Berita Harian: Hip |
Posted: 23 Jan 2011 03:38 PM PST Hip BUKAN semua orang sanggup membiarkan dirinya dimandi dan dikafankan seperti jenazah sebenar disempurnakan. Namun Sabrina Ali sanggup diperlakukan sedemikian semata-mata memastikan watak Ana dalam filem Khurafat, benar-benar meninggalkan kesan. Walaupun ia pengalaman yang cukup ngeri, tetapi wanita ini memberanikan diri menerima tawaran menjayakan filem seram arahan sepupunya, Syamsul Yusof, kerana baginya itulah cabaran yang perlu ditempuh sebagai pelakon tulen. Demi karier serta kepuasan, dia sanggup menempuh detik yang nyata menakutkan. Bukan setakat itu, bahkan dalam filem yang sudah berjaya memungut RM3.5 juta dalam tempoh seminggu tayangannya itu (bermula 13 Januari lalu), Sabrina juga dikehendaki berada di dalam keranda dan peti mayat. Mungkin bagi sesetengah pelakon, babak sebegitu sukar lagi menyeramkan tetapi namun bagi ibu tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan ini, sebagai seorang pemain filem, dia perlu mencuba pelbagai jenis watak dan menempuh pelbagai cabaran bagi menguji bakat serta kemampuan."Saya tak fikir apa-apa apabila dikehendaki masuk ke dalam peti mayat. Saya melakukan semua babak itu kerana komitmen saya pada kerja. Tidak semua orang dapat berasakan pengalaman 'mati' sebelum waktunya. Jadi saya berasa cukup bertuah apabila diberikan kesempatan berkenaan. "Namun sudah tentu sedikit sebanyak terbit juga rasa gerun dalam diri, lebih-lebih lagi apabila dimandikan mereka yang memang berpengalaman memandikan jenazah. Tambahan pula adegan terbabit memang dibuat di tempat mandi mayat yang sebenar," katanya mengenai babak yang dirakam sekitar jam 2 pagi itu. Sabrina juga memanjangkan kesyukuran kerana sepanjang terbabit dalam filem yang turut dilakonkan Syamsul, Liyana Jasmay, Latif Borgiba dan Salina Saibi itu, dirinya tidak mengalami sebarang 'gangguan'.
Lebih tujuh tahun bergelar pelakon, akuinya, baru kini dia memberanikan mengorak langkah ke layar lebih besar. Ternyata, keputusan diambil wanita berusia 30 tahun ini tidak sia-sia apabila lakonannya sebagai wanita psiko yang mengejar cinta suami orang, berjaya dihayati dengan baik. Wataknya sebagai Ana meninggalkan kesan di hati peminat, jika dibandingkan dengan persembahan pelakon lain Khurafat. Sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan, Sabrina mengaku, dirinya seorang yang suka memilih. Baginya, biarlah tidak popular asalkan kehadirannya dalam dunia seni tidak dianggap sebagai 'penumpang'. "Saya tak kisah biarpun diberi watak tambahan. Paling penting, lakonan saya menyerlah. Saya tidak mahu berlakon secara tangkap muat saja, sebaliknya biarlah diberikan satu atau dua babak asalkan penonton mengingati lakonan saya. Sebab itu saya tidak terima apa saja tawaran. Dengan itu dapatlah luangkan lebih banyak masa bersama anak. "Bagaimanapun hati saya terbuka menerima tawaran berlakon filem ini selepas dirisik penerbitnya, Datuk Yusof (Haslam). Saya berasa tertarik melakonkan watak Ana. Ia memberikan saya peluang mencabar keupayaan," katanya. Sudah temui pengganti KETIKA hadir pada majlis tayangan Khurafat baru-baru ini, Sabrina mencuri tumpuan tetamu apabila muncul ditemani seorang jejaka. Justeru, saat dia menjejakkan kaki ke Balai Berita untuk menjayakan sesi fotografi bersama Hip, gerangan siapakah pemuda yang mendampingi wanita berdarah campuran Melayu - Pakistan ini. Tanpa berselindung, Sabrina mengaku, jejaka itu ialah teman lelakinya. Selepas ikatan perkahwinan bersama Mohd Shahrin Abdul Halim terlerai pada Mei tahun lalu, Sabrina kembali menemui pengganti dua bulan kemudian. Bagi wanita ini, tiada apa yang perlu disorokkan kerana lambat laun orang ramai akan terhidu juga persahabatannya dengan jejaka berasal dari Raub, Pahang itu. Namun begitu, dia enggan memperkatakan soal hubungan itu secara berlebihan kerana mereka masih lagi berada pada peringkat awal percintaan. "Saya tidak menjangka bertemu dengannya dalam waktu singkat. Kami berjumpa pada majlis hari lahir kakak angkat saya, dari situ kami berkenalan dan berasa serasi untuk berkawan. "Setakat ini saya senang berkawan dengannya kerana telus. Dia juga menerima anak saya seadanya. Meskipun begitu, masih terlalu awal untuk merancang apa-apa atau membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya. Jika ada jodoh, ia tak ke mana. "Saya memerlukan waktu untuk berfikir ke arah itu. Dia pula masih bujang. Jadi tentulah ada bezanya antara kami. Jadi, saya tidak mahu terburu-buru," katanya. |
Peluang bercuti bersama artis popular Posted: 23 Jan 2011 03:35 PM PST Hip POTO Travel & Tours bawa Shaheizy Sam, Lisa Surihani dan Faizal Ismail ke LangkawiJIKA tahun lalu POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) menaja percutian eksklusif pemenang Peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 ke Singapura, kali ini syarikat pelancongan terkenal itu akan membawa pemenang GBB dan pembaca Berita Harian ke destinasi yang memang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Nun terletak di utara tanah air, lokasi yang dimaksudkan ialah Pulau Langkawi, yang memang terkenal dengan pemandangan menarik serta kaya dengan sejarahnya. Mengulas pemilihan Pulau Langkawi sebagai destinasi percutian kali ini, Pengurus Pemasaran POTO, Ain Hussin berkata selain faktor keindahan yang boleh didapati di pulau legenda itu, ia juga sebagai menyahut seruan kerajaan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan. "Di Malaysia sendiri mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik. Pulau Langkawi pula dipilih kerana ia bukan saja memiliki pemandangan yang cantik tetapi banyak sekali peninggalan sejarah boleh didapati di sana. Sambil melawat kawasan bersejarah, mereka juga boleh membeli-belah."Lebih penting, percutian seperti ini juga memberi peluang kepada peminat untuk bergesel bahu dan beramah mesra dengan artis kesayangan mereka," kata Ain kepada Hip. Tiga personaliti popular yang turut menyertai percutian eksklusif empat hari tiga malam itu ialah pelakon Lisa Surihani, Shaheizy Sam dan penyampai Hot FM, Faizal Ismail. Biarpun masih menekankan aspek santai dan menghiburkan, namun inti pati percutian tajaan POTO itu sebenarnya lebih ke arah mendidik dan berkonsepkan keislaman.
"Dengan menyertai percutian ini sekali gus dapat bersama-sama artis yang terbabit, ia memberi peluang kepada peminat membuka mata, melihat sendiri artis pujaan mereka secara lebih dekat," kata Ain. Percutian tahun ini menyaksikan kerjasama kali keempat POTO bersama ABPBH.
Kata Ain, POTO amat berminat untuk meneruskan kerjasama dengan ABPBH kerana menyedari acara anugerah yang menobatkan populariti artis itu sebagai platform yang berkesan untuk mempromosikan produk mereka. "Diakui ABPBH ialah acara yang cukup terkenal dan ramai pengikutnya. Apatah lagi ia membabitkan ramai artis dan personaliti popular. Bagi kami, dengan menjalinkan kerjasama ini, peluang untuk mempromosikan produk kami dan sekali gus memperkembangkan lagi perniagaan akan terbuka luas," katanya. Rombongan akan bertolak ke Pulau Langkawi pada malam 27 Januari dan kembali semula pada 30 Januari. Di Pulau Langkawi nanti, antara lokasi menarik yang akan dikunjungi termasuk Gunung Mat Chinchang, Kompleks Makam Mahsuri, Dataran Lang, kilang pembuatan minyak gamat, Padang Mat Sirat serta lawatan ke tiga pulau iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah. Untuk peminat yang memang sudah lama mengidam bercuti bersama Lisa, Shaheizy dan Faizal sambil menikmati keindahan pulau terkenal ini, peluang berbuat demikian masih terbentang luas. Tempahan dibuka hingga Rabu ini (26 Januari) dan bayaran penuh perlu dikemukakan secara tunai ke akaun Maybank 5144 0480 2849 atau RHB 264 179 0000 5069, manakala cek berpalang di atas nama POTO TRAVEL & TOURS SDN BHD. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |