Utusan Online - Hiburan |
Posted: Masa cukupOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
MELIHAT kepada raut wajahnya itu sahaja, pasti ramai yang berpendapat Hizbur Rahman Omar Zuhdi atau lebih dikenali sebagai Hizbur ini seorang yang cukup serius. Ada yang berkata memang sukar sekali untuk melihat Hizbur tersenyum dan kerana itulah, dia telah dilabelkan sebagai seorang yang sukar untuk didekati. Jika hendak dibandingkan Hizbur dengan juara Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan atau Asyraf, ternyata teman seperjuangannya itu memiliki personaliti yang cepat mesra dan cukup mudah untuk didekati. Atas alasan itu juga, ramai yang mengandaikan kegagalan Hizbur untuk bergelar juara sulung Imam Muda tahun lalu adalah kerana perwatakan serius yang sering terpancar di wajahnya. Sedangkan kalau diukur pada kelebihan yang dimiliki Hizbur, dia juga tidak kurang hebatnya dan memiliki kriteria yang cukup lengkap untuk menjunjung gelaran seorang Imam Muda. Bertemu dengan Hizbur dalam satu sesi fotografi di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dia menjawab segala persoalan yang diajukan dengan cukup tenang. Sedikit pun dia tidak menunjukkan riak wajah yang tidak selesa. Sambil menghela nafas perlahan-lahan dia menyusun butir bicaranya dan memberikan justifikasi terhadap soalan yang ditujukan kepadanya itu. "Saya memang sedar ramai yang berkata begitu. Riak wajah saya sering disalah ertikan oleh sesetengah pihak yang merasakan saya seorang yang serius dan tidak mudah untuk didekati. "Ada yang berkata dan meminta saya banyakkan senyum dan cuba menjadi seorang yang ceria. Segala komen saya ambil dan terima untuk saya perbaiki demi kebaikan diri saya sendiri. "Sekarang, saya sedang cuba untuk mengubah keadaan itu dan insya-Allah, saya akan melakukannya secara perlahan-lahan. "Sebenarnya ini adalah diri saya sendiri dan tidak mungkin untuk saya menjadi orang lain. Kalau ada yang cuba hendak membandingkan saya dengan Asyraf, itu adalah hak masing-masing. "Bagi saya, Asyraf ada caranya sendiri dan kelebihan dalam melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang imam muda," terang Hizbur memberikan penjelasannya. Menurut anak kelahiran Baling, Kedah itu, dia mempunyai gaya dan cara tersendiri dalam menyampaikan dakwah serta menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang imam muda. Jelasnya lagi, dia begitu selesa dengan konsep tazkirah, ceramah dan kuliah yang sudah biasa dilakukannya sebelum menyertai program Imam Muda lagi. Maka itu tidak hairanlah, Hizbur sering menjadi pilihan jabatan kerajaan dan swasta yang mahu menggunakan khidmatnya dalam menyampaikan kuliah dan tazkirah. "Seperti mana yang saya katakan tadi, masing-masing ada cara dan keistimewaan sendiri. Saya yakin dan percaya dengan diri sendiri bahawa kelebihan saya adalah untuk program seperti mana yang disebutkan tadi. "Saya bersyukur, rezeki sentiasa ada untuk saya dan apa yang membanggakan saya apabila tugas sebagai seorang imam muda ini tidak hanya tertumpu kepada masjid sahaja. "Sebaliknya peranannya kini semakin besar dan mula mendapat tempat di kalangan orang korporat serta sekolah. Jadi, saya percaya program Imam Muda itu sendiri telah membuka jalan dan memberi peluang kepada kesemua peserta untuk berdakwah kepada masyarakat. "Selalunya masyarakat, khususnya golongan remaja mempunyai pandangan skeptikal terhadap gelaran imam itu. Bagi mereka iman seorang yang sudah berusia dan berperwatakan serta berpakaian lengkap berjubah dan berkopiah. "Tetapi, sebagai seorang imam muda, saya dan rakan-rakan lain mahu mengambil pendekatan baru namun tidak melupakan tanggungjawab dan tugas sebenar seorang imam itu," jelas anak muda berusia 27 tahun itu panjang lebar. Perubahan Sudah setengah tahun rupanya Hizbur memegang status sebagai naib juara Imam Muda. Sepanjang tempoh itu, dia mengakui kehidupannya telah berubah secara total. Perubahan yang dimaksudkan Hizbur adalah dari segi pengurusan masa dan juga senario kehidupan di bandar yang disifatkannya cukup mencabar. Pada awalnya, dia memang tidak menafikan berasa cukup kekok untuk tinggal di kota metropolitan, namun lama-kelamaan dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Kata jejaka yang dilahirkan pada 1 April 1983 itu, selama ini kehidupannya hanyalah di Baling dan apabila penghijrahan itu berlaku, dia amat merasai perbezaan dalam hidupnya kini. "Mana tidaknya. Dulu kehidupan saya di Baling hanyalah dalam satu ruang lingkup yang sama sahaja. Tetapi sekarang, banyak perkara yang perlu saya ambil kira dan utamakan. "Perbezaan ketara apabila saya dapat merasakan masa itu terasa pantas berlalu dan juga aliran masuk dan keluar wang yang cukup deras. Maksudnya, banyak duit yang masuk, keluarnya juga cepat. "Saya juga banyak korbankan masa yang sepatutnya untuk diri saya dan keluarga demi kerjaya saya sebagai seorang pendakwah. "Sememangnya waktu kini sudah menjadi terhad buat saya. Jadi, mahu atau tidak, kenalah hadapi semuanya dan harus bijak mengawal serta mengurus masa dengan baik," ujar Hizbur yang merupakan seorang guru tahfiz di kampung halamannya. Tempias Tambah Hizbur lagi, bukan hanya dirinya sahaja yang terkesan daripada perubahan hidup yang dihadapinya kini, tetapi tempias popular juga terpercik kepada isterinya, Liliyana Hassanah Yudi, 24. Jika laman sosial Facebook milik Hizbur sudah mencapai tahap maksimum dengan 5,000 orang pengunjung, akaun isterinya juga mencatatkan bilangan yang sama. "Mujurlah dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan bijak mengawal situasi. Dia juga seperti saya, pada awalnya berasa janggal dengan kehidupan yang baru ini. "Walaupun sibuk sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah agama berhampiran dengan kediaman kami di sini, dia masih mampu menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri dengan baik. "Dia yang menguruskan jadual saya dan setiap kali saya ada urusan, dia akan menyediakan semua keperluan saya selengkap-lengkapnya," ujarnya yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan isteri tercinta yang berasal dari Johor Bahru, Johor. | ||
Posted: Kejutan buat WawaOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
HANYA senaskhah al-Quran yang dipinta oleh pembaca berita Buletin Utama, Azwaliza Azman (Wawa), 30, sebagai mas kahwin pernikahannya. Namun kejutan diberikan oleh Kadir Rashid pada hari perkahwinan mereka ialah RM20,000 sebagai mas kahwin. Itu belum masuk kejutan untuk jumlah wang hantaran RM50,000 yang diberikan oleh Kadir, 32, sebagai rasa penghargaannya terhadap keikhlasan serta tanda cinta buat si isteri. Pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 22 November 2009 itu selamat melayari bahtera perkahwinan pada malam Sabtu, 22 Januari lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tepat pukul 6.35 petang. Berwalikan bapanya, Azman Abdullah, Wawa dan Kadir dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd. Haiyazid Mohammad. "Alhamdulillah, syukur sangat setelah empat tahun saling mengenali akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri. "Rasa lega, sebak dan seperti tidak percaya Kadir sudah menjadi suami saya. Macam mimpi pun ada. Sekarang saya sudah bersedia menghadapi dugaan sebagai suami isteri," kata Wawa yang kelihatan bergenang air mata selepas sah diijabkabulkan. Ditanya tentang jumlah mas kahwin dan wang hantaran RM70,000 yang diberikan kepadanya, kata Wawa, dia langsung tidak tahu tentang kejutan yang diberikan oleh Kadir buat dirinya. "Saya memang terkejut sebab masa bertunang dahulu kami tidak pernah berbincang pun tentang wang hantaran. Cuma mas kahwin sahaja saya minta senaskhah al-Quran. "Bagi saya, kehadiran Kadir dalam hidup saya pun sudah cukup baik. Tetapi saya bersyukur sangat kerana ini sebagai tanda penghargaan yang ditunjukkan oleh Kadir kepada saya," kata Wawa sambil mengukir senyuman. Berkenalan di sebuah kedai telefon bimbit di Bangsar, Kuala Lumpur empat tahun lalu, rupa-rupanya menjadi detik awal bercambahnya kasih di antara mereka. Biarpun pernah terputus hubungan selama setahun, Wawa dan Kadir bagaimanapun bertemu kembali di PWTC di mana ketika itu Wawa sedang bertugas membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO tahun 2008. Daripada situ, kasih di antara mereka kian mekar dan akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan mahligai bersama. "Saya terima dia sebab dia bertanggungjawab. Bayangkan dia sanggup konvoi menghantar saya pulang ke rumah setiap kali apabila saya ada tugasan waktu malam dan ini berlarutan sehingga beberapa bulan. "Mungkin kerana dia anak sulung jadi tanggungjawab itu memang ada dan perasaan sayang mula berputik bila tengok Kadir ada ciri-ciri kepimpinan itu. "Kami banyak persamaan. Punya pemikiran dan minat yang sama. Malah, seperti kawan-kawan, kami suka bergurau sesama sendiri," kata Wawa lagi. Pada majlis tersebut, pasangan itu bertukar-tukar dulang hantaran iaitu sembilan dulang daripada Kadir berbalas 11 dulang daripada Wawa. Selain wang hantaran RM50,000, hantaran lain yang turut dibawa oleh Kadir adalah sirih junjung, cincin pernikahan, senaskhah al-Quran, jam tangan dan manisan. Hantaran balas daripada Wawa pula termasuklah sirih junjung, cincin perkahwinan, wangian, manisan dan jam tangan. Pasangan itu turut diraikan oleh hampir 1,000 tetamu jemputan pada majlis resepsi di Dewan Merdeka, PWTC pada sebelah malam pernikahan mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |