormatan dan tidak seperti gadis bertudung yang lain, Fouziah mendapat tajaan tudung khas dari Koleksi Zaliana ini untuk dipakai di dalam drama terbitan TV AlHijrah berjudul Kala Terbit Cinta. "Pada mulanya saya memang mencari satu rekaan tudung yang berwarna untuk dipadankan dengan jubah hitam yang sering saya pakai dalam drama Kala Terbit Cinta. "Selain mencari fesyen berlainan yang boleh diketengahkan, saya juga ingin menyelitkan warna di dalam drama ini. Saya cuba gabungkan satu fesyen yang boleh diterima ramai. Di sinilah saya menemui Koleksi Zaliana yang sudi memberi tajaan tudung kepada saya. "Saya berterima kasih kepada butik tersebut kerana memberi peluang kepada saya secara tidak langsung saya dapat mempromosikannya menerusi drama yang ditayangkan di TV AlHijrah ini," katanya yang kali pertama bekerja bersama TV AlHijrah. Drama Kala Terbit Cinta, gandingannya bersama Adi Putra bukanlah drama pertama yang memerlukan Fouziah menutup auratnya. Pelakon itu mengakui dia sudah banyak membintangi drama yang memerlukan dia memakai tudung dan ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepadanya. Selain Kala Terbit Cinta, Fouziah menerima tawaran berlakon drama Tahajud Cinta arahan Erma Fatima yang memerlukan dia berpurdah. Watak ini dianggap agak sukar untuk dibawa kerana dia harus pandai bermain emosi dengan menggunakan mata dan ini dianggap sebagai cabaran yang mendewasakan dirinya. Masih dalam pembelajaran Berbicara mengenai kerjayanya, Fouziah sedar dia masih di dalam proses pembelajaran dan masih mencari maksud sebenar lakonan yang bagus bagi mendalami apa saja watak yang diterimanya. Pemenang Pelakon Harapan Wanita Popular, Anugerah Skrin 2007 (ASK2007) yang sudah terbabit di dalam industri seni sejak 2006 ini, mengakui kini dia lebih matang dan bijak menjiwai watak kerana banyak yang sudah dipelajari sejak pembabitannya. Drama pertamanya yang diakui menaikkan namanya ialah, Cinta Medik pada tahun 2007. Gadis kelahiran Kuala Lumpur ini juga tidak lupa diri bahawa Prof Madya A Razak Mohaideen sudah banyak berjasa dalam menaikkan namanya di dalam dunia lakonan. Bermula dengan watak pembantu dalam filem Bujang Senang arahan sutradara tersebut, Fouziah terus dilamar untuk beraksi dalam beberapa lagi filemnya, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa, Skrip 7707, Dua Hati Satu Jiwa dan Ratu. Selain itu, Fouziah juga pernah bekerja dengan ramai pengarah yang berpengalaman antaranya Bade Azmi, Erma Fatima, Amy Maziah dan Rosyam Nor. Kini, Fouziah sibuk menjalani penggambaran drama bertajuk Maya Helina serta filem Hantu Bukit Cina, manakala Ratu adalah filem terbarunya yang akan ditayangkan dalam tahun ini. Tunai umrah sendirian Bagi sambutan Maulidur Rasul ini juga Fouziah tidak terlepas melipatgandakan amalan bagi meraih keberkatan seperti umat Islam yang lain. Sementara itu, mengagumi keberanian gadis ini kerana Fouziah pernah menunaikan umrah berseorangan pada Ramadan tahun lepas tanpa ditemani oleh kenalan mahu pun saudara terdekatnya. Ia adalah kunjungan kedua Fouziah ke Makkah di mana kali pertama pada 2009. Tujuan murni gadis ini adalah ingin merebut nikmat malam istimewa, lailatulqadar di sana. Ini adalah sikap yang perlu dicontohi bukan saja oleh artis malah seluruh umat Islam yang lain kerana sesungguhnya tiada yang mustahil dalam beribadah ke jalan Allah SWT. Justeru hendaklah kita menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh paling terbaik. NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous Tudung : Koleksi Zaliana, Axis Atrium Pandan Indah |
Posted: 14 Feb 2011 02:48 PM PST Hip JAMIL (tengah) bersama Syafiq (kiri) dan Bukhari pada majlis pelancaran program TV AlHijrah sempena sambutan Maulidur Rasul. BERTEMAKAN Andai Rasulullah Masih Ada, TV AlHijrah memperuntukkan sebanyak 54 jam bagi menyiarkan pelbagai program menarik sempena sambutan Maulidur Rasul yang disambut seluruh dunia hari ini. Selama sebulan, kesemua program terbabit disiarkan bermula 4 Februari lalu sehingga 5 Mac ini. Majlis pelancarannya yang disiarkan secara langsung menerusi program Assalamualaikum kendalian Syafiq Zulkafili, disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir baru-baru ini.Menurut Jamil, pendekatan yang dibuat dengan melancarkan sambutan selama sebulan bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk lebih menghayati perjuangan Nabi Muhammad. "Pendekatan utama yang dibuat adalah dengan mengarahkan semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan sambutan program Maulidur Rasul selama sebulan. Selalunya, masyarakat kita hanya menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal saja, dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa pada keesokan harinya. "Alhamdulillah semua agensi menyahut saranan itu dengan mengadakan pelbagai program, seperti ceramah, tazkirah, program kanak-kanak, selawat dan konsert daripada kumpulan nasyid dalam bentuk hiburan," katanya yang di Studio Digital TV AlHijrah baru-baru ini.
Jamil turut memberi penghargaan kepada stesen TV yang dikendali di bawah jabatannya kerana mengambil inisiatif yang drastik biarpun usianya baru mencecah dua bulan. "Fokus TV AlHijrah terhadap penyiaran program sempena Maulidur Rasul sudah bermula sejak 4 Februari lalu. Saya fikir 54 jam yang diperuntukkan itu waktu yang sangat panjang, apatah lagi jika diukur dengan usia TV AlHijrah sendiri yang baru bersiaran selama dua bulan. "Sebanyak 40 jam 30 minit diperuntukkan buat program tempatan manakala 13 jam 30 minit lagi untuk program antarabangsa," katanya yang berbangga apabila stesen terbabit mampu menyediakan sehingga 40 jam untuk siaran program tempatan, apatah lagi pada ketika peraturan lebih ketat harus dipatuhi dalam penghasilan program terbabit. Antara program yang disiarkan sepanjang sambutan keputeraan Nabi Muhammad kali ini termasuk dokumentari 13 episod Titian Ombak, Bicara, Assalamualaikum, Children of Heaven, KL Berselawat, Muhammad Utusan Terakhir dan Tamu Dari Hadramaut. Sementara itu, Jamil juga mengakui siaran TV AlHijrah belum dapat ditonton di beberapa negeri disebabkan kekurangan spektrum. "Saya akui memang siaran TV AlHijrah masih belum sampai ke seluruh negara disebabkan spektrum kita belum mencukupi. "Secara peribadi saya sendiri sudah menulis surat kepada Astro untuk membantu agar dapat keluar daripada masalah yang sering mendapat maklum balas daripada masyarakat ini. Perbincangan sangat positif dan Insya-Allah pada April kita dapat bersiaran bersama Astro," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |