Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Farid bikin Tiz berdebarSELAMA ini, media massa menjadi perantara buat Tiz Zaqyah dan Farid Kamil mengetahui perkembangan cerita masing-masing. Biar bergelar pemain di lantai seni sama, ironinya, dua pelakon muda yang cukup berbakat ini belum berpeluang dipertemukan dalam sebarang projek. Selepas lebih setahun Tiz yang membawa nama lengkap Siti Zaqyah Abdul Razak menggendong tanggungjawab sebagai pelakon, hanya kini dia berjaya disatukan dengan pemuda tinggi lampai itu menerusi telefilem hasil garapan Khabir Bhatia yang berjudul 7 Lagu. Menerusi perjalanan telefilem berdurasi 90 minit itu, Tiz yang menerajui karakter Tania manakala Farid (Farhan) menjadi pasangan kekasih yang mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah rendah. Bunga cinta mereka cukup utuh sehingga mewangi mencapai fasa dewasa. Kali pertama 'berpacaran' dengan Farid dalam telefilem tersebut, Tiz tanpa berselindung mengaku hatinya kekok pada awal pertemuan dengan Farid di lokasi penggambaran. Meskipun babak mereka sekadar memakan masa tiga hari, ia bagaimanapun tetap memahat kenangan buat dirinya. "Sejujurnya, saya gementar apabila diberitahu oleh Khabir yang saya bakal menjadi kekasih Farhan yang merupakan lakonan Farid. Saya sendiri tidak tahu kenapa boleh timbul perasaan debaran ini. Lagipun, sebelum ini, saya tidak pernah bertemu secara empat mata dengan pelakon itu di luar set.
"Barangkali, sebab saya punya tanggapan awal bahawa Farid sebagai seorang lelaki bersahaja dan ada waktu kelihatan serius di alam realiti, ia secara tidak langsung mempengaruhi fikiran saya ketika pertama kali bertemu dengan dia dalam penggambaran telefilem 7 Lagu. "Namun, keserasian antara satu sama lain mudah saja wujud tambahan pula Farid tidak kedekut untuk memberi tunjuk ajar kepada saya yang masih baru dalam bidang ini. Tiga hari berlakon dengan aktor ini, saya anggap waktu agak terhad bagi melakukan latihan. "Begitupun, kami cukup bertuah kerana akhirnya mampu membangunkan beberapa babak romantis sebagai pasangan kekasih dengan jayanya tanpa berdepan masalah," jelas Tiz yang menjalani penggambaran telefilem 7 Lagu bersama Farid sekitar Ogos tahun lalu. Mengulas tentang penyatuan mereka, teman lelaki kepada pelakon jelita, Diana Danielle itu mengaku cukup senang dapat bekerjasama dengan Tiz. Biar kali pertama dipertemukan, hakikatnya, Farid dan Tiz tidak mencuri waktu panjang memunculkan keserasian antara satu sama lain. "Telefilem 7 Lagu memberi peluang pertama kepada saya bekerja sekali dengan Tiz. Ini memberi peluang kepada kami untuk berkomunikasi. Pendapat peribadi saya, dia ialah seorang individu yang mudah menyesuaikan diri dengan situasi atau persekitaran baru. "Sedikit mengejutkan kerana awal kami bertentang mata, saya dan Tiz harus melibatkan diri dengan adegan intim sebagai pasangan. Sebaik saja dia menzahirkan wataknya, ia memudahkan tugas saya merealisasi karakter Farhan tanpa mengalami masalah. "Yang pasti, saya selesa apabila berpeluang kerja sekali dengan Tiz. Saya akui dia sebagai pelakon berbakat besar biar masih baru dalam lapangan seni," kata Farid.
Kreativiti Khabir Umum tahu, Tiz sudah beberapa kali berlakon di bawah arahan Khabir Bhatia termasuk drama rantaian, Nur Kaseh yang dianggap landasan awal dirinya lebih dikenali di cabang seni tanah air. Namun, lain pula buat Farid yang pertama kali bekerjasama dengan sutradara popular tersebut. Jejaka berusia 30 tahun itu sebelum ini mengaku pernah tersilap percaturan apabila bersikap skeptikal terhadap pengarah dari luar. Dia sering mempersoal kekurangan anak tempatan yang juga punya bakat dan skil pengarahan sendiri berbanding sang pengarah dari negara asing. Keraguan Farid semakin memuncak selepas populariti Khabir mula dicanang umum dan menerima pujian tinggi melangit. Ingin mengetahui keistimewaan pengarah itu, dia nekad menonton filem garapan Khabir yang berjudul Sepi. "Selepas menonton filem ini, saya dapati ada sesuatu yang membuatkan saya amat tertarik dengan kualiti kerjanya. Ideologi Melayu Khabir begitu dekat. Lantaran itu, saya bercita-cita untuk berlakon di bawah arahannya yang dianggap sebagai pengarah serba boleh. "Maka, tidak hairan apabila saya mendapat tawaran berlakon dalam telefilem 7 Lagu, ia umpama bulan jatuh ke riba. Melihat nama pengarahnya, saya tanpa membuang masa terus bersetuju tanpa melihat skrip terlebih dulu," spontan ungkap Farid cukup berpuas hati. Berkongsi momen berlakon dalam 7 Lagu, Farid yang sempat menjalani pengalaman berlakon dalam sel tahanan selama setengah hari bagaimanapun terpaksa mengorbankan perasaan gundahnya semata-mata ingin menghidupkan watak sebagai individu bermasalah.
