Adsense

Isnin, 14 Februari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pasangan terbaik

Posted: 13 Feb 2011 02:55 PM PST

Hip

Calon Anugerah Seri Angkasa ini tidak berpura-pura apabila berbicara soal rumah tangga

DI sebalik wajah serius serta perwatakan Fauzi Nawawi yang tampak kasar, sebenarnya dirinya dipenuhi sikap humor seperti diperakui teman terdekat serta isteri tercinta, Lisdawati.

Karektor semula jadi bapa kepada dua cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka, yang sebelum ini sering ditonjolkan sebagai antagonis membuatkan khalayak lebih nampak sifat garang berbanding sisi halusnya. Tidak hairan dek perwatakan yang gila-gila itu, ada di kalangan pengarah sudah mula menawarkannya watak komedi - sesuatu yang belum pernah ditonjolkan sebelum ini!

Apakah Fauzi sudah muak atau puas membawakan watak jahat? Atau sudah tiba masanya tampil bersama imej baru selepas menyandang gelaran Aktor Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin, baru-baru ini?

"Hakikatnya tiada apa yang perlu saya buktikan. Cuma sebagai pelakon saya perlu mencabar diri. Kebetulan selepas tampil dengan pelbagai watak antagonis, baru tahun ini ada beberapa penerbit menawarkan watak komedi.

"Barangkali mereka juga mahu melihat saya dalam sisi berbeza selepas puas menyaksikan lakonan saya sebagai samseng, suami pendera, anak derhaka dan sebagainya," kata lelaki yang bakal tampil dalam telefilem komedi, Masak Lemak Cili Api.
Menggayakan kemeja rona merah berkotak ditemani si isteri yang selesa dengan jeans dan blaus putih, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada September 2007 itu cukup bersahaja tatkala diminta beraksi di hadapan kamera.

Sudah tentu pengalaman sepanjang berada dalam program Sehati Berdansa musim dua yang menyaksikan mereka bergelar juara bukan hanya menyemarakkan lagi ikatan suci, malah turut menyuntik keyakinan supaya percaya terhadap kebolehan diri.

Bagi Fauzi yang aktif sebagai pereka seni pertarungan dan pelakon lagak ngeri itu, biar ditawar watak apa pun dirinya akan berusaha menonjolkan hasil cemerlang, malah sekali pun meraih gelaran Aktor Terbaik menerusi Sebelum Akhirat baru-baru ini, tidak terdetik di hatinya untuk bermegah-megah.

"Bukan mudah untuk menagih kepercayaan orang dan kemenangan pada Anugerah Skrin pula ialah satu rahmat. Apa-apa pun, diri saya masih seperti dulu. Mendapat trofi itu antara mandat supaya saya berusaha lebih gigih. Tiada istilah 'demand' atau tarik harga apabila berjaya menggenggam trofi.

"Sebagai pelakon sepenuh masa, inilah periuk nasi saya. Apabila sudah berkeluarga, kebajikan isteri dan anak-anak berada di tangga teratas. Jika saya tidak bekerja, bagaimana dengan mereka? Malah sebagai ketua keluarga, saya perlu menabung untuk masa depan pendidikan anak," katanya ditanya soal gelaran yang baru diterima.

Dedah Fauzi lagi, telefilem Sebelum Akhirat yang turut merangkul anugerah Pengarah Terbaik untuk Murali Abdullah itu turut meninggalkan kesan dalam hidupnya supaya sentiasa ingat kepada balasan Tuhan, malah ia nyata kisah yang sangat menginsafkan.

"Digigit lipan, tercicir dompet ketika mahu membeli persalinan untuk watak Mubarak - ceti haram dan along, selain seakan melihat diri saya sendiri dalam keadaan tersenyum di hujung katil tatkala terjaga dari tidur bagai peringatan untuk saya tidak lupa bumi dipijak," katanya lagi yang turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010.

Lisda hanya mengangguk tanda mengiyakan kenyataan Fauzi. Sesekali senyuman manis dilemparkan kepada si suami saat mata mereka bertaut.

'Tiada lakonan dalam hubungan'

TATKALA diaju soalan, katanya sebagai insan yang rapat dengan lelaki itu, tidak dinafikan dirinya bahagia dikurniakan teman hidup yang penyayang dan memahami, sekali pun di luar sana banyak suara sumbang yang meragui kemesraan mereka.

"Biarlah... Kerana mulut orang tidak boleh ditutup. Barangkali orang bercakap sebab kami selalu tidak bersama. Hendak tergelak pun ada apabila terdengar cerita tak masuk akal. Prinsip kami suami isteri senang saja, tiada lakonan dalam hubungan! Beginilah hubungan kami yang sebenar," katanya yang asyik tertawa apabila kerap disakat Fauzi.

Akui Lisda, mereka kini juga jarang ditawarkan berlakon di bawah satu penerbitan sama. Hakikatnya, dia tiada masalah untuk beraksi dengan suami kerana sebelum mendirikan rumah tangga mereka sudah kerap bergandingan di lokasi.

"Masa awal kahwin dulu mungkin terasa sikit apabila suami menegur lakonan kita. Tetapi bila difikirkan balik, insan terdekat dalam hidup kita tentu saja individu paling tulus untuk mengkritik. Ada bagusnya kita mempunyai teman yang sedia mengeluarkan pendapat tidak kira baik atau buruk, demi mempertingkatkan mutu lakonan," katanya yang turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada ASA 2010 menerusi telefilem sama.

Malam kemuncak ASA 2010 yang turut mengiktiraf hasil kerja untuk TV dan radio akan berlangsung pada 19 Februari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), manakala sehari sebelumnya diadakan majlis penyampaian trofi untuk kategori sampingan.

Mengenai pencalonan, masing-masing enggan meletakkan sasaran walaupun Sebelum Akhirat dicalonkan dalam enam kategori kerana berpendapat drama terbabit sudah berjaya apabila mampu meninggalkan kesan di kalangan penonton.

Sementara itu, Lisda kini berdebar menanti tarikh 25 Februari apabila buat pertama kali akan mengerjakan umrah, pada masa yang sama menjalani penggambaran Dia Bukan Maryam terbitan Global Station untuk siaran TV9 ini yang mengambil lokasi di Makkah.

Rombongan diketuai Erma Fatima selaku pengarah itu turut disertai Siti Shahrizah (Eja) dan Fahrin Ahmad. Mereka dijangka berada di sana kira-kira dua minggu.

"Saya bersyukur diundang menjayakan drama ini, seterusnya mengerjakan umrah. Sebelum ini pun sudah ada perancangan untuk ke sana tetapi belum ada rezeki. Saya harap diberi kesihatan yang baik untuk menyelesaikan penggambaran dan menjalani ibadat terbabit," katanya


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Biarlah orang luar bercerita mengenai Sudir'

Posted: 13 Feb 2011 02:45 PM PST

Hip

Dokumentari Penghibur Terbaik Asia temui peminat di saluran History, 20 Februari

NAMANYA memang tidak asing di kalangan peminat dan penggiat seni hiburan tanah air. Sememangnya bakat milik penghibur Datuk Sudirman Arshad dikagumi ramai. Maka tidak hairanlah biarpun artis serba boleh kelahiran Temerloh, Pahang, itu sudah 18 tahun meninggalkan kita, namanya tetap harum meniti di bibir.

Bak sebutir bintang yang cukup hebat menerangi dunia hiburan, pemergiannya nyata sukar diganti. Walaupun saban hari ada saja artis baru muncul di persada seni, ingatan peminat terhadap penyanyi yang juga pelakon, peguam dan ahli perniagaan terkenal itu tetap utuh bersemi. Lalu, cukup difahami apabila beliau menjadi pilihan AETN All Asia Networks dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk ditampilkan dalam dokumentari biografi khas, yang bakal disiarkan menerusi saluran History (Astro 555) pada jam 10 malam, 20 Februari ini.

Penghasilan dokumentari terbabit tentu sekali dilihat antara penghargaan terbaik buat Penghibur Terbaik Asia itu, bagi mengenang semula pembabitan dan jasanya dalam dunia seni hiburan negara.

Dokumentari biografi yang ditayangkan selama satu jam ini bakal memaparkan kehidupan Sudirman daripada kecil hingga ke saat beliau menghembuskan nafas terakhir, pada 22 Februari 1992.

Memetik kata seniman Tan Sri P Ramlee yang terlebih dulu pulang ke rahmatullah, 'tiada kata seindah bahasa, dan tiada gambar secantik lukisan', begitulah perumpamaan yang setimpal diberikan kepada Sudirman, seperti yang disifatkan kakaknya sendiri, Datin Rodziah Arshad.
Rodziah yang hadir sama ke majlis tayangan dokumentari terbabit di ibu kota baru-baru ini berkata, dia amat menghargai usaha murni pihak penerbitan itu, biarpun dirinya sendiri tidak terbabit dalam pembikinannya.

"Pihak penerbitan memang ada meminta kerjasama daripada saya, untuk mengadakan temubual bagi menjayakan dokumentari ini, tetapi saya memilih untuk tidak mahu terbabit. Bagi saya, biarlah orang luar yang menceritakan mengenai Sudirman dan bukan ahli keluarganya sendiri.

"Saya tidak mahu dilihat seperti pepatah 'masuk bakul, angkat sendiri'. Saya rasa, orang luar lebih berhak menilai Sudirman kerana arwah sendiri dikenali ramai dan tidak menjadi masalah bagi pihak penerbitan untuk mendapatkan sumber.

"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pihak penerbitan kerana sudi menghasilkan, seterusnya menyiarkan dokumentari ini. Saya sendiri berasa sedih apabila menontonnya, malah cucu saya yang berumur enam tahun turut menangis. Saya dapat menghayati kisah yang dilalui olehnya dan sampai saat ini, tidak sekali pun saya lupa dia ialah adik saya," kata Rodziah sambil mendedahkan, penghibur yang turut dikenali sebagai seniman rakyat itu gemar memakan sambal tumis.

Katanya, Sudirman seorang yang bersungguh-sungguh dalam kerjayanya dan beliau cukup menghargai dunia seni.

Dokumentari itu sendiri menurutnya, menampilkan pendekatan lebih istimewa apabila ia memaparkan biografi Sudirman dengan lebih mendalam.

"Bukan setakat kejayaannya saja yang menjadi kayu pengukur, tapi usaha kerasnya membuatkan dia berjaya dalam dunia yang diceburi. Dan, sekiranya suatu hari tergerak hati, saya sendiri akan turut menulis mengenai adik saya ini," ujar Rodziah.

INFO: Dokumentari Sudirman

  • ANTARA penggiat seni dan rakan baik Sudirman yang ditemubual dalam dokumentari berkenaan ialah penulis lirik, Habsah Hassan; komposer, Fauzi Marzuki; wartawan veteran, Bahyah Mahmood; bekas pengurusnya, Daniel Dharanee Kannan; Beh Suet Pheng dan ramai lagi.
  • DIAKUI, Sudirman seorang yang disenangi ramai dan insan berbakat besar. Beliau bukan saja seorang penghibur, malah seorang peguam, pengacara televisyen, penulis, kartunis, pelakon dan ahli perniagaan disegani.
  • NAMUN, nama Sudirman Arshad lebih malar segar di pentas nyanyian. Sudirman ialah artis pertama dari Asia yang merekodkan lagu Inggeris di Studio Abbey Road, United Kingdom.
  • SUDIRMAN mempunyai kira-kira 20 album (tidak termasuk album kompilasi) sepanjang 16 tahun bergiat di dalam bidang seni.
  • BUKAN saja di Malaysia, Sudirman juga terkenal di Singapura, Brunei dan Indonesia. Walaupun beliau banyak menyanyikan lagu berbahasa Melayu, hakikat itu tidak menghalang untuk beliau mengadakan persembahan di luar negara seperti di Hawaii, Melbourne, Tokyo, Dubai, London dan Russia.
  • PADA 1989, Sudirman diumumkan Penghibur Terbaik Asia pada Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London. Pada pertandingan itu, Sudirman mengalahkan penghibur hebat Asia lain seperti Leslie Cheung, Anita Sarawak dan Kuh Ledesma.
  • ARTIS berbakat besar ini turut diminati peminat pelbagai bangsa, di mana beliau turut menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Cina.
  • DI sebalik kejayaannya, ada kisah sedih yang membelenggu dunia peribadi juara Bintang RTM 1976 ini. Ibu Sudirman meninggal dunia pada usia muda dan rumah tangganya tidak berkekalan. Satu demi satu kontroversi yang melanda dihadapinya dengan tabah dan sehingga kini punca kematian Sudirman masih menjadi tanda tanya.
  • UNTUK mengetahui lebih mendalam legenda seni sepanjang zaman ini, saksikan dokumentari Sudirman di saluran History pada 20, 22 dan 23 Februari, serta 1, 11 dan 13 Mac ini. Dokumentari ini juga disertakan sari kata Bahasa Malaysia dan Cina.
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.