Utusan Online - Hiburan |
Posted: Kejutan dan kejayaan manisOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
PADA awalnya, laluan kumpulan trio country, Lady Antebellum memang cukup cerah sementelah memenangi dua kategori utama iaitu Lagu dan Rekod Terbaik menerusi lagu popular mereka, Need You Now pada Anugerah Grammy Ke-53, malam Ahad lalu. Bukan itu sahaja, kumpulan yang dianggotai oleh Charles Kelley, Hillary Scott dan Dave Haywood itu turut mengungguli genre country dengan tiga trofi menjadi milik mereka termasuk Lagu Country dan Album Country Terbaik bagi lagu serta album mereka yang berjudul Need You Now. Dengan keunggulan mereka itu, ramai yang mula meramalkan Lady Antebellum akan mampu merangkul satu lagi kategori utama iaitu Album Terbaik bagi melengkapkan lagi kejayaan mereka sekali gus mencipta rekod baru Grammy. Malah, sewaktu Barbra Streisand dan Kris Kristofferson bersiap-sedia untuk mengumumkan pemenang bagi Album Terbaik, terpancar jelas di wajah Hillary Scott yang benar-benar mengharapkan gelaran itu menjadi milik kumpulannya. Namun, sudah menjadi resmi Grammy yang sentiasa penuh dengan kejutan, Lady Antebellum pasrah dengan kekalahan mereka kepada kumpulan Arcade Fire yang dijulang sebagai Album Terbaik yang mempertaruhkan album ketiga mereka, The Suburbs. Ternyata kejayaan Arcade Fire pada malam itu mengundang kejutan besar kepada semua pihak yang sebelum ini meramalkan penyanyi rap terkenal, Eminem yang akan memenangi Album Terbaik. Apatah lagi dengan kecemerlangan Eminem yang mendahului senarai pencalonan Grammy kali ini dengan 10 kategori berlandaskan albumnya, Recovery. Tanpa ragu Eminem memang menjadi calon kegemaran tahun ini. Namun begitu, Eminem tidak pulang dengan tangan kosong apabila dia berjaya memenangi dua kategori iaitu Album Rap dan Persembahan Solo Rap Terbaik. Seperti mana yang dikatakan tadi, kejutan memang tidak dapat lari daripada mana-mana acara anugerah waima di Hollywood sekali pun. Semua perlu akur dengan kehendak juri yang sememangnya lebih bijak dan layak menilai dalam menentukan pemenangnya. Pelbagai persoalan mula dibangkitkan oleh pemerhati dan peminat muzik selepas Arcade Fire memenangi anugerah yang menjadi idaman setiap karyawan muzik itu. Mereka mula meragui pilihan juri itu memandangkan album The Suburbs hanya dipertandingkan untuk satu kategori sahaja iaitu Album Muzik Alternatif Terbaik. Itupun Arcade Fire gagal memenanginya apabila tewas kepada kumpulan The Black Keys menerusi album Brothers. Malah, tiada satu pun lagu dalam album mereka tersenarai dalam dua kategori utama iaitu Rekod dan Lagu Terbaik yang sering kali menjadi petunjuk dan pelengkap kepada sesebuah album itu untuk dinobatkan sebagai Album Terbaik. Pemilihan album The Suburbs sebagai Album Terbaik dilihat mengulangi sejarah pahit yang pernah tercatat dalam direktori penganjuran Grammy sebelum ini. Siapa yang dapat lupa sewaktu album Two Against Nature milik Steely Dan memenangi kategori itu dengan menewaskan calon kegemaran iaitu album The Marshall Matters LP oleh Eminem pada tahun 2001. Begitu juga dengan kejayaan album River: The Joni Letters yang mengalahkan album Back To Black milik Amy Winehouse tiga tahun lalu. Semuanya kerana kedua-dua album itu bukan sebuah produk yang popular dan diterima secara meluas oleh pencinta muzik secara keseluruhannya. Malah, penjualan albumnya juga kurang memberangsangkan dan tidak langsung mencecah jualan sekurang-kurangnya satu juta salinan di Amerika Syarikat. Tetapi, keputusan sudah pun dilakukan. Biarpun pahit untuk ditelan, setidak-tidaknya Grammy telah melakukan satu anjakan baru dalam pemilihan Arcade Fire sebagai pemenang pada malam kelmarin. Pertamanya, Grammy kini mula mengiktiraf kumpulan muzik bebas dan merasakan mereka wajar untuk diberi pengiktirafan seperti mana artis arus komersialisme yang lain. Selain itu, kemenangan Arcade Fire sebagai pemenang Album Terbaik juga membuktikan sebuah kumpulan muzik yang album hanya terjual sebanyak 500,000 salinan juga mampu bersaing dengan artis popular lain yang memiliki rekod penjualan album melebihi satu juta. Itu menandakan produk dan kualiti yang terkandung dalam