"Saya gementar sebaik saja diberitahu oleh pengarah kena menjalani penggambaran dalam penjara. Bayangkan, saya tidak suka dengan tempat ini. Tetapi, nasib saya baik apabila sel tahanan digunakan ini belum pernah menempatkan banduan," cerita Farid dalam nada lega. Sementara itu, bagi Tiz yang sudah terbiasa bekerjasama dengan Khabir, wanita berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengaku masih belum mengerti keseluruhan setiap idea berada dalam minda Khabir sebagai individu kreatif. Malah, dia cuba memahami setiap kehendak pengarah berkenaan hingga ke saat ini. "Namun, saya akui selesa bekerja sekali lagi dengan Khabir. Kalau ikut, dia seorang pengarah yang cukup tahu selok belok bidang kerjanya merangkumi aspek lakonan, teknikal dan sinematografi. Ini kelainan dimiliki Khabir. "Dia selalu memberi bimbingan kepada saya tentang cara pengawalan emosi dalam lakonan. Justeru, baik saya atau pelakon lain bekerja dengan Khabir, kami tidak sesekali akan terpesong daripada watak diberi," tutur Tiz yang selalu diingatkan pengarah itu soal keseimbangan lakonan. Selain Farid dan Tiz, telefilem yang bakal bertandang di Astro Citra (saluran 131) pada 30 Januari ini turut mengenengah deretan pelakon popular seperti Emelda Rosmila, Sofi Jikan, Corrie Lee, Fimie Don, Azhan Rani, Fazley, Kuza, Mahmud Ali Bashah dan Sherie Merlis. | ||||||
Posted: Final GBOB di MalaysiaOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
THE Global Battle Of The Band (GBOB) bukanlah suatu perkara asing bagi industri dan peminat muzik di Malaysia. Ini kerana pertandingan ini telah mengadakan pertandingan ini semenjak tahun 2007 lagi. Walau bagaimanapun, ada berita gembira buat peminat-peminat GBOB pada tahun ini. Tahun 2011 telah menjadi sejarah apabila kesemua finalis dari seluruh dunia bakal diterbangkan ke sini bagi mengadakan konsert final mereka. Malaysia, buat julung-julung kalinya akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan peringkat akhir GBOB dunia yang akan diadakan pada 26 Februari, 2011 bertempat di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Redberry Events. Sebanyak 17 negara yang mengambil bahagian, masing-masing akan bertanding dengan cara dan persembahan tersendiri untuk merebut peluang bagi membawa pulang hadiah bernilai AS$100,000 (RM310,000) untuk pakej mempromosi band di seluruh dunia dan sekali gus memegang gelaran sebagai Best New Band In The World. "Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, GBOB Malaysia telah menjadi aktif dan bersemangat di dalam pertandingan GBOB itu sendiri. Menjadi suatu penghargaan buat Malaysia kerana telah dilantik negara tuan rumah produksi muzikal berprestij ini untuk mengadakannya di luar London bagi pertama kalinya. BAND Kyoto Protocol memberikan persembahan penuh bertenaga. "Peringkat akhir dunia GBOB 2010 akan menjadi satu peristiwa yang amat sesuai untuk pemuzik Malaysia bagi menempa nama pada kemuncak antarabangsa dan tanda kemunculan mereka dalam gelanggang muzik global," ujar pengarah GBOB Malaysia, Issa Rodriguez pada sidang media di Solaris, Mont Kiara Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada sidang media tersebut, pihak media yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan bertenaga dua buah band iaitu Kyoto Protocol dan Hyper Act. Sebarang maklumat lanjut mengenai pengundian kumpulan secara online, boleh layari www.facebook.com/astrohitz. GBOB akan disiarkan dalam saluran 705 Astro Hitz bermula 7 Januari 2011 pada setiap Jumaat pukul 9 malam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |