Adsense

Selasa, 15 Februari 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Amy, Asyraf raikan Maulidur Rasul

Posted:

Amy, Asyraf raikan Maulidur Rasul

Amy, Asyraf raikan Maulidur Rasul



SIAPA sangka juara program Imam Muda musim pertama Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan cukup meminati rocker terkenal, Amy Search. Pelawaan daripada Kosmo! untuk menggandingkannya bersama vokalis kumpulan Search itu sempena sambutan Maulidur Rasul diterima dengan penuh teruja meskipun diberitahu dalam masa yang agak singkat.

Kata Asyraf, dia sememangnya peminat Amy, justeru dapat bergambar dan bertandang ke rumah Amy tempat di mana lokasi sesi fotografi berlangsung tidak akan ditolaknya.

"Saya memang minat sangat dengan Amy Search. Lagu-lagu seperti Isabella dan Fantasia Bulan Madu merupakan lagu kegemaran saya," cerita Asyraf yang memperlihatkan sisi lainnya.

Sambung anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, ramai lagi mereka yang bergelar ustaz minat dengan kumpulan legenda itu, bagaimanapun, dia tidak pernah berkunjung ke sebarang konsert Search.

"Saya tidak pernah hadir ke konsert mereka. Tetapi saya memang minat lagu-lagu Search. Sebab itu bila diberitahu saya bergandingan dengan Amy Search dan datang ke rumahnya pula, saya memang tidak sabar.

"Pertama kali bertemu dengan Amy ketika saya dijemput ke program Datuk Fazillah Kamsah pada bulan Oktober tahun lalu, waktu itu saya tidak sempat bertegur dengannya. Jadi, bila dapat bersemuka dengannya, memang saya tidak sangkalah," luahnya penuh teruja.

Pagi Jumaat lalu, apabila mereka bertemu, biar untuk pertama kali, masing-masing teruja untuk bercakap tentang sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada hari ini.

Lebih menarik apabila kedua-duanya mempunyai persepsi tersendiri tentang sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W itu dengan Hari Valentine atau hari kekasih yang jatuh pada setiap 14 Februari, iaitu semalam.

Berbanding meraikan ulang tahun kelahiran nabi, sambutan hari kekasih lebih diagungkan oleh kebanyakan orang di seluruh dunia.

Menurut Asyraf yang hari ini berada di Pulau Pinang sebagai tetamu jemputan untuk sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, sambutan Maulidur Rasul seharusnya lebih disedari oleh golongan muda berbanding dengan Hari Valentine yang disambut oleh mereka yang beragama Kristian, semalam.


AMY mengajak Asyraf untuk berduet dengannya jika juara Imam Muda itu boleh menyanyi.


Tambahnya, kerana promosi yang sangat meluas dan kerap menyebabkan Hari Valentine lebih popular disedari berbanding dengan Maulidur Rasul.

"Maulidur Rasul hari untuk umat Islam memperingati hari kelahiran Rasulullah. Setiap hari kita harus ingat dan simpan dalam hati, jasa dengan pengorbanannya. Kenapa Hari Velentine lebih dipromosikan sebab ramai orang dapat untung melaluinya seperti jual bunga dan hadiah.

"Tetapi Maulidur Rasul tiada apa yang boleh ditukarkan kecuali ingatan serta doa. Saya berharap orang muda terutamanya, sambut dan sedar mengenai Maulidur Rasul kerana ada antara mereka yang tidak tahu bagaimana untuk berselawat kepada nabi.

"Ingatan kepada Rasul bukan hanya pada hari sambutan Maulidur Rasul tetapi harus setiap hari. Kita kena tanamkan rasa cinta dan sayang kita kepadanya sebagai umat Islam kerana tanpanya umat Islam tidak akan wujud seperti hari ini," katanya.

Sementara Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman pula, memberitahu, saban tahun dia akan meraikan ulang tahun kelahiran Rasulullah ini dengan caranya tersendiri.

Katanya, dia cukup banyak sejarah bersama kumpulan Rabbani. Jika dahulu, dia sering mengadakan persembahan sempena Maulidur Rasul bersama Rabbani dan ustaz Asri tetapi tahun ini dia tidak ke mana-mana.

"Saya banyak kenangan dengan ustaz Asri, dia mentor saya dan banyak memberi ilmu agama kepada saya. Sebab itu bila ada sahaja undangan untuk menyanyikan lagu-lagu ketuhanan, saya pasti teringatkan arwah," bicaranya sambil menghela nafas panjang.

Bagi Amy, Maulidur Rasul merupakan bulan dakwah untuk umat Islam mengingati Rasul junjungan kerana Nabi Muhammad S.A.W meninggalkan impak yang besar dalam dunia Islam.

"Kita kena sambut Maulidur Rasul lebih besar daripada hari lahir kita sendiri kerana ia menginsafi diri kita bagaimana Islam itu tersebar. Sebagai umat Islam kita harus berbangga kerana mempunyai Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin," terangnya bersungguh-sungguh.

Ucapnya lagi, sebagai seorang bapa kepada empat orang anak dia sering bercerita tentang Nabi dan Rasul kepada anak-anaknya sebagai cara untuk mereka mengingati dan menghargai Rasulullah.

"Saya sering berborak dengan mereka umpama bercerita kerana kanak-kanak suka dengan cerita. Bila mereka bertanya kita harus menjawab dengan sebaiknya. Itu antara cara saya menerapkan nilai-nilai cintakan Rasulullah kepada mereka," katanya.

Berduet


AMY dan Asyraf banyak berkongsi cerita tentang pengalaman mereka berkunjung ke tanah suci Mekah.


Selain berkongsi persepsi tentang sambutan Maulidur Rasul, bicara antara Amy dan Asyraf banyak tertumpu kepada topik haji dan umrah, memandangkan kedua-duanya telah menjejakkan kaki ke kota suci Mekah.

Asyraf ke Mekah mengerjakan haji pada musim haji yang lalu hasil hadiah kemenangan sebagai juara Imam Muda.

Sementara Amy, hampir saban tahun dia tidak akan pernah mahu melepaskan peluang menunaikan umrah.

Dalam rancak bertukar cerita tentang pengalaman masing-masing saat menjadi tetamu Allah, Amy tiba-tiba bertanya kepada Asyraf soalan yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Amy bertanya adakah lelaki muda yang warak itu mampu menyanyi. Soalan Amy disambut dengan malu oleh Asyraf: "Boleh, tetapi hanya suka-suka."

Amy kemudian menjelaskan, dia bertanyakan soalan tersebut kepada Asyraf kerana sewaktu Ustaz Asri masih hidup, arwah merupakan rakan duet untuk lagu-lagu ketuhanan bersamanya.

Malah mereka sempat merakamkan duet lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur bersama Rabbani.

Kini, selepas Ustaz Asri meninggal dunia, dia sedang mencari calon yang sesuai untuk menjadi rakan duetnya untuk lagu berjudul Meniti Titian Usang.

Menurut Amy, sebelum ini dia pernah mendendangkan lagu itu dalam sebuah majlis bersama dengan Ustaz Asri, bagaimanapun, mereka tidak sempat merakamkan lagi tersebut memandangkan Allah lebih menyayangi Ustaz Asri.

"Muziknya sudah ada, cuma kami tidak sempat rakam sahaja. Pernah menyanyikan lagu itu dan ramai orang yang terpegun. Saya sendiri menggigil-gigil ketika menyanyi lagu itu. Kalau ada orang yang sesuai, Insya-Allah, saya akan rakamkannya kerana ia sebuah lagu yang cukup indah dan memberi keinsafan kepada saya," tutur Amy.

Pelawaan Amy dibalas dengan huraian oleh Asyraf. Katanya: "Kalau diminta berduet dengan Amy Search memang saya tidak akan tolak.

"Tetapi ramai orang di luar sana yang tidak dapat terima seorang imam menyanyi. Bagi saya tidak ada masalahnya jika imam menyanyikan lagu-lagu ketuhanan. Jika peluang itu datang, saya akan terima dengan hati yang terbuka."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cinta Siti Zulaikha

Posted:

Cinta Siti Zulaikha

Cinta Siti Zulaikha


GANDINGAN DJ Pool dan Ani Mayuni diharap mampu menghidupkan Siti Zulaikha.


PERNAH dipertontonkan di Ipoh, Perak, pada tahun 2009, teater adaptasi dari naskhah asal srikandi, Siti Zubaidah - Siti Zulaikha kini kembali menemui peminat. Kali ini, teater bangsawan itu menampilkan kelainan termasuk mengenengah beberapa nama popular dunia lakonan.

Menariknya, teater Siti Zulaikha edisi kedua hasil penulisan oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia, Datuk Kamarul Airi Arifin itu dibikin dalam skala lebih besar termasuk menghadirkan sutradara baru yang juga seorang pelakon berbakat besar, Raja Azrey.

Melibatkan seramai 80 tenaga kerja termasuk pelakon, penari, pemuzik dan krew teknikal, Raja Azrey meluah keterujaan diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bagi merealisasi keseluruhan perjalanan teater Siti Zulaikha buat kali pertama.

Bercakap tentang transisi Siti Zulaikha agar tidak terlihat sama dengan pementasan sebelum ini, Raja Azrey memberitahu, dia mengaku memperlihat beberapa perubahan kepada naskhah itu. Cuma, pada waktu sama, format dan undang-undang karya bangsawan masih dikekalkan.

Selain kali pertama saya mengarah teater, Siti Zulaikha ibarat sebagai hasil yang tidak pernah didedahkan meluas kepada khalayak. Lantaran itu, cara pengolahan karya ini harus dilaksanakan sebaik mungkin sambil menunjukkan kepada audiens siapa Siti Zulaikha.

"Sebelum ini, perpaduan dalam persahabatan lebih ditonjolkan pada pementasan sulung. Justeru, kali ini, saya ingin menunjukkan lebih banyak elemen cinta dan kasih sayang," kata Raja Azrey sewaktu ditemui pada sidang akhbar teater bangsawan itu di ibu negara minggu lalu.

Bercakap tentang pemilihan DJ Pool yang menerajui karakter Sultan Zainal Ulung dan Ani Maiyuni (Siti Zulaikha), Raja Azrey melihat dua pelakon tersebut punya skil tersendiri berada di atas pentas teater sambil menyerapi semangat sebagai sultan dan srikandi dikenali ramai itu.

"Biarpun DJ Pool tidak memenuhi 100 peratus syarat saya, cukup hanya dia ada 50 peratus daripada apa diingini untuk mempamer watak ini. Malah, setakat ini, dia ada pakej lengkap berbanding pelakon lain tambahan pula vokal dimiliki sebagai deejay menjadi kelebihan buat dirinya.

"Selepas mengetahui kebolehan DJ Pool, saya tidak memandang orang lain bagi mengisi kekosongan watak ini. Lagipun, tiada salah kalau saya beri peluang ini kepada individu berbakat sepertinya," bahas Raja Azrey yang turut ada persepsi sama terhadap bakat heroin teater itu.

Meraih kesempatan bergelar pemain utama Siti Zulaikha, DJ Pool yang merupakan deejay radio KLFM itu sedang melakukan persiapan untuk membawa diri Sultan Zainal Ulung bergandingan bersama pasangannya, Ani.

"Saya anggap diri kosong sewaktu Raja Azrey menawarkan peluang untuk menjadi pemain utama naskhah terkenal ini. Malah, saya cuba mengosongkan diri sewaktu datang melakukan latihan agar tidak sama dengan watak-watak dizahirkan sebelum ini.

"Walau pada awal saya akui berdepan sedikit tekanan, kini, selepas melakukan latihan hari demi hari sambil mendapat tunjuk ajar daripada Raja Azrey, saya sudah bersedia untuk menyerap diri sebagai Sultan Zainal Ulung. Insya-Allah, saya akan beri yang terbaik," janji DJ Pool.

Sementara itu, Ani yang telah cukup sebati berada di gelanggang teater bangsawan menganggap naskhah Siti Zulaikha sedikit sebanyak menyediakan cabaran tertentu buat dirinya sementelah harus terlibat dalam adegan seni mempertahankan diri, silat.

"Sebelum ini, saya sering membawakan watak puteri. Kali ini, sebagai Siti Zulaikha, saya kena menjadi seorang wanita yang bersemangat kental selain perahsia dan kuat agama," ujar Ani yang bakal menyanyikan dua buah lagu baru dihasilkan khususnya buat teater Siti Zulaikha.

Teater Siti Zulaikha yang dihasilkan bagi mengangkat semula seni teater bangsawan tanah air dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Teater Klasik Perak dan Persatuan Rumpun Seni & Teater Shah Alam (Resam).

Selain DJ Pool dan Ani, Siti Zulaikha yang turut dibintangi oleh Azza AF, Khaty Azean, Eida Moin, Syukor Yon dan Shah Farid bakal dipentaskan di Auditorium Taman Budaya Negeri Melaka, Ayer Keroh, Melaka pada 26 dan 27 Februari ini pukul 8.30 malam. Masuk adalah percuma.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kejutan buat Eminem, Bieber

Posted:

Kejutan buat Eminem, Bieber

Kejutan buat Eminem, Bieber


KIRI: Milik kami. Para anggota kumpulan Arcade Fire meraikan kemenangan mereka merangkul Anugerah Album Tahun Ini.


DIA meraih pencalonan terbanyak, namun dia juga yang kalah dengan banyaknya! Entah kenapa raut wajah Eminem tampak seolah-olah seperti sedang cuba menyembunyikan debaran, keresahan dan kerisauan dalam dirinya. Langsung dia tidak kelihatan teruja.

Ia terserlah ketika dia naik ke pentas sewaktu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Rap Solo Terbaik.

Persoalan itu seolah-olah terjawab usai majlis Anugerah Grammy ke-53 yang di Staples Center di Los Angeles California, semalam.

