Adsense

Isnin, 24 Januari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Mak Nani obses drama Korea

Posted:

Mak Nani obses drama Korea

Mak Nani obses drama Korea

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


Mak Nani bersama suami, Jamil Sulong serta teman seperjuangan dan kenalan di Bukit Utama, Damansara baru-baru ini.


SEPERTI mana suami tercinta, Datuk Jamil Sulong yang masih kental semangat juang dalam bidang seni, begitu juga perasaan yang sama dimiliki oleh Datuk Rosnani Jamil atau lebih mesra disapa Mak Nani.

Mengabdikan diri selama 58 tahun dalam dunia seni, Mak Nani mengakui sukar untuk melepaskan gelaran seniwati yang sudah sebati dalam dirinya itu.

Biarpun usianya sudah mencecah 75 tahun pada 20 Januari lalu, Mak Nani masih lagi bersemangat mahu berkarya dan mempunyai keinginan untuk mengarahkan filem baru.

"Dalam simpanan Mak, masih ada beberapa skrip yang masih belum diselesaikan dan insya-Allah, satu hari nanti Mak mahu mengarahkan drama serta filem baru.

"Tetapi Mak juga kena faham dan akur dengan situasi Mak sekarang ini yang sudah tidak memiliki tenaga seperti zaman muda dahulu untuk membuat kerja-kerja seni yang pernah Mak lakukan.

"Mak pun sudah mengurangkan aktiviti lakonan dan hanya akan menerima tawaran seandainya watak serta skrip itu benar-benar mencabar kredibiliti Mak sebagai seorang aktres," luah primadona yang gemar membahasakan dirinya sebagai Mak itu lagi.

Kali terakhir Mak Nani muncul adalah menerusi drama bersiri Suraya yang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 sekitar tahun 2009.

Penampilannya di layar lebar pula, kali terakhir lakonannya dapat ditonton adalah menerusi filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang yang ditayangkan kira-kira dua tahun lalu.

Jika teman seperjuangannya yang sama-sama mewarnai zaman Studio Jalan Ampas bersama Mak Nani rata-rata sudah bersara mahupun meninggal dunia, seniwati ini masih lagi teguh berdiri di persada seni.

Sememangnya bakat primadona hebat kelahiran Padang, Sumatera ini tiada tandingannya. Bukan hanya berbakat besar dalam bidang lakonan dan tarian, malah kredibilitinya sebagai seorang pengarah juga tidak boleh dipertikaikan.

Menerusi syarikat produksinya, RJ Filem Sdn. Bhd., Mak Nani memberanikan diri mengarahkan dan menerbitkan filem pertamanya, Mawar Merah pada tahun 1987 dengan allahyarham Mustafa Noor dan Raja Ema sebagai teraju utama, Mawar Merah diterima baik bukan sahaja dari segi kutipan tiket malah juga pengiktirafan di Festival Filem Malaysia Ketujuh pada tahun yang sama.

Buktinya, Mawar Merah menggondol empat anugerah utama termasuk Pelakon Lelaki Terbaik untuk Mustafa Noor, Cerita Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Bintang Harapan Wanita (Raja Ema).

Mak Nani sendiri dicalonkan untuk Pengarah Terbaik dan filem itu sendiri tercalon sebagai Filem Terbaik.

Kejayaan filem itu telah mendorong pemilik nama penuh Rosnani Ludin ini mengarahkan filem-filem seterusnya iaitu Antara Dua Hati, Pak Tam Duda (arahan bersama A.R. Badul), Memory, Amelia dan terakhir, Bicara Hati pada tahun 2004.

Apakah kegagalan filem Bicara Hati lakonan Fazura itu membuatkan Mak Nani tawar hati untuk meneruskan legasi seninya sebagai pengarah wanita tersohor negara?

Hanya tersenyum, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Kelima (1984) menerusi filem Jasmin ini pantas menggelengkan kepalanya sambil memberitahu: "Bukan soal merajuk. Kalau Mak merajuk, tidak adalah Mak buat skrip baru.

"Tetapi macam Mak cakap tadi, dalam usia Mak ini, Mak sudah penat dan tenaga pun tidak kuat lagi untuk aktif seperti dulu. Bukan tidak ada pihak yang mahu membeli skrip Mak itu, tetapi Mak rasa biarlah Mak simpan dahulu.

"Bukan apa, kalau skrip itu mendapat sentuhan orang lain, Mak tidak rasa keaslian dan jiwa Mak di situ. Jadi, buat masa ini biarlah skrip itu Mak simpan dulu."

Namun, obsesi Mak Nani terhadap drama-drama Korea membuatkan perasaannya meluap-luap untuk kembali menduduki kerusi pengarah.

Katanya, dia begitu kagum dengan budaya rakyat Korea yang ditampilkan dalam drama-drama mereka yang disifatkannya begitu jujur, ikhlas dan praktikal.

"Jalan cerita yang diketengahkan memang bagi Mak cukup bagus. Bukan Mak mengagungkan produk luar tetapi itu adalah realiti yang Mak rasa tidak boleh dinafikan.

"Para pelakonnya juga tidak mengenakan solekan tebal seperti mana kebanyakan dalam drama tempatan yang ada kalanya kelihatan sungguh tidak logik.

"Jadi, apabila sudah menonton dan asyik dengan drama Korea ini, tiba-tiba perasaan itu datang untuk kembali mengarah. Mak mahu memperbaiki kelemahan lalu itu dengan mengaplikasikan teknik pengarahan baru," katanya sambil menunjukkan isyarat bagus untuk drama Korea berjudul The Slave Hunters.

Dalam masa yang sama, Mak Nani meluahkan isi hatinya terhadap perkembangan industri seni berdasarkan pemerhatiannya selama ini.

Katanya, sikap pelakon zaman sekarang memang jauh berbeza ketika era kegemilangan filem Melayu yang pernah ditempuhinya dulu.

"Sekarang ini, memang cukup memenatkan apabila kita perlu berdepan dengan sikap dan kerenah pelakon muda yang membuatkan Mak kadang-kala rasa sakit hati dan sakit mata melihatnya.

"Itulah juga antara faktor mengapa Mak mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti lakonan kerana penat untuk melayan sikap mereka ini," kata ibu kepada tiga orang anak lelaki, Arjunaidi, 49; Anwardi, 48; dan Asnadi, 41.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bukan tipikal gadis Hollywood

Posted:

Bukan tipikal gadis Hollywood

Bukan tipikal gadis Hollywood

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan STAR WORLD


BINTANG Lea Michele akan terus bersinar berbekalkan bakat yang dimilikinya itu.


DALAM usia 23 tahun, kehidupan Lea Michele boleh dikatakan cukup lengkap. Dia memiliki kesemua yang diidamkan ramai wanita seusianya iaitu kemasyhuran dan kemewahan.

Dan untuk itu, Michele benar-benar bersyukur kerana rezeki yang dinikmatinya hari ini datangnya daripada Glee, sebuah siri televisyen yang kini menjadi pujaan di seluruh dunia.

Mengecapi populariti dalam sekelip mata langsung tidak pernah dibayangkan Michele. Baginya, soal itu bukanlah agenda utamanya dalam menjadi seorang anak seni.

Mungkin kenyataannya itu kedengaran sungguh klise sama seperti yang sering diungkapkan oleh artis popular sepertinya.

Tetapi bagi Michele, dia enggan mengambil kisah apa yang diperkatakan orang kerana apa yang penting baginya adalah kepuasan dalam berkarya.

"Saya tahu apa yang saya mahu lakukan. Saya ikut gerak hati saya tanpa dipaksa oleh sesiapa. Dan kejayaan yang saya nikmati hari ini adalah bukti kukuh keseriusan saya dalam bidang seni.

"Sejak dari kecil, jiwa seni saya cukup tebal dan seawal usia lapan tahun, saya sudah mula mencari peluang untuk menonjolkan bakat saya menerusi pementasan teater muzikal.

"Namun, saya harus akui Glee telah membuka peluang yang cukup luas untuk saya sehingga saya dikenali seperti mana hari ini.

"Itu sudah cukup menggembirakan saya dan benar-benar membuatkan saya terharu kerana penerimaan mereka terhadap bakat saya ini," ujar Michele dalam satu temu bual baru-baru ini.

Seperti mana yang dikatakan Michele atau nama sebenarnya, Lea Michele Sarfati, memang sejak kecil lagi dia sudah menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang seni.

Pantang sahaja ada tawaran daripada mana-mana produksi untuk pementasan terbaru, Michele tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri uji bakat.

Bakat besar yang dimiliki Michele dalam bidang nyanyian dan tarian telah melayakkan dirinya membintangi beberapa teater muzikal seperti Les Miserables, Ragtime dan Fiddler on the Roof.

Namun, pementasan Spring Awakening pada Disember 2008 boleh dikatakan sebagai pembuka jalan untuk Michele melangkah setapak lagi dalam melebarkan sayap seninya.

Menerusi teater itu, Michele dicalonkan untuk Anugerah Tony iaitu pengiktirafan untuk bidang teater dan sekali gus dipikat oleh pencipta dan pengarah Glee, Ryan Murphy.

Dari awal lagi, Murphy sudah tertarik dan terpikat dengan kehebatan bakat Michele yang disifatkannya lengkap untuk membawakan watak Rachel Berry.

"Watak itu memang dicipta khas untuk Michele dan apabila melihat dia beraksi di depan kamera, bakatnya memang mengagumkan.

"Dia ibarat prototaip yang terhasil daripada gabungan dua pelakon teater hebat iaitu Barbra Streisand dan Patti LuPone.

"Michele sentiasa percaya pada dirinya sendiri dan juga bakat yang dimilikinya itu. Bagi saya, bakat Michele adalah satu dalam sejuta dan bukan mudah untuk mencari bintang sepertinya yang memiliki pakej lengkap sebagai seorang penghibur

"Bukan itu sahaja, dia memang bersemangat dalam kerjayanya dan sentiasa mahu maju ke hadapan," ujar Murphy ketika ditanya pandangannya terhadap anak buahnya itu.

Bagi Michele yang dilahirkan pada 29 Ogos 1986 itu, peluang membintangi Glee umpama mimpi bertukar realiti kerana sudah menjadi cita-citanya untuk bergelar seorang pelakon televisyen.

Apatah lagi dengan konsep muzikal yang diketengahkan dalam siri itu membuatkan Michele sentiasa teruja dan komited dengan kerjayanya.

Ketika rakan sebayanya sibuk menelaah pelajaran dan menghabiskan masa bersama teman-teman, Michele pula lebih selesa untuk berada di lokasi selama 12 sehingga 14 jam sehari.

Seawal jam 6 pagi, Michele sudah berada di lokasi penggambaran untuk solekan dan dandanan terlebih dahulu sebelum meneruskan adegannya.

Jika tidak ada adegan yang membabitkan dirinya pada hari itu, dia akan berlatih menyanyi dan menari untuk babak seterusnya.

Maka itu, tidak hairanlah apabila salah seorang pelakon Glee yang juga teman rapatnya, Jenna Ushkowitz menyifatkan Michele sebagai seorang yang cukup sempurna.

"Bukan saya mahu memuji melangit hanya kerana dia kawan baik saya, tetapi setiap kali dia datang ke set penggambaran, dia sudah berada dalam keadaan siap sedia baik dialog, lagu mahupun gerak tariannya.

"Tidak pernah sekali pun saya melihat dirinya tanpa buku nota dengan catatan lengkap tentang apa yang dia mahukan lakukan pada hari itu," ujar Ushkowitz yang memegang watak sebagai Tina Cohen-Chang dalam siri itu.

Michele pula tidak menafikan watak Rachel Berry itu mempunyai persamaan dengan dirinya yang sebenar.

Dia cukup sedar, dia bukan seperti wanita Amerika yang tipikal dan sentiasa obses dengan kecantikan dalam membina nama di Hollywood.

"Apabila melihat watak Rachel itu, memang saya membayangkan diri saya sekitar usia 10 hingga 12 tahun yang bekerja keras tanpa lelah dalam mengejar impiannya.

"Saya juga sedar tentang pandangan orang ramai yang skeptikal terhadap diri saya yang tidak menepati acuan dan memiliki kriteria utama seorang bintang popular yang perlu cantik, seksi dan kurus.

"Tetapi, adakah itu akan menjadi satu halangan untuk saya dalam bidang ini? Sama sekali tidak kerana saya percaya setiap individu ada keinginan dan impian yang mereka mahu kejar.

"Biarlah apa yang orang mahu katakan kerana jika kita ada kemahuan dan keinginan untuk berjaya, teruskan sahaja niat itu tanpa perlu menoleh ke belakang," katanya dalam nada yang cukup bersemangat.

Sememangnya watak Rachel Berry itu sendiri membawa tuah kepada Michele apabila sudah dua tahun berturut-turut dia dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Televisyen Komedi atau Muzikal Terbaik untuk Anugerah Golden Globe.

Bukan itu sahaja, dia juga menerima pencalonan untuk Pelakon Wanita Komedi Terbaik pada Anugerah Emmy tahun lalu.

Membintangi Glee juga sebenarnya memberi makna untuk Michele sendiri apabila melalui pengalaman yang mencatatkan momen manis yang menjadi kenangan terindah dirinya.

Antaranya membuat persembahan di White House di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama sekeluarga dan menjadi penghias kulit majalah Rolling Stone.

Lebih membanggakan apabila Michele dipilih oleh majalah Time sebagai salah seorang 100 individu paling berpengaruh di dunia tahun lalu.

"Bukan itu sahaja, saya juga bangga dan gembira apabila ada ibu yang datang kepada saya dengan mengatakan saya memberi inspirasi kepada anak-anak mereka.

"Apabila saya mengenang kembali semua kejayaan ini, saya benar-benar bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan atas segala nikmat yang diberikan," kata Michele yang juga diiktiraf sebagai salah seorang artis yang bijak bergaya.

Dalam masa yang sama juga Michele merasakan dirinya dirahmati apabila dikurniakan dengan bakat yang dapat dikongsi bersama dengan masyarakat.

Baginya, menyanyi diibaratkan terapi yang sentiasa membuatkan dirinya gembira dan berfikiran positif setiap masa.

"Apabila menyanyi, saya merasakan ia adalah luahan jiwa saya. Tidak kisahlah kalau ia kedengaran sungguh teruk sekali sama ada ketika saya sedang mandi atau memandu kereta.

"Saya akan menyanyi semua lagu yang ada dalam iPod saya termasuk lagu-lagu dari album runut bunyi Glee. Peduli apa saya kalau ada orang yang mencebik atau mempertikaikan nyanyian saya," katanya sambil berseloroh.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.