Harian Metro: Rap |
Posted: 23 Jan 2011 08:23 AM PST MILAN: Jaringan awal Francesco Totti yang kembali beraksi dalam kesebelasan utama memberi inspirasi kepada Roma menewaskan Cagliari, 3-0 pada saingan Serie A, semalam. Awal minggu lalu, dia hanya mampu menyaksikan kejayaan Roma menewaskan Lazio 2-1 di Piala Itali dari bangku simpanan.
"Kami beraksi banyak perlawanan. Satu perlawanan dalam tempoh tiga hari dan ia memenatkan pemain," kata jurulatih Roma, Claudio Ranieri. "Kami perlu melakukan perubahan tapi hasilnya memuaskan." Simone Perrotta meledakkan gol kedua pada minit ke-70 apabila pantas menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Cagliari, Michael Agazzi.
Cagliari memulakan perlawanan dengan garang dan hampir menghasilkan gol pertama pada minit ketujuh tapi berjaya diselamatkan penjaga gol Roma, Julio Sergio yang melayangkan badan untuk menepis sepakan kencang Andrea Cossu melepasi palang gol. - AP |
Pilih watak sesuai lepas jadi isteri Posted: 23 Jan 2011 05:51 AM PST SAMA cantik dan sepadan, bagai pinang dibelah dua. Selepas hampir dua tahun menyulam cinta, akhirnya pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 24, sah menjadi suami kepada pelakon jelita Raudhah Che Wan atau Ayu Raudhah, 27, Jumaat lalu. Pasangan popular itu dinikahkan Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Mustafa Kamil Abdul Jamil, dengan mas kahwin RM1,888 pada jam 3.45 petang berwalikan abang Ayu Raudhah, Roshidi Che Wan. Bagaimanapun, jumlah hantaran dirahsiakan pasangan itu dengan alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk. Sehari sebelum majlis pernikahan itu, keluarga pengantin perempuan mengadakan majlis berinai di rumahnya di Taman Mawar, Alor Setar, kira-kira jam 9 malam. Pada malam berinai itu, Ayu kelihatan sungguh menawan mengenakan pakaian berwarna kelabu hasil rekaan Qudyn. Jari jemarinya yang dipenuhi inai menyerlahkan lagi penampilan pelakon cantik itu. Debaran yang ditunggu-tunggu kian tiba pada majlis pernikahan pasangan berkenaan keesokan harinya. Kedua-dua pengantin yang tampak anggun mengenakan busana berwarna krim rekaan Man Kajang membuatkan tetamu yang hadir termasuk peminat terpegun. Mohd Zaquan Adha berkata, dia berdebar-debar pada majlis akad nikah kerana tidak menyangka mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular. "Saya rasa debaran ini tak sehebat apabila menjaringkan gol kerana ia satu kepuasan, tetapi akad nikah ini membuatkan saya sungguh berdebar-debar. Hari yang saya tunggu sudah tiba dan kini saya sah menjadi suami. "Ia satu tanggungjawab berat terpaksa saya pikul. Insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya. Turut sama memberi restu ibu Ayu, Zabedah Saat dan ibu bapa Mohd Zaquan Adha; Abdul Radzak Salleh serta Azizah Arshad. Sejurus diijabkabulkan, Mohd Zaquan Adha yang kelihatan sebak menitiskan air mata ketika berpelukan bersama ibu bapa termasuk kembarnya, Mohd Aidil Zaquan, yang turut berada di sisinya sepanjang berlangsungnya majlis itu. Pada majlis itu, Mohd Zaquan Adha turut menyarung cincin di jari isterinya ketika acara membatalkan air sembahyang. Pada sebelah malam diadakan majlis resepsi di rumah keluarga Ayu di Taman Mawar berkonsepkan dalam taman. Lebih 3,000 tetamu termasuk peminat di memeriahkan majlis itu. Pelakon drama Nur Kasih itu anggun mengenakan persalinan moden serba putih rekaan Rizman Ruzaini sedondon dengan putera pilihannya dari pereka sama. Menurut Ayu Raudhah, konsep dalam taman dengan tema warna putih, kelabu dan merah jambu dipilih kerana sudah lama dia menginginkan konsep sedemikian dan rata-rata tetamu yang hadir mengenakan pakaian daripada rona tema majlis resepsinya. Paling mencuri tumpuan, gelagat abang ipar Ayu iaitu pelawak Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet yang membawa ibu dan kakak Ayu ke pelamin bagi merenjis mempelai dengan menarik tangan mereka yang terkepung dengan ribuan tetamu. Kakak Ayu yang juga pelakon jelita, Rozita Che Wan turut menjadi tumpuan tetamu dan peminat yang mahu bergambar dari awal hingga ke akhir majlis. Ditanya mengenai majlisnya pula, secara spontan Rozita meminta peminat mendoakan yang terbaik untuknya dan berharap bakal menyusul dengan ikatan perkahwinan pada tahun ini juga. Kembar Zaquan, Mohd Aidil Zafuan hadir tanpa ditemani isteri, pelakon Rita Rudaini kerana isterinya tidak sihat sejak hamil anak kedua mereka. Dia yang memberi ucapan secara terbuka mendoakan supaya pasangan mempelai berbahagia sehingga ke akhir hayat dan memperoleh cahaya mata dengan segera. Selesai majlis merenjis dan makan beradab bersama ahli keluarga, Ayu tampil mengenakan persalinan merah jambu juga daripada Rizman Ruzaini untuk acara memotong kek. Ayu ketika ditemui berkata, beliau terkejut dengan kehadiran tetamu yang ramai, namun bersyukur kerana apa yang dirancangkan untuk majlis resepsinya berjalan lancar. "Alhamdulillah, tidak berlaku apa-apa yang tak diingini. Cuma makanan yang tidak cukup dan terpaksa ditempah lagi untuk tetamu serta peminat yang tidak putus berkunjung untuk memeriahkan majlis kami," katanya. Antara barisan tetamu yang kelihatan ialah pemain bola dan jurulatih Kedah, pelakon Zaryn Min serta ahli keluarga pihak lelaki yang datang dari Negeri Sembilan. Ayu memaklumkan, selepas berkahwin dia akan terus berlakon kerana tidak mendapat tentangan suami, namun akan mengehadkannya serta memilih watak bersesuaian. "Selepas ini saya akan mengikut suami menetap di Seremban kerana Zaquan sudah membeli rumah di sana. Kini, saya masih dalam proses untuk melengkapkan diri menjadi seorang isteri yang sempurna kepada suami tercinta. "Buat masa sekarang ini, kami belum menetapkan untuk berbulan madu di mana-mana kerana masa belum mengizinkan, namun kami akan memilih lokasi pulau sebagai destinasi berbulan madu nanti," katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |