Adsense

Isnin, 14 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tiada niat kelirukan peminat

Posted: 13 Feb 2011 05:49 AM PST

BIARPUN sudah enam tahun bergelar anak seni, namun seperti ada 'sesuatu' yang menghalang penyanyi, pelakon dan pengacara, Nas Adila Mohd Dan, 24, untuk terus mengukir nama.

Nas Adila atau mahu dikenali dengan panggilan Adila, tidak mahu mengaku kalah. Sebaliknya, gadis dari Johor Bahru ini sentiasa meletakkan keazaman yang tinggi untuk berada dalam kelompok artis terkenal tanah air.


Bukan glamor yang dikejar sebaliknya membuktikan bakat dan kemampuan yang dimiliki. Selain berusaha tampil bersama karya berkualiti seterusnya mengukir nama dalam dunia seni.

Sememangnya, nama Adila belum meninggalkan impak. Namanya pernah naik seketika dek kisah putus tunang dengan lelaki yang dikatakan kerabat diraja Kedah. Penyertaannya dalam Akademi Fantasia (AF7) sedikit sebanyak membuatkan namanya diingati kembali.

Tapi semuanya tidak kekal lama. Biarpun rezekinya untuk bersinar ke peringkat yang lebih membanggakan belum tiba, ia tidak sesekali mendorongnya mengundur diri.

"Memang kalau diikutkan tempoh berkenaan agak lama. Angka bukan menjadi ukuran buat seseorang. Bukan semua boleh berjaya dalam bidang seni dalam tempoh yang singkat dan begitu juga sebaliknya.

"Sebagai rakan saya tumpang gembira dengan kejayaan orang lain dalam bidang seni. Namun, dalam masa sama saya juga cemburu dengan kejayaan yang dirai beberapa bintang realiti seperti Aizat dan Hafiz.

"Mungkin ada di kalangan artis yang bernasib baik mampu mengukir nama dalam dunia seni dalam tempoh yang singkat. Namun, ada juga di kalangan mereka yang berada dalam industri lebih sedekad, namun tetap tidak berjaya. Walaupun sudah berusaha gigih dan mencuba pelbagai cara.


"Saya percaya rezeki ada di mana-mana. Mungkin belum ada tuah saya. Apa yang saya lakukan sekarang, terus berusaha lebih gigih dalam kerjaya. Saya tidak mahu terlalu mengharapkan apa-apa. Sedikitpun saya tidak pernah rasa menyesal memilih bidang ini walaupun kadangkala agak berputus asa dengan keadaan.


"Saya menganggap bidang seni sebagai kerjaya yang serius. Malah, saya nekad menghasilkan karya yang berkualiti pada masa akan datang," katanya.

Adila pernah muncul dengan dua album, Kekasih Kerinduan berkonsepkan tradisional dan Istana Janji. Perubahan genre lagu antara sebahagian transformasi yang dilakukannya.

Single terbarunya, Bidadari Syurga ciptaan Koha dan Jay dipetik dari album EP yang dilancarkan awal tahun lalu, sudah bertukar genre muzik. Lagu itu terarah kepada pop dance. Selain lagu itu, dua lagu lain yang dimuatkan ialah I Love You dan Maaf.


"Sebelum menyertai AF7 lagi ramai yang tahu saya sudah menyanyi. Malah, sebelum ini saya kerap menyanyikan lagu dengan rentak irama Malaysia. Begitupun penampilan bersama lagu yang berentak pop dan rancak ini bukan untuk mengelirukan peminat. Sebalik percubaan tampil dengan genre yang mudah diterima ramai.

"Memang saya akui tidak ramai dan cukup sukar untuk mendapatkan sokongan daripada pihak industri seperti stesen radio dan peminat muzik ketika tampil bersama lagu tradisional beberapa tahun lalu.

"Begitupun, ia bukan bermakna saya mengetepikan terus irama tradisional sebaliknya saya masih menyanyi beberapa lagu tradisional di mana-mana majlis atas permintaan peminat," kata Adila yang turut tampil sebagai teraju utama dalam filem romantik komedi, Hello arahan AR Badul.

Pengacara program Agro Challenge (Astro Prima) bersama Tauke Raja Lawak memaklumkan pembabitan dalam lakonan sebagai menimba pengalaman baru. Begitupun keutamaan masih dalam bidang nyanyian.

Sememangnya dia tidak terlalu memilih soal watak atau tawaran sebagai pengacara program jika berasakan ia bersesuaian dan kelapangan waktu.


Adila membawa watak Ida, adik kepada Dr Shafiq lakonan Fizo Omar dalam filem Hello. Karakter Ida yang manja namun tegas cukup sesuai dengan penampilannya.

Dalam masa sama, Ida seorang yang penyayang dan sangat ambil berat mengenai abangnya.

Mengulas pengalaman terbabit dalam lakonan, dia memaklumkan banyak perkara yang dipelajari ketika terbabit dalam penggambaran filem terbitan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd itu.


"Tidak dinafikan minat dalam bidang lakonan semakin bertambah selepas terbabit dalam filem berkenaan. Berbeza dengan nyanyian lakonan memerlukan kesabaran yang tinggi. Memandang penggambaran membabitkan masa yang panjang.


"Disebabkan minat saya sanggup meluangkan masa di lokasi penggambaran. Buat masa ini, kebanyakan karakter yang ditawarkan kepada saya membabitkan penampilan biasa seperti gadis remaja, gadis kolej dan lemah lembut. Saya sentiasa menantikan watak yang lebih mencabar," katanya.

>PROFIL
NAMA SEBENAR: Nas Adila Mohd Dan
NAMA KOMERSIAL: Nas Adila
ASAL: Johor Bahru
UMUR: 24 tahun
TARIKH LAHIR: 20 September 1986
STATUS: Bujang
PROFESION: Penyanyi, pengacara dan pelakon
ALBUM: Kekasih Kerinduan (2004) dan Istana Janji (2006)
DRAMA: Intan Asmara, Cahaya Deepavali, Menantu 3 Rasa, program muzikal Krismas, Agro Challenge (pengacara)
FILEM: Jangan Pandang Belakang Congkak, Hello

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tarik 600 hadir berhibur

Posted: 13 Feb 2011 05:47 AM PST

PENGANJURAN acara Malam Bersama Bintang yang diadakan pada setiap minggu kedua setiap bulan terus mencatat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Pada malam Jumaat lalu, acara ini masih dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), bertempat di Hulu Klang, Selangor. Seperti sambutan lalu, orang ramai tidak melepaskan peluang hadir pada acara ini untuk berhibur dengan persembahan artis dan menonton wayang secara percuma.


Menariknya, acara ini yang bertembung dengan program realiti, Raja Lawak musim ketiga diadakan secara langsung di studio Finas, tidak menghalang orang ramai berpusu hadir memenuhi perkarangan Dataran Karyawan. Seramai 600 pengunjung hadir berhibur pada acara Malam Bersama Bintang kali ini bertemakan Rock Balada. Acara ini dimeriahkan dengan persembahan tiga artis popular, Siti Sarah Raisuddin, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ain dan Zul Handy Black.

Band Finas dianggotai enam pemuzik dan tiga penyanyi, membuka tirai persembahan pada malam itu yang bermula jam 8 malam. Menyusul selepas itu, Ain diikuti Siti Sarah dan Zul.


Memberi tarikan, Siti Sarah menyampaikan lagu popular Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Salam Terakhir dan Basikal Tua. Pemilihan lagu penyanyi kecil molek itu nyata menarik minat pengunjung yang turut menyanyi bersama-sama.


Tidak terkecuali, persembahan Zul selepas itu menggamatkan suasana menerusi lagu popular, Kau Yang Bernama Seri dan Ronda Jaket Biru.

Di sebalik persembahan nyanyian, promosi filem baru, Kembar Siang terbitan MIG Production bersama pelakon, Intan Ladyana dan Zul diadakan sebelum tayangan filem Khurafat arahan Syamsul Yusof.


Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim berkata, penganjuran kali kedua untuk tahun ini yang diuruskan Bahagian Modal & Insentif, Finas berjaya mencapai matlamat untuk menarik orang ramai hadir.

"Finas juga memberi penghargaan pada pihak pempamer seperti TGV, Cathay Cineplex, GSC, MBO dan Big Cinema yang mengambil bahagian menjayakan acara ini bersama.


"Menariknya, mereka menaja hadiah cabutan bertuah untuk pengunjung seperti rantai kunci, beg, pen, kalendar dan hamper. "Paling penting, sambil pengunjung berhibur, acara ini membantu produser mempromosi filem baru mereka di sini," katanya.


Pada acara ini, dimeriahkan kehadiran Kelab Pencinta Filem dari Sekolah Menengah Sri Ampang, Universiti Malaysia Terengganu dan Persatuan Belia Gemilang, Hulu Klang.


Turut mencuri tumpuan, anggota Kelab Toyota Avanza dan Kelab Motor Southern Dragon hadir sama dalam memberi sokongan pada acara ini.


Bagi Zul, pertama kali menyertai acara ini memberi pengalaman menyeronokkan apatah lagi berpeluang berhibur dan bertemu peminat dengan lebih dekat.


"Sebenarnya, saya sudah banyak kali diundang Finas untuk menjayakan pelbagai acara sebelum ini tetapi tidak berkesempatan. Namun, peluang kali ini saya tidak lepaskan.


"Memang saya seronok apabila dapat berhibur bersama pengunjung yang hadir. Sambil berhibur, saya juga tidak sangka apabila warga Finas dan pengunjung hadir beramai-ramai memberi sokongan pada acara ini.


"Pada saya, acara ini lebih daripada sekadar persembahan pentas sebaliknya memberi peluang untuk promosi filem baru. Walaupun atur cara padat tetapi idea yang dibawa Finas untuk acara ini memang cukup bagus.


"Saya berharap acara ini diteruskan pada masa akan datang dan mungkin, jika acara ini bermula lebih awal pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan karaoke dan gerai jualan dapat dijalankan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.