Ini kerana daripada kesemua 10 pencalonan yang diraihnya, dan selain Anugerah Persembahan Rap Solo Terbaik, Eminem hanya mampu menang satu lagi anugerah iaitu Album Rap Terbaik.

Ini bermakna dia kalah dalam kesemua pencalonan bagi anugerah utama!

Justeru, adakah Eminem sudah dapat merasakan bahawa dia tidak akan menang banyak anugerah, khususnya untuk anugerah utama?

Ia sesungguhnya suatu kejutan mega buat umum, malah buat Eminem sendiri!

Keputusan Grammy kali ini sememangnya benar-benar di luar jangkaan apabila anugerah tertinggi Grammy iaitu Album Tahun Ini dimenangi kumpulan Arcade Fire yang sebelum ini hanya meraih tiga pencalonan.

Bagi anugerah tersebut, Arcade Fire yang kalah dalam dua pencalonan lain berjaya mengalahkan empat pesaing sengitnya iaitu Lady Gaga, Katy Perry, Eminem dan kumpulan Lady Antebellum.

Ia sesungguhnya suatu kejutan memandangkan Arcade Fire sudah dijangka akan kalah kepada salah seorang daripada empat pesaingnya itu terutama Lady Antebellum yang sebelum itu diumumkan sebagai pemenang lima anugerah lain.

Lady Antebellum sekali gus merupakan artis paling banyak meraih anugerah pada Grammy kali ini!

"Kami akan terus menghasilkan lagu-lagu terbaru kerana kami sukakan muzik," ucap vokalis Arcade Fire, Win Butler penuh teruja selepas naik ke pentas bersama anggota lain kumpulan itu untuk menjulang trofi yang disampaikan penghibur legenda, Barbra Streisand.

Gimik luar biasa

Kejutan pada tahap yang sama juga berlaku dalam kategori Artis Baru Terbaik.


AKSI hebat persembahan Jaden Smith (kiri) dan Justin Bieber di pentas.


Ini kerana ramai yang menjangka ia akan dimenangi ikon popular masa kini, Justin Bieber atau setidak-tidaknya rapper Drake yang turut tercalon dalam kategori itu.

Namun, anugerah tersebut muktamad menjadi milik penyanyi dan pemuzik jazz, Esperanza Spalding yang merupakan salah seorang penyanyi pujaan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Bieber merupakan antara calon terkuat dijangka menang anugerah tersebut. Ini kerana dia turut tercalon bagi kategori Vokal Album Pop Terbaik yang turut gagal dimenanginya apabila dia dikalahkan oleh Lady Gaga!

Bieber yang membuat persembahan di pentas Grammy kali ini bersama anak bujang aktor Will Smith iaitu Jaden Smith, selain turut berduet dengan mentornya, Usher bagaimanapun menerima dengan terbuka kekalahannya itu.

"Saya tumpang gembira untuknya (Esperanza Spalding), dan berharap ini tahun yang baik buat kariernya," ulas Bieber.

Spalding,26, dalam pada itu ketika diminta mengulas kejayaannya menewaskan Bieber berkata, Bieber dan peminat penyanyi berusia 16 tahun itu tidak sepatutnya kecewa dengan perkara itu.

"Lagipun saya dan Bieber mempunyai persamaan iaitu rambut kami sama-sama hebat," ujarnya berjenaka.

Namun, tiada yang dapat menandingi kehebatan Lady Antebellum yang dianggotai trio Charles Kelley, Dave Haywood dan Hillary Scott pada Grammy kali ini.

Bukan sekadar memonopoli dengan lima kemenangan daripada enam pencalonan yang diraih mereka, dua daripada kemenangan itu adalah untuk dua anugerah utama iaitu Rekod Tahun Ini dan Lagu Tahun Ini.

"Kami tidak mungkin lagi akan kembali mengalami momen seperti ini (menang lima anugerah) dalam karier muzik kami," ulas Kelley.

"Kami kini sepenuhnya terapung-apung. Kami kini di atas awan," ucap pula Scott.

Lady Gaga yang membuat gimik luar biasa pada acara karpet merah dengan bersembunyi di dalam kapsul 'telur' gergasi yang diusung empat lelaki gagah serta diiringi seorang wanita tinggi lampai pula merangkul tiga anugerah termasuk Anugerah Vokal Album Pop Terbaik.

Selain itu, penyanyi lain yang menang lebih daripada satu anugerah termasuklah David Frost, Jay-Z, John Legend, Alicia Keys, Usher, The Black Keys. Herbie Hancock, The Roots, T-Bone Burnett dan Bebe and Cece Winans.

Majlis anugerah dimeriahkan dengan persembahan hebat antaranya oleh Katy Perry, Lady Gaga, Rihanna, Mick Jagger, Muse, Eminem dan Lady Antebellum. - YUSMAN AWANG

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.