album mereka menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh para jemaah juri yang menganggotai Akademi Rakaman Seni dan Sains Kebangsaan (NARAS). Malam Grammy itu juga mengundang sebuah lagi kejutan apabila Esperanza Spalding memenangi kategori Artis Baru Terbaik mengalahkan calon popular, Justin Bieber. Memang ramai yang melopong mulut dan ternganga apabila nama Spalding diumumkan sebagai pemenang memandangkan namanya kurang popular. Mempertaruhkan muzik jazz, Spalding juga mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi jazz pertama yang diiktiraf sebagai Artis Baru Terbaik. Kini Spalding boleh berbangga apabila berdiri setanding dengan nama-nama seperti Mariah Carey, Bette Midler, LeAnn Rimes, John Legend, Christina Aguilera, Norah Jones dan Carrie Underwood. Benar, Bieber merupakan penyanyi yang cukup popular di dunia ketika ini. Tiada siapa yang mampu menidakkan fenomena yang telah dicetus oleh penyanyi kelahiran Kanada itu. Tetapi, kita memperkatakan tentang Grammy di sini yang meletakkan nilai kualiti dan estetika pada setiap mana-mana artis mahupun produk untuk dijulang sebagai pemenang. Masih ingat bagaimana Britney Spears tewas kepada Christina Aguilera pada tahun 2000 untuk Artis Baru Terbaik? Sedangkan ketika itu Spears lebih popular daripada Aguilera yang ternyata memiliki bakat lebih hebat daripada Spears. Begitu juga ketika Jonas Brothers dicalonkan dalam kategori itu dan ditewaskan oleh penyanyi dari United Kingdom, Adele, dua tahun lalu. Biarpun gagal menggenggam trofi Album Terbaik, Lady Antebellum terus mencipta sejarah sebagai pemenang terbesar malam itu dengan lima trofi. Kejayaan mereka itu mengulangi sejarah yang pernah dicatatkan oleh rakan seperjuangannya mereka, kumpulan Dixie Chicks yang memenangi lima trofi Grammy pada tahun 2007. Memperjuangkan muzik country, Lady Antebellum mengikut jejak penyanyi seperti Taylor Swift yang diterima baik oleh pencinta muzik arus perdana. "Kami pernah terfikir adakah laluan yang kami pilih ini silap? Tetapi ternyata karya kami diterima dengan cukup positif oleh masyarakat. "Memenangi Grammy untuk dua kategori utama ini benar-benar mengejutkan kami," ujar Scott mewakili teman-temannya. Penyanyi dan komposer terkenal, John Legend juga tidak kurang hebatnya apabila mengungguli kategori R&B dengan tiga kemenangan iaitu Album R&B Terbaik bagi album Wake Up!. Sementara itu dua lagu nyanyiannya iaitu Shine dan Hang On In There pula memenangi Lagu R&B Terbaik dan Persembahan Vokal R&B Tradisional Terbaik. Selain Legend, genre R&B juga memperlihatkan kehebatan Usher apabila memenangi dua kategori iaitu Persembahan Vokal R&B Terbaik bagi lagu There Goes My Baby dan Album Kontemporari Album Terbaik untuk album Raymond V Raymond. Untuk edisi kali ini, nama-nama seperti Usher, Justin Bieber, Jaden Smith, Lady Gaga, Bob Dylan, Barbra Streisand, Mick Jagger, Eminem, Dr. Dre, Rihanna dan ramai lagi telah mewarnai pentas Grammy dengan persembahan masing-masing. | ||
Gaya pasangan romantis Hollywood Posted: Gaya pasangan romantis Hollywood
MEMANG tidak dinafikan, setiap kali berlangsungnya majlis anugerah berprestij di Hollywood, ia merupakan sebuah keraian yang akan mengumpulkan semua karyawan mereka. Tidak kira sama ada majlis itu meraikan karyawan filem, muzik mahupun televisyen, kelibat artis Hollywood pasti akan kelihatan di setiap majlis tersebut.Setiap seorang daripada mereka akan hadir memberikan sokongan sekali gus membuktikan mereka tidak bersikap prejudis dalam memperjuangkan bidang hiburan yang diceburi.Begitu juga dengan Anugerah Grammy Ke-53 yang baru sahaja berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, malam Ahad lalu (Isnin, waktu Malaysia). Seperti biasa, karyawan seni Hollywood dari pelbagai lapangan seni telah membanjiri Staples Centre di mana tempatnya majlis pengiktirafan muzik tertinggi Hollywood itu berlangsung.Semuanya hadir pasang badan dengan busana yang menawan dan menarik perhatian setiap mata yang memandang.Untuk itu, Hits menampilkan gaya beberapa pasangan romantis Hollywood yang hadir memeriahkan acara karpet merah Grammy. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |